Jadi aku berjalan mendapatkannya apabila dia pergi ke meja di mana dia selalu duduk sambil menelaah pelajarannya. Aku nampak dia sedang duduk di situ keseorangan. Dia mengeluarkan peralatan tulisnya lalu membetulkan tudungnya. Aku menegurnya dengan mengucapkan salam. Dia menjawab salamku dengan lembut. Aku tanya dia di mana Melati. Dia kata Melati ada tutorial. Dia sempat memerli aku kerana aku tidak mahu ambil tahu tentang ini semua, maksud aku jadual belajar Melati. Aku hanya mampu tersenyum tawar. Jadual kelas aku pun aku tidak terjaga, inikan pula jadual kelas orang lain, ye tak Kalau Tamrin tak ada untuk selalu SMS aku untuk mengingatkan aku supaya hadir ke kuliah atau ke tutorial, alamatnya dah lama aku kena jumpa dekan dan berikan surat tunjuk sebab mengapa aku selalu sahaja ponteng. Sebab itulah aku pastikan setiap semester, aku dan Tamrin menghadirikuliah dan tutorial yang sama. Kalau macam ni lagi senang. Aku hanya perlu ikut ke mana sahaja Tamrin pergi di dalam kampus. Lagi pun sekarang ini dia sudah jadi macam pembantu peribadi aku. Jadual pembelajaran aku semuanya dia yang jaga.
Hamiza sempat tanya aku sejauh mana hubungan aku dengan Melati. Susah untuk aku jawab soalannya ini. Aku rasa macam nak ambil buku dari rak yang terdekat lalu buat-buat baca buku tanpa perlu menjawab soalannya itu. Apabila dia tanya sekali lagi aku kata Melati tu kawan rapat aku. Dia kata, TU JER KE Aku jawab, YE LAH. DAH TU
Aku pantang kalau orang tanya aku fasal benda ni. Kenyataannya, aku masih menganggap Melati sebagai kawan aku yang rapat. Mungkin lebih istimewa daripada kawankawan aku yang lain. Pendek kata, aku masih keliru dengan kedudukannya dalam hidup aku. Aku sendiri tak tahu kalau aku ada simpan apa-apa perasaan ke atas dirinya. Mungkin kerana kami baru sahaja saling mengenali. Aku tak pernah nak declare apa-apa kat dia. Dia pun tak pernah nak beri tekanan apa-apa kat aku. Tak macam Hasnah. Dua minggu setelah aku berkenalan dengan dia apabila hubungan kami menjadi semakin rapat, dia minta aku anggap dia sebagai girlfriend dia. Aku mengiakan sahaja. Masa tu lah dia hadiahkan aku dengan jam tangan sebagai tanda aku ni boyfriend dia. Aku tak hadiahkan dia apa-apa. Terus terang aku cakap kat dia masa tu, aku tak ada duit untuk beri dia hadiah. Dia kata dia tak kisah. Yang penting katanya, aku sayangkan dia.
Aku tak faham kenapa awek cun macam Hasnah tak ada boyfriend sebelum ini. Bila aku tanya kenapa, dia kata dia ni cerewet dan memilih orangnya. Dan fasal itulah aku tak faham kenapa dia pilih aku. Tamrin kata dia suka aku sebab aku ni ada imej bad boy. Dia kata ramai budak perempuan suka aku sebab tu. Sebab aku nakal. Mereka suka dengan budak-budak lelaki yang nakal.
Mel suka saya tak Tanya aku kepada Hamiza. Hamiza menjeling ke arahku. Agaknya dia meluat mendengar soalanku ini. Dia kata Melati tak habis-habis bercakap tentang aku setiap kali mereka bertemu, sampai naik muak dia jadinya. Melati letakkan gambar aku yang diambilnya sendiri dengan kamera digitalnya lalu diletakkan di tepi katilnya. Hamiza kata sebelum ini Melati tak pernah suka kepada sesiapa pun sebagaimana dia sukakan aku.
Apa awak dah buat kat dia ah Tanya Hamiza dengan suara serius.
Aku kata aku tak buat apa-apa pun. Tapi itulah kebenarannya. Kalau dengan awek lain, dah macam-macam aku buat. Tapi dengan Melati, lain pula jadinya. Nak sentuh dia pun aku takut, inikan pula nak ajak ringan-ringan - walau pun memang aku syok gila dengan dia. Aku takut nak sentuh dia macam dia ni ada satu magika yang buatkan aku tidak boleh nak sentuh dia.
Aku tak nak hipokrit, memang aku stim gila dengan dia. Bila aku terbayangkan wajah dia jer aku dah boleh stim sorang-sorang. Tiap-tiap malam ketika aku sedang terbaring sendiri di atas katil aku akan fikirkan fasal dia. Tiap-tiap malam sebelum masuk tidur aku kena mandi wajib...
Dari mana awak belajar bahasa isyarat Tanyaku kepada Hamiza setelah aku lihat dia mula membuka buku notanya dan dah mula nampak macam tak nak layan aku.
Sejak kecil, jawabnya. Kemudian dia ceritakan aku bahawa ibunya seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah khas untuk kanak-kanak pekak dan bisu di Kelana Jaya. Jadi sejak kecil dia telah diajar untuk menggunakan bahasa isyarat. Malah itu yang dipelajarinya sebelum dia belajar untuk bertutur, kerana ibunya berfikir bahawa bahasa isyarat merupakan satu bahasa yang mempunyai proses imej visual mental yang berlainan dengan bahasa biasa. Dia mengingatkan aku bahawa bahasa isyarat yang digunakannya - Bahasa Isyarat Malaysia tidak sama dengan Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Jadi apabila Melati menggunakan bahasa isyarat, dia akan menterjemahkannya ke dalam Bahasa Melayu.
Patutlah apa yang ditulis Melati kadangkala sukar untuk aku fahami. Tulisannya tidak mengikut struktur. Tungganglanggang. Dia menulis mengikut cara percakapannya ketika menggunakan bahasa isyarat.
Bila kita bercakap, setiap perkataan yang kita sebut akan mengeluarkan bunyi dan intonasi yang berbeza. Bahasa isyarat pula menggunakan gambaran visual yang dituturkan dengan menggunakan pergerakan tangan, wajah dan tubuh. Begitulah kata Hamiza dengan panjang lebar seperti seorang guru. Tetapi memang itulah jurusannya. Hamiza menuntut di UM dalam Fakulti Pendidikan.
Hamiza beritahu kepadaku bahawa Melati telah dilahirkan pekak dan bisu. Kata Hamiza lagi, mereka yang telah dilahirkan pekak dan bisu seperti Melati lebih teruk keadaannya daripada mereka yang dilahirkan buta, kerana Melati terpaksa membesar di dalam situasi dia langsung tidak dapat menguasai bahasa untuk meluahkan perasaannya atau berkomunikasi dengan orang lain.
Mel pernah beritahu saya, dia tidak mempunyai perasaan sebelum dia mengenali mak saya yang telah mengajarnya menggunakan bahasa isyarat.
Apa maksud awak Tanyaku kembali dengan penuh minat.
Bahasa adalah cara untuk kita membentuk satu-satu konsep yang abstrak di dalam kepala kita, seperti perasaan sedih, gembira, penat, marah... Tanpa bahasa, perasaanperasaan ini tidak wujud. Sebelum dia belajar menggunakan bahasa isyarat, konsep-konsep abstrak seperti ini langsung tidak dapat difahaminya.
Jadi sebelum Mel bertemu dengan mak awak, dia langsung tidak tahu menggunakan bahasa isyarat
Tidak... Dunianya kosong. Dia langsung tak faham apa yang dilihat di sekelilingna. Dia tidak dapat berbual dengan sesiapa pun kecuali dengan ibunya dengan menggunakan bahasa isyarat ringkas yang mereka cipta sendiri. Sebab itulah dia tidak faham bahawa...
Hamiza tiba-tiba berhenti dari terus berkata-kata. Dia mengeluh. Dia terdiam buat seketika. Aku tidak tahu apa yang sedang difikirkannya ketika itu. Tetapi aku tahu dia mahu menyembunyikan sesuatu tentang Melati daripada diriku.
Bahawa apa
Tak ada apa-apa! Jawab Hamiza yang telah bertekad untuk tidak memberitahu aku tentang perkara yang mahu dirahsiakan ini dariku.
Bila mak awak mula-mula mengenali Mel
Ketika Mel berusia tujuh tahun. Ketika itu, ibunya telah bersusah-payah mencari sekolah yang sesuai untuk Mel. Mak saya dapat tahu tentang keadaan Mel... Yang agak... Yang agak sukar pada ketika itu. Dia terus ambil Mel sebagai anak angkatnya. Sejak hari itu saya dan Mel berkawan baik.
Perkara ini baru bagiku. Aku langsung tidak tahu tentang hal ini sebelum ini. Rupa-rupanya hubungan Hamiza dan Melati lebih rapat daripada yangku sangka.
Banyak yang awak tak tahu tentangnya, Emmet, kata Hamiza perlahan.
Tapi saya nak tahu lagi tentangnya. Saya serius nak tahu. Tapi susah... Saya langsung tak tahu apa yang ingin diberitahunya kepada saya. Kadangkala dia akan bercakap kepada saya dengan menggunakan bahasa isyarat. Tapi saya tak faham apa yang ingin disampaikannya.
Fahami raut wajahnya.
Apa
Cuba fahami perasaannya melalui raut wajahnya.
Kata-kata Hamiza terus terngiang-ngiang di dalam kepalaku. Aku termenung ke hadapan. Aku terus memberitahu diriku bahawa aku akan melakukan apa sahaja untuk cuba mengenali diri Melati dengan lebih mendalam lagi. Tapi aku masih tidak faham mengapa aku sanggup melakukan ini semua demi Melati. Apa yang ada di dalam diri Melati sehingga membuatku begini
Semalam, aku telah membawa Melati ke Tasik Taman Jaya di sebelah Amcorp Mall. Kami duduk lepak-lepak di situ sambil makan ais krim. Dia suka makan ais krim strawberi dan aku suka ais krim coklat. Lama kami duduk di situ. Satu patah perkataan pun tak terkeluar daripada mulut aku. Aku terus duduk bersamanya sambil merenung ke arah tasik. Kemudian Melati memegang tanganku. Aku membiarkan Melati terus memegang tanganku. Dia merenung ke dalam garis-garis halus di telapak tangan aku dengan penuh minat. Kemudian dia memandang ke arah awan yang sedang berarak. Dia terus memandang ke situ lama-lama. Aku pula terus memegang tangannya.
Aku rasa inilah kali pertama aku keluar dengan manamana awek tanpa sepatah perkataan yang terkeluar daripada mulutku. Tetapi yang peliknya, aku rasa macam banyak yang telah aku bualkan dengannya semalam. Mungkin betul kata Hamiza. Aku hanya perlu memandang ke raut wajahnya untuk mendalami perasaannya. Dan semalam, itulah yang telah aku lakukan. Aku pandang ke arah wajahnya lama-lama ketika dia sedang memandang ke arah awan - untuk mengetahui apa yang tersirat di dalam perasaannya pada ketika itu.
Ketika itu aku dapati fikirannya telah melayang entah ke mana. Dia tidak lagi berada bersamaku tetapi di tempat yang lain. Wajahnya nampak tenang. Tiga puluh minit kemudian setelah termenung begitu, dia mengeluarkan kamera digitalnya dari beg galasnya lalu mengambil gambar sekumpulan awan di langit. Kemudian, dia mengeluarkan sekeping album gambargambar awan yang ingin ditunjukkan kepadaku. Macam-macam bentuk awan yang dapatku lihat telah diambilnya selama ini.
Aku memberitahu tentang hal ini kepada Hamiza. Dia tersenyum. Dia memberitahuku bahawa Melati suka memandang ke arah awan kerana satu ketika dahulu Melati dan maknya banyak menghabiskan masa mereka memandang ke arah awan. Itulah di antara perkara yang sering mereka lakukan bersama.
Mel sedang memburu awan yang paling perfect, kata Hamiza.
Apa:
Mak Mel pernah beritahu kepadanya tentang awan yang paling indah yang akan hanya muncul sekali sahaja di dalam hidupnya dan untuk beberapa saat sahaja. Mel mahu mencari awan ini sampai dapat.
Bagaimana bentuk awan ini Tanyaku ingin tahu.
Mel kata susah untuk dia jelaskan... Tapi bila awan ini muncul dia akan tahu.
Kata-kata Hamiza membuat aku termenung. Aku memikirkan tentang awan istimewa yang dicari-cari Melati selama ini. Aku memikirkan tentang ibunya. Dia tidak pernah menceritakan kepadaku tentang ibunya atau keluarganya, sedangkan aku mahu tahu tentang ini semua. Sampai bila agaknya aku akan berada di dalam gelap begini
Sebenarnya ketika hari pertama kita berjumpa dulu... Mel tak mahu keluar dengan awak, tapi saya yang galakkan, kata Hamiza akhirnya memberitahu kepadaku sesuatu yang telah dipendamkannya selama ini.
Tapi kenapa
Maksud awak
Kenapa awak galakkan dia keluar dengan saya
Sebab Mel tidak pernah keluar dengan sesiapa pun. Sebab dia bisu, tak ada sesiapa pun di dalam kampus yang berani mendekatinya atau cuba berbual dengannya. Mereka semua takut untuk berkawan dengannya. Saya kesian dia tak banyak kawan. Bila awak datang dengan tujuan untuk berkawan dengan dia... Saya rasa lega sangat. Sebab itulah bila awak pelawa dia keluar makan malam hari tu, saya suruh dia jangan malu-malu untuk terima pelawaan awak tu. Sebab saya rasa awak jujur orangnya.
Kata-kata Hamiza membuatkan aku serba salah. Aku sendiri tidak tahu sejauh mana tahap kejujuranku ketika aku mula-mula mahu berkenalan dengan Melati. Mahu sahaja aku menjelaskan kepadanya keadaan yang sebenar yang telah menyebabkan mengapa aku mahu berkenalan dengan kawan baiknya itu.
Sekarang dia cuba bersungguh-sungguh untuk memahami awak dengan membaca pergerakan bibir awak ketika awak bercakap kepadanya. Dia nak tahu apa yang awak cuba beritahu kepadanya. Kerana dia beritahu kepada saya awak selalu berbual dengannya...
Aku menganggukkan kepalaku. Memang itu yang sering aku lakukan kepada Melati tanpa memikirkan jika dia tahu apa yang aku ceritakan atau tidak.
Jadi terima kasih...
Terima kasih untuk apa Tanyaku kembali dengan dahiku terkerut.
Saya tak pernah melihat wajah Melati begitu ceria sekali sebelum ini... Saya tak tahu apa yang telah awak lakukan kepadanya, tetapi awak telah membuat dia gembira. Mungkin dia merasa begini sebab dia tidak ramai kawan, lebih-lebih lagi kawan lelaki... Entahlah.
Aku sendiri tak pasti apa yang telah aku lakukan kepada Melati. Tetapi penjelasan Hamiza telah membuatkan diriku semakin keliru. Kemudian dengan tergesa-gesa aku memberitahu kepada Hamiza aku terpaksa pergi kerana aku ada hal. Dengan pantas aku berjalan keluar dari perpustakaan.
Sebaik sahaja aku keluar dari bangunan perpustakaan, aku terus menarik nafasku dalam-dalam. Aku memandang ke arah langit. Aku ternampak awan berkepul-kepul gelap menandakan hari mahu hujan. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja aku dapat merasakan perasaan rindu yang teramat sangat kepada Melati satu perasaan yang tidak pernahku undang sama sekali!