Hai Imah, awalnya kau datang. Nurul menjawab. Lalu duduk dan meluruskan kakinya. Menguap berkali-kali. Imah masih berdiri dan mencekak pinggang. Hidungnya kembang kuncup, ada peluh di dahinya dan kakinya digerak-gerakkan sahaja mahu siap sedia memberi penyepak ulung buat sahabat karibnya itu jika masih tidak mahu bangkit daripada katil.
Ya, ya aku bangunlah ni, ujar Nurul.
Amboi, sejak bila minat Siti Nurhaliza ni Mak kau tak bising ke
Mana ada, aku suka lagu dia je. Bestlah suara dia. Nurul membetulkan rambutnya. Dicapainya kain batik dan tuala di belakang pintu.
Kau tunggu sini, aku nak mandi sekejap. Imah menganggukkan kepalanya. Masih berdiri tegak membaca keratan-keratan akhbar yang sudah ditampal di dinding bilik. Semuanya tentang Siti Nurhaliza. Dari berita kemenangan Bintang RTM, kemudian keluar di berbagai-bagai akhbar tentang kisah kecil hinggalah ke terbitnya album, semua ada.
Anak gadis yang berumur 17 tahun itu sudah pun mempunyai sebuah album. Judulnya menggunakan namanya sendiri, Siti Nurhaliza. Gadis muda yang berwajah bulat dan berkulit cerah ini semakin digilai oleh sesiapa sahaja yang mendengar suaranya. Platun lagu Jerat Percintaan ini menjadi bualan orang Pahang dan seluruh Malaysia. Ke mana pergi, nama beliau disebut-sebut. Suaranya nyaring. Sedap. Malah seakan boleh menyanyi apa sahaja lagu yang diberi kepadanya.
Dikatakan beliau mewarisi suara dan kehebatan menyanyi itu daripada ibunya sendiri. Malah, ada orang cerita yang keluarganya memang hebat di kenduri-kendara menyanyikan lagu-lagu secara langsung. Wah hebat sekali.
Selepas memenangi Bintang Hiburan Minggu Ini, dengan lagu yang dikatakan agak sukar untuk dibawa daripada penyanyi Aishah, Camar Yang Pulang, gadis ini terus melakar sejarah dengan menyanyikan lagu-lagu daripada albumnya sendiri yang berjudul Siti Nurhaliza.
Album ini dikeluarkan oleh Suria Records pada 1hb April 1996 yang mana merupakan ulang tahun pertama kemenangan Siti Nurhaliza semasa bertanding di Bintang Hiburan Minggu Ini. Jualan album beliau amat-amat menggalakkan, katanya sudah mencecah puluhan ribu unit. Orang kampung bercerita yang mana Siti Nurhaliza didatangi oleh ramai penggiat seni untuk melamar beliau menjadi artis rakaman. Namun, beliau memilih Encik Tan Sue Loke daripada syarikat tersebut kerana dikatakan Siti serasi dengan Encik Adnan Abu Hassan yang banyak mengajar tentang perkara teknikal serta penjagaan suara. Jadi, Siti menerima tawaran tersebut dengan alasan itu.
Bersepah berita mengenai Siti. Daripada akhbar mega kepada akhbar sisipan. Semuanya ada wajah beliau. Ada sahaja ceritanya. Kisah budak kampung menjual kuih kini menjadi selebriti yang sengit menyanyi di corong radio di samping Ziana Zain dan Fauziah Latif waktu itu, Siti merupakan artis paling junior, muda, berbakat dan semakin disukai.
Hoi, dari tadi berdiri, tak penat ke Nurul menegur dengan suara nyaring.
Kau ni, jadilah ayu sikit. Makin duduk asrama makin kasarlah. Imah menjawab.
Dua rakan ini memang baik dari sekolah rendah lagi. Sejak Nurul berpindah masuk ke Mentakab dan tinggal berdekatan dengan rakan baiknya, Imah akan bertandang apabila tahu kepulangan Nurul. Dua sahabat ini semakin akrab. Walau tidak ada komunikasi telefon atau apa sahaja yang boleh menjadikan mereka ini berbual, mereka tetap sama sahaja berjumpa dan bersembang walau sudah lewat malam. Kadang-kadang hingga ke tahap Imah terpaksa tidur di rumah Nurul kerana sudah terlalu lewat.
Imah lahir sebagai anak yatim. Ayahnya meninggal dunia sebelum beliau lahir lagi. Anak kedua daripada dua beradik ini tak suka digelar sebagai anak bongsu. Mesti nombor dua. Apabila di dalam kelas Nurul mendahuluinya dengan mendapat tempat pertama, dia selalu sahaja mahukan tempat kedua. Namun tidak berlaku. Beliau pemalas ya ampun. Takat cakap sahaja mahu belajar dan menduduki tangga mana-mana di dalam kelas, namun ke laut.
Imah seorang gadis yang suka bersukan. Belajar bukan main lagi pemalas. Jika pulang dari sekolah, beliau siap-siap menanggalkan kain dan hanya pulang dengan seluar trek dan berbaju kurung. Rimas katanya. Nak berlari pun senang jika dikejar anjing. Walau perkara itu tak pernah berlaku dalam hidup sesiapa di Pasir Rawa. Memang ya banyak anjing berkeliaran, namun itu anjing-anjing tauke cina yang jinak. Hanya menjaga tanah mereka sahaja. Jika di rumah-rumah kampung, anjing ini tidak mengganggu sesiapa pun.
Pernah satu ketika, Imah diganggu oleh pemuda kampung. Hanya menyakat sahaja. Namun beliau berlari pecut dan tinggalkan semua jejaka-jejaka perasan tersebut. Mungkin itu anjing yang dimaksudkan mungkin.
Orangnya tinggi lampai. Suka sekali digelar zirafah. Walau masa sekolah rendah, dia ini kemetot. Lebih rendah daripada Nurul. Kini tidak, sudah macam boleh sentuh siling rumah. Nurul selalu bilang, Kau senang, kalau mahu membeli belah, tak payah suruh suami kau ambilkan barang tinggi, kau boleh ambil sendiri haha!
Nurul bersiap segera. Dibedakkan dan dilumur rambut dengan minyak entah apa-apa, kemudian disemburkan sedikit wangian. Tudungnya dipakai elok. Bajunya labuh dan berseluar panjang. Kemudian disarungnya stoking hitam dan terus menuju ke emaknya di dapur.
Ada duit tak tu Emak Nurul bertanya. Nurul mengangguk sahaja.
Nah, beli barang nak balik asrama sekali. Jangan merepek-merepek. Imah, kau pesan-pesan ke Nurul tu balik awal, jangan mengada sampai petang. Imah mengangguk laju. Nurul menghulur salam dan mencium tangan emaknya. Imah ikut dan mereka berdua berjalan menuju ke stesen bas jalan besar menuju ke Mentakab.
Angin menyapa-nyapa. Tudung kedua sahabat baik ini terangkat sedikit lalu lekas ditepis serentak dengan tangan. Kemudian dipegang erat supaya tidak diusik lagi oleh angin-angin nakal tersebut. Tu rumah Leman. Rindu kot aku ni, kau tak teringat ke Leman, Nurul
Tak. Buat apa aku nak ingat tentang dia. dia sendiri tak pernah teringatkan aku. Haram khabar pun tak pernah tanya. Konon janji nak tulis suratlah, apalah, langsung tak ada. Nurul terus menjadi bengis. Wajahnya bertukar menjadi kuda garang yang berdengus-dengus kencang.
Oi, tak payahlah marah. Haha. Aduh. Kau ni sekarang tak boleh bergurau langsung. Itu baru betul rindu. Hahaha. Imah berlari sedikit ke hadapan dan Nurul cuba menampar dari belakang.
Kemudian Imah dan Nurul berpegang tangan. Berdiri elok di bahu jalan. Memandang dan menoleh sebanyak enam kali kiri dan kanan. Barulah berlari bersama-sama ke seberang jalan untuk menuju ke Mentakab. Kampung Pasir Rawa terletak di sisi kiri jalan dari Mentakab. Oleh itu jika mahu ke bandar itu, wajib menyeberangi jalan.
Mereka sampai di stesen bas lama. Yang di belakangnya itu tersergam indah sebuah masjid lama. Masjid Kampung Pasir Rawa yang dulunya surau kecil menjadi tempat orang kampung berkumpul mendengar berita daripada Tok Penghulu Arifin. Di sebelahnya pula ada sebuah sekolah lama, sekolah kampung yang kini sudah ditutup dan dijadikan Pusat Serenti Lelaki. Sekolah, sudah berpindah ke Mentakab.
Imah dan Nurul melabuhkan punggung. Seolah selepas berlari 400 meter dengan berpeluh lencun. Elok sahaja mereka duduk, mereka ketawa berdekah-dekah. Kerusi itu elok sahaja muat dua orang. Bahagian lain sudah pecah-pecah dan hancur. Tak habis mereka ini bergurau senda.
Atap-atapnya juga sudah bocor-bocor. Jika hujan ini, alamat seperti tidak berpayunglah jawabnya. Nurul dan Imah tiba-tiba berdiam kerana ada seorang tua di sisi mereka, datang sedikit lambat daripada mereka. Juga mahu ke Mentakab barangkali.
Dari penghujung jalan yang masih nampak, hanya terbit satu dua kereta sahaja dalam satu-satu masa. Malah seperti boleh bermain polis sentry di atas jalan raya dua lorong itu. Sunyi dan sepi sekali. Jalan yang membelah daerah Temerloh ini menghubungkan bandar Mentakab dan Temerloh. Dan dikatakan, di tengahnya itulah pusatnya rumah Almarhum Sudirman Haji Arshad. Kampung Gantuk. Mereka kata, ada sahaja saudara mara Almarhum yang berwajah seiras. Putihnya, suaranya ada yang membikin memori dan memberi senyum gembira.
Tuhan selalu sahaja memberi kira sedih. Lalu jika ia berlarutan lama, Tuhan akan hadir dengan memberi hadiah yang berbeza-beza. Lalu, kita kembali gembira. Kita mana pernah tahu percaturan Tuhan tentang apa pun. Yang disuruh-Nya itu adalah berusaha jika mahu. Atau lebih tepat perlu rajin menuju apa yang kita berkehendakkan itu.
Malah, dalam perbuatan jahat juga begitu. Tuhan sentiasa membantu mereka ini asal mereka berusaha. Namun, kita sendiri tentukan mana yang bawa ke syurga. Mana yang dicampak ke neraka. Semua perkara dalam dunia, ada usahanya. Malah untuk menjadi sesiapapun, kita perlu berusaha sebaik-baiknya.
Bas Union berwarna merah putih semakin hampir, semakin mendekati. Lalu Pakcik tua tadi menghulur tangan untuk beri tanda berhenti. Nurul dan Imah pun lekas ikut menghulur tangan dan melambai-lambai kepada bas tersebut. Vromm! Bas berhenti. Imah dan Nurul melompat bangun. Pakcik tua tadi menaiki tangga bas perlahan-lahan dan diikuti oleh Imah dan Nurul. Mereka dapat duduk memandangkan banyak lagi kerusi kosong. Komandan bas sudah berdiri dengan resit kecil di tangannya. Usai sahaja duduk, terus komandan bas menghampiri.
Mana
Bandar, jawab Imah.
Komandan bas memberi isyarat dua puluh sen. Imah membayarkan untuk Nurul sekali. Dan terus dihulurnya dua keping resit kecil bertulis Union Bus. $0.20. Perjalanan dari Pasir Rawa menuju ke Mentakab tidaklah jauh mana. Lebih kurang 5 kilometer sahaja. Namun, bas ini akan berhenti sebanyak-banyaknya kerana banyak hentian kampung yang memudahkan penumpang untuk turun. Dari Kampung Mambang Berulang, hinggalah ke Kampung Cina, adalah dalam empat atau lima perhentian wajib untuk pemandu bas ini tahu dan peka jikalau ada loceng yang berbunyi.
Ini ke sekolah baru tanya Nurul.
Ha ah, Sekolah Bandar Mentakab. Ayah Leman pernahlah jadi guru besar sekejap. Eh kau tak tahu ya
Hah
Ya. Tapi sekejap je. Kemudian kena tukar lagi. Tak sampai sebulan tak salah aku, jawab Imah. Nurul kembali memandang luar. Nyata perasaan yang disimpan semakin banyak. Bas sudah sampai ke pangkalan terakhirnya. Bandar Mentakab. Semua penumpang turun. Imah dan Nurul pun sama. Pakcik tua tadi pun ikut serta, sampai kosong perut bas dan pemandu juga turun untuk mengambil angin dan minum secawan kopi.
Terus ke Pahang Storelah! Nurul mengangguk. Mereka melalui pasar lama tempat Mak Lang pernah berniaga satu masa lalu. Pasar lama tersebut hanya ada dua baris binaan batu kecil yang memuatkan lebih kurang 20 peniaga kampung sahaja dalam satu masa. Malahan yang menjual barangan kampung seperti sayur petai, jering, kerdas dan ulam-ulaman itu hanya ibu-ibu tua. Boleh dapat serai dua batang sepuluh sen.
Imah menaiki tangga ke Pahang Store, Nurul mengikutinya dari belakang. Jika di Mentakab. Pahang Store ini memang syurga beli belah buat semua penduduk di sini. Hendak membeli baju, seluar, kasut sekolah serta pakaian bayi, juga semuanya di sini. Mainan juga penuh dengan jenama Matchbox dan Lego. Semuanya ada. Imah meluru ke arah barangan alat tulis di bahagian kiri kompleks. Manakala Nurul berjalan di antara baju-baju yang cukup banyak untuk dipilih kemudian menembusi ke ruangan kaset dan video player. Bang, Siti Nurhaliza yang baru keluar tu ada tak
Mestilah ada! jawab promoter tersebut. Terus dibuka plastik halus nipis yang membalut kasut tersebut dan terus sahaja dipasang cuba.
Oh di manakah kau yang ku cari
Dalam kembaraku ini
Mengapa kau
Singkir ku ke tepi
Bagaikan ku tak berharga lagi
Nurul tergamam. Dah kenapa liriknya begitu pula. Lagu Jawapan Di Persimpangan sememangnya track pertama di dalam album tersebut. Suara Siti Nurhaliza asyik sekali. Nyaring dan terisi dengan suasana sedih yang digambarkan melalui lagu. Ada suara serak dalam nada gelisah. Pilu.
Berapa bang
13.90, aku dah buka ni. Kau jangan tak beli pula.
Jap bang. Nurul terus mengeluarkan beg sakunya. Kecil berwarna merah hati dengan zip tengah yang sudah ada key chain kecil bergantung.
Nah. Nurul menghulur not 10 sekeping dan siling sebanyak tiga ringgit sembilan puluh sen.
Abang kaunter menyambut dan terus membungkus kaset berharga tersebut. Laju sahaja Nurul berjalan dan mencari Imah. Kerjanya ke Mentakab sudah pun selesai. Hendak pulang ke rumah secepat-cepatnya untuk mendengar semua 10 lagu yang terdapat dalam album tersebut.
Dah kenapa kau sengih macam tu Imah menerpa. Nurul teruskan senyumnya dengan siap mengangkat keningnya berkali-kali. Imah merampas beg plastik yang dipegang Nurul lalu dibuka.
Ini yang kau beli Ya Tuhan! Terus ditolaknya kepala Nurul.
Mak kau mesti bising! Aduh.. kan mak kau pesan tadi beli barang sekolah. Mesti duit dah habis kan Nurul mengangguk, namun senyumnya masih belum lekang daripada bibirnya.
Aku dah siap, jom balik, jawab Nurul.
Apa Baru sampai dah nak balik Jangan buat hal Nurul. Kita belum pekena rojak dengan cendol Pakcik Syed lagi! Imah mencebik dengan mula ala-ala garang. Nurul ketawa lalu
menepuk bahu Imah. Dan mereka cepat keluar dari tangga Pahang Store menghala ke jalan Kampung Cina. Kemudian berjalan lagi menyeberangi jalan menuju ke Cendol Pakcik Syed yang menjadi perkara wajib jika ke Bandar Mentakab.
Pakcik Syed berniaga cendol ini dari zaman mereka kecil lagi. Masing-masing jika keluarga berjalan ke Mentakab, inilah lokasi paling kerap disinggahi kerana mahu mendapatkan cendol Pakcik Syed.
Lokasinya betul-betul di tepi jalan simpang tiga ke Kampung Cina. Orang kata jika masuk ke situ boleh jumpa pasar babi. Hahaha. Jadi memang budak-budak kecil tak akan berani masuk ke simpang tersebut. Biasanya orang yang mahu membeli bungkus hanya perlu berhentikan kenderaan di tepi jalan sahaja. Kemudian isteri Pakcik Syed akan berlari kecil mengambil pesanan dan memberi jeritan sekuat-kuatnya supaya Pakcik Syed mendengar segala pesanan tersebut.
Cendolnya yang hijau itu cukup lembut. Cair di dalam mulut, tak puas memakannya. Rasa mahu lagi dan lagi. Manakala santannya itu disediakan dengan dimasak sempurna. Tidak manis malah ada sedikit rasa masin untuk melemakkannya. Yang istimewanya ialah kacang merah yang dimasak bersama gula merah timbang. Biasanya jika cendol biasa, kacang merah dan gula timbang itu disediakan berasingan. Namun Pakcik Syed memasaknya bersama.
Kau bayanglah bagaimana kacang merah yang direndam semalaman itu kemudiannya dibasuh kembali sebersihnya kemudian dimasak bersama air gula merah timbang. Ala gula merah yang biasa dijual di kedai runcit, yang kau suka makan begitu sahaja itu. Bukan gula Melaka, gula merah. Ah kau ini memang begitu, selalu sahaja keliru jenis-jenis gula yang ada di dalam dunia.
Kemudiannya air batu akan disagat secara manual. Tangan Pakcik Syed sudah kebal dan berotot. Dipusing-pusingnya berkali-kali kemudian penyagat akan memusingkan ais batu berbentuk segi empat itu untuk disagat. Ais halus akan jatuh elok ke dalam mangkuk. Isteri Pakcik Syed membantu dengan cukup cekap. Tangannya berkelajuan halilintar. Dicapai mangkuk berisi ais kemudian dituang cendol, kacang merah terus sahaja santan. Kemudian terus sampai ke meja. Nurul dan Imah ternganga setiap kali melihat aksi Pakcik Syed dan Isterinya itu menjamu pelbagai jenis pelanggan yang datang. Cina India Melayu semuanya suka dengan cendol ini. Segar sekali.
Sampai sahaja giliran Nurul dan Imah, Pakcik Syed yang menghantarnya sendiri dan menghulur seorang semangkuk candol yang dinanti-nanti dari tadi. Nurul terkumat-kamit membaca doa sedang Imah sudah pun dua sudu ke mulutnya.
Oi sabar! Tercekik baru tahu! Nurul bimbang dengan kelakuan Imah. Sedang asyik menikmati cendol tiba-tiba sebuah kereta meluru laju. Pakcik Syed menjerit dan bummmmmm! Suasana menjadi sepi seketika. Berdenting dan berdentum di telinga. Berdesing segalanya. Kereta tersebut menghentam dua tiga meja hingga betul-betul melanggar meja yang mereka duduki. Suasana hiruk pikuk hingga tidak dengar suara siapa yang terpekik-pekik. Bingung. Nurul tercampak ke belakang lalu bergeser di jalan dan terus terduduk. Siku dan tapak tangannya sedikit berdarah, namun dia tidak sedari, Imah mana
Imah! Imah! Imah!
Nurul menjerit-jerit. Imah betul-betul terperosok ke bawah kereta. Lalu semua orang lalu lalang berhenti. Mereka beramai-ramai menarik Imah ke tepi, Nurul terduduk sekali lagi melihat Imah dipenuhi darah. Wajahnya tidak kelihatan dek kerana darah yang terlalu banyak. Tudungnya lencun. Pakcik Syed berlari ke hulu ke hilir mencari kenderaan untuk membawa Imah ke Hospital. Macam orang gila yang menghempas-hempas tangannya ke dada. Lalu berhenti sebuah Jeep lama. Diangkatnya Imah perlahan-lahan bimbang ada bahagian yang patah dan terus dibawa ke Hospital Mentakab. Nurul menangis tersedu-sedu.
Di hospital, emaknya datang, juga emak Imah, Makcik Cah juga ikut. Memeluk tubuh sendiri dan duduk merenung dinding yang tidak memberi apa-apa jawapan, suasana menjadi sepi. Nurul hanya luka-luka sedikit sahaja. Adalah berbalut sedikit tangannya. Kakinya juga ada dua tiga plaster yang menutup luka.
Selepas berjam-jam menanti di luar bilik bedah, doktor dan para jururawat pun keluar berjumpa dengan Ibu Imah.
Jangan risau, dia okey. Kami sudah masukkan ubat dan dia akan sedar dalam 24 jam. Hanya patah tulang paha, gigi ada tercabut dan retak tulang bahu. Lain-lain dia okey. Kita akan pantau dia sebaik mungkin dari masa ke masa.
Ibu Imah terus memeluk Nurul. Syukur. Nurul kembali menangis dan berjalan perlahan memeluk ibunya.
Suram. Sepi. Kaset juga entah ke mana.
Hampir setiap hari Nurul datang menggembirakan Imah. Makan perlu disuap, setiap kali mahu bersihkan badan, Nurul dan emak Imah akan bersama-sama. Imah hanya mengeluh dan mengerang sakit jika ada bahagian yang bergerak dan menyebabkan tulangnya itu berantakan sendiri.
Selang beberapa hari, Nurul sudah mahu pulang ke asrama. Mereka berpelukan. Menangis semahu-mahunya bersama-sama. Emak Imah juga turut menangis. Mengucap terima kasih kepada Nurul yang terus membantu tak pernah jemu. Nurul pula bermati-matian memohon keampunan kerana ajakan dialah punca Imah dilanda kemalangan yang cukup dahsyat tersebut. Sepatutnya mereka hanya berjalan sekitar kampung sahaja, tak perlu hingga sampai ke bandar.
Nurul, sebelum aku lupa. Pakcik Syed datang semalam. Cuba kau buka laci bawah tu, kau mesti suka punya. Nurul terpinga-pinga, terus tunduk dan membuka laci yang Imah maksudkan.
Oh, Ya Tuhan! Masih ada. Syukurnya! Nurul gembira tak terkata. Dalam plastik putih itu ada kaset yang dibelinya tempoh hari. Pakcik Syed menjumpainya semasa mahu mengemas bekas kemalangan. Ada sedikit pecah di bahagian luar kaset. Namun kasetnya itu nampak okey sahaja. Tidak terusik. Kertas liriknya yang masih berlipat elok juga tidak terusik. Masih bagus.
Malangnya, rupa-rupanya Pakcik Syed sudah tidak boleh berniaga di situ lagi. Beliau perlu pindah ke tempat lain yang lebih selamat. Jika tidak, pihak majlis daerah akan menghalaunya sekali lagi. Lokasinya yang memudahkan pelanggannya membeli ala pandu lalu sudah tidak boleh digunakan sebagai tempat perniagaan. Entah di mana pula Pakcik Syed mahu meneruskan legasinya itu.