Mencari Kiblat Cinta - 51
Melihat sesusuk tubuh melangkah keluar dari dalam rumah itu, hati Filman bagaikan terawang-awang. Hampir terpegun dia melihat Danira yang mengenakan baju kurung berwarna biru laut yang sesuai dengan kulitnya yang putih mulus. Tudung yang dikenakan gadis itu membuatkan wajahnya bertambah ayu. Filman hampir tidak tahu bereaksi jika Melia tidak menguis-guis tangannya. Entah sejak bila anak gadisnya itu keluar dari perut kereta lalu berdiri di sampingnya.

Dia menahan nafas apabila Danira semakin menghampiri mereka. Melia segera menuju ke arah gadis itu tanpa disuruh. Melihat kelibat Melia, Danira segera melemparkan senyuman. Dia tunduk lalu memeluk anak kecil itu. Tidak disangka-sangka, Melia tiba-tiba mengucup pipi Danira. Filman terpinga-pinga melihat tingkahlaku Melia yang kelihatan amat manja dengan Danira.

Shall we go now Filman bersuara memecahkan kesunyian. Danira segera menoleh. Mata kedua-duanya saling berlaga. Dalam gugup, Filman masih sempat melemparkan senyuman, menampakkan sedikit lekuk di dagunya. Mahu tak mahu Danira turut menguntum senyuman kecil sebagai balasan.

Melihat senyuman manis itu terukir di wajah ayu di hadapannya, Filman mula merasakan ada yang tidak kena dengan perasaannya ketika ini. Aduh, kenapa tiba-tiba sahaja ketenangannya hilang dengan kehadiran Danira

Kita nak ke mana sebenarnya Encik Filman Tanya Danira sewaktu mereka sudah berada di dalam perut kereta. Filman menoleh tapi hanya sebentar. Dari tadi dia cuba menahan diri agar tidak memandang Danira secara terus, bimbang hatinya bakal mencair seperti seketul ais di kawasan terik mentari.

Kita nak ke Port Dickson. Dah lama Melly teringin nak pergi berkelah, tapi saya tak ada masa nak bawa dia pergi. Mujurlah hari ni saya cuti, jika tidak hari Ahad pun saya sibuk dengan urusan. Ujar Filman.

Berkelah Danira tersentak. Terkejut mendengar kata-kata lelaki itu. Biar betul! Dia memandang baju kurung yang menutupi tubuhnya. Sesuaikah dia pergi ke pantai dengan berbaju kurung

Jangan bimbang, kalau Danira rasa tak selesa berbaju kurung, nanti sampai kat Seremban kita singgah sekejap beli baju. Pintas Filman bagaikan tahu apa yang difikirkan gadis itu.

Danira tidak bersuara. Matanya dikerling ke arah belakang tempat duduk. Melihat Melia tertidur di tempat duduk belakang, dia tersenyum.

Melly dah tidur. Ujar Danira perlahan. Mata Filman segera menjunam ke arah cermin di hadapannya. Kelibat anak gadisnya cuba diintai.

Dia penat sangat agaknya. Semalaman dia keluar bermain-main dengan adik-adik saya. Biarlah dia tidur, nanti kita kejutkan dia bila sampai ke Seremban. Balas Filman.

Danira melontar pandangan ke luar tingkap. Entah kenapa, suasana sepi yang menyelubungi keadaan membuatkan dia tiba-tiba diulit keresahan. Dia sebenarnya tidak pandai berbual-bual dengan Filman.

Maafkan saya ucap Filman tiba-tiba. Danira menoleh. Ungkapan kata maaf yang terlontar dari bibir lelaki itu tidak mampu menghalau tanda tanya yang bersarang di kepalanya. Untuk apakah kata-kata maaf itu diucap

Filman tiba-tiba berpaling. Danira jadi kaget. Dia tidak sempat mahu melarikan anak matanya. Melihat renungan lelaki itu singgah ke wajahnya, dia merasa gugup entah kenapa.

Maaf sebab saya buat Danira bimbang semalam. Sepatutnya saya pastikan betul-betul dulu di mana Melly berada sebelum saya ke taska. Ujar Filman. Rasa kesal kerana peristiwa petang kelmarin masih menghantuinya.

Danira terdiam sejenak. Dia tahu benar apa yang dimaksudkan lelaki itu.

Encik Filman tak salah apa-apa. Syukur sebab tak ada apa-apa yang buruk menimpa Melly Kalau tidak, saya akan merasa bersalah. Danira tunduk. Jujurnya, perasaan gementarnya belum hilang semasa dia mendengar lelaki itu mencari Melly di taska tempohari.

Filman melirik gadis di sampingnya. Ada sesuatu yang menarik tentang Danira. Dia sendiri tidak tahu kenapa hatinya boleh terpaut pada gadis itu secepat ini. Padahal jika diikutkan, mereka baru bertemu beberapa kali. Malah Danira baru seminggu bekerja dengan Kamila di Sissy Kindergarden.

Suara rengekan Melia terdengar jelas dari arah belakang. Danira dan Filman serentak berpaling. Danira terasa darah panasnya meruap naik ke muka apabila menyedari wajahnya bertentangan dengan lelaki itu, agak hampir. Untuk sesaat dua, renungan Filman singgah ke wajahnya. Debaran kencang mula bertebar di hatinya.

Danira cepat-cepat mengalihkan wajah. Filman juga begitu. Untuk seketika, mereka hanya berdiam diri. Namun senyuman Filman bermain di bibir. Ada sesuatu yang indah mula berputik di jiwanya.

******

Filman nampak begitu teruja melayan keletah Melia. Sesekali dia menyimbah air ke arah anaknya, menyebabkan Melia tertawa senang hati. Gelak ketawa Melia terdengar sehingga ke telinga Danira yang sedang menyiapkan makanan. Dia berpaling. Melihat kedua-duanya, entah mengapa dia tersenyum sendiri.

Dia mengalihkan pandangan ke arah sandwich dan meehun di dalam bekas yang dibawa lelaki itu. Mulanya dia segan juga apabila tidak menyiapkan apa-apa bekalan untuk berkelah. Namun semuanya sudah disiapkan lelaki itu sejak awal-awal lagi. Tinggal nak menghidangkan sahaja.

bersambung

Bab akan datang:

Adakah perasaan yang dialami Filman ini juga dirasai dalam diri Danira