DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 59
Seorang wanita berusia awal 30-an dirujuk ke klinik kerajaan oleh doktor klinik panel.

Ada bengkak atau ketumbuhan di lehernya. Dia dah 4 kali berulang-alik ke hospital. Ambil darah setiap kali ada temu janji. Tetapi sampai sekarang tak tahu apa penyakitnya. Kini dia dapat tarikh temu janji baru. Nak kena buat x-ray katanya. Hampir pukul satu tengah hari dia sampai di klinik aku. Dah setengah hari tunggu di klinik kerajaan. Masih tiada keputusan. Langsung tiada ubat. Dan tujuannya datang cari aku, doktor di klinik kerajaan tak nak beri dia MC. Walaupun daripada 7 pagi dah berada di hospital. Dia masih tak layak dapat MC.

Aku memang pantang orang datang cari MC. Aku memang akan tanya macam-macam. Aku memang tak nak senang buat duit. Biar mereka kata soalan doktor macam inspektor polis. Biar mereka kata soalan doktor macam peguam pendakwa. Yang penting aku nak justifikasi pemberian MC aku.

Aku rasa bengkak tu datang daripada kelenjar tiroidnya. Bukan yang merbahaya, bukan yang boleh jadi kanser. Mungkin lemak ataupun lendir sahaja, sebab itu doktor kata takda ubat. Sebab itu doktor kata tak merbahaya. Tapi kalau dah tahu macam tu, tak payahlah beri temu janji setiap bulan. Discharged sahaja. Ini asyik ambil darah. Naik rimas pesakit itu dibuatnya.

Lalu aku sekolahkan kakak ni sekejap. Beri dia kefahaman tentang penyakitnya supaya dia tidak tertanya-tanya. Supaya dia tidak membuang masa menunggu berjam-jam di klinik. Tetapi tiada hasilnya.

Seorang lagi pesakit lelaki. Dah punya 3 anak. Punya masalah yang sama. Kena berulang-alik ke klinik kerajaan. Doktor kata kepala anaknya berusia 6 bulan besar sangat. Nak kena rujuk klinik pakar. Nak kena buat CT Scan. Tetapi anaknya sihat walafiat. Takda apa-apa masalah. Mungkin doktor tu tak tengok kepala anak sulungnya. Mungkin doktor tu tak tengok kepala bapaknya. Kedua-duanya berkepala besar. Dah genetiknya begitu, nak buat macam mana. Isterinya dah gelisah sebab dah banyak sangat baca di Dr Google. Semuanya perkara-perkara negatif. Hydrocephalus, kena operation dan bubuh tiub ke perut. Yang ni pun nak kena sekolahkan juga. Ada banyak lagi cerita. Kisah doktor-doktor baru yang kurang pengalaman. Merawat pesakit ikut sangat skema buku teks.