Cabarannya banyak, dan boleh dilihat dalam pelbagai sudut. Contohnya peningkatan populasi bumi yang semakin meningkat. Di dalam buku karangan Laurence C. Smith bertajuk The World in 2050: Four Forces Shaping Civilizations Northern Future, populasi manusia pada tahun 2050 akan meningkat sebanyak 31% ataupun peningkatan daripada jumlah 7 bilion populasi sekarang kepada 9.2 bilion. Perpindahan manusia dari kawasan pendalaman ke kawasan bandar juga akan semakin meningkat.
Dijangkakan jumlah manusia yang akan menduduki kawasan bandar akan naik daripada 3.4 bilion kepada 6.4 bilion. Manakala penduduk dalaman akan semakin berkurang dari 3.5 bilion kepada 2.4 bilion.
Kesannya besar. Jika ramai manusia yang berpindah dari kawasan pendalaman ke kawasan bandar, secara tak langsung akan meningkatkan permintaan terhadap sumber elektrik, air dan minyak petroleum. Jumlah kenderaan bertambah. Jumlah karbon dioksida hasil keluaran asap-asap kenderaan juga akan memenuhi ruang atmosfera.
Pada masa itu permintaan makanan juga akan semakin meningkat. Perkara ini menjadi lebih rumit apabila penduduk di zaman sekarang tidak lagi menghasilkan makanan mereka sendiri seperti bercucuk tanam. Mereka bergantung sepenuhnya terhadap sistem bekalan makanan antarabangsa untuk mengagihkan makanan dan keperluan asas yang lain.
Jika sesuatu berlaku kepada sistem ini dimana tumbuh-tumbuhan diserang wabak penyakit tertentu, kesannya pasti di luar jangkaan (fatal). Ataupun berlaku kemarau yang dahsyat yang mebantutkan produksi bekalan makanan.
Senario lain seperti kesan pemanasan global juga menyebabkan banyak spesis-spesis binatang di kutub udara pupus. Pemanasan global berlaku disebabkan oleh peningkatan gas karbon dioksida dalam lapisan atmosfera.
Menurut Profesor Jared Leadbetter, iaitu pakar mikrobiologi alam sekitar dari Caltech, pada masa itu kerajaan di dunia akan membuat inisiatif untuk memenuhkan lautan dengan algae. Ini kerana algae akan menggunakan karbon dioksida bagi tujuan fotosintesis dan menghasilkan oksigen sebagai tukarannya.
Untuk menghasilkan algae, sejenis bahan iaitu besi perlu dilemparkan ke dalam laut. Tetapi sebaliknya ia mungkin merbahaya kerana lautan akan menjadi beracun dan bertoksid. Kepupusan besar-besaran mungkin akan berlaku kepada hidupan laut, sedangkan kehidupan manusia pula amat bergantung kepada lautan.
Eksperimen berkenaan hal ini juga pernah dilakukan. Jika besi dilontarkan kelaut untuk membiakkan algae dalam skala yang besar, sebahagian dari algae yang dibiakkan adalah spesis algae yang tak pernah disampelkan dalam sains! Kesan daripada penghasilan spesis algae yang belum pernah dijumpai ini mungkin membawa malapetaka yang tak pernah kita jangka.
Menurut seorang lagi pakar dari universiti yang sama iaitu Eliot Meyerowitz, jika sinaran ultra lembayung (ultraviolet) terkena pada algae, kesan mutasi boleh berlaku dan akan menghasilkan sejenis patogen yang boleh memusnahkan tumbuhan lautan.
Patogen ini boleh juga merebak ke daratan dan menyerang tumbuhan di daratan pula. Ini akan merosakkan pula tumbuh-tumbuhan yang menjadi bekalan makanan kepada manusia.
Oh, tapi bukankah penyakit tumbuhan hanya menyerang jenis-jenis tertentu saja dari dan bukan spesis yang berlainan Penyakit tumbuhan boleh dipecahkan kepada dua kategori, sama ada yang khusus (specialist) dan yang umum (generalist).
Kategori khusus mampu membunuh spesis tumbuhan yang diserangnya dalam skala yang besar, katalah sebanyak 99%. Keadaan ini berbeza dengan kategori umum, kerana walaupun penyakit umum menyerang spesis tumbuhan yang lebih banyak berbanding penyakit khusus, namun kesannya terhadap satu-satu spesis tumbuhan tidaklah sebesar penyakit khusus.
Namun dalam masa yang sama penyakit umumtetap boleh membawa ancaman yang besar sama seperti penyakit khusus. Bahkan pernah berlaku di dalam sejarah dunia. Keadaan mungkin lebih buruk jikalau ianya disebarkan pula oleh serangga-serangga tertentu yang akan menjangkiti tumbuhan.
Seagai contoh, kumbang Jepun (Japanese beetle) adalah serangga yang makan sekurang-kurangnya 200 spesis tumbuhan yang berbeza-beza spesis. Andainya serangga ini membawa patogen khusus bersamanya, patogen ini boleh menyerang tumbuh-tumbuhan yang bukan daripada spesis sepatutnya. Secara tak langsung patogen yang asalnya bersifat khusus kini menjadi umum.
Apa yang kami sebutkan ini hanyalah sebahagian kecil daripada banyak kemungkinan yang boleh berlaku kepada dunia pada masa akan datang. Pokoknya, apa jua usaha pencegahan yang cuba dibuat berkemungkinan tidak akan menyelesaikan masalah pada masa tersebut, sebaliknya membawa masalah-masalah yang lain pula.
Kita harus akur satu perkara. Sifat Bumi pada hari ini bukan lagi sifat ia seperti dulu. Dasar perindustrian secara besar-besaran di seluruh dunia telah mengubah landskap Bumi dari pelbagai aspek. Ini belum lagi dikira ancaman senjata nuklear.
Pada satu tahap, Bumi pasti tidak boleh diduduki lagi. Saintis memang selalu memikirkan pasal benda ini dan disebabkan itu usaha mencari planet kedua yang dapat diduduki Bumi memang giat dijalankan sekarang. Tapi kami tak mahu buat ulasan berkenaan perkara tersebut di sini.
Dalam bukunya Physics Of The Impossible : A scientific Exploration Into The World Of Phasers, Force Fields, Teleportation and Time Travel, Michio Kaku mengajak pembaca berfikir apakah akan berlaku kepada dunia pada berbilion tahun dari sekarang.
Beliau memberi sebuah senario di mana pada masa itu langit akan menjadi sangat panas kerana matahari mula memuntahkan kandungannya. Suhu bumi akan mencanak naik, lautan dan air-air sungai mendidih dan menyejat lalu meninggalkan permukaan bumi yang sangat kering, panas dan kontang. Keadaan pada waktu itu teramat panas bahkan gunung-gunung pun menjadi cair.
Manusia perlu bersedia dari sekarang demi kelangsungan bangsa dan spesis mereka. Ini kerana setiap kepada sesuatu mempunyai jangka hayatnya dan hayat bagi matahari dan galaksi bima-sakti (milky way) akan berakhir sekitar 10 bilion tahun daripada sekarang.
Apabila matahari mula kehabisan sumber hidrogen, jasadnya akan mengecut kerana ditarik oleh daya graviti di bahagian pusatnya. Pada masa ini ia akan berubah menjadi sejenis bintang dipanggil kerdil putih (white dwarf).
Manakala galaksi bima-sakti pula akan berlaga dengan galaksi jirannya iaitu Andromeda di mana bersaiz lebih besar daripada bima-sakti tadi. Dua lohong hitam di bahagian pusat kedua-dua galaksi akan saling menarik di antara satu sama lain dan membuat satu putaran maut yang akan menghancurkan isi-isi kedua-dua galaksi ini tadi.
Menurut Michio Kaku, tiada undang-undang fizik yang menghalang perkara ini berlaku. Bumi akan mati kebakaran dimamah sisa-sisa yang dimuntahkan matahari dan dijangka berlaku dalam masa 5 bilion tahun akan datang. Pada masa tersebut manusia hanya diberikan dua sahaja pilihan iaitu meninggalkan Bumi ataupun mati.
Bercadang untuk kekal di Bumi bukanlah solusinya. Dalam keadaan Bumi yang sudah huru hara, kematianlah jawapannya kepada sesiapa yang masih menetap di Bumi. Justeru untuk terus hidup mereka perlu lari meninggalkan Bumi. Maka, pada masa itu cerita-cerita manusia berhijrah ke planet yang baru bukan lagi cerita filem, sebaliknya benar-benar berlaku.