Kesihatan bukan sahaja bermaksud bebas dari penyakit organik seperti kencing manis, darah tinggi mahupun serangan penyakit jantung. Akan tetapi ia juga bermaksud bebas dari segala penyakit minda yang membelenggu fikiran hingga aspek kehidupan terganggu.
Penyakit minda pula tidak sewajarnya disalah ertikan masyarakat sebagai penyakit gila yang mana penghidapnya merupakan beban kepada masyarakat. Tapi itulah realiti yang menimpa golongan bernasib malang ini.
Mereka dipinggir dan disisih serta disepak terajang di tepi jalan kerana mereka disangka sampah masyarakat. Akibatnya, golongan ini semakin lama semakin teruk. Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kualiti kehidupan mereka akan bertambah baik andai mendapat sokongan dari masyarakat.
Improvement of the social network, stigma reduction and especially on the development of personal strength has the potential to reduce depression in patients with psychosis and improving their Quality of life. [I.Sibitz et al, 2011]
Bagi seorang doktor pula, golongan ini tidak sepatutnya ditendang keluar dari menerima rawatan seperti mana pesakit lain yang sihat akal fikiran mereka. Ini kerana, mereka juga adalah pesakit yang memerlukan kita untuk merawat segala duka dan tekanan yang mereka hadapi.
Ruang diskriminasi tidak sepatutnya dibuka langsung!
Dari dulu saya sebenarnya begitu takut dengan pesakit mental. Sekiranya tersempak golongan ini di kedai-kedai semestinya perkataan LARI yang bermain di fikiran saya. Namun setelah empat hari memasuki posting psychiatry, saya berpeluang untuk bersembang dengan mereka dan cuba menyelami penyakit yang dihidapi mereka.
Kesannya, saya mendapat satu perspektif baru dan perasaan takut itu kian lama kian hilang. Namun, sifat berjaga-jaga dan curiga tetap ada. Maklumlah, mereka boleh bertindak di luar kawalan bila-bila masa sahaja.
Pernah sahaja seorang pesakit manic hampir membaling meja kecil ke arah saya sewaktu menenangkannya yang cuba menyerang bapanya. Nasib baiklah tiada apa-apa yang terjadi.
Tapi, curiga itu biarlah berpada. Curiga demi keselamatan diri namun tidaklah sehingga melarikan diri dari merawat mereka.
Kerana mereka juga adalah PESAKIT.
MASIh ADA YANG SAYANG
Sewaktu posting psychiatry, kami turut dibawa ke Pusat Serenti Besut bagi memenuhi keperluan posting psychiatry untuk melihat program pemulihan penagih dadah di sana disamping mendengar pengalaman hitam mereka.
Pada awalnya, kami disuruh untuk membuat perbincangan dalam kumpulan kecil mengenai berhenti merokok. Namun disebabkan tajuk dan bahan hanya diperolehi beberapa minit sebelum program bermula maka saya telah mengingkari arahan yang ditetapkan kumpulan saya agar membincangkan tajuk tersebut.
Mungkin ia berpunca dari kelemahan dan kesilapan saya sendiri. Maka saya ingin memohon maaf kepada ketua kumpulan kerana gagal melaksanakan tugas. Sebenarnya, saya tidak mampu untuk membawa perbincangan tersebut kerana tidak membuat persiapan awal.
Lantas, perbincangan kumpulan kecil yang saya laksanakan bersama dua orang lagi rakan posting lebih berkisar mengenai sesi perkongsian dan luahan perasaan.
Melalui sesi ini saya menetapkan dua matlamat utama iaitu menanam kesedaran dalam kalangan penagih agar mereka dapat berubah dan keduanya mengurangkan stigma kami ke atas mereka yang sebelum ini begitu takut dan memandang serong pada golongan ini.
Melalui sesi ini, saya begitu gembira kerana mendapat respon positif dari penagih yang menjalani latihan di sini. Namun, tidak dinafikan juga terdapat beberapa orang pelatih yang melarikan diri dari sesi ini. Mungkin juga berpunca dari ketidakcekapan saya mengendalikan perbincangan.
Ada dua benda yang ingin saya kongsikan di sini di mana ia disampaikan sendiri oleh golongan penagih.
Pertama ialah dari segi persepsi masyarakat terhadap penagih. Mereka kecewa kerana masyarakat masih memandang serong kepada mereka walaupun mereka cuba sedaya upaya untuk berubah. Keluar sahaja dari pusat, mereka masih menjadi mangsa cemuhan masyarakat.
Sekiranya berlaku kecurian atau lain-lain jenayah di kampung, merekalah orang pertama yang disalahkan. Kesemua ini menyebabkan mereka terpaksa kembali kepada kawan-kawan lama yang sanggup menerima mereka dan akhirnya terjebak kembali dengan dadah.
Kedua ialah tentang kesukaran untuk menghentikan ketagihan. Kata mereka, sesetengah dari mereka bermula dengan sifat ingin mencuba. Namun setelah dikuasai oleh najis dadah, adalah musthil untuk mereka berhenti. Ada penagih yang sudah berhenti selama 10 tahun namun kembali menagih.
Apabila saya meminta mereka berjanji untuk berhenti, mereka takut untuk melakukannya. Seorang penagih muda yang setahun lebih tua dari saya hampir menitiskan air mata kerana dia tidak dapat berjanji untuk berhenti walaupun ada keinginan untuk melakukannya.
Menjawab pertanyaan mereka mengenai status mereka sebagai penagih di sisi Islam, saya kemukakan tiga konsep yang Islam gariskan terhadap mereka yang melakukan maksiat. Saya nyatakan kepada mereka bahawa sebagai orang Islam kita wajib yakin dan percaya Islam mempunyai jalan penyelesaian untuk setiap masalah termasuklah masalah dadah.
Pertamanya ialah konsep taubat di mana setiap hamba yang bersalah perlu bertaubat dengan Allah SWT.
Keduanya ialah menyembunyikan kesalahan lampau dan membiarkan ia sebagai rahsia di antara mereka dan Allah. Saya katakan kepada mereka bahawa Islam tidak memandang masa lampau sebaliknya masa hadapan atau sekaranglah yang lebih penting.
Saya kongsikan kisah mengenai Saidina Ummar al-Khattab sebelum dan selepas memeluk Islam dan kisah pembunuh yang membunuh 100 orang manusia dalam proses untuk bertaubat sebagai pedoman buat mereka.
Dan ketiganya ialah perlunya satu penghijrahan untuk berubah iaitu hijrah dari rakan-rakan dan persekitaran yang menyebabkan mereka terlibat dengan dadah. Dan keduanya berhijrah dari golongan yang tidak boleh menerima mereka serta membuatkan mereka tertekan.
Sebelum kami bersurai mereka bertanya pandangan kami tentang penagih dadah. Apa yang kami fikir tentang mereka. Adakah kami menganggap mereka sebagai sampah atau manusia.
Bagi saya, sukar untuk saya memberi jawapan secara objektif terhadap persoalan tersebut. Saya ceritakan sebuah kisah kepada mereka di mana ada ahli keluarga saya yang terlibat dengan masalah dadah namun kami masih menaruh harapan agar mereka keluar dari jerangkap maut itu.
Saya kongsikan juga kepada mereka bahawa saya mempunyai ramai kenalan yang terlibat dengan masalah ini. Bahkan saya pernah melihat dengan mata kasar serta di demonstrasikan tentang cara-cara menyediakan suntikan heroin dan mengambil pil kuda. Tapi itu semua tidak memutuskan persahabatan kami dan saya masih berfikiran positif yang mereka akan berubah. Cumanya tidak dinafikan bahawa ada perasaan takut kepada mereka terutamanya yang berada dalam keadaan gian. Maklumlah ketika itu, akal mereka sudah lari jauh meninggalkan mereka.
Alhamdulillah, mereka menerimanya dengan hati yang terbuka. Di akhirnya, saya memberikan cabaran kepada mereka agar membuktikan bahawa saya silap dengan berfikir bahawa mereka tidak boleh berubah. Saya ingin mereka keluar dari masalah itu kerana saya sayangkan mereka atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan Islam.
Apa-apa pun saya bersyukur kerana diberi peluang untuk bersama mereka kerana ia menambahkan lagi pengalaman saya dalam bidang kefasilitatoran dan mengurangkan stigma saya terhadap golongan penagih dadah. Tahniah diucapkan kepada Jabatan Psikiatri USM atas inisiatif ini.
GANGGUAN
JIN AtAU
MASAlAh PSIKIAtrI
Kita lupa bahawa sebelum perubatan moden menjadi keutamaan kita, dahulunya orang ramai bergantung kepada teknik perubatan tradisional menggunakan pawang, main puteri, bageh, kuda kepang dan sebagainya.
Ubat-ubat akar kayu pula menjadi tonik untuk menguatkan badan atau mengeluarkan angin jahat dari tubuh.
Kepercayaan masyarakat kepada golongan bomoh dan pawang begitu menebal dan ada di antara mereka yang mengaitkan sakit yang mereka alami sebagai berpunca daripada gangguan jin atau ditegur hantu hutan.
Kepercayaan ini menjadi semakin kuat apabila penyakit tersebut mampu dirawat oleh Tok Bomoh dan pesakit dapat kembali berperanan dalam masyarakat.
Sehingga ke hari ini, masih ada lagi masyarakat kita yang mempercayai unsur-unsur mistik dan enggan menerima pendapat doktor pakar bahawa seseorang pesakit itu mengalami masalah gangguan emosi atau minda.
Di sebelah pihak yang lain, ada pula pakar-pakar psikiatri yang berpegang utuh pada ilmu yang mereka pelajari dengan enggan mempercayai wujudnya gangguan jin.
Saya pula mengambil jalan tengah yakni tidak menerima seratus peratus dan tidak menolak langsung unsur-unsur gangguan jin terhadap pesakit.
Sebagai seorang islam, kita wajib percaya bahawa Allah juga mencipta jin yang yang terdiri dari yang Islam dan ada yang kafir. Buktinya, Rasulullah sendiri berdakwah kepada golongan jin kafir supaya masuk Islam.
Oleh itu saya tidak menolak kemungkinan bahawa gangguan jin dan syaitan ini boleh menjadi pemula kepada penyakit yang dihadapi oleh pesakit. Cumanya, kita tidak mempunyai satu metodologi untuk mengintegrasikan ilmu perubatan moden dan ilmu perbomohan bagi mengesan sama ada sesuatu penyakit itu berpunca dari jin atau tidak.
Saya pernah mengikut rombongan dari USM yang disertai jururawat dan clinical psychologist menjalankan home visit ke rumah pesakit psikiatri bagi menilai perkembangan diri mereka dan memberikan rawatan lanjut.
Antaranya adalah di mana kami melawat rumah seorang pesakit darjah lima yang mengalami masalah anxiety yang teruk. Masalah pesakit ini akan bertambah teruk apabila ke sekolah dan dia sering bertukar-tukar sekolah disebabkan masalah ini.
Sewaktu kami menemuinya, pakar psikiatri memberikan rawatan cognitive-behavior therapy dengan mendekatkan dia dengan keadaan yang menimbulkan stress padanya. Kami membawa pesakit ke sekolah dan di sepanjang perjalanan, doktor memberikan kata-kata perangsang kepada pesakit.
Pesakit begitu ceria dan mampu bersembang dengan kami. Namun, apabila dia terlihatkan saja sekolahnya, dia mengalami hiperventilasi, sesak nafas dan seterusnya pengsan. Ini menyebabkan kami terpaksa membawanya pulang ke rumah.
Dari maklumat yang saya perolehi melalui folder pesakit, pada asalnya pesakit hanya mengalami keadaan itu di sekolah lamanya. Namun lama kelamaan, ia menjejaskan kehidupan sehariannya. Walaupun sering bertukar sekolah, perkara sama masih berlaku dan pesakit juga kadang kala mengalami masalah sama di pusat membeli belah atau di pantai.
Saya cuba mengorek kisah dari pesakit tersebut mengenai apa sebenarnya yang berlaku. Sambil menikmati secawan teh yang dihidangkan ibu pesakit, saya berbual-bual dengannya.
Menurutnya pada awal kejadian, beliau terlihat kelibat seorang lelaki muda berjubah putih, bermuka licin, berjanggut dan memegang kitab di dalam kelas di sekolahnya. Lelaki itu hanya tersenyum melihatnya dan sering memandangnya dari jauh. Dia cuba untuk menegur lelaki tersebut tetapi tidak dijawab.
Kejadian itu diceritakan kepada rakan-rakan namun dia terkejut apabila mendapati rakan-rakannya tidak pernah melihat kelibat lelaki seperti yang dinyatakan itu.
Dia menjadi risau dan mula beranggapan bahawa lelaki itu cuba untuk mengapa-apakannya. Setiap kali ke sekolah, dia akan membayangkan lelaki itu datang untuk menyerangnya. Ini mengakibatkan dia mengalami ketakutan yang amat melampau.
Kerana takut, sering dia menjerit meminta pertolongan.
Sangka rakan-rakan dan guru, dia disampuk hantu dan dibawa bertemu bomoh. Setelah penat bertemu bomoh, ada pihak yang memberi cadangan agar dia bertukar sekolah. Masalah ini hanya selesai untuk sementara waktu sahaja kerana dia mula membina keyakinan baru dalam dirinya bahawa lelaki itu mengikutinya ke tempat baru.
Kesan dari pemikiran itu, dia sering terbayangkan wajah lelaki itu dan ini memberikan satu ketakutan yang amat hebat kepadanya.
Setelah dirujuk ke HUSM, doktor pakar akan melawatnya di rumah untuk melakukan kaedah rawatan seperti yang saya sebutkan di atas. Akan tetapi ia gagal hingga menyebabkan doktor terpaksa memberikan ubat anti-psikotik kepadanya.
Kesan dari memakan ubat anti-psikotik tersebut, dia sudah tidak melihat lagi kelibat lelaki tersebut tetapi masih mengalami fobia untuk ke sekolah kerana bimbang bertemunya.
Kisah ini membuatkan saya tertanya-tanya. Siapa lelaki berjubah yang sering memandangnya itu Kenapa hanya dia sahaja yang melihatnya Mungkinkah ia sebenarnya jin yang cuba untuk mengusik pesakit tersebut.
Namun disebabkan ketakutan yang amat sangat, ia akhirnya membawa kepada gangguan jiwa kepada pesakit hingga terpaksa mengambil ubat anti-psikotik.
Saya sendiri tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku. Mungkin selepas ini pakar psikiatri boleh mengkaji hal ini secara mendalam lagi sebelum menolak terus unsur mistik sebegini. Ilmu perubatan ini sangat luas dan kita belum pun habis menerokainya.
hArI terAKhIr
DI JABAtAN PSIKIAtrI
Hari terakhir di Jabatan Psikiatri akhirnya tiba jua. Terlampau banyak kenangan dan ilmu yang diperolehi. Alhamdulillah! Segala-galanya menjadi pengajaran yang terbaik buat diri ini.
Benarlah kata-kata doktor lama;
The best teacher is your patient
Perlu diingat juga bahawa kesihatan bukan hanya diukur pada kesihatan jasmani. Akan tetapi ia juga melibatkan kesihatan rohani dan mental. Sekiranya salah satu komponen ini gagal berfungsi dengan baik, maka kita sebenarnya sedang sakit.
Orang yang sakit mentalnya tidak semestinya sakit dari aspek fizikalnya. Akan tetapi orang yang sakit fizikalnya semestinya mempunyai sedikit kecelaruan pada mentalnya. Maka pengalaman yang diperolehi dalam posting ini semestinya berguna untuk merawat pesakit-pesakit lain.
When you treat a disease, first treat the mind. [Chen Jen]
Alhamdulillah, saya mencuba sedaya upaya saya untuk mengintegrasikan aspek spirituality dalam mana-mana pesakit yang saya sempat temu ramah. Kesemua ini juga adalah untuk memberi semangat kepada diri saya sendiri. Saya yakin, bahawa tugas doktor muslim bukan sahaja untuk merawat penyakit fizikal akan tetapi untuk memperbetulkan kecelaruan dari aspek kerohanian.
The greatest mistake in the treatment of diseases is that there are physicians for the body and physicians for the soul, although the two cannot be separated. [Plato]
Pada hari terakhir ini, saya sempat meluangkan masa bersama pesakit di bilik Occupational Therapy. Dalam sesi ini mereka diajar memasak, membuat kraftangan dan berkaraoke dalam kumpulan bagi mempercepatkan lagi proses pemulihan mereka.
Saya sendiri menjadi teruja apabila bersama mereka apatah lagi seorang pesakit menghulurkan mikrofon agar saya turut sama berkaraoke bersama mereka. Malu memang ada. Tapi disebabkan pesakit lain turut meminta saya menyanyi maka biarlah lagu ini menjadi hadiah terakhir buat mereka. Walaupun suara yang kurang merdu, sempat juga saya berduet bersama pesakit untuk menyanyikan lagu Suci Dalam Debu yang dinyanyikan oleh Saleem.
Terharu juga saya apabila seorang pesakit memberikan ucapan selamat berjaya dalam peperiksaan biarpun hanya ditulis pada tisu tandas. Ia tetap berharga buat saya! Walaupun beliau sedang manic tetapi beliau tidak putus-putus mendoakan saya agar berjaya menjadi doktor yang baik hingga bergelar profesor. Walaupun kesihatan mentalnya tidak baik, saya berdoa agar doa mereka kepada saya dikabulkan. Dan saya juga berdoa agar mereka cepat sembuh dan mampu menjalani kehidupan yang lebih baik nanti.
KeNANGAN rOtASI
NeUrOSUrGerI
Tanya sahaja mana-mana pelajar perubatan tentang posting apa yang paling mereka takuti pasti majoriti dari mereka akan mengatakan Neurologi dan Neurosurgeri.
Ini kerana bidang ini terlalu rumit dan kami terpaksa menghafal begitu banyak perkara. Kebanyakan masanya, apabila selesai menghafal sesuatu, perkara yang dihafal sebelum ini secara automatik akan hilang. Lantas kami terpaksa membaca berulang kali kerana otak tidak diletakkan perisian untuk melakukan back up data.
Selain itu, pemeriksaan neurologi juga mendalam dan complicated. Penemuan fizikal akan menunjukkan masalah di bahagian otak yang tertentu. Kami juga terpaksa memeriksa pesakit dari hujung rambut sehinggalah ke hujung kaki.
Sistem saraf manusia ini boleh diibaratkan sebagai wayar yang bersimpang siur dan sering membuatkan pakar dalam bidang elektrik pening kepala. Akan tetapi, sekurang-kurangnya mereka boleh melihat wayar mana yang rosak. Sedangkan kami pula tidak dapat melihat wayar tersebut. Hanya boleh mengagak bahagian mana yang rosak berdasarkan manifestasi simptom.
Silibus fasa klinikal universiti kami hanya menetapkan tempoh selama dua minggu untuk posting neurosurgeri ini. Melalui posting ini, kami diberi pendedahan mengenai rawatan terhadap pesakit neuro baik di klinik, wad, dewan bedah ataupun unit rawatan intensif neurologi.
Aktiviti kami pula dibahagikan kepada ward round, tutorial, kelas mentafsir CT scan, on call at casualty dan unit rawatan intensif neurologi, clinical teaching dan juga menyediakan case report.
Tambahan pula, terdapat ramai pakar neurologi dan neurosurgeri yang terkenal di Malaysia dan juga luar negara menjadi pensyarah kami. Semestinya ia merupakan satu penghormatan buat kami untuk menerima tunjuk ajar daripada mereka.
Walaupun posting ini sukar, tetapi kami benar-benar teruja terutamanya apabila memeriksa pesakit neurologi. Ini kerana, penemuan yang ditemui pada pesakit sewaktu kami menjalankan pemeriksaan adalah sama seperti mana yang dijelaskan di dalam buku teks.
Selain itu, kami juga berpeluang melihat pembedahan otak dijalankan. Kami juga diberi peluang untuk menjadi pembantu dalam pembedahan kecemasan seperti membuang darah beku dari dalam kepala. Ada rakan-rakan saya yang menerima penghormatan tersebut.
Saya pula hanya sempat memerhatikan satu kes open craniectomy sahaja untuk membuang darah beku. Doktor akan menggunakan gerudi khusus untuk membuat lubang pada tengkorak, mengeluarkan darah beku, meletakkan klip pada salur darah yang masih berdarah dan kemudiannya menjahit kembali tengkorak tersebut menggunakan benang khas.
Sayang sekali kerana saya tidak berpeluang untuk menjadi assistant kerana ada kelas ataupun tidak peka dengan jadual pembedahan.
Alhamdulillah. Syukur kerana diberi peluang menyaksikan keajaiban ciptaan Allah ini. Sungguh begitu banyak sekali misteri mengenai otak yang tidak mampu kita rungkaikan.
DOKtOr BerhAtI DINGIN
Seringkali kita mendengar pelbagai rungutan baik dari pesakit, keluarga mahupun pelajar perubatan sendiri yang mengatakan adanya golongan doktor yang seolah-olah tidak mempedulikan pesakit.
Apabila mengadakan ward round, mereka kadangkala hanya mendengar laporan dari MO mahupun HO sahaja tanpa melihat atau mendengar luahan pesakit. Jika ada pun, hanya sedikit interaksi dan ekspressi muka yang ditunjukkan.
Golongan ini bolehlah saya kategorikan sebagai golongan doktor yang berhati dingin dan mereka ini biasanya terdiri daripada doktor-doktor yang berlatarbelakangkan surgical-based. Akan tetapi ini bukanlah bermakna mereka tidak mesra pesakit ataupun mempunyai masalah untuk bersosial.
Sebelum ini, saya mempunyai kecenderungan untuk mengkritik sikap mereka yang sebegini. Ini kerana saya membina persepsi bahawa doktor mestilah sentiasa berada di sisi pesakit untuk mendengar luahan hati mereka dan sebagainya.
Akan tetapi, di sepanjang perjalanan menuntut ilmu perubatan ini, akhirnya barulah saya sedar mengapa ada di kalangan mereka yang bertindak sedemikian.
Paling utama sekali ialah kerana mereka tidak mahu terlibat ataupun terperangkap dalam permainan emosi yang disebabkan oleh pelbagai faktor. Ini kerana, emosi akan menyebabkan seseorang doktor terutamanya surgeon kehilangan keupayaan untuk membuat penilaian secara kritis dan efektif.
Teringat kata-kata dalam sebuah drama perubatan yang berbunyi begini;
Only when eliminating the fact that patient is a human being then only a surgeon can carry out their work
Saya sendiri pernah mengalami permainan emosi sebegini hinggakan membawa dilema kepada diri. Tidak saya nafikan bahawa ada masanya hati saya cukup lembut sekali dalam berhadapan dengan sesetengah keadaaan.
Bayangkan seorang penuntut universiti yang masih muda dari golongan keluarga yang miskin, sudah tiada bapa dan bergantung kepada ibu yang bekerja kampung terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan kecederaan otak yang teruk. Si ibu masih lagi menanggung adik-adik pesakit yang masih bersekolah.
Pesakit tadi pula yang pada awalnya mempunyai masa depan yang cerah akhirnya hanya mampu terbaring di atas katil dan tidak mampu untuk meneruskan kehidupan normal. Dia akhirnya menanggung kecacatan kekal. Sepanjang tempoh berada di hospital, si ibulah yang menjaganya. Ini bermakna si ibu tadi tidak mampu untuk bekerja. Cuba kita fikirkan pula nasib keluarga malang ini. Dari mana ingin mereka dapatkan sesuap nasi
Ketika ditanya oleh ibu pesakit mengenai keadaan anaknya, saya kelu dan sukar untuk berbicara. Saya tahu bahawa pesakit ini sudah tiada harapan untuk kembali sembuh seperti normal. Sukar untuk saya menyatakan kebenaran ini. Hanya satu ungkapan yang terucap;
InsyaALLAH, kita doakan agar dia sembuh. Sekarang pun sudah nampak ada sedikit perkembangan.
Saya tidak pasti apakah kata-kata sebegitu boleh dikategorikan sebagai hipokrit. Namun, ia lahir akibat dari terperangkap dalam mainan emosi. Akibatnya, saya tidak mampu untuk menjelaskan keadaan sebenar pesakit.
Seorang lagi pesakit neurosurgeri yang saya temui baru berusia 12 tahun sewaktu mempunyai tumor di dalam tulang belakangnya. Walaupun ia melibatkan tulang belakang, tetapi masalah ini diambil alih oleh neurosurgeon memandangkan tumor tersebut tumbuh dari saluran meningeal yang bersambung dengan otak.
Saya kasihan akan pesakit ini yang tinggal jauh di hulu Kelantan dan datang dari keluarga susah. Dalam usia yang muda ini, beliau menjadi lumpuh dan ini mengingatkan saya akan kisah silam di mana saya juga pernah lumpuh. Saya takut sekiranya dia tidak mampu pulih dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda. Pasti dia tidak mampu lagi untuk berlari bersama rakanrakannya.
Pesakit yang lain sempat saya temui adalah pesakit congenital hydrocephalus disebabkan oleh sindrom yang dinamakan sebagai Dandy Walker Malformation di mana otak cerebellum tidak berkembang dan cecair CSF berkumpul di sekelilingnya. Dalam usia yang masih kecil, pesakit tersebut terpaksa mengalami pembedahan untuk membuang cecair CSF tersebut.
Saya begitu mudah sekali tersentuh dengan penderitaan pesakit dan terlampau membiarkan diri ini hanyut dalam kisah yang diceritakan oleh ibu pesakit. Itulah kelemahan yang memakan diri saya sendiri.
Berbanding sesetengah doktor pula, mereka mampu memberikan prognosis atau keadaan pesakit secara langsung. Mereka kelihatan tidak mempedulikan tangisan atau ratapan keluarga. Mungkin ia kelihatan zalim tapi mereka tidak berbohong dan menanam harapan palsu dalam minda keluarga pesakit.
Selain itu, kami juga diajar dengan perkataan empathy iaitu sesuatu yang menggerakkan jiwa seorang doktor. Berbeda dengan sympathy, empathy adalah perasaan di mana kita cuba meletakkan diri kita di dalam kasut pesakit dan menyelami penderitaan mereka. Berdasarkan perasaan itu, kita memberikan nasihat kepada pesakit mengikut angin dan jiwa mereka. Ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan risiko untuk doktor terperangkap dalam permainan emosi.
Walau apa sekalipun, saya tetap merasakan bahawa seseorang doktor itu perlu pandai membina skil komunikasi yang berkesan dengan keluarga pesakit. Andai kata mereka tidak mampu kerana ia akan menjejaskan tugas mereka, maka harus ada satu sistem yang membolehkan maklumat mengenai pesakit disampaikan dengan baik kepada keluarga agar mereka dapat memahami keadaan saudara mereka itu.
reFleKSI
POStING NeUrOSUrGerI
To study the phenomenon of disease without books is to sail an uncharted sea, while to study books without patient is not to go to sea at all [Sir William Osler]
Saya benar-benar menghargai tempoh menjalani rotasi neurosurgeri selama dua minggu itu. Walau bagaimanapun, jumlah masa yang diberikan itu bagi saya terlampau singkat. Masih banyak ilmu yang ingin saya kutip dari penyarah-pensyarah dan konsultan yang begitu dedikasi dalam menyampaikan ilmu. Apakan daya, menurut mereka neurosurgeri adalah satu bidang yang benar-benar khusus. Tidak semua yang perlu diketahui oleh medical student. Mereka sudah pun berpuas hati sekiranya kami mampu membuat pemeriksaan neurologi dan membuat penilaian Glasgow Coma Scale (GCS) dengan betul.
Masih saya ingat, sewaktu menjaga wad rawatan rapi neurosurgeri, seorang pegawai perubatan meminta saya melakukan penilaian GCS pada seorang pesakit. Saya pada ketika itu beranggapan bahawa semua pesakit berada dalam keadaan koma dan terus mengadakan pemeriksaan tersebut. Sewaktu hendak menguji respon pesakit terhadap kesakitan, saya langsung menekan bahagian atas orbit mata dan ia membuatkan pesakit tiba-tiba tersedar dan memandang saya dengan pandangan yang amat tajam. Saya yang terkejut dengan kejadian ini hampir-hampir sahaja melarikan diri. Sepatutnya, saya memanggil dahulu pesakit tersebut atau menggerakkannya dari tidur kerana memejamkan mata bukanlah bererti pesakit itu koma walaupun berada di wad rawatan insentif. Pengalaman itu pasti akan membuatkan saya lebih berhati-hati selepas ini.
Sungguh saya puji dan kagumi sikap para pensyarah, master student, trainee lecturer dan MO posting ini dalam menyampaikan ilmu walaupun mereka sedikit tegas terhadap kumpulan saya berbanding kumpulan-kumpulan sebelum ini.
Mereka betul-betul mengajar kami dengan penuh semangat. Selain itu, kami dianggap sebagai rakan setugas dan bukannya pelajar. Ada masanya kami bersama-sama menikmati sarapan pagi di klinik sambil bergurau senda dalam pelbagai aspek. Ini semua membuatkan kami berasa lebih rapat dengan mereka. Jurang antara pensyarah dan pelajar bagaikan tiada dan kami umpama rakan-rakan. Lantas ia membuatkan kami tidak berasa segan atau takut untuk bertanya soalan kepada mereka.
Kata-kata dari Sir William Osler yang saya selitkan di awal catatan ini membawa seribu satu makna buat saya dan saya sememangnya tidak mampu untuk menyanggah kata-kata bestari beliau itu.
Hanya dengan ilmu yang disusuri dengan pemerhatian terhadap simptom yang ditunjukkan pesakit kita akan memahami mengapa sesuatu perkara itu terjadi.
Dalam konsep beragama juga ditanamkan perkara yang sama bahkan telah diperingatkan berulang-ulang kali oleh Allah S.W.T dalam kitab agungNya;
Dan Dia telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir. [Quran 45:13]
Sesungguhnya Allah telah menyediakan banyak ruang untuk kita berfikir tentang kekuasaanNya melalui alam yang luas ini melalui bimbingan buku teks agung iaitu Al-Quran.
MasyaALLAH! Sayang sungguh rasanya jika masih ada manusia yang tidak mahu menerima Islam yang serba lengkap ini.
Dan Alhamdulillah. Berbanyak-banyak rasa kesyukuran patut kami panjatkan pada Allah SWT di atas kesempatan yang diberikan untuk mendalami ilmu neurosurgeri ini.
Saya benar-benar berharap supaya posting ini mungkin boleh dipanjangkan lagi tempohnya pada masa hadapan agar junior kami boleh mendapatkan ilmu yang lebih banyak lagi darinya. Sewaktu posting ini, kami berpeluang untuk bertemu dengan pelbagai kes neuro sama ada disebabkan tumor, strok, aneurysm mahupun disebabkan kemalangan jalan raya. Setiap satunya memberikan pengajaran bukan sahaja dari sudut perubatan tetapi juga dalam membina nilai kemanusiaan pada diri kami.