Katalah ada sebiji kereta bergerak dalam paksi +x. Apabila kereta bergerak, kepanjangan kereta sebenarnya akan makin jadi pendek. Dan jika kereta tadi bergerak dengan kelajuan cahaya, kepanjangan kereta akan makin pendek dan bahkan hilang terus.
Namun perkara ini hanya diperhatikan oleh orang dalam rangka rujukan yang berbeza saja dari kita iaitu si pemerhati. Tetapi ia tak dirasakan oleh orang yang berada dalam kereta iaitu rangka rujukan bergerak.
Bagi orang yang berada dalam kereta tadi, dia akan ingat tak ada apa-apa perubahan yang berlaku pada kereta dia. Tapi bagi orang yang melihat kereta tersebut, dia dapat tengok situasi ini berlaku. Tetapi penguncupan ini hanya berlaku kepada panjang kereta dan bukan pada ketinggian atau lebar kereta.
Perkara ini sukar dilihat melainkan kereta tadi benar-benar laju menghampiri kepantasan cahaya.
Inilah yang dipanggil penguncupan panjang (length contraction) dalam relativiti khas.
Bagi yang tak berlatar belakangkan fizik dan sedang membaca buku ini, percayalah, ini suatu yang benar dan bukan cerita kartun. Ia malah telah dibuktikan. Tetapi dalam kehidupan seharian, perkara seperti ini tak dapat dilihat kerana kelajuan yang perlahan berbanding kelajuan cahaya. Jika ia berlaku pun, perubahan kepanjangan sangat sedikit sehingga tak terkesan dek mata kasar.