FIZIK-LAH! - 58
Tiada manusia di dunia ini dapat menyaksikan proses kelahiran dan kematian bintang. Ini kerana proses tersebut memakan masa bukan 10 tahun atau 20 tahun, tetapi berjuta malahan berbilion tahun!

Jadi, siapakah manusia yang pernah hidup selama berjuta dan berbilion tahun Jawapannya tidak ada. Jika tiada manusia yang hidup selama berjuta atau berbilion tahun, bermakna tidak ada manusia yang berpeluang menyaksikan proses penuh kelahiran dan kematian bintang.

Sungguhpun begitu, ahli astronomi mempunyai teori yang kukuh dan teruji ketepatannya mengenai proses bintang-bintang dilahirkan dan dimatikan. Persoalannya, bagaimana saintis tahu akan kejadian yang berlaku berbilion tahun lepas

Jawapannya pada berbilion bintang-bintang yang terdapat di angkasa raya. Ia memberikan contoh dan teladan yang cukup kepada saintis untuk menggambarkan proses kelahiran dan kematian bintang.

Seumur hidupnya, bintang mengalami proses pelakuran nuklear (nuclear fusion) yang menukar gas-gas hidrogen kepada gas-gas helium. Proses ini dinamakan juga sebagai pembakaran teras-hidrogen dalam istilah astronomi.

Proses pelakuran adalah proses gabungan beberapa nukleus atom lalu membentuk nukleus atom yang baru. Perbezaan jisim antara nukleus atom yang digabungkan ini telah melepaskan sejumlah tenaga yang besar.

Dalam astronomi, istilah pembakaran selalunya bermaksud proses nuklear. Sistemnya macam sistem relau yang membakar yang biasanya digunakan dalam industri barangan tanah liat.

Bintang mempunyai dua tekanan yang saling mengimbangi antara sau sama lain. Keseimbangan antara dua tekanan ini dikenali sebagai keseimbangan hidrostatik (hydrostatic equilibrium).

Dua tekanan yang dimaksudkan adalah tekanan tolakan dan tekanan tarikan. Tekanan tolakan dihasilkan oleh proses pelakuran nuklear. Tekanan tarikan pula dijana oleh daya graviti. Kedua-dua daya ini saling mengimbangi antara satu sama lain. Perubahan pada satu bahagian akan menyebabkan perubahan berlaku pada bahagian yang lain.

Kebiasaannya, perubahan drastik tidak selalu berlaku pada bintang. Keadaannya stabil dan seimbang kerana faktor keseimbangan hidrostatik tadi. Suhu permukaan bintang seperti matahari biasanya malar, namun kecerahannya (luminosity) bertambah apabila dimamah waktu.

Sebagai contoh, suhu matahari adalah sama sejak 5 bilion tahun yang lampau. Namun, kecerahannya telah meningkat sebanyak 30 kali ganda lebih terang daripada yang sebelumnya.

Apabila proses nuklear pada bintang semakin lama berlaku, sumber bakarnya iaitu gas hidrogen semakin berkurangan. Selepas 10 bilion tahun akan datang, kandungan gas helium akan bertambah dengan pesat di bahagian pusatnya. Pada masa ini, suhu matahari berada di paras tertinggi dan proses pembakaran nuklear berlaku pada kadar terpantas.

Tanpa proses pembakaran, daya tolakan pada bintang akan semakin berkurang. Tetapi ini tidak berlaku pada daya graviti bintang. Seandainya berlaku perubahan pada proses pembakaran walaupun sedikit, ia akan menyebabkan matahari mengecut dan perubahan signifikan akan berlaku kepada struktur bintang tadi. Apabila gas hidrogen terus digunakan, pusat bintang akan semakin mengecut dan kadar pengecutannya meningkat apabila gas hidrogen tidak lagi wujud di bahagian pusatnnya.

Apabila tiada lagi proses pembakaran, Matahari akan menjadi sejuk dan pengecutan itu membuatkan saiz Matahari mengecil. Pada berbilion tahun akan datang, Matahari akan bertukar menjadi bintang kerdil putih (white dwarf).