DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 6
Ini kisah salah seorang daripada kaum kerabat aku. Umurnya dah lebih 45 tahun. Dia anak sulung daripada 6 adik-beradik. Antara ramai-ramai adik-beradiknya, pelajarannya paling rendah. Dia jarang bercakap dan lebih banyak mendiamkan diri. Ketika adik-beradiknya yang lain sibuk bekerja dan berumah tangga, dia hanya duduk di rumah emaknya menolong memotong buah kelapa sawit di kebun bapanya. Dia jarang berhibur atau keluar mencari kawan. Dia takda kawan perempuan dan perkahwinannya diatur oleh saudara-maranya. Rasanya dia cuma lulus darjah 6 dan kerja yang layak untuknya adalah menjadi buruh kasar sahaja.

Tapi orang baik macam dia, hidupnya sentiasa dipermudahkan oleh Allah. Selepas berkahwin, dia dapat kerja di FELDA dan dapat pula duduk di rumah kuarters. Walaupun berkahwin ketika umur mencecah 40-an, dia dikurniakan dua anak yang juga pendiam sepertinya. Isterinya pun macam dia juga. Pendiam. Aku pernah pergi ke rumah dia masa hari raya tahun lepas. Walaupun ramai orang, dia buka TV cukup perlahan. Macam pergi ke rumah mayat pula rasanya. Sepatah kita bertanya, sepatahlah jawapannya. Sepuluh kita bertanya, sepatah jugalah jawapannya.

Pada suatu pagi, dia datang ke klinik aku. Muka dia pucat lesi. Dia mengadu cepat letih, sesak nafas dan mudah pitam. Dia memang ada masalah buasir semenjak 4 tahun yang lepas dan aku tak pasti dia berubat di mana. Aku tengok muka dia aku dah agak, dia kekurangan banyak darah. Aku cadang nak hantar dia ke hospital waktu itu tapi dia tak nak. Dia nak try makan ubat aku dulu katanya. Masa tu aku tak tahu pun dia akan balik naik bas. Kalau aku tahu, aku dah start kereta dah hantar dia ke bus stand. Itulah masalah dia. Dia kurang bercakap dan jarang berbincang masalah dirinya dengan orang lain. Yang aku dapat tahu kemudiannya, dia hampir pengsan bila sampai kat rumah.

Tengah hari semalam, dia call aku daripada klinik aku. Masa tu dah pukul satu lebih dan aku dah keluar daripada klinik. Dia kata dia dah tak tahan dan nak masuk hospital. Aku cakap aku tak sempat nak tuliskan surat untuk dia dan aku suruh dia terus sahaja ke hospital. Aku tak tahu macam mana dia cakap kat staf hospital tapi dia disuruh balik selepas diberi suntikan. Masa tu aku pun tak tahu sehingga aku dapat keputusan ujian darah dia yang aku ambil. Kepekatan darahnya cuma 5 point sahaja. Manusia lelaki yang normal memerlukan 13-18 point untuk hidup seperti biasa.

Aku terus call emak aku kerana rumah dia sebaris dengan rumah emak. Aku tanya sepupu aku dah masuk hospital ke belum Emak aku kata dia tengah tidur kat rumah. Aku cakap kat emak aku, kalau nak suruh dia masuk hospital ada tak sesiapa nak menghantarnya Emak aku kata buat masa ni memang takda dan boleh diuruskan tetapi petang sedikitlah. Sebagai seorang doktor aku tak sanggup melihat orang dengan Hb 5.0 duduk di rumah sementara menunggu mencari kenderaan untuk ke hospital. Ini zaman moden. Dalam hati aku berkata, buat apa ada kereta kalau tak digunakan untuk berbakti kepada orang lain Tengah hari itu juga aku start kereta balik kampung dan ambil sepupu aku untuk dibawa ke hospital. Keadaannya memang dah lemah sangat dah. Aku akan menyesal seumur hidup kalau dia ditakdirkan mati masa itu.

Pukul 1.40 petang, aku sampai di hospital. Staf yang aku jumpa semuanya staf-staf baru yang aku tak kenal. Direct je aku cakap, saya Dr. Zul dan ini sepupu saya. Darah dia cuma 5.0 dan saya nak dia masuk ke hospital untuk rawatan. Masa tu baru aku nampak Aziz, Razip dan beberapa staf yang pernah kerja dengan aku dulu. Aku suruh dia carikan kad sepupu aku dan aku nak tengok siapa yang merawat dia semalam. Rupa-rupanya hanya nurse yang merawatnya. Dia langsung tak dirujuk kepada doktor yang bertugas.

Diagnosis: Giddiness.

Treatment: IM Stemetil 1 ampule.

Dia disuruh balik dengan Tab Stemetil 10 biji. Aku malas nak cakap banyak-banyak tapi staf yang ada semuanya macam malu sendiri. Aku jumpa sendiri doktor yang ada kat situ dan aku berbincang dengan dia rawatan apa yang dia nak beri. Selepas aku puas hati barulah aku tinggalkan dia.

Keesokan harinya, beliau dirujuk ke hospital besar di Johor Bahru. Dua pint darah dimasukkan dan beliau selamat menjalani pembedahan buasirnya. Beliau sihat sehinggalah sekarang.

Menjadi doktor bukan sekadar memeriksa dan memberi ubatubatan kepada para pesakit. Ianya juga bukan setakat satu pekerjaan. Ianya adalah satu tanggungjawab yang akan ditanya di akhirat kelak. Aku harap jangan ada yang salah faham. Aku menolong bukan sebab dia sepupu aku. Aku menolong sebab dia adalah pesakit aku.