RETRO BOLA SEPAK - 56
Awal tahun 1980an...

Di sebuah sekolah...

Seorang budak gemuk sedang tekun dan leka menghadap sesuatu di atas mejanya.

Budak gemuk itu sedang berlatih mencacah tandatangan pada kertas. Penuh kertas tersebut dengan contengan. Ketika itu adalah kelas geografi dan guru yang mengajar bernama Puan Hepworth.

Perkara tersebut disedari oleh Puan Hepworth.

Kemudian Puan Hepworth telah bertanyakan sesuatu pada budak gemuk tersebut dalam nada sinis...

Apa tujuan kamu buat begitu, conteng tandatangan begitu banyak pada kertas. Soal Puan Hepworth.

Lantas budak gemuk itu pun menjawab.

Saya mahu menjadi pemain bola sepak profesional.

Jawapan penuh yakin si budak gemuk, analogi kepada kepopularan seorang pemain bola sepak profesional yang saban masa dikerumuni peminat yang mahu mendapatkan tandatangan.

Hanya satu dalam sejuta sahaja yang akan berjaya.

Sekali lagi Puan Hepworth seolah merendah-rendahkan hasrat budak gemuk tersebut.

Saya lah yang satu dalam sejuta itu!

Bersahaja sahaja budak gemuk itu menjawab.

Beberapa lama selepas itu....

Usai Piala Dunia 1990, budak gemuk itu telah dewasa, berhasrat ingin menemui bekas guru geografinya dahulu, Puan Hepworth.

Pemuda itu pergi ke sekolah dan mencari kelas di mana Puan Hepworth sedang mengajar.

Pintu kelas diketuk...

Puan Hepworth menjenguk dari jendela kelas, kelihatan seorang pemuda serba segak bersut kemas, dengan kuntuman senyuman dan sejambak bunga di tangan.

Puan Hepworth tahu, pemuda itu adalah budak gemuk yang dahulunya beliau tegur kerana begitu alpa menconteng kertas dengan tandatangan sendiri.

Saya tahu, maafkan saya.

Pendek jawapan Puan Hepworth sambil menguak pintu kelas lantas dipeluk erat pemuda tersebut. Seorang guru cukup terharu. Malu ada,, bangga pun ada. Malu kerana dahulu Puan Hepworth memperli budak gemuk itu, sedang dalam masa yang sama turut bangga kerana budak gemuk tersebut adalah anak murid beliau sendiri.

Budak gemuk itu dan rakan-rakannya telah buatkan satu negaranya senyum bangga dengan pencapaian yang mereka pahatkan di Piala Dunia 1990.