Namun, Relativiti Khas mempunyai kekurangan iaitu bersifat khusus. Relativiti Khas hanya menjelaskan pergerakan objek pada kelajuan yang sama (uniform velocity) dan dalam garis lurus saja iaitu dalam rangka rujuk inersia (inertial frame). Sifat ini merujuk secara khusus pada sifat cahaya. Jika objek membengkok dari laluannya maka Relativiti Khas tak boleh lagi dipakai. Disebabkan kelemahan ini, Einstein menampalnya dengan Teori Relativiti Umum (General Relativity Theory).
Sebagai maklumat tambahan, pasal ruang dan masa sebelum ini, kami hendak jelaskan juga mengenai pandangan Newton pasal konsep ruang dan masa. Kalau ikutkan Newton, ruang & masa adalah entiti yang berlainan (independent). Newton juga menganggap ruang dan masa sebagai tetap (absolute).
Apa yang dimaksudkan dengan ruang tetap Ia bermaksud, ruang mempunyai bentuk yang tetap dan tak berubah macam pepejal. Sebab itu Newton kata, ruang takkan terkesan dengan objek seperti bumi.
Namun dalam eksperimen Gravity Probe-B, penyelidik dari University of Stanford dan NASA telah berjaya membuktikan ruang adalah unsur yang boleh diganggu. Apabila ia diganggu, ia menghasilkan getaran (ripple) yang dikenali sebagai gelombang gravitasi (gravitational waves).
Semua objek angkasa seperti bintang-bintang, komet, bulan-bulan dan planet-planet akan menghasilkan gangguan kepada struktur ruang di sekeliling mereka. Gangguan ini menghasilkan gelombang graviti dan bukan senang hendak mengesannya. Bayangkan, teori Einstein telah ditulis pada tahun 1915M tetapi 100 tahun selepasnya (tahun 2015M), barulah manusia benar-benar dapat mengesan gelombang gravitasi tadi.
Struktur ruang yang terganggu boleh digambarkan dengan medium air. Sekarang anggap saja air adalah ruang. Jika kita membaling batu ke dalam air, air akan mula bergelombang.
Sama halnya dengan gelombang gravitasi tadi. Ruang adalah umpama struktur air. Ia boleh diganggu apabila ada jirim yang bergerak-gerak di dalamnya. Namun gelombang gravitasi bukan seperti gelombang air yang boleh kita nampak dan kesan dengan mudah. Ini kerana kesannya sangat halus dan memerlukan teknologi yang cukup sensitif untuk mengesannya. Kewujudan gelombang gravitasi inilah yang diramalkan oleh Einstein dalam Relativiti Umum.
Bagi Einstein, ruang adalah struktur yang dinamik macam air. Maka, strukturnya juga boleh diganggu. Dan apabila ia diganggu, di situlah gelombang gravitasi terhasil.
Jika kita bandingkan ruang yang tetap seperti pepejal, maka ruang yang tak tetap pula seperti cecair ataupun gas. Jika cecair tadi diletakkan dalam belon, maka bentuknya boleh diubah-ubah apabila kita tekan dan penyet-penyetkan ia.
Jika cecair dalam belon disejukkan dan menjadi keras macam pepejal, maka bentuknya tak lagi boleh diubah dan itulah idea ruang tetap milik Newton. Disebabkan ruang dan masa tak tetap, maka strukturnya boleh terkesan dengan jirim.
Dari sinilah Einstein mendakwa graviti sebenarnya bukan sebuah daya tetapi hanyalah kesan bengkokan geometri ruang-masa apabila ada objek dalam ruang tersebut. Macam mana nak demontrasi benda ini Kita ambil sebuah selimut dan bucunya dipegang oleh empat orang di setiap penjuru. Pada asalnya selimut tersebut dalam keadaan rata (tegang) kerana ditarik oleh setiap orang pada empat bucu tadi.
Kemudian cuba letakkan pula sebiji bola boling di tengah-tengah selimut, apa jadi Mestilah selimut kendur dan mengherot di bahagian tengah-tengahnya. Selimut tadi umpama struktur ruang dan bola boling umpama Bumi. Kemudian cuba letakkan pulak guli dekat selimut tadi.