CINTA RIMAU - 47
Mak dah siap

Hasya tercari-cari ibunya di ruang tamu. Hasnah rupanya di meja makan sedang menghidang nasi goreng untuk sarapan mereka bersama. Inilah kali pertama ibunya memasak untuknya sejak kali pertama menjejakkan kaki ke rumah itu hampir tiga bulan yang lalu. Sesungguhnya satu nikmat yang tidak terucap satu rasa yang tidak mampu diukur walau dengan sukatan atau ukuran apa sekali pun.

Keceriaan Hasya makin tidak terbendung kerana hanya beberapa jam saja lagi, dia akan bertemu dengan kekasih awal dan akhirnya, Keris. Tidak sabar benar rasanya mahu diperkenalkan harimau kesayangannya itu pada ibunya. Masih kenalkah Keris padanya lagi Sudah besarkah dia Masih mahukah lagi dia menyondolnyondol mukanya pada kakinya Menjilat-jilat wajahnya sehingga terkekek-kekek ketawa menahan air liurnya yang basi itu Banyak terlalu banyak persoalan yang berlegar di fikirannya yang menambah rasa keinginan yang memuncak untuk bertemu dengan Keris!

Perjalanan menuju ke Jerantut, bandar terakhir disinggahi sebelum sampai ke destinasi Taman Negara, dipenuhi dengan gelak tawa ceria antara dua beranak yang sekian lama terpisah jasad; yang akhirnya bersatu jua setelah onak ranjau ditempuh dengan redha, penuh tawadduk. Pemandangan yang tidak putus dengan kehijauan flora dan fauna serta sungai di kiri dan kanan jalan, membangkitkan nostalgia Hasnah sewaktu dibesarkan di Kuala Lipis lama dulu. Bagaimanakah agaknya rupa Kampung Rilai, Kerambit sekarang setelah hampir 40 tahun ditinggalkan Wajah kedua-dua arwah ibu, Wan Lijah dan ayahnya yang dikenali sebagai Aki Akob silih berganti menari-nari di depan matanya yang kian berkaca.

Sejurus tiba di Kuala Tahan, Hasya membawa ibunya untuk makan tengahari ala-ala kampung di restoran terapung yang berupa landmark atau penanda aras yang memberi gambaran bahawa Taman Negara kini hanya tinggal beberapa depa saja lagi di hadapan mata. Diperhatikan ibunya itu berselera benar menikmati gulai tempoyak ikan patin sehingga ke tahap dihirupnya kuah gulai dari mangkuk dengan muka yang berkerut; menahan rasa pedas dan masam yang bercampur baur hingga kecuh air liur dibuatnya! Kebahagiaan bertali arus singgah di hati Hasya tatkala melihat raut wajah ibunya yang terpancar sinar bahagia.

Setelah kenyang perut diisi tanpa melengahkan masa, dipimpin Hasya ibunya itu dengan penuh hati-hati untuk menaiki bot bagi menyeberangi Sungai Tembeling bersama puluhan penumpang-penumpang yang lain. Sepanjang perjalanan yang hampir mencecah tiga jam itu, mereka leka menikmati pandangan indah di sekeliling yang penuh dengan kehijauan rimba. Sesekali dititipkan Hasya tangannya ke dalam sungai yang arusnya menjadi deras dek laluan motorbot yang memecah ketenangan Sungai Tembeling itu sebelum tangannya ditampar manja oleh Hasnah yang tidak mahu anaknya itu terdedah dengan bahaya yang tidak diduga. Hasya mengekek ketawa. Sesekali juga dirapi-rapikan tudung yang dipakai ibunya yang kerap tersasar akibat ditiup angin. Kemesraan yang sekian lama dinantikan Hasya akhirnya bertukar menjadi nyata semakin ditenung ibunya itu, semakin terasa akan kemiripan wajah yang dimiliki mereka. Hasya sesungguhnya adalah refleksi Hasnah sewaktu mudanya dulu.

Mungkin itu agaknya yang menjadi tarikan pertama Bahrain kepadanya wajah Hasya yang mirip wanita pertama yang pernah singgah dalam hidupnya

Bahrain nama yang tidak pernah lekang daripada ingatannya. Setelah apa yang dilalui, dia hanya mampu berdoa agar Regina akan kembali juga ke pangkuan Bahrain di Malaysia agar bersama dapat mereka jalani hari tua yang mendatang agar makan-minum Bahrain terurus, sakit peningnya terjaga; tidak keseorangan terlentang. Tidak sekelumit pun terdetik di hati Hasya untuk mempertemukan ibunya dengan Bahrain; jika ternyata sedari awal lagi Bahrain diketepikan Hasnah, apa relevannya mengharapkan penyatuan ini buat kesekian kalinya

Hasya tidak ingin lagi merenung kisah silamnya dengan Bahrain... enggan juga dia mengklasifikasi benar atau salahnya percintaan yang pada dasarnya terlarang itu. Apa pun pertalian yang wujud di antara mereka, hanya Tuhan sahaja yang berhak menghakimi dan siapa kita untuk mencampuri

Berdasarkan Mazhab Shafie yang diberatkan pendapatnya di Malaysia, anak luar nikah atau tidak sah taraf sepertinya diharamkan berbintikan bapanya sendiri dimana nama bapa kepada kanak-kanak terbabit tidak akan dicatat pada sijil kelahirannya walaupun kedua ibubapa mengakui anak itu sebagai anak mereka. Walau pun tujuan murni di sebaliknya agar tidak wujud kekeliruan dalam nasab keturunannya, namun dalam nafas yang sama, harus juga berupaya memberi perlindungan kepada anak yang tidak berdosa ini dari menanggung aib yang terpalit dari perbuatan ibubapanya sendiri. Sering bermain di fikiran Hasya: Mungkinkah di hari mendatang, akan ada cara yang lebih berhalus sifatnya diaplikasikan; seiring dengan tuntutan Islam yang melarang umatnya dari mendedahkan keaiban

Sabda Rasululllah s.a.w yang bermaksud: Barangsiapa yang menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Bukan mudah membesar sebagai seorang anak yang berbintikan Abdullah seperti Hasya. Label anak haram menjadi stigma yang melekat pada dirinya sepanjang hayat. Tidak berbintikan bapa sendiri juga turut membuatnya berasa diketepi; menggamit rasa rendah diri yang seolah memberi gambaran dirinya anak yang tidak dikehendaki, turut memburukkan lagi kesan psikologi diri.

Sabda Rasullulah s.a.w: Setiap anak dilahirkan suci bersih, maka kedua ibubapalah yang akan menyebabkan anak ini menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Jangan kita menghina dan meminggirkan anak luar nikah atau tidak sah tarafnya sehingga menyebabkan dirinya berasa terhina atas dosa dan kesalahan ibubapanya. Sesungguhnya setiap anak yang dilahirkan adalah fitrah.

Anak tidak sah taraf sepertinya, selain tidak dibenarkan berbintikan bapa sendiri, tidak juga berhak mewarisi apa jua harta peninggalan bapanya itu disebabkan perhubungan tidak sah terjalin antara dia dan wanita yang melahirkannya iaitu Hasnah. Ini bermakna Bahrain walaupun secara biologinya merupakan bapa kandungnya, tetap tidak layak mewalikannya ketika bernikah disebabkan antara mereka berdua yang dianggap bukan muhrim. Maka dengan yang demikian, oleh kerana secara perundangan fiqah, tiadanya pertalian saudara yang wujud di antara mereka, bukankah ini memberi makna daripada segi hukum Syariah Malaysia, seorang anak boleh menikahi bapa kandung atau ahli keluarga bapa kandungnya sendiri

Adakah ini bermakna Hasya boleh memilih sama ada untuk menikahi Bahrain atau Rafael tanpa adanya hukum yang menghalang Hasya enggan membiarkan dirinya berfikir sejauh itu.

Benar, Bahrain akan selamanya terpahat dalam diri. Namun erti hidup yang sebenar bagi Hasya adalah realiti yang didepaninya kini; bukan semalam, bukan juga hari esok. Sesungguhnya esok tidak pernah tiba ia sekadar satu pengharapan tidak tergapai dek tangan, yang lahir dari hari ini.