CINTA RIMAU - 6
Sebaik saja kereta BMW 7 Series bewarna putih mutiara yang dipandu Manan melungsur perlahan ke perkarangan kondominium mewah di Serene Hills, Bahrain mengingatkan pemandunya itu supaya datang lebih awal pada keesokan hari kerana perlu menghadiri mesyuarat di Jalan Conlay.

Walau sudah meniti tempoh persaraan, berpeluk tubuh atau berkebun bukan pilihan dalam meniti usia emasnya. Selain masih lagi bergelar active director sebuah syarikat koko terkemuka sejak hampir 30 tahun lalu, Bahrain adakalanya turut diundang sebagai penasihat untuk tempoh tertentu bagi sesuatu projek khas yang dijalankan oleh sesebuah syarikat korporat; dalam dan luar negara.

Sebagai seorang yang pernah mengecapi era kegemilangan sehingga pernah meraih anugerah berprestij Best World CEO yang mengharumkan nama negara dimata dunia, tugasan-tugasan ini sedikit sebanyak mengubat kekecewaan yang bersarang di hatinya akibat berasa disisihkan dengan kehadiran golongan muda yang lebih kompetitif dan bertenaga dalam dunia pengkorporatan yang semakin mencabar.

Kereta diberhentikan Manan betul-betul di hadapan

lif. Memahami sifat tuannya yang tidak begitu gemar bersosial, bukanlah menjadi perkara yang menghairankan apabila Bahrain mengambil keputusan untuk berpindah ke kawasan elit berhampiran kediaman peribadi Perdana Menteri Malaysia yang menampilkan ciri-ciri yang sangat tertutup itu, hampir tiga tahun lalu. Dikelilingi hutan di kiri dan kanan jalan dengan kejiranan bersebelahan Bukit Tunku serta banglo-banglo besar yang tersergam indah, agak sukar ditelah wujudnya kondominium di kawasan berkenaan. Manakala bagi ruang parkir serta laluan masuk ke setiap blok pula, terletak di bawah tanah jauh tersorok dari pandangan luar.

Namun jika dibandingkan dengan kediaman lama tuannya di Taman Tun Dr Ismail dulu, Serene Hills ini jauh lebih sesuai untuk Bahrain yang tinggal bersendirian kerana kawalan keselamatan yang ketat 24 jam sehari!

Di dalam lif: Bahrain melihat wajahnya di cermin yang terpasang pada setiap penjuru sebaik menekan punat nombor 4. Rambutnya yang memutih kulitnya yang semakin berkedut dek mamahan usia Bahrain tertanya sendiri: Layakkah dia berganding dengan gadis secantik Hasya Lourdes Masakan gadis muda itu ikhlas mahu bersamanya di saat popularitinya yang sudah lama merudum Apakah rahsia di sebalik kehadiran gadis itu dalam hidupnya yang suram dan kelam sejak sekian lama Pintu lif terbuka, diikuti pintu unitnya yang betul-betul terletak di hadapan lif itu pula dibuka Bahrain dengan kunci rumah dikeluarkan dari poket seluarnya. Pintu kembali ditutup rapat. Sebagaimana rapatnya hati yang pernah terkunci.