Gadis Kebaya Merah - 6
BAB 6

KUDIN bekerja seperti biasa di pejabat. Kuyah yang membancuh air juga bersikap seperti biasa. Kusha pula mula memerhati tingkah Kudin. Dia tahu lambat laun Kudin akan tahu juga nanti tentang hal penyelewengan duit syarikat. Kudin bukan bodoh!

Hari itu, Kudin seharian menyelongkar segala fail tentang syarikat dan juga fail kewangan. Memang dari semalam, dia perasan ada akaun yang tidak sama dengan jumlah keluar masuk. Dia perlu tahu semua itu untuk bukti bagi mendakwa sesiapa yang mengambil duit syarikat. Dan yang paling penting, siapa dalang di sebalik pembunuhan Tengku Muzafar seperti yang diberitahu Kuyah semalam.

Dia pasti, Kuyah berkata benar. Semua itu perlu disiasat. Mana-mana fail yang dibelek dan boleh dijadikan bukti, dia perlu simpan di tempat yang selamat.

"Hmm....macam ada yang tak kena.." Kusha mengintai dari pintu cermin yang hanya tertutup sedikit. Dia nampak Kudin begitu bersungguh membelek fail kewangan syarikat.

Kusha menelefon seseorang. Dia kemudian menapak masuk ke biliknya.

Kuyah masih memerhati Kusha dari bilik pantri. Dia tahu tentu Kusha ada kaitan dengan kematian ayah. Sejak dulu lagi, mak selalu cerita Puan Karina hanya inginkan harta ayah dan membuat fitnah pada mak sehingga mak diceraikan oleh ayah dan hidup merempat di kawasan setinggan. Lebih parah, mak bernikah pula dengan kaki mabuk! Geramnya pada ayah tiri masih melekat. Mak menderita kerana hidup bersama seorang kaki mabuk dan sering memukul mak tak kira masa. Malah bila ayah tirinya dapat tahu mak adalah bekas isteri Tengku Muzafar, dia ugut mak supaya meminta wang dari Tengku Muzafar.

"Aku kena tolong abang Kudin." Kuyah masuk semula ke dalam bilik pantri.

"Err..tolong buat air untuk saya ya." Kudin muncul di muka pintu sambil tersenyum.

Kuyah turut senyum. Dia cepat-cepat bancuh air kopi dan hulur kepada Kudin.

"Ada perkembangan" Kudin berbisik sebaik Kuyah hulur air kepadanya.

"Tadi..saya nampak Kusha mengendap bilik abang dan lepas tu dia call seseorang.." Kuyah beritahu apa yang dilihat tadi.

"Tak apa..nanti kita siasat lagi...kalau boleh perhatikan dia. Oh ya, malam nanti, abang ada hal sikit. Lepas kerja ni kita ambil sampul, Kuyah balik dulu..." Terang Kudin sebelum berlalu pergi. Dia sudah berjanji dengan Ana Dahlia berjumpa di Restoran Cinta Sayang.

Kuyah hanya mengangguk.

MALAM itu, Kudin bergegas ke restoran yang dijanjikan. Dia sudah sedia dengan syarat yang perlu dipatuhi oleh Ana Dahlia nanti.

Sampai di restoran, dia mula duduk di meja kosong dan menunggu di situ sebelum memesan makanan. Pelayan restoran itu tersenyum melihat Kudin seorang diri di situ.

"Abang nak order apa-apa"

"Err..belum lagi." Kudin senyum.

"Abang tunggu kekasih hati ke" Ramah pelayan itu bertanya.

"Aarr...ya..ya.." Tergagap-gagap Kudin menjawab. Ah! Yakan sajalah!

"Baiklah...saya datang lagi bila abang dah sedia nak order makanan."

Kudin melihat pelayan itu mula berlalu pergi. Dia sengih. Kalau betul aku dan Ana Dahlia tu bercinta..okey juga. Dari jauh dia melihat Ana Dahlia sudah menapak ke arahnya. Kali ini gadis itu dilihat memakai blaus dan seluar jeans. Rambut masih ditocang satu dengan riben kuning pula kali ini diselit di situ. Berlainan sekali dari hari itu. Nampak moden..ala gadis KL.

"Dah lama tunggu" Ana Dahlia melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Kudin.

"Baru je.." Kudin melemparkan senyuman manis.

"Hmm..apa syarat tu" Cepat saja Ana Dahlia bertanya.

"Eh, kut ya pun tunggulah dulu. Makan dulu ke..borak ke apa ke.." Kudin panggil semula pelayan tadi.

Mereka berdua mula memesan makanan. Setelah makanan tiba, Kudin mula menikmati nasi goreng yang dipesan tadi. Air cinta dan puding karamel sayang tu memang percuma. Ana Dahlia sesekali menjeling Kudin yang begitu berselera menjamah makanan. Dia mula menikmati mi goreng yang dipesan tadi.

"Hmm...apa dia syarat tu Ulang Ana Dahlia lagi sebaik mereka habis makan.

"Ni.." Kudin hulur sekeping kertas.

Ana Dahlia baca apa yang ditulis di atas kertas itu sambil menghirup jus lemon. Dahinya sudah berkerut. Tersedak bila membaca syarat ke lima. Air diminum tadi sudah tersembur.

"Kenapa" Kudin sapu bajunya yang terkena jus lemon tadi.

"Syarat ke lima ni..kenapa pelik sangat" Ana Dahlia pandang Kudin tidak berkelip.

"Okey la tu..awak tak nak jadi kekasih celup saya" Kudin sengih.

"Untuk apa"

"Kalau awak sanggup jadi kekasih celup saya..saya akan naikkan gaji awak selepas dua bulan awak bekerja. Macam mana" Kudin kenyit mata.

"Saya tak kisah pasal duit tapi saya nak tahu, kenapa" Ana Dahlia mengetap bibir.

"Saya nak awak ikut saya ke kampung saya. Nenek saya asyik tanya je pasal nikah..jadi bila saya bawa awak balik kampung, nenek saya tak bising lagi dah." Terang Kudin. Dia sebenarnya nak tayang pada Senah supaya Senah tidak lagi menaruh harapan padanya.

"Okey..saya setuju tapi saya juga ada syarat." Ana Dahlia habiskan jus lemon.

"Apa dia"

"Saya nak awak rahsiakan dari orang lain. Hanya nenek awak saja yang tahu. Di luar sana, kita orang asing. Hanya depan nenek awak saja, kita berlakon. Boleh" Ana Dahlia pandang Kudin yang sudah berkerut kening.

"Baiklah.." Kudin setuju.

"Satu lagi, kita hanya berlakon sekejap saja..maybe..sebulan"

"Okey!"

Ana Dahlia senyum. Dia terpaksa terima syarat Kudin. Dia perlu bukti dalam siasatannya. Selepas makan, Kudin dan Ana Dahlia mula meninggalkan restoran.

SAMPAI di rumah, Kudin jenguk bilik Kuyah. Kuyah dilihat sudah tidur di situ. Dia lihat jam. Hampir sebelas setengah malam.

Bermakna lama juga dia berbual dengan Ana Dahlia tadi. Dia senyum sendiri. Ana Dahlia terima syaratnya tadi. Lega..

Kudin mula membersihkan diri. Dia solat Isyak dan mula baring di sofa. Fikirannya mula melayang pada wajah manis Ana Dahlia.

Hatinya berdegup kuat. Aku dah jatuh cinta ke apa Kudin pegang dadanya sendiri. Terasa debaran yang bergetar. Dia mengiring ke kiri pula. Wajah Ana Dahlia masih bermain di benaknya.

"Haih..apa hal dengan aku ni" Kudin bingkas bangun. Dia masuk ke dapur dan mengambil segelas air. Dia kembali ke ruang tamu semula. Matanya cuba dipejam.

KUYAH masih terkebil-kebil dalam bilik. Entah mengapa malam itu, dia tidak boleh melelapkan mata. Pusing kiri dan kanan, masih tidak boleh tidur. Sesekali dia melihat jarum jam. Sudah hampir satu pagi. Dia tarik selimut cuba menutup matanya, tiba-tiba dia melihat ada kepulan asap di tingkap biliknya. Asap itu menyelinap masuk ke dalam bilik. Kuyah masih kaku di situ. Matanya melekat pada kepulan asap tadi. Kali ini kepulan asap tadi sudah membentuk tubuh manusia. Kuyah menelan liur. Dia genyeh-genyeh matanya berkali-kali.

Jelas dia melihat kepulan asap tadi sudah bertukar menjadi seorang perempuan yang memakai kebaya merah sedang tersenyum kepadanya. Perempuan itu menghampirinya dan duduk di sebelahnya di birai katil.

"A..a..awak siapa" Terketar-ketar Kuyah bertanya.

"Aku gadis teraniaya. Aku nak kau tahu yang jasad aku telah dipuja dan aku datang pada kau supaya kau boleh tolong aku. Tolong aku.." Gadis kebaya merah itu mula menangis.

"Tolong apa" Kuyah masih terpinga-pinga.

"Tolong kebumikan aku dengan cara baik. Aku terseksa dan sekarang ini ada orang gunakan jasad aku untuk kepentingan sendiri. Aku teraniaya. Aku dibunuh dengan kejam. Tolong aku..." Gadis kebaya merah itu merayu lagi.

Kuyah menelan liur. Mukanya sudah pucat.

"Tolong..tolong.."

Kuyah masih kaku di situ. Gadis kebaya merah tadi sudah bertukar menjadi asap semula dan hilang melalui celah tingkap. Terpaku Kuyah di situ melihat kejadian yang berlaku di depan matanya tadi. Dia genyeh lagi mata..benar! Dia tidak bermimpi! Baru dia tersedar, gadis itulah yang memberinya sampul itu dulu! Rupa gadis itu sama dan apa yang jelas, kebaya merah itulah yang dipakai oleh gadis itu pada malam itu. Tidak syak lagi! Terus saja selimut ditarik dan dia selimut lingkup sehingga ke pagi.

PAGI lagi Kuyah sudah ke pejabat menaiki teksi. Kudin pula seperti biasa menunggang motorsikalnya. Mereka tidak boleh dilihat ke pejabat bersama.

Kuyah termenung seketika di bilik pantri. Mimpi malam tadi yang membuatnya merasa tidak sedap hati. Rasa menggigil masih belum hilang. Apa yang lebih teruk, dia dapat rasa gadis kebaya merah itu betul-betul menyelinap masuk ke biliknya. Apakah yang berlaku sebenarnya Kenapa gadis itu merayu supaya dia dibebaskan dari orang yang memuja mayatnya Adakah gadis kebaya merah itu dibunuh dengan kejam Perlukah aku beritahu semua ini kepada abang Kudin

"Woi! Kat pejabat ni bukan dibayar gaji buta!" Sergah Kusha. Kuyah dilihat sudah mengelamun di situ.

Kuyah berpaling. Kusha dilihat sudah menyinga di muka pintu bilik pantri. Meluat melihat wajah garang perempuan itu walaupun ada pertalian darah dengannya. Sungguh meluat! Berlagak!

"Err..puan nak kopi ke" Kuyah cuba mengorak senyum.

"Aku boleh bancuh sendiri. Bukan boleh percaya dengan kau ni!" Kusha tepis bahu Kuyah yang berdiri di tepi meja. Dia capai cawan dan mula menuang air panas. Matanya melirik pada gadis kampung tadi.

"Mana kopi" Kusha cari bekas kopi di dalam kabinet almari.

Kuyah cepat-cepat ambil dari atas kabinet. Tadi dia masukkan serbuk kopi baru. Bekas itu dihulur kepada Kusha.

"Buat apa kau simpan kat situ " Kusha mengetap bibir. Dia membancuh kopi dengan kasar. Siap membancuh, dia terus keluar dari situ.

Kuyah hanya memerhati gelagat Kusha yang sudah ke biliknya semula. Dia mula menghubungi seseorang.

SEMENTARA ITU, di bilik Kudin, dia masih sibuk membelek fail dan kerja-kerja lain yang perlu dibereskan hari itu. Ketukan di pintu bilik jelas kedengaran. Dia mendongak bila pintu dikuak perlahan. Senyuman di bibirnya mula terukir lebar.

"Saya nak lapor diri bekerja hari ni encik." Ana Dahlia berjalan perlahan menuju ke meja Kudin.

"Awak nak kerja bahagian mana" Soal Kudin. Fail dan surat yang dihulur Ana Dahlia tadi disambut dengan sebuah lagi senyuman.

"Err..itukan encik yang kena tentukan. Saya hanya ikut arahan." Ana Dahlia masih berdiri di depan Kudin.

"Baiklah..saya nak awak kerja di pejabat saya ni." Kudin sengih.

"Hah Pejabat ni" Terkejut Ana Dahlia.

"Maksud saya, meja awak di sebelah cik Hetty tu. Cik Hetty tu perlukan seorang pembantu." Kudin sengih lagi. Saja dia tempatkan gadis itu di situ. Mudah untuknya memerhati apa yang gadis itu buat selama berada di pejabat.

Ana Dahlia tunduk. Dia mula menggumam sendiri. Sukar untuknya menyiasat sekiranya dia berada di pejabat Tuan Pengarah. Ingatkan dia ditempatkan di bahagian lain.

"Awak boleh kerja sekarang." Kudin letak fail dan surat yang dihulur Ana Dahlia tadi di atas rak fail.

Ana Dahlia mula menapak keluar. Terpaksa dia terima semuanya. Syarat Kudin perlu dipatuhi selagi dia bekerja di situ dan bila kes selesai, dia akan berhenti. Itu juga dipersetujui oleh Detektif Razif.

Kudin senyum melihat gadis itu sudah melangkah dan mula duduk di meja kosong sebelah meja Hetty. Dari bilik pejabatnya, dia boleh melihat gadis itu dengan jelas melalui cermin dinding. Dia menyambung kerja. Seketika kemudian, Kuyah membawa masuk secawan kopi kepadanya. Sempat dia bertanya hal Kusha dari Kuyah.

"Dia macam ada sesuatu yang dirahsiakan." Kuyah mula buka cerita.

"Hmm...kita kena hati-hati. Err..boleh abang tahu, siapa yang Kuyah selalu call tu" Kudin teringat Kuyah dilihat selalu menghubungi seseorang.

"Oh..itu. Dialah bos tak bertauliah Kuyah. Kuyah bekerjasama dengan dia dalam mencari bukti pembunuhan ayah." Kuyah menjelaskan perkara sebenar.

"Siapa"

"Maaf bang..Kuyah tak boleh beritahu. Dia nak Kuyah rahsiakan. Ini sulit." Kuyah sengih.

"Okey..tapi ingat, jangan terjerumus dalam geng penyangak sudah." Kudin beri nasihat. Dia lebih tahu dunia KL.

Kuyah minta diri. Dia tidak boleh berlama di dalam bilik Kudin.

Kudin masih memikirkan kata-kata Kuyah tadi. Bos tak bertauliah Siapa agaknya Fikirannya melayang pula pada Kusha yang cukup licik. Kusha sentiasa dilihat melakukan sesuatu tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu. Teringat sampul yang diambil di rumah Kuyah semalam. Dia buka laci dan mula membaca isi kandungan surat itu. Dalam surat ada dinyatakan semua bukti yang boleh didapati di dalam pejabat itu tetapi semuanya masih di dalam bilik Kusha. Dan apa yang membuatnya cukup terkejut, rupanya arwah ayahnya dibunuh dengan cara cukup menakutkan. Arwah ayah disihir sehingga mati!

Kudin baca lagi. Dia perlu tahu siapa punya angkara.

"Kampung Pinang Patah Macam mana dia tahu kampung aku Siapa bomoh yang dimaksud ni" Kudin sudah bingung. Jelas dalam surat itu, bomoh yang menyihirkan arwah ayah adalah datang dari kampungnya sendiri yang diarahkan oleh seseorang.

"Aku perlu siasat. Hmm..minggu depan aku kena balik kampung. Boleh ajak minah tu sekali." Kudin senyum sendiri. Surat itu dilipat dan disimpan dalam laci yang berkunci.

KUSHA henyakkan tubuhnya di kerusi. Sejak Kudin dan gadis pembancuh kopi itu bekerja di syarikat itu, dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka. Dia perlu berhati-hati dengan mereka berdua. Orang yang diupah untuk menyiasat tentang keadaan mayat yang dibuang di sebuah kampung terpencil dulu tu sudah banyak memberi maklumat kepadanya.

"Aku kena jumpa dia. Aku nak tahu macam mana mayat tu boleh hilang! Kalau sudah terbenam dalam kolam tu, okeylah jugak. Kalau ada orang ambil, tentu segala kegiatan dan rahsia aku terbongkar." Kusha genggam kedua tangannya. Dia segera menghubungi seseorang.

Habis kerja Kusha segera ke tempat yang dijanjikan. Dia perlu jumpa juga. Lama dia menunggu di sebuah restoran. Matanya meliar melihat kelibat orang yang ditunggu itu.

"Hmm..datang pun dia ni!" Kusha mencebik. Dia lihat jam. Sudah setengah jam dia menunggu.

"Maaf cik Kusha. Sesak teruk tadi." Zarina melabuhkan punggung di kerusi.

"Aku nak tahu, macam mana kes tu Kau dah tahu siapa yang curi mayat tu" Kusha terus bertanya.

"Saya syak seorang perempuan tua di hujung kampung. Ada karung guni di bawah rumah dia tapi ada masalah sikit." Zarina jelaskan kepada Kusha.

"Masalah apa"

"Ada empat ekor manusia ni yang sibuk mengendap rumah orang tua tu. Nampaknya mereka seperti tahu dalam karung guni tu ada mayat." Zarian teringat semasa perjalanannya ke rumah Mak Jemah, dia terserempak dengan empat sahabat itu.

"Kau kenal siapa"

"Tak tahu tapi there was a rose among the thorns!" Zarina sengih. Memang ada seorang gadis bersama tiga lagi lelaki lain dan yang membuatnya terima kerja itu, dia sudah terpaut pada salah seorang lelaki itu.

"Siapa" Kusha tidak sabar.

"Hoi! Aku tanya ni! Berangan pulak dia ni!" Kusha tepuk meja dengan kuat.

"Hah Err...siapa..siapa" Zarina menggelabah.

"Kau ni tak boleh harap langsung! Atau kau dah tangkap cintan dengan mamat kampung tu" Teka Kusha.Riak Zarina seperti orang angau.

Zarina diam. Dia tunduk.

"Aku nak kau pergi semula ke kampung tu dan cari mayat tu sampai dapat. Lepas tu, kau hapuskan mayat tu!" Kusha lempar satu sampul surat yang berisi wang ke atas meja. Dia terus beredar dari situ.

Zarina mencebik. Huh! ingat dia tu kaya sangat! Berlagak je lebih! Kalau tidak kerana wang, dia juga tidak ingin menyiasat semua tu. Sudahlah kena cari mayat lagi. Seram bulu roma bila mengingatkan apa yang dilihat malam itu di rumah Mak Jemah. Sengaja dia keluar malam-malam untuk menyiasat. Siang hari, bimbang orang kampung perasan pula kehadirannya di kampung tu.

"Hmm..kenapa aku tak tanya siapa nama lelaki tu Handsome gila tu!" Zarina menopang dagu. Terbayang wajah lelaki yang dia tegur dulu.