Suasana di pejabat Bobs Interior Designer and Stylists, agak tenang walaupun dalam kesibukan menguruskan projek-projek baru yang mendatang. Semenjak akhir-akhir ini, syarikat milik Abang Bob itu, menerima banyak tempahan untuk menghiasi ruangan dalaman kediaman-kediaman yang eksklusif di ibu kota. Kebanyakan pelanggan suka mendapatkan khidmat Abang Bob kerana mereka berpuas hati dengan mutu perkhidmatannya selain dari kesempurnaan rekaan-rekaan dalaman yang dihasilkannya. Ditambah pula dengan kehadiran lukisan-lukisan indah karya dari Alyssa membuatkan kediaman eksklusif tampak lebih cantik dan dinamik.
Kini, syarikat itu mengorak langkah lebih jauh lagi. Mereka sedang berusaha mendapatkan projek untuk menghiasi ruangan dalaman hotel-hotel yang berada di ibu kota. Projek hiasan untuk hotel-hotel pula, berkehendakkan lebih banyak penghasilan karya seni lukis untuk menghiasi dinding-dinding lobi, bilik-bilik dan ruangan-ruangan yang lain. Sudah tentunya tugas-tugas mencabar itu diserahkan kepada Alyssa, untuk menterjemahkan lebih lagi idea-idea seninya. Tambahan pula, mereka sedang sibuk membida satu projek hiasan dalaman untuk sebuah hotel lima bintang yang bakal dibuka tidak lama lagi. Maka, semakin sibuklah Alyssa, sampai tidak menang tangan dibuatnya.
Semenjak pulang dari berbulan madu di Belanda bulan lepas, Alyssa mengorak selangkah lagi dalam kerjayanya. Kini, selain dari bertindak sebagai pelukis di syarikat tersebut, Alyssa sudah diamanahkan untuk menggalas satu lagi tugas baru. Alyssa adalah juga pengurus khidmat pelanggan, di mana dia dikehendaki bertemu dengan pelanggan untuk mengadakan perbincangan atau mesyuarat.
Alyssa memiliki jawatan tersebut bukanlah kerana statusnya sebagai isteri pemegang saham bersama syarikat itu, tetapi kerana kebolehannya untuk berkomunikasi dan mengawal kehendak pelanggan dengan baik. Abang Bob begitu berpuas hati dengan mutu karyanya dan tindakan efektif Alyssa dalam mengendalikan urusan syarikat. Tidak dinafikan, kebanyakan kontrak-kontrak baru yang diperolehi oleh pihak syarikat adalah hasil dari usaha keras Alyssa jua. Ini menyebabkan Abang Bob semakin sayangkannya, kerana kreativiti dan komitmen yang dipertunjukkan, tiada tolok bandingnya.
Namun, sejak akhir-akhir ini, Alyssa kelihatan agak tidak bermaya. Dia sering kelihatan lesu dan keletihan. Selera makannya juga semakin berkurangan. Pelbagai jenis vitamin sudah diambilnya untuk mengembalikan kecerdasannya, namun keadaannya masih tidak berubah. Alyssa cuba menyembunyikan keadaan itu dari pengetahuan orang lain, termasuk suaminya Tuan Fahreen. Dia cuba berlagak biasa sahaja. Tetapi, dia tidak boleh menipu dirinya sendiri dengan berpura-pura sihat, sedangkan dia sedang sakit.
Alyssa, ini adalah proposal baru yang Abang Bob minta aku berikan kepada engkau. Dia suruh engkau go-through satu per satu terlebih dahulu, pesan Tina sambil meletakkan satu ikatan fail dan kertas-kertas rekaan di atas meja Alyssa.
Alyssa hanya menjeling lesu pada benda-benda yang diletakkan oleh Tina itu, tanpa mampu bersuara. Hari ini, mukanya nampak lebih pucat dari biasa. Matanya pula kuyu, seperti sedang menahan diri dari mengantuk. Air mukanya kelat, seolah sedang menanggung satu kesakitan yang tidak mampu untuk diluahkan kepada sesiapapun. Keadaan itu jualah yang membuatkan dia langsung tidak berbicara dengan Tina. Bukan kerana sombong atau merasakan dirinya sudah hebat, tetapi kekurangan yang ada sebarang menebat dirinya untuk memenuhi ruang bicara bersama setiausaha di dalam syarikat itu.
Engkau ni dah kenapa, Alyssa Muka engkau tu nampak pucat sangat, tak bermaya. Engkau sakitkah Kalau sakit, lebih baik engkau pergi jumpa doktor, minta m.c Lepas tu, kau balik sajalah berehat di rumah, saran Tina.
Tak ada apa-apalah, Tina. Mungkin, masih ada simptom jet-lag kut.
Kau jangan nak mengarutlah, Alyssa. Dah hampir sebulan engkau pulang dari Belanda tu. Dah jadi najis semua simptom-simptom jet-lag engkau tu. Aku rasa, engkau ni ada sakit lainlah. Lebih baik engkau segera pergi jumpa dengan doktor. Kalau kau bertangguh, takut melarat pula nanti, desak Tina lagi.
Kata-kata Tina itu ada benarnya. Tetapi, Alyssa bimbang untuk membuat pemeriksaan doktor. Dia takut kalau-kalau wujudnya sesuatu perkara yang kurang menyenangkan kelak. Janganlah kebahagiaan yang masih muda itu dirosakkan dengan berita-berita yang tidak baik, walaupun sekiranya itulah hakikat yang harus diterima dan dilaluinya.
Hari itu, atas nasihat Tina jua, Alyssa keluar awal dari pejabatnya. Namun, kelesuan yang Alyssa rasakan sepanjang hari, rupa-rupanya berlanjutan hingga ke malamnya. Semenjak pulang dari pejabatnya, Alyssa langsung ke kamarnya dan tidak keluar-keluar sejak itu. Niat di hati, hanya mahu berbaring sebentar untuk melepaskan lelah bekerja. Namun, dia tidak menyangka, rupa-rupanya dia terlelap sehingga jam sepuluh malam.
Pintu bilik diketuk, Puan, bangun puan. Dah jam sepuluh ni. Puan tak apa-apa ke
Alyssa terkejut, lalu terjaga. Rupa-rupanya Mak Chom yang naik ke biliknya setelah mendapati Alyssa langsung tidak muncul untuk makan malam. Mak Chom bimbang kalau-kalau ada perkara yang tidak elok terjadi pada Alyssa di biliknya.
Atas rasa tanggungjawab jualah, Mak Chom berasakan yang dia wajar naik ke bilik Alyssa untuk memeriksa keadaan Alyssa. Tambahan pula, dalam ketiadaan Tuan Fahreen di rumah. Sudah dua minggu Tuan Fahreen berada di Jakarta, atas urusan perniagaan. Mak Chom sedar, Alyssa bukanlah seorang wanita yang betah mengadu susah senang atau peri masalahnya kepada orang lain. Jadi, dia harus mengambil inisiatif sendiri untuk menjejak sebarang permasalahan yang dialami Alyssa di luar pengetahuannya.
Puan, Mak Chom minta maaf sebab mengganggu tidur puan.
Mak Chom berasa agak serba-salah sejurus memasuki bilik tidur tersebut dan mendapati Alyssa seperti baru bangkit dari tidurnya. Mak Chom percaya, Alyssa tertidur dalam keadaan yang tidak disengajakan. Sukar untuk melihat Alyssa tidur, jika bukan pada waktunya. Selalunya, Alyssa lebih gemar menonton televisyen atau menyelesaikan tugasan seninya, sebaik sahaja menikmati makan malamnya. Itulah dua perkara utama yang sering dilakukan Alyssa sepanjang ketiadaan suaminya.
Ya Allah! Mak Chom, dah pukul berapa sekarang ni Saya belum maghrib lagi ni.
Qada sajalah puan, dah pukul pukul sepuluh malam, bicara Mak Chom, tenang.
Masya-Allah! Macam manalah saya boleh tertidur sehingga melangkau waktu maghrib ni Saya tak pernah macam ni, Mak Chom. Walau macam ya terlelap, telinga saya ni pasti terdengar bila azan maghrib berkumandang. Tapi hari ni Hai, syaitan manalah yang telah menghimpit kelopak mata saya ni sungut Alyssa yang kesal sekali.
Terbayang jelas sekali kekesalan di wajah Alyssa. Semenjak dekat semula dengan Allah, Alyssa tidak pernah mengabaikan solatnya. Sesungguhnya, solatlah tiang untuknya berdiri tegak seperti sekarang, selain dari sokongan suaminya.
Puan penat sangatlah tu, sampai tak tersedar bunyi azan tadi.
Malu pula rasanya pada Mak Chom. Apa pula fikiran orang tua itu setelah mengetahui yang Alyssa tertidur di waktu senja. Memang pantang orang tua-tua, jika tertidur di waktu maghrib. Kata mereka, boleh jadi dungu dibuatnya kerana waktu itulah syaitan laknatullah semakin hebat menghimpit manusia dari bangun untuk beribadah kepada Allah SWT.
Alyssa cuba memapah dirinya untuk bangkit dari katil. Kelesuan tubuhnya semakin ketara. Alyssa merasakan seakan-akan mahu tumbang di situ. Namun, digagahinya jua kerana tidak mahu Mak Chom mengesyaki apa-apa. Walau bagaimanapun, Mak Chom sudah dapat melihat perubahan Alyssa semenjak kebelakangan ini. Namun, dia mendiamkannya sahaja. Bimbang tersalah tafsir pula.
Mak Chom rasa, puan ni tak sihat.
Tak adalah, Mak Chom. Lyssa okay saja, cuma penat sikit.
Alyssa cuba menafikannya. Namun, dia lupa bahawa, sebagai orang tua Mak Chom lebih bijak membaca kelemahan dan kesakitan seseorang.
Ha, kalau macam tu, puan pergi mandi dulu. Selepas sembahyang nanti, turunlah ke bawah untuk makan malam. Dah lama makanan tu terhidang. Takut sejuk pula nanti.
Makan Itulah salah satu perkara yang rasanya tidak mampu untuk Alyssa lakukan waktu ini. Entah kenapa, sejak akhir-akhir ini, mulutnya berasa pahit dan seperti mahu meluahkan semula apa yang telah ditelannya.
Mak Chom, Lyssa tak ada seleralah nak makan. Tengok makanan pun, Lyssa rasa macam nak muntah. Lyssa ingat, lepas sembahyang nak terus tidur saja. Kepala ni pun, rasa berat sangat, keluh Alyssa.
Kenapa, puan Sudah seminggu Tuan berada di Jakarta. Sejak Tuan tak ada ni, Mak Chom tengok puan langsung tak menjamah makanan. Puan rindukan Tuan, ya teka Mak Chom.
Memang benar. Rindu yang bersarang di dada telah menghimpit jiwanya. Namun, malam ini Alyssa berasa rindunya menjadi berganda-ganda terhadap suaminya itu. Walaupun baru seminggu Tuan Fahreen meninggalkannya atas tugas-tugas rasminya, tetapi serasa sudah bertahun terpisah. Walhal, setiap hari Tuan Fahreen akan menghubunginya untuk bertanya khabar dan berbual-bual.
Tak apalah, puan. Kalau puan tak ada selera nak makan, puan berehat sajalah. Mungkin badan puan tu penat sangat kut. Sebentar lagi, Mak Chom akan minta Leha untuk hantarkan susu buat puan sebagai pelapik perut untuk malam ni. Tak elok dibiarkan perut tu kosong. Nanti, masuk angin pula.
Alyssa tidak mampu menolak. Mengangguk pun tidak, menggeleng jauh sekali. Sebentar selepas itu, Mak Chom pun keluar dari kamarnya dan meninggalkan Alyssa kembali sendirian.
Keseorangan di kamar sepi itu, meruntun kembali rasa rindu Alyssa pada Tuan Fahreen. Semenjak serumah dan sekamar dengannya, inilah kali pertama Tuan Fahreen meninggalkan Alyssa dalam tempoh masa yang agak lama. Alyssa sedar, dia tidak seharusnya berfikiran negatif sebegitu. Suaminya adalah seorang ahli korporat yang sentiasa sibuk dengan urusan perniagaannya.
Tetapi, entah kenapa, Alyssa merasakan dia benar-benar memerlukan belaian suaminya ketika itu. Alyssa ingin suaminya berada di situ menemani malam sunyinya. Hanya Tuan Fahreen yang dapat berkongsi perasaan tentang apa yang sedang dialaminya sekarang, serta perubahan yang sedang tumbuh di dalam dirinya. Alyssa tidak yakin dengan masalahnya sekarang tetapi dia tidak meragui yang Tuan Fahreen boleh memahaminya.
Abang sedang buat apa agaknya di sana Abang tahu tak, Lyssa rindu sekali pada abang. Alangkah bahagianya jika abang ada di samping Lyssa sekarang. Lyssa terasa seperti mahu menceritakan dan meluahkan sesuatu kepada abang. Tetapi, Lyssa sendiri tidak tahu, apakah dia Tolonglah abang, baliklah cepat untuk merungkai persoalan yang sedang bermain di benak ini. I miss you so much, my sweetheart, rintih Alyssa.
Malam itu, Alyssa tertidur lagi dalam kerinduan yang sarat. Susu dan roti yang dihantarkan Leha, pembantu rumahnya sebentar tadi, langsung tidak dijamah. Susu itu terbiar sepi di hujung meja katilnya. Hanya Allah saja yang tahu, betapa Alyssa merasakan dirinya dalam keadaan yang paling tidak berdaya sejak akhir-akhir ini. Kelincahannya bertukar menjadi kelesuan, ketrampilannnya bertukar menjadi kelusuhan dan kepintarannya kadangkala tersekat oleh kesakitannya. Apa yang Alyssa harapkan, semoga segala kesukaran ini akan berakhir tidak lama lagi. Dia mahu kembali cergas seperti sebelum ini untuk menyelusuri kembali jalan kerja yang semakin ditinggalkannya. Mudah-mudahan.
Keesokannya, hari berjalan seperti biasa buat Alyssa. Dia tetap harus ke pejabatnya, walaupun kesakitan dan kelesuan yang dialaminya semalam, masih belum kebah. Pagi-pagi lagi Mak Chom sudah membebel di telinga, menegah dari ke tempat kerja, bila memandangkan keadaannya yang terlalu lemah. Orang tua itu bimbang andainya sesuatu yang buruk berlaku kepada Alyssa. Apa lagi di saat itu, Tuan Fahreen tiada di Malaysia.
Mak Chom sibuk meminta Alyssa berjumpa doktor bagi melakukan pemeriksaan ke atas kesihatannya itu. Tetapi Alyssa lebih senang mengambil sikap berlengah-lengah. Nasihat Mak Chom agar dia mengambil cuti untuk sehari dua, juga tidak diendahkannya. Alasannya cuma satu, bebanan tugas yang menanti di pejabat, menuntut komitmen yang tidak mampu diletak ke tepi.
Pagi itu, Mak Chom memujuk Alyssa supaya dihantar Amran, pemandu Tuan Fahreen ke tempat kerjanya. Menurut Mak Chom, stamina Alyssa tidak kuat untuk memandu sendirian. Alyssa ikutkan sahaja kehendak Mak Chom yang satu ini bagi mengurangkan kebimbangan yang bersarang di hati orang tua itu. Lagi pun, memang benar bagai dikata Mak Chom. Dia tidak berkeupayaan untuk memandu sendirian.
Setibanya di pejabat, Alyssa terpaksa menyertai Abang Bob menghadiri satu mesyuarat yang diadakan di pejabat pelanggannya, tidak jauh dari pejabat mereka. Oleh kerana Alyssa sendiri yang akan melakukan pembentangan di dalam sesi mesyuarat tersebut, maka dia tidak dapat mengelak dari menyertainya. Segala kertas kerja dan usul, telah disiapkan sendiri sejak dari mula lagi. Tambahan pula, ini adalah salah satu projek besar yang sedang dibida syarikatnya. Maka, mahu atau tidak, dia perlu ada juga dalam mesyuarat itu.
Ini adalah spesifikasi rekaan dan material yang akan kami gunakan dalam projek ini. Kami telah melakukan yang sebaik mungkin supaya tuan-tuan semua dapat memiliki hasil hiasan yang bermutu tinggi dengan kos yang minimum, kata Abang Bob sambil mengedarkan kertas kerja yang telah disediakan kepada semua ahli mesyuarat.
Kesemua ahli mesyuarat meneliti kertas kerja itu. Mereka perlu berhati-hati dalam memberikan kontrak terbaru ini, supaya ia menjadi titik tolak yang terbaik ke arah perubahan yang lebih positif dalam organisasi mereka.
Encik Boryadi, jika kami memberikan projek itu kepada syarikat anda, dapatkah anda menerima usul kami supaya bayaran dibuat dalam tiga peringkat
Abang Bob mengangguk, lalu menjawab, Pihak kami tidak ada masalah dengan itu, encik.
Kesemua panel mesyuarat kelihatan berpuas hati dengan jawapan itu. Dalam apa jua urusan, manusia akan menjadi lebih selektif bila diungkapkan soal bayaran ataupun wang. Itulah tujuan utama sesuatu perniagaan dijalankan. Maka, agenda pembayaran diletakkan dalam barisan yang paling terkehadapan untuk dimeteraikan supaya tidak timbul sebarang kekeliruan kelak.
Okay, kalau macam itu, baguslah. Sekarang, sila bentangkan cadangan hiasan syarikat encik kepada kami. Kami akan cuba nilaikannya dengan sebaik mungkin, ujar Datuk Rahim, pengerusi mesyuarat dari syarikat pelanggan mereka.
Terima kasih, tuan-tuan semua. Untuk pembentangan, saya serahkan kepada pembantu saya, Puan Alyssa untuk melakukannya. Puan Alyssa has done a brilliant work towards the success of this project. Alyssa, shall us
Alyssa segera mempersiapkan dirinya setelah menerima arahan dari Abang Bob. Dia memperkemaskan segala kertas kerja yang telah disiapkannya, supaya pembentangannya nanti akan lancar dan mudah difahami. Tetapi, ketika Alyssa sedang cuba untuk berdiri tegak, dia merasakan seolah-olah dunianya berpusing dari paksinya. Terlalu banyak bebayang manusia yang muncul di panoramanya dan berputar-putar bagai dibadai gelora.
Tiba-tiba, Alyssa pitam. Dia rebah di situ juga. Dalam keadaan yang separuh sedar, dia dapat melihat keadaan yang agak kelam-kabut dan panik di sekitarnya. Orang-orang yang berada di dalam bilik mesyuarat tadi, segera mengelilinginya. Mereka cuba memberikan bantuan apa yang terdaya oleh mereka. Dalam kekalutan itulah, Alyssa terus pengsan dan tidak sedar apa-apa lagi.
Ketika itu, kapal terbang dari Jakarta baru sahaja mendarat di landasannya. Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam kawasan lapangan terbang, Tuan Fahreen terus menghidupkan semula telefon bimbitnya. Namun, dia terkejut bila mendapati panggilan dari nombor Abang Bob berkali-kali mengisi kantung mesejnya.
Belum pun sempat dia mendail semula nombor tersebut, dia menerima panggilan lagi dari Abang Bob. Abang Bob terus memberitahunya akan perihal Alyssa yang pengsan itu. Apa lagi, terperanjat besarlah Tuan Fahreen bila mendengarkannya. Dia perlu tahu mengapa Alyssa yang jatuh pengsan di dalam bilik mesyuarat itu. Tanpa berlengah, Tuan Fahreen segera mengarahkan pemandu peribadinya untuk menghantarnya ke hospital, tempat Alyssa dikejarkan sebentar tadi.
Abang Mat, pengawal peribadi yang turut menemani Tuan Fahreen ke Jakarta hanya mampu meminta Tuan Fahreen supaya bersabar dengan keadaan itu. Walaupun pada hakikatnya, Abang Mat turut merasa bimbang akan situasi itu. Dia sendiri tidak mahu perkara yang buruk menimpa isteri majikannya itu. Pada saat itu, fikiran Tuan Fahreen tentu sekali bercelaru mengenangkan nasib isterinya itu. Dia berasa terkilan kerana Alyssa diserang sakit ketika dia sudah hampir untuk kembali ke pangkuan isterinya itu.
Setibanya di hospital, Tuan Fahreen segera mendapatkan Abang Bob yang sedia menunggunya di lobi. Tiada perkara lain yang lebih penting selain dari mengetahui keadaan Alyssa dari Abang Bob.
Fahreen, Abang Bob minta maaf sebab tak tahu langsung yang Alyssa sedang sakit. Kalau Abang Bob tahu dia sedang sakit, sumpah Lilliahi Taala, abang tak akan benarkan dia datang kerja atau menghadiri mesyuarat tu, terpa Abang Bob yang kebal dengan perasaan bersalahnya.
Abang Bob kesal kerana sebagai majikan, dia terlepas pandang keadaan dan masalah para pekerjanya. Mungkin kerana kesibukan membentenginya dari mengetahui apa-apa saja perkara yang berlaku di sebalik pandangannya. Tambahan pula, sejak akhir-akhir ini, Abang Bob sering tiada di pejabat kerana menguruskan urusan perniagaannya di luar. Jadi, segala urusan pejabat diserahkan kepada Alyssa dan pekerja-pekerja yang lain untuk ditangani.
Macam mana boleh jadi sampai macam ni, Abang Bob
Entahlah, abang sendiri pun tak tahu. Pagi tadi, sebelum ke mesyuarat, Alyssa nampak sihat sahaja. Tetapi, ketika mesyuarat sedang berlangsung, tiba-tiba saja dia jatuh lalu pengsan. Abang cuba juga risik-risik dengan rakan sekerjanya di pejabat. Tina beritahu abang, sudah beberapa hari, Alyssa kelihatan pucat dan tidak bermaya saja. Abang minta maaf sangat-sangat pada kamu, Fahreen. Abang Bob tak tahu-menahu langsung pasal tu. Abang pun baru saja balik dari Perlis, perjelas Abang Bob lagi.
Tak apalah Abang Bob, benda dah nak jadi, nak buat macam mana. Bagaimana dengan keadaan Alyssa sekarang
Lama juga Abang Bob merenung Tuan Fahreen. Rasa bersalah masih menebal pada perasaannya walaupun Tuan Fahreen sekelumit pun tidak menyalahkannya. Setelah beberapa ketika berdiam diri, barulah Abang Bob bersuara.
Alyssa sudah dipindahkan ke wad. Baru sebentar tadi dia keluar dari bilik pemeriksaan doktor. Nampak gayanya, doktor ada memberitahu sesuatu kepada dia tadi. Fahreen, pegilah masuk jumpa dia. Pastinya dia gembira bila melihat kamu nanti. Mudah-mudahan, terubat sikit sakitnya itu.
Sememangnya, Tuan Fahreen sudah tidak sabar lagi untuk ketemu dengan isteri tercintanya itu. Pada asalnya, dia berhasrat untuk memberi kejutan kepada Alyssa. Dia langsung tidak memberitahu Alyssa yang dia akan pulang hari ini. Namun, alih-alih, dia sendiri yang terkejut apabila dimaklumkan tentang kejadian yang menimpa isterinya itu.
Fahreen, Abang Bob minta diri dululah. Abang perlu meneruskan mesyuarat yang tertangguh tadi. Kalau ada apa-apa tentang Alyssa, tolong khabarkan pada abang secepat mungkin.
Tuan Fahreen mengangguk, Baiklah Abang Bob. Terima kasih sebab tolong hantarkan Alyssa ke sini.
Sebaik sahaja Abang Bob berlalu pergi, Tuan Fahreen segera bergerak menuju ke wad yang menempatkan Alyssa. Ketika dia membuka pintu wad tersebut, dia mendapati Alyssa sedang melelapkan matanya. Namun, dia tidak pasti sama ada Alyssa sudah terlena atau belum.
Perlahan-lahan, Alyssa didekati. Tuan Fahreen duduk di bangku yang tersedia berhampiran dengan katil Alyssa. Dia mengusap tangan dan dahi isterinya itu, lalu diciumnya. Seketika kemudian, perlahan-lahan Alyssa membukakan matanya.
Abang tegur Alyssa lemah namun teruja.
Alyssa tidak menyangka bahawa suaminya itu sudah berada di sisinya pada saat diperlukan. Dia berasa seperti mahu memeluk suaminya itu untuk melerai perasaan rindu yang sudah mulai berkampung di hatinya. Namun, keadaannya yang lemah membataskan perlakuan itu. Dengan lemah, tangan Tuan Fahreen dicium sebagai tanda ucapan selamat kembali ke pangkuannya. Lebih seminggu terpisah, seakan bertahun lamanya.
Bila abang balik Kenapa tak beitahu Lyssa yang abang nak balik hari ni
Abang sengaja nak buat surprise pada sayang. Tak sangka, abang pula yang surprise, jawab Tuan Fahreen masih sempat melemparkan senyuman penawar buat Alyssa.
Terubat sedikit kesakitan Alyssa. Senyuman itulah yang paling didambakannya selama beberapa hari ini. Alangkah indahnya jika senyuman itu dapat dia simpan bersama dengannya ketika Tuan Fahreen berada berjauhan darinya.
Kenapa sayang jadi sampai macam ni sekali Sayang sepatutnya lebih mengutamakan kesihatan sayang dari kerja. Nasib baik sayang pengsan di tempat yang ada ramai orang. Kalau tidak, tak tahulah apa yang akan terjadi pada sayang. Abang tak rela tau, jika sesuatu perkara buruk terjadi pada sayang, keluh Tuan Fahreen.
Maafkan Lyssa, bang. Lyssa fikir, diri ini terlalu kuat. Rupa-rupanya tidak. Lyssa cuba berlagak macam bionic women pula, ujar Alyssa sambil cuba tertawa kecil.
Bagi Alyssa, menatap wajah kesayangannya itu, sudah cukup untuk menyembuhkan segala penyakit yang ada. Malah ada suatu khabar yang lebih gembira lagi yang hendak diberitahu kepada Tuan Fahreen kerana sebentar tadi, doktor telah memberikan satu keputusan positif kepadanya.
Sayang, doktor ada beritahu apa-apa tak pasal penyakit sayang Sayang sakit apa sebenarnya ni
Alyssa tersenyum. Lalu, jari-jemari Tuan Fahreen digenggamnya erat. Namun, senyuman itu tidak mampu menenggelamkan perasaan cuak suaminya. Tuan Fahreen perlu tahu apa sebenarnya penyakit yang menyebabkan isterinya hampir derita.
Tak ada apa-apa yang serius, bang. Cuma
Terhenti di situ kata-kata Alyssa. Dia tersenyum lagi. Berdebar pula rasanya, mahu mengabarkan berita itu kepada suaminya. Perlakuan Alyssa semakin meresahkan Tuan Fahreen. Mungkin dia menyangkakan yang lebih buruk dari itu. Tuan Fahreen tidak sanggup sekiranya isterinya itu dihinggapi penyakit yang akan menyeksanya. Dia menggesa Alyssa meneruskan penjelasannya lagi. Tidak sanggup rasanya, hati berdebar-debar tanpa sebarang keputusan.
Doktor kata, tak lama lagi, abang akan jadi seorang ayah.
Tuan Fahreen teruja. Garis-garis senyuman terukir semula di wajahnya yang kelat sejak tadi.
Really
Alyssa mengangguk, lalu berkata, Yes, Im pregnant. Two months.
Tiada apa yang lebih menggembirakan hati Tuan Fahreen sekarang, melainkan berita yang dikhabarkan oleh Alyssa itu. Terubat segala kepenatannya. Terhakis segala perasaan cuaknya. Yang ada, hanyalah perasaan girang yang tidak terkira apabila diberitahu yang dia bakal memiliki zuriat sendiri, tidak lama lagi.
Zuriat yang ditunggu-tunggunya itu bakal muncul dalam hidupnya setelah lebih tiga puluh tahun dia mengharungi hidup. Zuriat yang bakal mewarisi segala harta kekayaan yang dimiliki oleh Tajul Holdings dan Wadi Afzan. Zuriat yang bakal menjunjung dan membawa nama ayahnya, ke mana sahaja dia pergi. Zuriat yang akan lahir dan membesar di depan mata sambil menuturkan perkataan ayah kepadanya. Zuriat itulah buah kasihnya bersama isteri tercinta, Alyssa. Kini, berita kehadiran zuriatnya dalam rahim Alyssa, hampir menitiskan air matanya.
Syukur alhamdulillah. Sayang, terima kasih kerana menjadikan impian abang satu kenyataan. Dan, terima kasih kerana sudi menumpangkan zuriat abang di dalam rahim sayang.
Ini zuriat kita bersama, bang, sambung Alyssa pula.
Sayang, abang berjanji dengan setulusnya. Mulai hari ini, cinta, kasih dan diri abang untuk Allah, sayang dan bakal anak kita ini. Moga-moga, hidup kita sekeluarga nanti, akan diberkati Allah sentiasa, doa dan harapan dari seorang suami yang bakal bergelar ayah tidak lama lagi. Lantas, Alyssa dipeluk dan diciumnya berkali-kali. Tuan Fahreen turut meletakkan telingannya di perut isterinya seolah-olah memberikan salam perkenalan kepada janin yang sedang terbentuk itu. Tuan Fahreen mahu janin itu mengenalinya sebagai ayah, walaupun belum lagi ditiupkan roh ke dalam jiwa janin itu.
Berita kehamilan Alyssa tersebar dengan pantas. Apa lagi, setelah Mak Chom mengetahuinya. Orang tua itu berasa sungguh gembira dan teruja sekali sehingga mahu mengkhabarkan kepada satu dunia tentang perkara tersebut. Malahan, Mak Chom sendiri telah merencanakan satu majlis makan malam khas di rumah Tuan Fahreen sekembalinya Alyssa dari hospital. Dia turut mengundang Roziana, Kamal dan isterinya Alina serta Abang Mat untuk bersama-sama berkongsi kegembiraan itu.
Tahniah Tuan Fahreen dan Alyssa. Syukur sebab segala-galanya berakhir dengan baik sekali. Mengapa tak beritahu pada Kak Rozi yang Lyssa masuk hospital kerana hamil hari tu Nasib baik Mak Chom yang call dan jemput akak. Kalau tak, tentu akak tak tahu langsung tentang berita gembira ni, ujar Roziana semasa makan malam di mahligai indah itu.
Maaflah Kak Rozi, bukannya Lyssa tak mahu beritahu, cuma Lyssa terlupa. Lyssa sibuk melayan sickness Lyssa ni, terang Alyssa sambil tertawa, tidak mahu Roziana berkecil hati dengannya.
Malam itu, Mak Chom dan pembantunya menyediakan juadah yang enak sekali. Kebanyakannya merupakan makanan kegemaran Tuan Fahreen dan Alyssa. Tuan Fahreen makan dengan begitu berselera sekali. Begitu juga dengan yang lain. Tetapi, berbeza dengan Alyssa. Dia langsung tidak berselera untuk makan. Semenjak mengandung, dia sering alah pada bau-bauan terutama sekali bau makanan. Setiap kali terhidu bau makanan, dia berasa loya dan mahu menghamburkan isi perutnya. Keadaan itu menjadikannya trauma untuk menghadapi makanan.
Selepas ini, berserilah mahligai kau ni, Fahreen. Ada suara tangisan, gelak dan jeritan kanak-kanak. Tak adalah sunyi lagi hidup kau, ujar Kamal, berseloroh.
Hidup aku dah lama berseri semenjak kehadiran Alyssa, jawab Tuan Fahreen sambil mengerling Alyssa di sisinya.
Orang mengantuk disorongkan bantal, sedangkan kau, disorongkan anak. Bertuahnya hidup kau, Fahreen, sambung Kamal lagi.
Alina mencubit lengan Kamal yang kelihatan terlebih teruja pula dengan berita kehamilan Alyssa itu. Kamal mengaduh perlahan, takut didengari orang lain di sekelilingnya. Walaupun cubitan Alina itu halus, tetapi cukup memeritkan. Alina, isteri Kamal yang kecil molek tetapi cukup tegas dalam pendiriannya. Tidak hairanlah jika dia bersikap sedemikian kerana Alina juga seorang peguam, seperti juga suaminya.
Jangan dilayan sangat Kamal ni, Tuan. Kalau dia dah melalut, kita pun susah nak faham bahasa dia. Seperti mana dia berhujah di court juga.
Sindiran Alina itu sudah cukup pedas. Walaupun sudah lebih lima tahun berumah tangga, tetapi Kamal cukup menghormati isterinya yang agak lancar dalam menuturkan kata-kata.
Lina, takkanlah Tuan Fahreen tak faham bahasa saya. Saya ni complicated semasa menjalankan tugas sahaja. Kalau bersantai begini, saya lebih sukakan bahasa santai juga. Kalau tak, takkanlah Tuan Fahreen sanggup heret saya ke mana sahaja untuk menemani dia. Tetapi, itu dululah. Sebelum dia ada Alyssa. Sekarang ni, jangan haraplah. Ke mana sahaja, Alyssalah yang diangkutnya. Isteri kesayanganlah katakan, hurai Kamal, panjang lebar.
Orang sayangkan isteri, begitulah, sambung Alina, menyindir barangkali.
Wajah Kamal berubah kelat, manakala Tuan Fahreen hanya tersenyum. Alyssa di kerlingnya sekali lagi. Namun, Alyssa hanya senyum tawar. Antara melayan karenah mengandungnya dan tetamu yang ada, Alyssa terhimpit di situ. Hendak berkata banyak, seolah lidah kelu tidak membenarkannya berkata. Hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana rasanya sekarang.
Alyssa, kalau perlukan apa-apa dari akak, janganlah segan untuk beritahu. Akak boleh masakkan makanan kegemaran Lyssa tau. Dulu kan, Lyssa suka sangat makan masakan akak, ujar Roziana memecah topik.
Alyssa hanya tersenyum dan mengangguk. Melihatkan sifat diam Alyssa, Tuan Fahreen pula yang menyambut kata-kata. Dia tidak mahu Roziana berkecil hati bila pelawaannya tidak bersambut.
Terima kasih Kak Rozi. Nanti, kalau Alyssa teringin hendak makan masakan Kak Rozi, saya akan hantarkan dia ke rumah akak.
Ketika semua sedang asyik menikmati hidangan sambil rancak berbual, Alyssa merasakan seolah-olah sesuatu telah tersekat di kerongkongnya. Isi perutnya berasa terlalu ketat dan perlu dilonggarkan segera. Lalu, dia meminta diri untuk bangkit dan terus ke bilik air. Kamal memerhatikannya berselang-seli dengan Tuan Fahreen yang masih makan dengan tenang.
Aku tengok kan, engkau pula yang terlebih-lebih berseleralah, Fahreen. Mengalahkan orang mengandung. Aku keliru, siapa sebenarnya yang mengandung Engkaukah, atau Alyssa soal Kamal yang membuat yang ada tertawa.
Biasalah tu Encik Kamal, kata orang tua-tua, pembawaan budak, jawab Mak Chom yang sedang menatang tomyam tambahan untuk tetamunya.
Pembawaan budak Excuse me Mak Chom, yang membawa budak tu si isteri, bukannya si suami. Ini bukannya pembawaan budak namanya, tetapi si pelahap, usik Kamal lagi.
Seisi rumah tertawa dengan sendaan Kamal itu. Memang benar bagai ditelah Kamal. Semenjak Alyssa berbadan dua, Tuan Fahreen dapat merasakan perubahan yang mendadak pada seleranya. Dia akan makan tanpa mengikut ruang waktu. Paling tidak pun, pastinya ada jajan yang terbekal di kocek atau begnya, setiap kali dia keluar dari rumah. Sesuatu perkara yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
Ish, apalah abang ni, buat malu Tuan Fahreen saja. Abang jangan tak tahu, adakalanya, sang suami yang akan berasa lebih berselera dan teringinkan macam-macam apabila isterinya mengandung. Itu fenomena biasa bagi pasangan suami isteri yang sedang menunggu kehadiran seorang bayi, terang Alina pula.
Tapi, masa Lina mengandungkan anak-anak kita dulu, abang tak ada pun macam Fahreen ni.
Itu tandanya, kasih abang pada saya tak sekuat kasih Tuan Fahreen pada Alyssa, jawab Alina selamba dan tegas.
Semua yang berada di situ, terus mentertawakan Kamal. Tuan Fahreen pula mengangkat ibu jarinya dan disuakan kepada sahabatnya itu. Beliau berpuas hati kerana isteri Kamal sendiri yang mengenakannya. Abang Mat yang lebih suka berdiam diri dalam apa jua keadaan, turut tersenyum dengan jenaka yang dihidangkan kepadanya itu.
Maknanya dalam masa lebih kurang tujuh bulan lagi, rumah ni akan riuh dengan suara gelak tangis seorang bayi. Hai, makin sibuklah Mak Chom, kan ujar Roziana.
Mak Chom lagi suka, Rozi. Dah lama sangat rumah ni sunyi dari suara budak-budak. Hai, tak sabar rasanya nak tunggu perubahan demi perubahan yang akan dialami oleh Puan Alyssa. Tapi, kesian pula bila tengok dia tak berselera macam tu.
Keresahan yang diluahkan Mak Chom tentang Alyssa, telah menghentikan Tuan Fahreen dari meneruskan makannya. Dia berasa kasihan pula dengan isterinya yang tidak bermaya itu. Sudahlah badannya lemah, makan pun tidak berselera. Bagaimana dia hendak bertenaga Timbul pula kekesalan di jiwa Tuan Fahreen. Bagaimana dia boleh makan dengan begitu berselera sekali sedangkan isterinya dibiarkan menanggung loya sendirian. Terasa kejam sekali dirinya. Anak di dalam kandungan Alyssa adalah dari benihnya. Maka, Tuan Fahreen merasakan yang dia harus memikul bertanggungjawab untuk menanggung derita itu bersama.
Mak Chom, saya bimbang kalau Alyssa terus-terusan macam tu. Takut badannya akan terus lemah pula nanti.
Orang mengandung memang macam tu, tuan. Tapi, janganlah bimbang sangat. Keadaan tu takkan kekal lama. Bila kandungan dah masuk lebih tiga bulan nanti, stabillah dia semula. Selepas tu, selera makannya tentu akan bertambah, jelas Alina pula.
Namun, penjelasan itu tidak mampu meredakan kebimbangan Tuan Fahreen terhadap isterinya. Mak Chom yang hanya memerhatikan riak wajah Tuan Fahreen, mengerti akan perasaan lelaki yang bakal bergelar ayah itu. Suami mana yang sanggup melihat isteri kesayangannya menderita kesakitan Begitulah juga halnya dengan Tuan Fahreen. Kepentingan Alyssa diletakkan dalam baris utama aras hidupnya kini.
Tak apalah Tuan, nanti Mak Chom cuba buatkan sup ataupun pemanis mulut untuk puan. Manalah tahu, kalau-kalau dia ada selera untuk makan nanti.
Tuan Fahreen hanya mengangguk sebelum mengucapkan terima kasih kepada Mak Chom. Seterusnya, majlis makan berlangsung dalam keadaan sunyi dari sebarang suara. Masing-masing melayan perasaan dan selera sendiri. Lebih-lebih lagi Tuan Fahreen yang begitu kebal sifat kasihnya pada Alyssa.
Manakala Alyssa sudah tidak mampu untuk bangun lagi setelah segala isi perutnya dimuntahkan sebentar tadi. Kepalanya berasa pening dan berpinar-pinar menyebabkan dia tidak mampu mengampuh kakinya untuk berdiri tegak, apa lagi bergerak dari paksinya. Alyssa langsung merebahkan dirinya di katil. Dia sudah tidak berdaya untuk mengambil peduli akan apa yang sedang terjadi di bawah. Biarlah Tuan Fahreen, Mak Chom dan pembantu-pembantu mereka yang menguruskan tetamu semua. Membawa dirinya keluar dari bilik itu pun tidak mampu. Apa lagi, jika harus bersikap hipokrit dengan memaniskan mukanya demi menjaga hati tetamu-tetamunya. Semuanya itu tidak akan berlaku dalam keadaannya yang sebegitu.
Sayang, bangun sayang.
Suara lunak suaminya yang lembut dan tenang, mengejutkan Alyssa dari lelapnya. Peningnya sudah mulai berkurangan, tetapi rasa loya masih menebal di tekaknya. Perasaan antara mahu bangun atau tidak, sama rata terbahagi di benaknya. Nak bangun rasa tak berdaya. Kalau tak bangun, kasihan pula pada suaminya. Lalu, digagahnya juga untuk bangkit.
Maafkan Lyssa, bang. Lyssa tak larat sangat tadi. Lepas saja termuntah, terus saja Lyssa terlelap di sini, ujarnya sambil cuba lagi untuk bangkit berdiri.
Tuan Fahreen menghalang Alyssa dari berbuat demikian dan berkata, Sayang, nak ke mana pula ni Sayang kan tak larat tu.
Lyssa nak turun ke bawah, bang. Tak manis rasanya, kalau Lyssa tidur di atas ni, sedangkan tetamu, dibiarkan sendirian di bawah.
Tuan Fahreen menarik Alyssa untuk duduk semula di katil, lalu mengusap pipinya yang agak kedinginan.
Mereka semua dah balik. Dah jam sebelas, sayang.
Masya-Allah, lamanya Lyssa terlelap. Maafkan Lyssa, bang. Lyssa tak bermaksud nak menyisihkan tetamu macam tu.
Tak ada apa yang perlu dirisaukan, sayang. Bukannya sayang sengaja. Mereka semua faham dengan keadaan sayang sekarang ni. Lagi pun, tadi kan ada abang dan Mak Chom yang melayani mereka.
Lalu, Tuan Fahreen menghulurkan bubur yang ditatangnya dari bawah tadi untuk disuapkan ke mulut Alyssa. Alyssa mencebik. Rasa ingin muntah, seakan kembali menerjah di tekaknya. Allah, makanan lagi, sungut hatinya.
Sayang, makan dulu bubur nasi campur ikan merah ni. Mak Chom buatkan khas untuk sayang.
Alyssa mengelengkan kepalanya, tanda tidak mahu dan tidak berselera. Dia dan makanan sekarang, ibarat minyak dan air yang tak mungkin bersatu. Makanan sudah menjadi ibarat musuhnya kini. Selagi dia mampu, Alyssa akan cuba mengelak.
Janganlah begitu sayang. Dari pagi tadi, sayang langsung tak menjamah makanan. Makanlah sikit. Abang suapkan. Tak banyak, sikit pun jadilah, pujuk Tuan Fahreen.
Namun, Alyssa masih tetap menggelengkan kepalanya, sambil berkata lemah, Tak mahulah, abang. Lyssa dah tak sanggup nak muntah lagi. Asalkan masuk saja makanan, Lyssa pasti akan muntah. Lemah rasanya sendi-sendi Lyssa ni.
Tuan Fahreen segera mengambilkan minyak angin lalu segera disapukan di belakang badan Alyssa. Dengan cara berbuat demikian, mungkin angin loya itu akan keluar. Bolehlah Alyssa menjamah makanannya. Alyssa hanya diam. Menurut apa sahaja yang diperlakukan oleh suaminya. Dalam saat-saat sebegini, kasih sayang dan perhatian suami amat bererti sekali padanya.
Memanglah macam tu. Sayang dalam peringkat awal kehamilan. Simptom mual dan loya adalah perkara biasa bagi perempuan hamil. Tambahan pula, bila mengandungkan anak sulung. Sayang masih belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan ini lagi, terang Tuan Fahreen.
Sayang ingat tak pesanan doktor sebelum benarkan sayang keluar dari hospital Dia minta sayang cuba juga untuk makan walaupun tekak sayang tak boleh menerimanya. Jangan biarkan tubuh sayang dehydrate, sebab kekurangan terlalu banyak air dan zat dalam badan, sambungnya lagi.
Tak bolehlah, abang. Jangan katakan makan, nak minum air pun Lyssa tak lalu. Yang Lyssa tahu sekarang, hanya nak muntah, loya, pening kepala dan rasa nak tidur saja. Tolonglah, jangan paksa Lyssa, ya bang rintih Alyssa pula.
Tuan Fahreen berasa simpati dengan keadaan yang dihadapi oleh isterinya itu. Dia tidak menyangka bahawa Alyssa akan mengalami alahan peringkat awal mengandung yang begitu teruk sekali. Pelbagai cara dilakukan oleh Tuan Fahreen, Mak Chom dan semua pembantu, bagi membantu Alyssa mengatasi alahannya itu. Namun terkadang itu, tetap gagal membuahkan hasil.
Mak Chom sering menyediakan manisan yang lebih mudah untuk ditelan oleh Alyssa. Nasib baiklah, Alyssa lalu juga memakan manisan tersebut. Bolehlah dijadikan pelapik perutnya yang kosong
itu. Tuan Fahreen pula, banyak mengalakkan Alyssa mengambil buah-buahan terutamanya tembikai, limau, tembikai susu dan mangga. Menurut doktor, buah-buahan tersebut dapat membantu tubuh Alyssa dari kekeringan kerana kuantiti air yang agak tinggi di dalamnya.
Kerana simpati dengan keadaan Alyssa yang sedang berbadan dua itu, Abang Bob telah memberikan cuti rehat selama sebulan kepadanya. Bolehlah Alyssa diberi ruang untuk bertenang sepanjang menghadapi peringkat awal kehamilannya.
Kini, hanya satu sahaja harapan Alyssa. Dia berharap agar alahannya itu akan cepat berakhir supaya dia boleh menjalani kehidupan secara normal semula. Alyssa sudah tidak sanggup lagi untuk menyusahkan semua orang di sekelilingnya, terutama sekali Tuan Fahreen, Mak Chom dan Abang Bob sendiri. Alyssa juga sedang berusaha sedaya upaya agar tubuh badannya dapat dibiasakan dengan kehadiran janin baru di dalam rahimnya. Namun apa yang penting, Alyssa dan kandungannya sentiasa sihat.
Sudah lebih enam bulan Elly dan ibunya berada di Jerman. Selama menjalani rawatan di sana, terdapat pelbagai perubahan positif yang telah ditunjukkan oleh Mak Cik Markonah, sebagai tindak balas terhadap rawatannya. Menurut doktor yang merawat Mak Cik Markonah, segala rawatan dan ubat-ubatan yang diaplikasikan kepadanya, adalah amat bersesuaian dengannya. Sebab itulah, tubuh badannya memberikan reaksi yang positif.