FIZIK-LAH! - 56
Galaksi adalah sebuah sistem yang terdiri daripada bintang-bintang, gas-gas (terutamanya hidrogen), habuk-habuk dan jirim gelap yang mengorbit pada satu pusat yang sama. Kesemua unsur ini akan diikat oleh tarikan graviti. Setiap galaksi mempunyai jumlah bintang yang berbeza-beza. Ada yang mempunyai sejumlah 10 juta bintang, malah, ada galaksi yang menjangkau 10 trilian bintang!

Bumi berada di galaksi Bima Sakti (Milky Way). Bima Sakti terdiri daripada 200 bilion bintang dan matahari merupakan salah satu daripadanya.

Galaksi diumpamakan seperti pulau-pulau di alam semesta dan ia datang dalam pelbagai bentuk dan saiz. Hingga ke hari ini, saintis masih belum sepenuhnya pasti bagaimanakah galaksi dilahirkan dan mempunyai pelbagai bentuk tersebut.

Pada tahun 1936M, Edwin Hubble telah menyusun bentuk-bentuk galaksi di dalam susunan yang dikenali sebagai Hubble Sequence.

Susunan pertama adalah bentuk bujur (elips). Hubble menyusun bentuk-bentuk galaksi daripada bentuk bulat (E0) hinggalah yang bentuk yang paling bujur (E7). Galaksi yang berbentuk bujur mengisi 60% komposis di alam semesta. Galaksi bujur biasanya kabur dan tidak mempunyai bintang-bintang yang cerah.

Selepas itu, susunan seterusnya adalah bentuk lingkaran. Galaksi Bima Sakti adalah contoh galaksi berbentuk lingkaran. Berbeza dengan galaksi bujur, galaksi lingkaran sangat terang dan mempunyai banyak bintang-bintang yang cerah. Galaksi ini mengisi 20% komposisi di alam semesta.

Galaksi terdiri daripada beberapa komponen, iaitu cakera galaksi, kelompok globu dan halo.

Cakera galaksi terdiri daripada beberapa komponen lain pula iaitu nukleus yang menjadi pusat, bonjolan (bulge) yang berada di sekitar nukleus, dan lengan lingkaran (spiral arm) yang berlingkar hingga keluar daripada pusat galaksi. Sistem Solar kita terletak di lengan lingkarang ini. Galaksi bujur tidak mempunyai komponen cakera galaksi.

Seterusnya, kelompok globu. Kelompok globu adalah kelompok yang berada di bahagian atas dan bawah galaksi. Bintang-bintang yang berada di kelompok ini lebih tua berbanding bintang-bintang yang berada di cakera galaksi.

Akhir sekali, halo. Halo adalah kawasan yang kabur mengelilingi seluruh galaksi. Ia diperbuat daripada gas-gas yang panas dan kemungkinan juga daripada jirim gelap.

Galaksi-galaksi ini diikat oleh daya graviti. Disebabkan graviti berkadar secara langsung dengan jisim, tentuk kita membayangkan cakera galaksi adalah pusat graviti galaksi.

Tetapi hasil kajian astronomi mendapati ia tidak benar kerana pusat graviti didapati wujud pada komponen halo. Disebabkan itulah saintis mendakwa, kemungkinan jirim gelap berada di situ.