TORA DATANG LAGI - 45
Suatu masa dahulu, kerusi jenis sofa merupakan hak membeli buat orang-orang yang kaya sahaja. Kebanyakan rumah orang biasa hanya menyediakan kerusi yang diperbuat dari kayu atau rotan di ruang tamu. Kerusi ini sekadar dialas dengan kusyen lembut yang disusun sebiji demi sebiji yang mudah ditarik keluar oleh sesiapa sahaja.

Kusyen-kusyen inilah yang menjadi sumber permainan. Permainan yang tidak mengira umur dan jumlah pemain ini sememangnya sangat tidak digemari oleh semua ibu bapa terutamanya ibu bapa yang bekerja kedua-duanya.

Kusyen akan ditarik keluar dari kerusi dan disusun-susun mengikut imaginasi liar pemain. Kusyen akan disusun membentuk sebuah kubu yang lengkap dengan benteng, terowong, bilik-bilik dan juga beberapa perangkap. Setiap pemain akan dibahagikan kepada kumpulan menyerang dan kumpulan yang mempertahankan kubu. Dengan menggunakan senapang permainan, pemain akan mula berimaginasi sedang berperang dengan bersembunyi di sebalik benteng, merangkak di dalam lorong dan saling berbalas tembakan. Pemain yang tidak mempunyai senapang permainan, akan menggunakan raket badminton untuk dijadikan senapang.

Permainan ini akan tamat apabila pemain sudah keletihan ataupun dijerkah ibu bapa. Selain dijadikan kubu, kusyen juga selalu disusun penuh di atas lantai dan seseorang akan menjadi Sting dan seorang lagi akan menjadi Ultimate Warrior.