Tetapi bagi Einstein perkara ini mustahil. Ini kerana alam mempunyai banyak jisim-jisim daripada galaksi-galaksi, planet dan bintang-bintang. Menurut Newton, jika jisim wujud maka akan ada daya graviti. Jadi, mustahil alam ini akan statik kerana berkemungkinan besar ia sedang mengecut kerana objek-objek alam semesta saling tarik menarik antara satu sama lain.
Persoalan ini bukan baru, malah telah wujud sejak zaman Newton lagi. Seorang sami Kristian bernama Richard Bently telah menulis surat kepada Newton. Menurut Bently, jika teori graviti Newton benar maka alam semesta pasti sudah hancur.
Ini kerana alam semesta mempunyai trillion bintangbintang yang saling menarik dalam kalangan mereka. Jadi, bintang akan saling datang dekat antara satu sama lain dan berlanggar sesama mereka.
Alam ini sepatutnya musnah disebabkan pelanggaran yang berlaku antara bintang-bintang ini. Persoalan ini dinamakan sebagai Paradoks Bently (Bently Paradox) dan ia telah mengganggu gugat teori graviti yang diasaskan Newton dulu.
Newton membalas surat Bently dengan menjawab, alam ini mempunyai bilangan bintang yang stabil. Setiap bintang akan ditarik dalam banyak arah oleh bintang-bintang di sekelilingnya, jadi segala daya dibatalkan (cancel out).
Jawapan ini jawapan bijak, tapi Newton juga pasti cukup bijak untuk menyedari itu bukanlah jawapan yang tepat melainkan sekadar untuk melepaskan diri. Ia seperti juga house of cards, jika terdapat sedikit saja getaran akan meruntuhkan binaannya.
Sama juga halnya dengan bintang tadi. Sebarang gangguan, walaupun ia sangat kecil pasti akan mengganggu kestabilan graviti antara bintang dan menyebabkan alam ini musnah. Dalam hal ini, Newton mengakui peranan Tuhan yang akan campur tangan jika sebarang gangguan berlaku dalam sistem tadi.
Paradoks Bently bukan saja menggugat asas graviti Newton. Sebaliknya Einstein pun termenung jauh memikirkan pasal Paradoks Bently pada tahun 1916M.
Jika alam ini statik seperti dakwaan ahli astronomi, maka mesti ada sebuah daya yang melawan tarikan graviti di antara bintang-bintang tadi, fikirnya. Tapi hati kecil Einstein menyanggah dakwaan ahli astronomi zaman tersebut, kerana persamaannya menunjukkan alam ini sama sekali tidak statik.
Ia sangat dinamik sama ada mengembang atau mengecut. Untuk menyesuaikan persamaan beliau dengan data saintis pada masa tersebut, Einstein telah meletakkan pemalar kosmologi (cosmological constant) sebagai daya yang melawan tarikan graviti (anti-gravity force) bintang-bintang. Pemalar ini diletakkan supaya ia sesuai dengan dakwaan alam ini statik seperti yang disebut oleh ahli astronomi.
Ia bolehlah diumpamakan tenaga dalaman (latent energy) di alam semesta. Jika tidak kerana pemalar ini, maka alam ini sepatutnya hancur seperti yang didakwa Bently sebelum ini. Tapi apakan daya ahli astronomi berkeras mendakwa alam ini statik dan tidak berubah.
Namun pada tahun 1929M, Edwin Hubble telah mendakwa alam ini sebenarnya tidak statik seperti yang didakwa, sebaliknya sedang mengembang! Ini menunjukkan pemalar Einstein adalah kejadian realiti alam semesta.
Kerana seperti yang kami sebutkan tadi, pemalar ini adalah tenaga tersembunyi alam semesta yang melawan graviti objek-objek. Justeru, apabila Hubble mendakwa alam ini sedang mengembang, maka tidak lain lagi ia disebabkan oleh pemalar Einstein tadi!
Malah pada hari ini, pemalar tersebut adalah sumber tenaga terbesar di alam ini yang terdiri sebanyak 68%. Disebabkan jumlahnya lebih banyak daripada jirim gelap, maka ia tenaga yang lebih dominan. Sebagai tenaga yang bersifat anti-graviti, ia telah melawan daya tersebut dan menolak alam ini supaya bersifat dinamik dan mengembang.
Persoalannya sekarang, dari manakah pemalar Einstein datang Sampai ke hari ini tiada siapa pun yang tahu dan ada sebahagian saintis mendakwa ia disebabkan oleh tenaga gelap seperti yang kami sebutkan sebelum ini.
Jika ia benar, bermakna alam semesta mempunyai tenaga simpanan yang amat besar dan manusia akan dapat menggunakannya untuk manfaat mereka
Tenaga ini tentu bukan calang-calang tenaga sebabnya ia sangat kuat sampai boleh menolak galaksi-galaksi di alam semesta. Maka bayangkan jika manusia dapat menggunakannya untuk diri mereka. Cuma, buat masa ini cita-cita tersebut masih terlalu jauh untuk di fikirkan.
Tenaga gelap ini berada di mana-mana sahaja, bahkan di dalam bilik tidur dan dalam diri kita. Maka bayangkan saja betapa banyaknya tenaga gelap ini.
Sungguhpun kita boleh mendakwa kuasa tenaga gelap ini besar itu dan besar ini, namun tak ada siapa pun yang dapat mengira jumlahnya. Jika kita mengira, kesalahannya amat fatal sekali, atau sebanyak 10120 atau 100000 00000 00000 00000 00000 00000 00000 00000 00000 00000 00000 00000 00000 00000 00000 00000 00000 00000 00000 00000 00000 00000 00000 00000 percanggahan.
Ini merupakan kesalahan terbesar yang pernah wujud dalam sejarah manusia di antara teori dan hasil ekperimen. Dan perkara ini akan terus menjadi misteri entah sampai bila.
Kenapa tak boleh kira jumlah tenaga gelap
Jawapannya, tenaga gelap tidak boleh dilihat oleh mana-mana saintis. Sebabnya tenaga gelap muncul tanpa diketahui puncanya. Kita dapat rasakan kehadirannya melalui pengembangan alam, tetapi kita tak tahu di manakah ia dan bagaimana ingin mengesannya
Poinnya ialah, tiada siapa pun yang boleh mengira sesuatu yang tak boleh dilihat, dan inilah masalahnya. Perkara ini merupakan antara persoalan terbesar di dalam fizik moden hari ini.
Tidak ada teori yang boleh menjelaskan kejadiannya walaupun bukti eksperimen berlambak di sana-sini. Maka benarlah perumpamaan Allah mengenai ilmu manusia, bahawa ilmu Tuhan begitu luas umpama air laut. Yang diketahui manusia umpama mencelup jari ke dalam air laut tadi dan titisan hujung jari itulah umpamanya ilmu manusia.