Malam itu, tatkala sendirian di beranda chalet, Hasya melutut sambil mata terpejam. Dalam hatinya, diseruserunya Keris berkali-kali dengan sepenuh jiwa dan raga. Andai benar dirinya masih diingati Keris, pasti akan ada jalan terbentang untuk mereka bertemu melepas rindu. Keris, datanglah jumpa aku malam ini aku rindukan kau, bisik hati nuraninya. Leela, masuk tidur nak.
Hasya masuk ke dalam chalet yang bertiang tinggi itu, merapati ibunya yang sedang berbaring di katil. Dipeluknya Hasnah erat sebelum akhirnya terlena sendiri.
Di tengah malam yang syahdu dengan bunyi unggas bernyanyi merdu, Hasya tiba-tiba terbangun. Digapainya jam tangan di meja sisi; dilihatnya jam sekitar 2.30 pagi. Tangan Hasnah yang melingkari tubuhnya, perlahan diletak ke bawah. Sambil menyapu-nyapu matanya, perlahan dia bangun menuju ke beranda. Sebaik pintu dibuka, dilihatnya langit terang bercahaya dengan bintang yang berkerlipan menyinari malam. Cantik tak terperi keindahan alam di waktu begini Maha Suci Allah.
Hasya kemudian menuruni anak tangga untuk ke tanah. Dilihatnya persekitaran chalet itu yang teramat mendamaikan desiran rimbunan pohon ditiup angin sepoi-sepoi bahasa mejadikannya terus alpa dalam keriangan. Kedinginan yang dirasai dek tiupan angin pada tengah malam begini, sejuknya terasa hingga ke tulang. Kedamaian hati yang dicarinya selama ini dapat dirasai hanya dalam sekelip mata saja, namun kesannya akan dirasai selama hayatnya ada airmatanya menitik bahagia, memanjat kesyukuran yang tidak terhingga terhadap Ilahi dengan anugerah yang tidak terperi keajaibannya.
Secara tiba-tiba, dia terpanggil untuk menoleh ke belakang.
Itukah Keris Hasya mengusap-usap mata dengan kedua tapak tangannya; seolah-olah tidak percaya akan apa yang terlihat di depan mata. Dia senyum kepada harimau yang diyakininya dibela sejak awal kelahiran itu lagi. Sekarang, dia kelihatan jauh lebih besar berbanding dari saat dia dihantar ke mari. Keris, sebutan nama yang diiringi rasa sebak itu membuatkan harimau itu berlari menerkam ke arah Hasya! Mereka saling berpelukan bermanja-manjaan oh Tuhan, inikah ertinya cinta tanpa syarat Yang tidak mengenal manusia atau pun haiwan Kawan mahu pun lawan Sesungguhnya cinta dan benci adalah dua sisi berbeza dari satu syiling yang serupa
dan kalaulah segenap manusia memahami akan prinsip ini, pastinya perang tiada lagi di muka bumi ini.
Keris membawa Hasya melusuri hutan, berjalan seiringan dengannya hingga tiba satu saat, Keris merendahkan badannya seakan memberi isyarat agar Hasya naik ke atasnya. Umpama kuda tunggangan, Keris ditunggang Hasya dengan penuh rasa teruja menerokai hutan rimba Khatulistiwa yang penuh dengan kehijauan, bukit bukau melusuri sungai yang jernih bak kristal di mana Hasya sempat menyedok air sungai; mengapung dengan tangannya sendiri sebelum dikongsi dengan Keris. Nyamannya air di situ seolah bisa menghilangkan dahaga untuk berkurun lamanya dan sempat juga matanya menoleh ke arah badak air yang sedang enak berendam, mandi-manda. Peliknya walaupun malam, suasana tetap terang benderang meski hanya dilimpahi cahaya bulan. Hasya merenung ke langit jiwanya bernyanyi girang, penuh tenteram.
Berdua bersama, Hasya dan Keris terus melewati lurah dan lembah sebelum tiba di satu kawasan perkampungan yang dipenuhi haiwan-haiwan liar. Sebaik Keris berhenti bagi menurunkan Hasya ke tanah, dapat dilihatnya dengan jelas betapa besarnya gajah di depan mata harimau bintang dan singa yang ngauman mereka mengecutkan perut semua yang ada di sekitarnya keindahan tubuh kuda hitam dan putih ciptaan Tuhan yang saling berkejaran dengan ekor rambut yang panjang mengurai gorila yang berbulu lebat dan kelihatan kesat mungkin kerana tidak pernah bersikat Hasya tersenyum sendiri memikirkan kemungkinan ini, lantas diseluk poket dari pijama putih berbunga halus yang dipakainya; kalau-kalau ada sikat terselit di situ. Tiada, namun dia tetap gembira sang gorila tetap menjadi temanku walau bagaimana kesat dan lebatnya bulu!
Sejurus kemudian, Keris membawanya pula ke satu sudut di mana dapat dilihat seekor badak dengan sumbunya yang memuncung besar sedang menyondol-nyondol rerumput di tanah, burung kasuari yang makin berseri di malam hari dan bermacam-macam lagi spesis yang Hasya sendiri tidak pernah kenali! Eh tengok tu zebra pun ada! Mereka tidak sama sekali bertindak mahu menyerangnya malah seolah-olah memberi senyuman pula kepadanya; mengalu-alukan kedatangannya. Bagi Hasya sendiri, mungkin kerana dilihat bersama-sama Keris, makanya dia tidak dianggap sebagai ancaman buat haiwan-haiwan liar yang bebas berkeliaran dengan asyiknya di situ!
Hasya kemudiannya menarinari girang sambil memusing-musingkan badannya di tengah padang, diiringi dengan cicipan burung-burung terbang yang bernyanyi merdu penuh sinkronisasi umpama sebuah orkestra memecah sunyi di belantara. Hasya tersenyum ceria sampai ke telinga; melihat Keris yang seolah senyum kepadanya.
Pengalaman ini dirasakan seperti satu mimpi yang tiada awal, tiada juga akhirnya yang terlalu besar maknanya buat Hasya setelah melalui pelbagai kedukaan yang bertimpa-timpa; suka duka kehidupan yang persis roller-coaster.
Akhir sekali, Hasya dan Keris berhenti di bawah sepohon pokok yang besar dengan akar menjalar yang
rimbun daunnya terserlah keindahan dek sinar purnama yang mengambang penuh. Di situlah, mereka berpelukan sepanjang malam sehinggalah apabila subuh menjelang, berdua juga mereka beriringan pulang.
Sebaik tiba di chalet, diiringi azan berkumandang, Hasya menyaksikan kelibat ibunya di beranda yang tampak resah, berjalan ke tepi dan ke tengah. Apa mungkin mencari dirinya yang tiada di ranjang, hampir sepertiga malam Tatkala Hasnah terlihat Keris yang tiba di halaman bersama Hasya yang melambai-lambai ke arahnya, dia bertukar panik; kelam kelibut lantas terburuburu masuk ke dalam!
Saat untuk berpisah sudah tiba dikucup Hasya muka Keris bertalu-talu sebelum dia berlalu pergi menyusuri hutan belantara yang kini menjadi naungannya. Hasya kini berasa puas sekali kerana sudah terbukti bahawa sesungguhnya jarak, bukan pemisah antara dua hati. Dia dan Keris walau sudah tidak sebumbung lagi, namun percantuman dua jiwa yang menjadi satu, akan selamanya mendasari
Pagi, sewaktu bersarapan di dewan makan chalet Murni; beratapkan rumbia berkerusi buluh, Hasnah bercerita akan peristiwa yang dialaminya malam tadi, Mak mimpi nampak harimau!
Sambil mengunyah ubi kayu sira disulami dengan mencuri hirup kopi di tangan, Hasya tersenyum girang. Pengembaraan bersama Keris; jelajahi alam belantara ketara masih terkesan di jiwanya. Tidak pasti sama ada mahu berterus-terang atau terus berdiam, Mungkin mak mimpi aje kot.
Benar. Ia mungkin sekadar mimpi buat ibunya, realiti yang dialaminya sendiri dan fantasi bagi mereka yang tidak mampu melihat dengan mata hati. Namun, hakikat bahawa hidup ini tidak lebih dari sekadar satu persepsi, tidak boleh diragui Jangan terkejut andai diberitahu bahawa nama lain bagi perkataan minda ialah kegilaan. Dan mengikut kepercayaan Hindu, apabila minda yang berupa ide atau persepsi ditambah kepada realiti, maka jadilah ia sebagai maya atau ilusi: interpretasi minda.
Projection of the mind.
Leela, bila nak bawa mak jumpa Keris ni
Eh bukan mak dah jumpa Keris ke malam tadi
Pertanyaan ibunya yang turut dijawab dengan pertanyaan itu diiringi derai tawa Hasya yang penuh makna. Dipeluknya Hasnah sepertinya tidak mungkin akan dilepaskan lagi wanita itu kerana menyedari bahawa kasih ibu, sesungguhnya syurga di hatinya...