Seorang warga Indonesia. Baru dua minggu datang ke Malaysia. Umur 38 tahun, sudah berkahwin tetapi belum ada zuriat. Bekerja sebagai tukang rumah di kampung. Dua bulan yang lalu, doktor di Indonesia mengesahkan dia kena kanser. Ada tumor ganas di lidahnya. Lidahnya dipotong separuh. Doktor sarankan dia buat rawatan radioterapi tetapi dia takut. Lalu keluarganya menyarankan dia datang ke Malaysia. Cuba berubat dengan doktor-doktor di Malaysia.
Dia berjumpa dengan aku 2 hari yang lalu. Tubuhnya kurus kering. Tinggal tulang dengan kulit sahaja. Dia tak boleh nak menelan. Dia juga susah untuk bercakap. Nafasnya pendek. Mukanya pucat. Nadinya pantas. Tekanan darahnya rendah.
Lidah dan tekaknya penuh dengan ulser. Apa harus aku lakukan
Pesakit #2
Seorang lelaki awal 30-an. Bekerja sebagai Senior Technician. Gaji boleh tahan hebat sebab aku pernah nampak rumah tempat tinggalnya. Juga kereta barunya import daripada Jepun. Dia selalu mengadu sakit kepala seperti ada masalah besar yang tak pernah selesai.
Semalam dia pecah lubang. Dia bercerita panjang lebar dengan aku. Dia dah 4 tahun berkahwin dengan pilihan hatinya. Bukan bersaudara ataupun punya pertalian darah. Isterinya dah 3 kali mengandung. Isterinya dah 3 kali bersalin. Tetapi ketiga-tiga anaknya meninggal 10-20 hari selepas lahir. Anak-anaknya semua lahir awal. Cukup sifat-sifatnya. Beratnya pun tak kurang 1.8 kg kesemuanya. Tetapi selepas lahir sahaja terus bermasalah. Darah pekatlah, usus tak berfungsilah, paru-paru lemahlah. Walaupun doktor dah usaha sedaya-upaya, anak-anaknya masih tidak boleh diselamatkan. Doktor menyatakan anak-anaknya ada masalah genetik. Peluang untuknya punya zuriat agak tipis.
Apa perlu aku nasihatkan
Pesakit #3
Seorang wanita berusia 35 tahun. Punya 3 orang anak. Yang kecil sekali baru berusia 3 tahun. Dia jarang berjumpa dengan aku. Pada tahun 2007, dia pernah mengadu sakit perut dan aku anggap sakit biasa-biasa sahaja. Lepas tu dia tak pernah mengadu sakit perut lagi. Beberapa kali dia datang selepas itu, bercerita masalah-masalah biasa sahaja. Sakit biasa-biasa sahaja.
Semalam dia datang, mukanya pucat dan badannya semakin kurus. Dia mengadu sakit pinggang dan batuk-batuk. Tapi aku tak puas hati. Aku cuba mengorek rahsianya. Lalu dia bercerita.
Beberapa bulan yang lalu, doktor sahkan dia menghidap barah usus. Peringkat empat katanya. Masya Allah. Terkejut aku. Doktor kata barah sudah merebak dan disarankan buat rawatan kemoterapi secepat mungkin. Tetapi dia minta tangguh. Macam-macam cerita negatif daripada kawan-kawan dia dengar. Bapanya pun tak setuju dia buat kemoterapi. Ramai kawankawan bapanya meninggal selepas kemoterapi. Doktor juga kata kena pasang beg di perut dahulu sebelum kemoterapi. Itu yang buatkan dia lagi nak mengelak. Dia cuma makan vitamin sahaja.
Apa perlu aku nasihatkan
Dr. Zoul Dahan
Pesakit #4
Seorang ibu muda. Punya 3 orang anak. Petang semalam dia datang ke klinik untuk kali ke dua. Dia membawa anak bongsunya berusia 1 tahun. Anak bongsunya punya masalah besar.
Doktor kata dia menghidap Alagille Syndrome. Sejenis penyakit genetik yang tiada ubatnya. Sebulan sekali mesti kena masuk wad kerana kurang garam, kurang air, demam berulang dan sebagainya. Berat anaknya cuma 5 kg. Anaknya juga kuning satu badan. Ibarat dilumur dengan kunyit seluruh badannya. Aku sangat kagum dengan ibu ini. Cukup tabah menjaga dan mengurus anaknya ini. Dia datang ke klinik kerana nak suntik imunisasi Hepatitis B untuk anaknya. Apa perlu aku nasihatkan ****
Sebenarnya dah seminggu aku bercuti. Seminggu tak buka klinik. Seminggu tak tengok pesakit. Tapi bila buka klinik sahaja, inilah antara masalah-masalah pesakit yang aku kena hadapi. Walaupun mereka semua sekadar pesakit, dan tiada punya pertalian apa-apa dengan aku, masalah mereka sedikit sebanyak menjadi masalah aku juga. Aku dapat rasakan beban yang mereka pikul. Juga tekanan yang mereka hadapi.
Kita seharusnya bersyukur dengan apa yang kita ada. Jangan sesekali mengeluh dengan apa yang kita tiada. Kalau kita rasa ujian Allah ke atas kita sangat besar, orang lain diuji dengan ujian yang lagi besar.