Nantilah ma, Fil fikirkan. Sahut Filman lemah. Dia bukan sengaja mahu menghalang Wirda bertemu Melia. Wanita itu lebih dari berhak bertemu anaknya sendiri. Hanya dia yang sengaja mengelakkan diri. Bimbang hatinya terpukul semula sebaik teringatkan bagaimana Wirda meninggalkan mereka suatu ketika dahulu.
Fil masih sayangkan Wirda Tengku Saida sengaja mahu menguji.
Filman diam. Sayangkah lagi aku padanya
Kalau tak sayang, masakan sampai sekarang Fil masih tidak mahu mencari pengganti Wirda. Dah lima tahun Fil hidup membujang. Ma rasa dah tiba masa Fil cari pengganti Wirda. Kalau susah sangat, biar ma yang tolong carikan gadis yang cantik-cantik untuk Fil. Ujar Tengku Saida.
Filman tetap membisu. Kata-kata ibunya ditelan dengan perasaan gusar. Dia benar-benar tidak tahu apakah bentuk perasaannya terhadap Wirda kini. Masihkah aku sayang dan cinta padanya seperti sewaktu kami sama-sama masih remaja dulu Kalau dulu, jawapan itu akan lebih mudah dijawab biarpun ketika itu Wirda lebih rapat dengan Firdaus berbanding dirinya. Sekarang semuanya sudah berbeza.
Suatu ketika dahulu, hubungan mereka cukup akrab. Wirda yang sebaya dengannya sering menghabiskan masa di rumahnya setiap kali cuti sekolah. Ketika itu Wirda berusia belasan tahun dan dihantar belajar di sebuah sekolah berasrama penuh. Setiap kali cuti hujung minggu, gadis itu akan pulang ke rumahnya menghabiskan masa. Lagipun itu adalah permintaan Tengku Hussain yang kebetulan merupakan sepupu ayahnya sendiri. Tengku Hussain merupakan seorang arkitek terkenal yang kini menetap di Australia sebaik berkahwin dengan wanita dari Australia bernama Gweneth, ibu tiri Wirda.
Kedegilan Wirda untuk tidak mahu mengikuti ayah dan ibu tirinya membuatkan Tengku Hussain terpaksa bermanis muka meminta keluarga Tengku Amar mengawasi anaknya di sini. Dan bermulalah kehidupan gadis itu di rumahnya, di sisinya.
Kali pertama dia menatap wajah Wirda, hatinya sudah terpaut. Tapi ketika itu dia adalah anak muda yang lebih suka memendam perasaan. Lantaran itu, Wirda lebih rapat dengan Firdaus yang peramah berbanding dirinya.
******
Sejak kecil, Firdaus melebihinya dari segenap segi. Abangnya itu merupakan anak emas ayahnya dan sering cemerlang di dalam pelajaran. Dan kerana karisma yang ada pada abangnya itulah yang membuatkan Wirda lebih berminat dengan Firdaus berbanding dirinya. Kecewa dengan perhubungan antara kedua-duanya, maka dia bersetuju menyambung pelajaran ke luar negara dan mendalami ilmu guaman yang ditetapkan oleh ayahnya sejak azali.
Berita akhir yang sampai ke telinganya, Firdaus dan Wirda sudah bertunang dan akan melangsungkan perkahwinan hujung tahun itu. Dia pula belajar merawat sekeping hati yang terluka.
Sehinggalah pada suatu hari, berita yang amat mengejutkan itu sampai. Hancur luluh hatinya membaca telegram yang ibunya kirimkan. Berita kematian Firdaus adalah berita duka yang menyiat-yiat tangkai hatinya. Malah ketika itu dia menyimpan perasaan marah pada ayah dan ibunya sendiri kerana dia diberitahu hanya selepas dua minggu kematian Firdaus. Dia ingin pulang ke tanah air namun dihalang keras oleh ayahnya sendiri. Maka diamlah dia di bumi UK dengan perasaan marah yang membuak-buak.
Selepas menghabiskan peperiksaan semester akhirnya, dia masih belum mengemaskan barang-barangnya untuk pulang. Hatinya ketika itu benar-benar merajuk panjang dengan ayahnya. Kalau bukan kerana panggilan telefon dari ibunya menyusul, tak mungkin dia akan pulang ke Kuala Lumpur ketika itu. Dan satu-satunya sebab kenapa dia pulang adalah kerana Wirda.
Selepas kematian Firdaus, Wirda menjadi pemurung. Dia tahu cinta Wirda pada Firdaus tidak pernah surut. Dia juga tahu kekecewaan yang bersarang di hati Wirda, adalah sebesar kekecewaannya kerana gagal meniup perasaan cinta Wirda di hatinya suatu ketika dahulu.
Mungkin aku yang salah! Bisik hati kecil Filman secara tiba-tiba. Kekesalannya bercambah dan berakar umbi. Dia tahu hati dan cinta Wirda hanya untuk Firdaus. Namun kerana cintanya yang mendalam, dia seakan tidak ambil peduli lalu melamar Wirda menjadi surinya sebagai ganti Firdaus. Ketika itu dia yakin, dia akan mampu membahagiakan Wirda seperti mana Firdaus. Baginya, kasih dan cintanya juga tidak kurang hebat berbanding abangnya sendiri.
Tapi ternyata dia gagal membahagiakan Wirda meskipun selepas kelahiran Melia Alina. Walaupun Wirda tidak pernah mahu berterus-terang dengannya, namun dia tahu, pemergian Wirda dari hidupnya adalah kerana Firdaus. Dan cintanya sekali lagi kalah pada Firdaus, meskipun dia bersaing dengan seseorang yang sudah lama mati!
Seorang wanita berketurunan Cina menolak daun pintu lalu melangkah masuk ke dalam wad kelas satu yang dihuni seorang lelaki. Melihat lelaki itu terbaring dengan mata terpejam rapat, dia hanya mampu menggelengkan kepalanya.
bersambung
Bab akan datang:
Siapa yang terlantar di wad tersebut