DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 57
Pagi hari Isnin. Berikut antara 4 orang pesakit terawal aku. Yang pertama, baru balik dari kampung di Gemencheh. Ada majlis kerja kahwin di sana. Pagi ini tak larat nak pergi kerja. Badan semua sakit-sakit. Yang kedua, petang semalam dapat duit BR1M. Malam tadi belanja abang makan luar. Pagi ini rasa macam nak demam pula. Yang ketiga, malam tadi pergi makan kat KFC. Ada kawan belanja. Pagi ni cirit-birit pula. Yang keempat, semalam pergi berkelah di Air Terjun Kota Tinggi. Pagi ini sakit pinggang. Kepala pun sakit. Keempat-empat mereka adalah lelaki-lelaki gagah. Kesemuanya warga tempatan. Kesemuanya sering juga datang ke klinik aku. Dan kesemuanya berani minta MC dengan aku. Di pagi hari Isnin.

Tiga pesakit berikutnya. Semuanya warga Nepal. Datang dari kilang yang sama. Yang pertama, dah 2 minggu sakit perut. Yang kedua, dah seminggu demam tak baik-baik. Yang ketiga, luka tercucuk besi masa kerja malam tadi. Ketiga-tiganya masih muda belia. Dah 3 tahun kerja di sini. Tapi, tak seorang pun minta MC dengan aku. Semuanya nak ubat sahaja. Semuanya nak kerja.

Kalau aku katakan, pekerja Malaysia ni ramai yang pemalas. Pekerja Malaysia ni ramai kuat curi tulang. Pekerja Malaysia ni ramai kaki MC. Agak-agak berapa orang yang setuju dengan aku

Aku tak suka kerja hari Isnin. Aku tak suka masuk klinik hari Isnin. Tak ramai orang sakit di klinik. Ramai yang muda belia, ramai yang sihat walafiat, ramai yang sekadar nak MC sahaja. Lepas tu menipu depan doktor. Lepas tu berlakon depan doktor. Lepas tu buat cerita-cerita sedih depan doktor.

Dulu aku rajin melayan manusia sebegini. Dulu aku rajin beri tazkirah. Dulu aku rajin beri nasihat. Tapi dah 18 tahun menghadap benda yang sama aku dah jadi malas. Malas nak bergaduh dengan pesakit. Malas nak bertekak dengan pesakit. Malas nak berdebat dengan pesakit. Kalau aku rasa nak beri MC aku beri. Kalau aku rasa tak nak beri, aku beri surat akuan sahaja. Nak bertekak kat luar sana, nak memaki hamun kat luar sana, nak lempar ubat kat luar sana, nak ugut tunggu kat tempat parking, aku dah tak peduli. MC bukan hak pesakit. MC bukan hak majikan. Selalu aku berfikir, kenapa bangsa kita tak majumaju Kenapa bangsa kita masih nak mengharap BR1M

Aku pernah hidup susah. Aku pernah rasa kerja kilang. Aku pernah rasa lapar dan takda duit. Tapi semua kesusahan itu, mengajar aku erti kehidupan sebenar. Tetapi orang-orang seperti ini rasanya tak pernah hidup susah. Kerja lebih sikit dah mengeluh. Kerja susah sikit dah mengeluh. Sakit sikit nak pergi klinik. Sakit sikit dah nak ambil MC. Tengoklah mamat Indonesia, Bangla dan Nepal. Bersusah payah datang cari kerja di sini. Kerja setiap hari tanpa henti. Kerja susah dan berat dengan gaji kecil. Tapi jarang yang mengeluh.

Kadang-kadang aku malu dengan diri sendiri sebab aku pun asyik mengeluh juga. Kerja lebih sikit dah bising. Pesakit ramai sikit dah bising. Pesakit datang lewat dah bising. Pesakit datang awal pun bising. Syukur alhamdulillah. Syukur aku masih ada kerja. Syukur aku masih ada pesakit. Syukur aku masih ada MC untuk disain.