Suatu masa dahulu, ketika pilihan raya kampus dijangka bakal berlaku sebelum dibatalkan gara-gara OPS 2020, saya gusar bilamana pilihan raya kampus hanya menjadi tapak eksperimen buat pemerintah untuk mengukur populariti mereka di kalangan pengundi muda yang kebanyakannya adalah pelajar universiti. Hari ini, kegusaran saya bertambah serius. Perkembangan terbaharu bukan lagi hanya berkenaan dengan eksperimen pemerintah, sebaliknya telah melarat kepada suatu krisis baru; medan sabung parti-parti politik yang bakal bertarung di pilihan raya umum nanti.
Sebulan yang lalu, ketika saya masih berada di luar negara, saya menerima khabar tentang penubuhan Kelab Mahasiswa Keadilan, yang secara jelas menjadi proksi kepada Parti Keadilan Rakyat. Kemudian disusuli pula dengan ura-ura tentang Kelab Mahasiswa UMNO. Sejak penubuhan kelabkelab ini, saya tidak pernah menyatakan sebarang respon yang berkaitan dengan situasi ini. Namun, satu-satunya yang menjadi kepastian saya adalah penubuhan kelab seperti Kelab Mahasiswa KeADILan dan Kelab Mahasiswa UMNO ini adalah langkah yang bijak, namun salah dan buruk.
Saya perlu memberi sedikit contoh sebagai gambaran kekhuatiran saya. Pada pertengahan dekad 60-an, ketika Bung Karno, Presiden Indonesia yang ketika itu sedang diasak oleh fraksi-fraksi politik dan musuh-musuh beliau; kampus-kampus utama di Indonesia turut menjadi medan perbalahan antara pemimpin-pemimpin pelajarnya. Ketika itu, gerakan-gerakan besar pelajar seperti Himpunan Mahasiswa Islam (HMI), Gerakan Mahasiswa Nasional Indonesia (GMNI), dan beberapa gerakan lain mulai diresapi elemen kepartian. Perdebatan dan keputusan politik yang dibincangkan pelajar seringkali dicemari dengan sifat bias dan diselingkari agenda resapan parti-parti politik, dan ini akhirnya merosakkan sifat neutral yang sepatutnya dimiliki oleh gerakan pelajar dan dewan senat pelajar.
Akhirnya, gerakan pelajar memilih untuk menggulingkan Bung Karno dan Orde Lama, lalu digantikan dengan Orde Baru milik Suharto. Menariknya, keputusan politik oleh pelajar ini sebenarnya tidak dicapai hasil resapan agenda kepartian, sebaliknya atas dasar logik dan keperluan mengikut situasi yang mana ketika itu rakyat dihantui kemiskinan dan pemimpinnya pula masih bermewahan. Walaupun akhirnya Orde Baru pimpinan Suharto ternyata lebih jijik dan korup, pelajar-pelajar ini tidak dipersalahkan oleh sejarah kerana keputusan mereka untuk menjatuhkan Sukarno adalah keputusan yang dibuat sendiri; neutral, bukan keputusan yang dibayangi parti dan fraksi politik kerana sebelum terjadinya penggulingan Sukarno, pelajar-pelajar ini berjaya menghakis kembali agenda dan proksi parti-parti politik di kampus-kampus melalui proses perdebatan, diskusi, dan pembersihan melalui pilihan raya pelajar.
Kembali kepada realiti hari ini, walaupun gerakan pelajar di Malaysia dewasa ini boleh dikatakan berskala kecil, impaknya kepada landskap politik Negara ternyata telah banyak kali menggoncangkan negara. Erti kata lain, gerakan pelajar sudah pun mampu untuk menjadi kuasa ketiga dalam menentukan masa depan Negara, terutama dalam hal-hal berkaitan politik. Memang diakui, gerakan pelajar di kampuskampus seringkali dilihat banyak memihak kepada oposisi. Sebut sahaja nama-nama penggerak politik kampus dan pelajar seperti SMM, GAMIS, DEMA, dan sebagainya, kebanyakkannya dengan mudah terkait dengan oposisi di Negara ini. Mungkin ramai yang menyangka pertubuhan-pertubuhan ini adalah proksi kepada parti-parti politik, namun telahan itu sebenarnya kurang tepat. Secara ringkasnya, koalisi yang berlaku antara gerakan pelajar dan oposisi tidak lain hanyalah bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan yang sedang memerintah hari ini. Untuk mencapai tujuan politik pelajar sendiri, konsep real politic menuntut gerakan-gerakan ini untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang.
Sayangnya, seperti yang saya titipkan awal tadi, lapangan ini sedang cuba diresapi dengan agenda kepartian. Kegagalan segelintir pelajar untuk memahami konsep bekerjasama mencapai matlamat bersama akhirnya melahirkan proksi parti yang tidak boleh lagi dinafikan. Kewujudan proksi-proksi ini akhirnya dikhuatiri bakal mencemarkan budaya berpolitik pelajar. Tidak pernah menjadi kesalahan kepada mana-mana pelajar untuk bergerak bersama parti politik yang diminati masing-masing, namun menjadi satu kesilapan buat mereka apabila menjual aktivisme kepada parti-parti politik. Mendirikan cawangan parti di dalam kampus bakal menimbulkan kecelaruan kepada pelajar yang mempunyai minat politik. Pelajar tidak sepatutnya dipupuk dengan doktrinisasi kepartian, sebaliknya diberi pendidikan politik sebenar sebelum mereka memilih parti.
Walaupun bayang-bayang parti politik mungkin selama ini sudah lama wujud di dalam kampus-kampus, namun apabila parti-parti politik dengan berani meletakkan proksi fizikal yang tidak perlu lagi berselindung, maka kita bolehlah mula menjangkakan beberapa kemungkinan yang bakal merugikan pelajar. Pilihan raya kampus bakal menjadi pilihan raya kecil.
Pemimpin pelajar lebih sibuk mengembangkan agenda parti berbanding menyelesaikan hal ehwal pelajar. Pemahaman terhadap teori dan praktik politik berdasarkan ilmu boleh terus dilupakan sahaja dan digantikan dengan ideologi parti yang mengongkong. Budaya YB-isme dalam kalangan mahasiswa bakal berleluasa. Gerakan pelajar yang asal bakal tenggelam apabila bersaing dengan proksi parti yang mempunyai dana dan kedudukan ekonomi yang lebih kukuh. Mimpi ngeri buat pencinta gerakan pelajar.
Maka, sewajibnya buat gerakan pelajar yang sudah lama wujud untuk bersiap sedia berhadapan dengan krisis ini. Pilihan raya kampus yang akan datang ini harus diselamatkan daripada menjadi medan sabung parti-parti politik. Cukuplah sekadar ia menjadi indikator politik negara, tidak seharusnya ia perlu dicemari dengan agenda kepartian. Berhadapan dengan bayangbayang parti pun sudah cukup meletihkan selama ini, apa lagi apabila berhadapan dengan tubuh fizikal yang sebenar. Tanpa sedar, berhadapan dengan krisis ini, sudah semestinya gerakan pelajar perlu kembali kepada misi untuk menyelamatkan kampus dari terus ditawan dengan anasir-anasir kepartian. Akhirnya, hanya ada satu jalan sahaja: hidupkan kembali Kesatuan Pelajar atau Students Union yang dikuburkan oleh AUKU.
Saat Students Union berjaya dikembalikan ke tempat asalnya, saya positif bahawa krisis doktrinisasi parti-parti politik ke atas pelajar dan kampus mampu untuk ditamatkan. Wallahualam bissawab.