DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 51
Seorang wanita berusia awal 30-an, mengandung anak sulung selepas 2 kali keguguran. Dia bekerja di sebuah restoran makanan segera. Dah tahap manager dah. Jadi kira orang berpelajaranlah.

Memandangkan usianya, juga sejarah keguguran dan berat badannya, doktor-doktor di klinik kerajaan sangat prihatin dengan kandungannya. Awal-awal lagi dia dah disuruh minum air gula. Dan dia gagal ujian tersebut. Paras gulanya naik ke 8.4 selepas minum air gula. Sejak itu hampir setiap 2 minggu dia kena berulang ke klinik dan kali ini kena buat Blood Sugar Profile (BSP) pula. Check paras gula 4 kali sehari. Pagi, tengah hari, petang dan malam. Bukan sekali tapi dah berkali-kali. Keputusannya taklah teruk sangat pun. Sesekali bacaannya lebih 7. Biasanya kurang daripada 6, itu pun doktor kerajaan masih tak puas hati. Awal pagi nak disuruh bawah 5, manakala selebihnya bawah 6. HBA1C nya pun cuma 5.5%. Jadi takda apa perlu dirisaukan. Sepatutnyalah.

Dia kini dah trauma. Setiap kali ke klinik mesti kena marah. Itu tak boleh makan, ini tak boleh makan dan sepanjang tempoh 2 bulan ini, berat badannya statik sahaja. Nasib baik kandungannya takda apa-apa. Tapi yang jadi mangsanya aku juga. Sebab setiap 2 minggu, dia buat ujian BSP di klinik aku. Bila dah ada pesakit nak datang klinik 4 kali sehari, aku tak boleh nak lari ke manamana. Nak balik awal tak boleh. Nak tutup awal pun tak boleh.

Aku pernah kata kepada pesakit-pesakit aku. Doktor-doktor klinik kerajaan sekarang tidak merawat pesakit. Doktor-doktor klinik kerajaan lebih obses dengan nombor. Mereka risau dengan nombor. Beza satu dua point pun dirisaukannya. Lepas tu kerjanya menakut-takutkan pesakit.

Aku pernah pesan dengan pesakit ini, lain kali kalau datang ke klinik kerajaan, bawalah ayam goreng satu bucket. Nugget juga kentang goreng. Jadi taklah tension sangat doktor-doktor di sana. Pada pendapat aku, dia tak perlu berumah di klinik kerajaan. Dia tak perlu asyik berulang-alik ke klinik kerajaan. Tunggu je kandungan 37 minggu. Buat satu lagi BSP. Kalau semuanya bawah 6.0, tunggulah masa sampai bersalin normal. Kalau tidak, paksa bersalin pada 38 minggu. Takda apa perlu dirisaukan. Takda apa perlu ditakutkan.