KUNANG PESISIR MORTEN - 6
Dakapan dingin subuh diiringi hujan lebat hampir setiap pagi. Namun kami meneruskan hidup. Ayahku sudah menjadi rutin bekerja tanpa tentu masa. Jarang sekali kami menghabiskan masa bersama. Ibuku masih membantu sekadarnya dengan menjual sayuran dan barang runcit di pasar besar.

Tetapi jadual aku dan Dhiya telah mula berubah. Musim monsun menjadi sangat-sangat sibuk. Bukan kerana jadual penuh menyertai pesta layang-layang anjuran anak sekampung meraikan angin kuat monsun. Permainan itu tentu sahaja telah menjadi pertandingan melawan siapa terbang paling tinggi sambil memasang strategi memutus layang-layang dengan benang kaca fluorescent saban petang. Ianya langsung tidak menarik perhatian kami lagi. Tetapi kelapangan waktu pagi yang jarang kami kecapi pada cuti hujung minggu adalah nikmat yang tidak dapat dibeli mana-mana permainan pun di dunia ini.

Semua kerana budak sepet itu. Dicampur kegilaan perempuan bernama Dhiya. Perjanjian yang diikat dengan Lim membawa kami melangkau jauh daripada sempadan lumpur Kampung Morten kerana kami kini punya pemandu pelancong lebih tua dan hafal selok belok bandar Melaka. Pengalaman meneroka bandar ini dinikmati dengan seram kecut perut kiranya bertembung dengan bapaku yang keluar makan atau ibuku yang pulang pasar. Bagaimanapun tiada di dunia ini yang dapat menahan Dhiya daripada menjelajah kota Melaka; pengalaman yang diimpikannya bertahuntahun. Dan aku melihat Lim yang cuma menurut apa-apa saja permintaan Dhiya adalah satu tingkat tinggi lebih gila kerana sehingga mati pun dia tidak akan dapat memuaskan semangat kembara perempuan itu.

Dalam takut-takut, pengalaman hari pertama berjalan dengan Lim mengujakan. Kami bermula dengan tempat lebih dekat dengan Kampung Morten. Lim mencadangkan kami sekadar ke Jalan Bunga Raya. Jalan ini tidak jauh beza dengan Petaling Street. Jalan sempit yang meriah dengan deru hiruk pikuk kenderaan membawa ke malam. Kebanyakan mereka dikenali Lim melalui bapanya. Deretan rumah kedai tradisional bercampur moden dengan perniagaan segala macam daripada kain ela, popiah, nasi ayam Hainan, teh herba, alat tulis, kasut kulit buatan tangan dan barangan menjahit. Di jalan inilah kau akan temui emporium yang kepada kami punya nilai populariti yang jauh lebih hebat daripada Globe Silk Store iaitu Madam Kings. Daripada namanya saja, kau tahu perniagaan di sini dikuasai bangsa Cina. Salah satu daripada chinatown di Melaka.

Sebenarnya hampir seluruh bandar ini dipenuhi rumah kedai Cina kecuali bebeberapa bahagian seperti Jalan Bendahara atau dikenali sebagai Wolferstan Road. Kami memanggilnya Little India kerana dipenuhi peniaga India Peranakan yang membuka restoran vegetarian nasi daun pisang, harum rempah, barang kemas, sari dan perkakas rumah. Juga di satu bahagian akan kau temui Kampung Jawa yang dipenuhi bazaar di pesisiran Sungai Melaka. Syurga pasaraya marhaen.

Kembali ke Jalan Bunga Raya, rupa-rupanya ada sebab Lim membawa kami ke sini. Mengetahui minat melangit Dhiya kepada seni catan, Lim membawa kami ke sebuah kedai yang membekalkan peralatan melukis profesional. Kedai itu walaupun semak tidak tersusun, punya rangkaian peralatan melukis paling lengkap di Melaka. Jelas sekali tuan punya kedai punya penyakit mental hoarding, kegemaran mengumpul segala macam barangan walaupun tidak berkepentingan. Daripada kaligrafi Cina kepada media seni catan, kata Lim kedai ini tidak akan menghampakan. Aku melihat sekeliling dan pasti cuma tuan kedai saja tahu letak duduk setiap barangnya. Mata Dhiya menangkap satu sudut. Kelihatan sebuah lukisan yang ditiru daripada mahakarya pelopor impressionism Perancis, Monet bertajuk Evening In Venice. Lukisan jingga itu memukau sekali. Matanya tidak berkelip . Memandang penuh takjub.

Aku menyinggung Dhiya. Dasar perempuan tak keruan. Sekarang adalah masa Dhiya fokus kepada perkara di depan matanya. Dhiya memaksa dirinya memandang kembali kepada Lim.

Lim dengan yakin memperkenalkan kami kepada Uncle Chong, tuan kedai. Aku tidak pasti kenapa dia mahu melayan kami. Mungkin kerana persahabatannya dengan bapa Lim. Mungkin juga kerana kasihan. Bukan saja jelas kami terlalu kecil dan belum pun boleh dipanggil pelukis amatur. Juga kerana kami tidak akan mampu membeli apa-apa pun yang dikeluarkan.

Bagaimanapun, cukup menghairankan Uncle Chong terus saja mengeluarkan barang kelengkapan melukis catan seolaholah kami ini pelukis terkenal yang baru mendapat durian runtuh kerana lukisan baru dibeli aristokrat dengan harga ratusan ribu. Aku cuma melihat Lim senyum melihat kami kekagetan. Pasti rancangan dia. Peluang ini pastinya tidak dilepaskan Dhiya. Matanya berkunang melihat susunan berus-berus, warna minyak, akrilik dan pastel bersusun cantik di atas kabinet. Dhiya sudah pun meletakkan dagunya di atas kabinet; memerhati dan mendengar dengan tekun.

Uncle Chong menerangkan kepada kami satu persatu dengan bahasa Melayu hampir sebaik Lim. Mungkin dia Peranakan. Mungkin juga Hokkien yang diasah lidahnya sepanjang berniaga. Kami tidak peduli. Kami lebih takjub dengan apa yang dia mahu katakan. Bermula dengan jenis kertas dan kanvas.

Kertas atau kanvas adalah medium palitan warna. Penting sekali. Dan jika kau mahukan hasil yang baik, jangan sesekali dicampurkan warna dengan medium yang salah. Kemudian kami mengenali kain kanvas yang sesuai untuk cat minyak atau akrilik. Warna air memerlukan kertas khas bertekstur kasar untuk menaikkan warnanya. Untuk lakaran dan warna pastel lebih sesuai dengan kertas gelap bertekstur halus supaya warnanya jelas di permukaan. Dhiya menganggukangguk faham.

Tamat sesi pengenalan untuk kertas, kami berpindah kepada warna. Wah. Gemilang warna. Nampaknya pelajaran warna lebih mencabar. Kerana ia bukan saja pelajaran tentang warna, tetapi fizikalnya. Mengenal sifat setiap jenis warna penting kerana setiap satu punya berat, tekstur dan kelegapan berbeza. Uncle Chong mengajar tentang sifat akrilik dan cat minyak dan bagaimana

membancuhnya. Warna air pula walaupun lebih mudah dibancuh; bagaimanapun mengawal tonanya jauh lebih sukar. Manakala lakaran arang dan pastel memerlukan skil yang sangat tinggi dan perlu diasah bakatnya bertahun-tahun. Semua pelajaran ini walaupun terlalu padat untuk diterima dalam masa beberapa minit, Dhiya tetap mendengar dengan penuh takjub terpesona.

Aku pada mulanya mengira pengajaran yang mahu dibawa Lim pada hari itu hingga dibawa ke Jalan Bunga Raya adalah pengenalan asas seni visual. Rupanya ia jauh daripada itu. Setelah Uncle Chong memberitahu harga setiap satu material, Lim membuat kami faham tentang pelajaran paling penting di dunia. Bahawa semua benda berkadar terus dengan harga. Lebih baik kualiti sesuatu benda, lebih tinggi nilainya. Katakata akhir Uncle Chong begitu mengesankan. Membuat kami, anak kecil mendengar dengan mata berbinar dan memahami ilmu ekonomi dengan mudah;

Nilai warna ada pada diri lu sendiri. Pelaburan yang baik akan beri hasil yang baik juga!

Langkah kami girang. Terus berlari. Kami boleh saja pulang dengan rasa hampa anak kerdil yang tidak punya kuasa membeli. Tetapi hikmah mengenali anak Cina peniaga seperti Lim mengajar bahawa kami perlu menguasai ekonomi sebelum menakluk peradaban dan keindahan. Bahawa berdosa bagi kami meratapi dan meraikan kemiskinan lantas keluar daripada kepompongnya adalah kebajikan. ***

Lawatan sambil belajar ke Jalan Bunga Raya tidaklah secara mendadak mengubah pendirian Dhiya yang suka saja jika menghabiskan masa lapangnya dengan sekadar bermain-main. Dia masih lagi menginginkan sekiranya dia dapat mengumpul set asas akrilik Rowney yang menumpahkan warna kaya legap lagi gemilang. Dia masih juga mengimpikan satu hari nanti dapat membuat palitan pertama ke atas kanvas dan bereksperimen dengan gaya impressionism ala Claude Monet atau Degas. Bagaimanapun memikirkan harga satu tiub cat akrilik Rowney saja jauh melebihi wang sakunya selama setahun, Dhiya melupakan seketika impiannya itu.

Kemudian berlaku satu kejadian penting yang membuatkan Dhiya mual dengan keadaaan itu. Membuatnya bertekad memiliki sekurang-kurangnya set asas akrilik berjenama bagus bersama berus nylon. Benar-benar berharap pada umur sembilan tahun dia punya kuasa membeli dan memegang apa saja yang diimpikan.

Seperti yang pernah ku katakan, Dhiya di sekolah bukanlah pelajar sempurna. Untuk tahun pertama sekolah rendah, Dhiya menghabiskan masanya menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah yang lebih formal berbanding tabika KEMAS. Hampir saja dia berputus harap apabila menyedari silibus tahun satu tidaklah banyak berbeza dengan tabika tahun sebelumnya. Kebanyakan guru-guru Dhiya dengan mudah melabelkan Dhiya sebagai murid sederhana. Jadi tidak menghairankan apabila kau melihat Dhiya tidak mencuba apa-apa untuk menambah baik keputusan peperiksaan kerana sudah merasakan bosannya pendidikan kebangsaan dan betapa tidak relevannya mengejar nombor kecil teratas.

Dhiya bagaimanapun bernasib baik. Ibu Dhiya dengan pantas menyedari lompong yang dirasakan perempuan itu. Dia perlahanlahan membimbing Dhiya menghargai perkara-perkara kecil di dalam formaliti

silibus dan memberi tumpuan kepada subjek seni lukis, pemahaman bahasa dan sains yang lebih mudah dihadam Dhiya. Sedikit demi sedikit menambah bahan bacaaan di perpustakaan mini supaya melengkapi pengetahuan kognitif perempuan itu. Dan pada tahun ini, Dhiya dikunjungi tuah kerana memberikannya seorang guru yang memahaminya.

Satu hari, Sekolah Kebangsaan Kubu yang sederhana itu mengadakan pertandingan lukisan. Guru pendidikan seni Dhiya yang mungkin satu-satunya guru yang dapat menyelami pemikiran perempuan itu membuat pengumuman mahu membuat ujian saringan. Cikgu Maimunah mahu membawa mereka yang terbaik menyertai pertandingan melukis antara sekolah rendah. Kau pasti dapat menjangka ini adalah acara penting untuk perempuan itu. Bahawa acara ini bukan sahaja akan memberi peluang Dhiya berjalan ke tempat lain, malah kemungkinan mendapat penghargaan atas usaha dan minatnya. Tetapi semua ini harus melalui masalah besar.

Kata pujangga Leo Tolstoy yang bijaksana; Art is not a handicraft, it is the transmission of feeling the artist has experienced. Dan begitulah yang berlaku kepada perempuan itu. Dhiya telah punya pengetahuan bahawa cat air dan berus yang diberi percuma sekolah tidak mungkin memberinya hasil yang cantik. Warna air yang dibotolkan itu mempunyai pigmen kasar dan mencampurkannya dengan air cuma memburukkan keadaan. Teksturnya akan menjadi tidak sekata dan bila kering seperti berserdak. Berus sekolah yang kasar kejung juga tiada yang boleh memberikannya hasil yang cantik halus. Cuma krayon sahaja yang punya kualiti yang agak baik. Bagaimanapun bergantung sepenuhnya kepada krayon adalah terlalu amatur dan klise.

Cikgu Maimunah memberi masa satu jam untuk melangsaikan lukisan dengan tema bebas. Aku telah pun memulakan lakaran. Aku sentiasa menganggap lukisanku antara terbaik di kelas walaupun tidak sehebat Dhiya. Alang-alang cikgu memberi kebebasan, aku melukis subjek kegemaranku. Daripada siri TV populis, BJ and The Bear. Aku melakar pantas. Sudah hampir siap melukis garis-garis horizontal trak BJ apabila ku lihat Dhiya masih termenung panjang. Aduhai. Aku tahu apa yang Dhiya fikirkan.

Cepatlah, perempuan! Tak payah cerewet sangat. Nanti tak sempat siap!

Nanti!! Bagi aku fikir dulu. Jangan sibuk! Dhiya membeliakkan mata memprotes.

Kalau kau tak mula sekarang, jangankan hadiah! Pergi pertandingan tu pun kau tak dapat tahu tak

Dhiya menjeling tajam, menghela nafas. Tanpa ku sangka dia mencapai satu krayon. Akhirnya!

Dhiya telah memilih subjek yang aneh sekali. Betapa dia membuktikan perspektif keindahan di matanya sentiasa berbeza dengan anak-anak lain. Apabila Dhiya mula melakarnya aku memandang skeptikal. Aduh. Betapa klise. Aku tidak sedar aku yang dungu. Kemudian lakaran-lakaran menjadi semakin halus terperinci. Warna-warnanya begitu terang mempersona. Dahan berlingkar indah hijau pucuk pisang disudahi dengan bunga-bunga seri pagi biru lembut dengan debunga kuning terang. Semuanya dengan krayon. Baru ku sedar apa yang dilakukan Dhiya.

Dia mengambil corak kain batik ibunya lengkap dengan lakaran teliti bahagian kepala kain. Satu karya luar biasa dalam subjek yang sangat biasa.

Aku baru sahaja fikir lukisan itu sudah siap sepenuhnya apabila perempuan itu mula mencapai berus lukisan. Berkerut dahiku memikirkan apa yang mahu Dhiya lakukan. Sementara perempuan itu sedang memikirkan bagaimana dia mahu mewarnakan latar belakang dengan warna air yang tidak disukainya itu. Dhiya merasakan sangat ironik warna itu harus dipanggil warna air kerana mencampur kedua warna dan air bersama akan membawa kebinasaan tektur dan kelegapan warnanya. Dia harus mencari bahan yang lebih pekat untuk dicampur dengan warna itu dan mengawal tona yang sekata. Kemudian aku melihat Dhiya memejam mata, menghela nafas panjang. Aku tahu bahasa tubuhnya itu. Dia mahu membuat sesuatu yang agung. Atau gila. Aku berkerut. Merenungnya, menunggu dalam debar.

Tersentap jantungku seperti mahu gugur apabila perempuan itu meludah dan meludah beberapa kali ke dalam palet membancuh warna. Kemudian Dhiya tangkas menuang warna merah likat vermillion dengan banyak; kau mengenalinya dengan merah cili dan mencampur kedua-dua bahan. Berus kasar itu mengadun warna dengan kepekatan sempurna. Nah. Sekarang dia mendapat tona seperti yang dia mahukan. Aku menekup mulutku, mual mahu memuntahkan isi perut. Aku pantas mengambil kertas lukisanku dan beralih ke meja lain. Benar kata orang. Cuma ada pemisah halus antara gila dan genius. Betapa perempuan itu boleh menjadi hebat dan mereng sekaligus.

Dhiya melihat tekstur warnanya dengan takjub. Dan apabila warnanya memerlukan lebih bancuhan, Dhiya meludah lagi beberapa kali. Dia mewarnakan latar belakang motif kain batik dengan warna gemilang. Tonanya cantik sekata. Aku membayangkan jika benar ia kain batik dipakai dara, pasti diintai setiap jejaka. Pelik juga aku tiada siapa perasan dengan tindakan Dhiya. Yang lain terlalu

khusyuk menyiapkan karya mereka. Seperkara lagi yang menghairankan apabila lukisan itu kering, permukaan kertas tidak berserdak malah berkilat seolah menggunakan warna berjenama mahal. Sememangnya pilihan Dhiya terhadap materi bancuhan di luar duga itu sangat berkesan. Di dalam kesibukan anak-anak lain, di sebelah mereka telah lahir seorang artis agung yang sanggup membuat apa saja atas nama seni catan.

Usah kau bertanya siapa yang layak ke saringan pertandingan antara sekolah. Aku, seorang budak bernama Adli dan sudah pasti artis agung separa mereng bernama Dhiya. Cikgu Maimunah antara teruja dan bangga dapat menyemai bakat yang jarang-jarang ditemui seperti Dhiya telah mengangkat tinggi-tinggi lukisan merah cili itu dan memberitahu;

Kreatif dan berbakat! Pandai sekali Dhiya mengadun dua media serentak. Subjeknya pun luar biasa. Lukisan terbaik tahun ini!

Mahakarya yang sememangnya layak mendapat pujian melangit. Aku sungguh-sungguh tidak dapat menahan melihat kegilaan ini. Aku masih menekup mulutku melihat Cikgu Maimunah memegang kejap lukisan daripada bancuhan air liur.

***

Aku mendiamkan diri buat beberapa hari malas menegur perempuan itu. Terkejut aku belum lagi

reda. Dan Dhiya seperti baru menyedari perbuatannya tempoh hari melencong daripada garis sempadan kewarasan. Dia berjanji kepada dirinya akan memiliki set warna yang lebih baik sebelum pertandingan. Tidak sesekali mahu bergantung lagi dengan warna percuma sekolah. Sesungguhnya, jika dia sanggup membuat lukisan air liur, dia mesti sanggup mencari duit sendiri. Justeru beberapa hari kemudian aku menemui Dhiya di rumah bersama ibu kesayangannya sedang tekun membaca resepi kuih. Menyedari kehadiran aku, matanya bersinar-sinar riang. Aku mendengar Dhiya berteriak;

Adi! Esok aku jual kuih sama kau ya