DARI TANJUNG MALIM KE KLCC - 47
Sekolah akan beroperasi semula esok. Tak kiralah sekolah kebangsaan, sekolah Chung Sing, sekolah Anglo-Chinese, sekolah taska, sekolah cluster, sekolah MRSM, sekolah agama rakyat atau sekolah dekat shopping complex berhampiran kedai game. Semua mesti buka balik esok. Budak-budak yang nak naik darjah enam mula berani bawa Dunhill selit poket belakang. Masing-masing dah sedia nak merusuh depan Penolong Kanan. Budak-budak yang ada otak maju sikit dah mula berangan nak menyertai audition Geng Bas Sekolah musim ketiga. Manakala bagi adik-adik yang dapat UPSR 5A hasil tuisyen semenjak tadika pula sedang berdebar untuk masuk sekolah asrama. Kalau nak lagi stylo, masuklah sekolah asrama agama macam aku. Nanti besar boleh jadi macam aku.

Aku tengok, budak-budak sekarang cuti sekolah bukan main lagi. Lama satu hal, aktiviti cuti pula semua jenis canggihcanggih dan berteknologi. Tak sama langsung masa aku cuti sekolah zaman hobi kumpul setem dan tolong ibu siram bunga. Tengok tivi pun setakat cerita The Girl From Tomorrow. Alana tu entah kerja apalah sekarang. Cerita Fantaghiro pun boleh tahan sedap. Dulu aku dah berkira-kira nak tukar nama Tarabas bubuh dalam kad pengenalan. Mujurlah aku tak pandai naik bas pergi Pejabat Pendaftaran di Taiping. Bila dah mengadap tivi, mulalah badan jadi malas pergi mengaji. Aku argue juga dulu, kenapa sistem cuti sekolah tak diselaraskan dengan sistem cuti mengaji Cuti sekolah pun kena pergi mengaji, tak demokrasi langsung!

Masa cuti sekolah, kalau hebat sikit dapatlah merasa pergi Pesta Pulau Pinang tumpang anak-anak jiran. Bawak duit pun tak banyak. Dalam lima puluh ringgit habuan beli kacang, main kereta laga, main buaian pusing dan beli t-shirt putih gambar Jambatan Pulau Pinang. Lepas balik pesta, hari-hari pekena t-shirt jambatan sampai lunyai. Sampai gambar jambatan pun dah keluar benang. Selain Pesta Pulau Pinang, aku juga selalu mengamuk ajak ayah aku pergi Taman SM Noor dekat Batu Gajah. Budak-budak kata sana ada rumah hantu. Tapi sayang, sampailah Taman SM Noor tu tutup, aku tak dapat pergi. Ayah aku kata Batu Gajah tu jauh. Kalau pergi nanti aku muntah dalam kereta pula.

Ada sekali masa cuti sekolah darjah dua, aku naik kereta pergi Kuala Lumpur ikut jalan lama. Sepanjang jalan, tujuh lapan kali aku muntah. Masa tu badan tak kemas lagi. Tak biasa jalan jauh naik kereta murah. Pergi Kuala Lumpur kami menumpang rumah setinggan Tok Ngah aku di Selayang. Pergh! Hari-hari aku pujuk anak Tok Ngah bawa pergi Seven Eleven pekena Slurrpy. Dalam hati rasa nak bungkus je Slurrpy tu bawa balik Bagan Serai tunjuk kat budak-budak kampung. Sebelah malam pula, kami ramai-ramai naik bas mini warna merah jambu hala ke Yaohan. MasyaAllah! Punyalah besar kompleks Yaohan. Ada banyak pula tangga naik turun sendiri. Dekat kampung aku mana ada benda ni semua. Paling hype pun ada pasaraya Kedai Kawan yang bahagian barang mainan dia tak ada jual Play Doh walaupun sudah lapan tahun beroperasi.

Kalau musim cuti tu jatuh masa ekonomi ayah aku tak berapa baik, lawatan-lawatan ke luar negeri akan digantikan dengan aktiviti domestik. Aktiviti domestik ni macam-macam. Bergantung kepada musim. Bila musim lastik burung, pergi

Retro Cuti Sekolah

mana-mana aku sedia lastik. Bila musim menggagau ikan, pergi mana-mana aku sedia bawa tangkul kecil. Bangun pagi-pagi aku lari ke belakang rumah tahan taut dalam saliran air padi. Sebelah petang aku pergi tengok balik. Kalau nasib baik adalah lekat ikan Haruan besar lengan Barry Prima.

Budak-budak zaman millenium ni tak tahulah teknik macam mana mereka habiskan cuti. Nak kata duduk kampung pun dah serupa duduk Kuala Lumpur. Tinggal lagi tak ada Pavilion dengan KLCC saja. ASTRO dah merata tempat. Rumah fakir miskin pun dia punya ASTRO ada HBO. Zaman global semua jadi global. Budak remaja belah Kokdiang sana pun tahu perlunya Pendidikan Seks di peringkat sekolah. Bukan apa, ilmu berkenaan boleh di bawa melepak masa turun Alor Setar jumpa makwe dari Jitra.

Kehidupan persekitaran pun dah berubah banyak. Rumah kawasan kampung dinaik taraf jadi perumahan kos rendah atau kos sederhana. Kawasan padi yang mana kurang diusahakan, bertukar rupa jadi pusat kedai dua tingkat yang menempatkan kedai tayar Hong Huat, pusat snooker, kedai internet, kedai Sports Toto dan tempat hisap ganja di lorong belakang. Perniagaanperniagaan tradisi macam tampal tayar basikal, pasang grill kecil-kecilan, jual ikan sepat kering dan meniaga aiskrim Malaysia dah semakin tandus. Sistem pengangkutan juga dah macam Tokyo. Lebuhraya di sana sini. Jalan masuk Parit 6 pun ada ura-ura nak sambung dengan lebuhraya. Kepesatan industri jalan raya juga mempengaruhi program cuti sekolah budakbudak zaman sekarang. Duduk Arau pun dah tak rasa jauh nak pergi Kolumpo. Pagi-pagi dari Arau naik bas ekspress Sani dua tingkat, dalam bas pekena iPod Nano kat telinga atau main PSP, dalam tengahari dah boleh main Daytona di bangunan Kotaraya.

Hidup tak mencabar langsung!

Kalaulah aku lalui zaman cuti sekolah macam sekarang masa tahun 90-an dulu, rasanya otak aku dah jadi genius. Kerja sekolah aku sambungkan dengan Google. Masalah matematik dah boleh siap sambil tulis blog. Buat karangan Pengalaman Cuti Sekolah tak payah cakaplah. Cerita pergi Malibu pun aku boleh sampaikan dengan fantastic! Padahal aku cuma duduk rumah saja tengok konsert artis-artis Roadrunner dalam Youtube. Main bolasepak tak payah pergi padang, cukup sekadar main Nintendo Wii dah boleh keluar peluh. Kalau aku rasa nak bersosial, aku ajak budak-budak main DOTA, Counter Strike tak pun main WarCraft. Hal-hal susun buku sekolah, setting rantai basikal dan kapur kasut aku akan bagi orang gaji uruskan. Barulah ada style!

Oklah. Bini aku pun dah panggil banyak kali suruh buang sampah dan salin lampin. Benda-benda senang macam tu pun aku nak kena buat.

Lu suruh internet setelkan tak boleh ke