DIAGNOSIS 3: MORTUARI - 6
DIA selebriti di wad ini. Usia baru mencapai angka lima. Rambut kerinting. Mata cerlang. Kulit hitam manis, kurus cekung. Tipikal citra anak orang asli.

Adibah sudah lebih sebulan ditahan. Tubuhnya makin sihat, berat mendadak naik walaupun masih di bawah paras ideal. Ketika pertama kali tiba, menurut rekod, tak sampai lima kilogram pun. Diagnosis Pulmonary tuberculosis (TB). X-ray dada sangat teruk. Dan sesekali kelihatan nasal prongs46 tersangkut di telinga.

Paling kurang terapi empat bulan. Tapi mungkin lanjut sampai enam atau lapan bulan. Bergantung kepada respons terhadap rawatan. Dulu sangat uzur. Sekarang dah lain sangat. Aktif! Nasib baik katil besi, kalau tak dah lama runtuh, rakan houseman memperkenalkan. Cuba mencubit pipi Adibah, tapi segera mengelak dan sembunyi di belakang ibunya. Malu-comel.

Semua penyakit berjangkit ditempatkan di sini Nanti berjangkit pula sesama sendiri, saya mengeluh. Katil Adibah di kubikel paling hujung. Zon isolasi. Sebuah bilik kecil disendatkan enam katil.

Itu saja terbaik yang kita ada. Ruang terhad. Kemudahan terhad. Tak ada pilihan. Kubikel depan pun sesak pesakit. Letak Adibah di situ, open air, nanti parah satu wad pula berjangkit.

Saya angguk. Sebagai houseman baru di jabatan, kubikel akhir diletak atas bahu saya. Tidak banyak tugasan kritikal, sekadar mengemas kini perkembangan klinikal. Setiap minggu ujian darah Adibah perlu diperbaharui. Pertumbuhannya. Berat badan. Semua direkodkan.

Dari hidung kiri Adibah terjuntai tiub nasogastrik bersaiz kecil.

Pesakit TB kena makan ubat hari-hari. Tak boleh miss. Masalah biasa pesakit pediatrik- payah makan ubat. Jadi kita pasang tiub supaya mudah untuk suap ubat. Kalau tidak, hari-hari menggelupur, kata staffnurse. Kalau tak kena mood, Adibah tarik tiub tu. Terpaksalah pasang baru, tapitiga orang kena peganglah.

Ibunya masih muda, awal 20-an. T-shirt lusuh. Rambut kerinting. Mata cerlang. Kulit hitam manis, kurus cekung. Benar-benar seorang Adibah versi dewasa. Terlalu pendiam setiap kali kami menjenguk. Sehingga satu hari dia menarik lengan kemeja saya.

Bila Adibah boleh balik Kami mahu pulang.

Itu kena tanya doktor pakar, saya tersenyum melihat Adibah yang didukungnya. Adibah menutup muka, seperti biasa. Kalau balik, nanti susah pula nak bagi ubat.

Selepas itu berkali-kali ibu Adibah bertanyakan soalan sama kepada saya. Dia tahu, permintaannya akan ditolak oleh doktor pakar. Berkali-kali.

Saya kena balik. Tengok anak yang lain.

Suami suruh balik.

Ibu saya demam, nak jumpa Adibah.

Bertalu-talu alasan (rayuan) yang diberi, sesekali dengan mata berlinang air mata. Dan setiap kali rasa bersalah menjerut saya seperti kawat duri yang kemas. Saya tak ada pilihan kecuali menepisnya : Itu keputusan doktor pakar. Lebih mudah begitu. Adibah masih tersipu-sipu menyembunyikan wajahnya.

Baiklah, nampaknya doktor pakar sendiri mengalah, suatu hari.Tetapi Adibah tak boleh balik lagi. Ibunya saja balik, kena gilir-gilirlah jaga. Neneknya ada kan Ibu Adibah tersenyum gembira, sekalipun bukan itu yang diharapkan.

Benar, penyakit TB bukan mudah. Ubat perlu konsisten. Jika tidak, bakteria akan menjadi multi-drug resistance . Itu malapetaka! Ditambah, sikap sesetengah masyarakat orang Asli yang cenderung untuk melengah-lengahkan rawatan (mungkin kerana gaya hidup mereka yang masih kuat dengan tradisi). Bukan aneh, jika Adibah dibenarkan pulang (walaupun sehari), dia tidak akan kembali semula ke hospital untuk menyambung rawatan.

Kami sesama houseman menabung sedikit duit. Cadangan doktor pakar sendiri. Lalu diberikan kepada ibu Adibah, bekal untuk pulang. Neneknya akan datang mengambil giliran menjaga Adibah. Tidak lama, biasanya leret sehari-dua.

Terima kasih doktor. Terima kasih doktor. Hampir sepuluh kali diulangnya.

Sekurang-kurangnya terbebat rasa bersalah melihat ibu Adibah yang keriangan.

Adibah masih tersipu-sipu, memintal untai rambutnya yang kerinting.

****

Letak di acute cubicle. Strict Input-output and vital sign monitoring!

Kes baru masuk. AGE with severe dehydration. Bayi berusia 2 tahun. Dia cuba menangis, tapi suara langsung tak kedengaran. Soket matanya tenggelam, dalam. Air mata kering. Tubuh cachexic , malnourished51, dehidrat teruk. Seperti mereput dari dalam. Beratnya 1 kilogram lebih saja!

Pastikan intravenous drip jalan, pesan medical officer. Salur darahnya semua dah collapse, fragile. Susah nak pasang. Jaga elok-elok yang ada ni. Her life depend on it!

Para houseman mengangguk, masing-masing mengambil tugas. Di hujung katil, seorang wanita berambut kerinting sedang memeluk tubuh. Wajahnya risau.

Eh, ini adik Adibah ke Wanita itu tak menjawab. Diselubungi sugul. Saya membelek, nama bayi itu pada carta: Khadijah.

Wanita itu, ibu Adibah (dan Khadijah) menangis.

Saya tak lagi berani bertanya.

****

Adibah selebriti di wad ini. Penyakit kroniknya teruk. Banyak soksek-soksek kedengaran apabila adiknya pula yang ditahan wad. Kritikal juga.

Neneknya acuh tak acuh jaga Khadijah.

Tak ada orang jaga Khadijah di rumah.

Khadijah tak duduk dengan keluarga.

Mereka pindah-randah, tak jaga kebersihan.

Ah. Saya tidak mengendahkan. Sekarang bukan masanya mencipta spekulasi. Khadijah masuk ketika saya oncall, perincian kesnya saya arifi. Minggu itu juga saya ditugaskan menjaga acute cubicle,kebetulan. Tempoh 48 jam pertama penting untuk survival Khadijah.

Siapa cabut jarum di tangan adik Khadijah! Jam 10 malam, dan saya dah mula bising.

Saya yang cabut, doktor. Tersumbat tadi. Saya cabutlah, seorang jururawat sebaya saya menjawab. Acuh tak acuh sambil meneguk air.

Kenapa tak inform! Boleh saya cuba betulkan dulu. Bukan senang nak pasang baru! Ini bukan kes biasa tau, severe dehydrated ni.

Jururawat mencebik, Macamlah saya tak tahu. (Dan selama seminggu saya jadi popular di kalangan jururawat: baru houseman nak sombong).

Dua orang houseman dan dua orang medical officer mencuba, masih gagal memasang semula jarum tersebut. Tubuh Khadijah terlalu kecil dan mengecut. Sesekali tubuhnya menggigil. Seperti sawan, menyentak-nyentak. Buntu, medical officer mengambil keputusan memindahkan Khadijah ke PICU untuk dipasang arterial line53.

Adibah apa khabar - tanya saya dalam hati.

****

Dua hari Khadijah di PICU. Setelah agak stabil, alhamdulillah, dipindahkan semula ke acute cubicle. Pertama kali terdengar tangisannya, saya tersenyum. Tenaga Khadijah mula kembali. Mata mula terbuka. Ibunya setia di sisi, berkali-kali mencium tubuh kecil itu. Sesekali menangis.

Dulu ketika Adibah tiba, nazaknya betul-betul sama seperti adiknya. Alhamdulillah, Adibah berjaya. Harap adiknya sekuat Adibah, cerita medical officer.

Adibah apa khabar

Adibah tak tahu pun, kata ibunya. Sepanjang dua hari ini dijaga oleh neneknya. Dia sayang Khadijah.

Insya Allah, Khadijah dah makin baik, saya memujuk.

Petang itu, saya ternampak Adibah melompat-lompat riang di atas katilnya. Sendirian.

****

Ibu dan neneknya bergilir-gilir menjaga Adibah dan Khadijah. Seorang di kubikel depan. Seorang lagi di belakang. Wajah ibunya penat. Emosinya seperti sampan, teroleng-oleng di tengah lautan.

Adibah tetap dengan keletah nakalnya. Tersenyum dan tersipusipu. Tidak menyedari adik kesayangannya cuma berselang beberapa kubikel saja.

Selepas tiga hari di wad, mata kanan Khadijah mula berair. Bertahi mata. Mulakan ubat titis antibiotik, pesan doktor pakar.

Tubuh Khadijah mula berisi sedikit. Ketara walaupun baru tiga hari. Kulitnya mula menegang. Kaki dan tangannya mula hidup, memberi respons apabila digerakkan. Sedikit demi sedikit juga diajar menyusu.

Bagaimana agaknya keadaan adik-beradik dia yang lain, soksek para jururawat lagi, seperti selalu. Nak dikata ibu tak ada di rumah sebab menjaga Adibah, baru sebulan lebih. Tubuh Khadijah ni dah lama kekurangan zat. Sebab tu kurus keding.

Kecil.

Sekalipun tidak ambil peduli, tentu, ia terlintas juga di hati. Bagaimana sekitaran hidup mereka Tidak mudah paru-paru Adibah menjadi ranap begitu teruk. Dan Khadijah juga, ia bukan gejala malnutrisi sebulan dua!

Ah, ia bukan hal saya.

****

Doktor, tolong cek mata Khadijah Mata kanan.

Adibah duduk di kepala katil, memandang adiknya. Tak berkelip. Tak bersuara.

Khadijah pula tidak banyak bergerak. Tubuhnya masih terlalu lemah, baris rusuknya jelas. Ketara beza, tengkoraknya besar dan rangka badannya pula kecil.

Tak boleh lama-lama. Khadijah sakit, imunnya lemah. Nanti berjangkit pula dari Adibah, saya menegah. Sebak memerhatikan reaksi Adibah melihat adiknya dengan penuh rasa hairan.

Doktor, boleh cek mata dia tak Makin teruk nampak, ibunya berpesan lagi, sebelum mendukung Adibah kembali ke kubikel belakang. Pandangan Adibah sekalipun tak tergelincir daripada memandang Khadijah. Entah apa yang bermain dalam kepala kanak-kanak itu.

Benar kata ibunya. Mata putih Khadijah bertukar kemerahan. Mata hitamnya pula kelihatan aneh sekali, bernanah.

Rujuk pakar mata, pesan medical officer apabila saya memaklumkan.

Saya angguk. Rasa gusar mula membiak.

****

Perforated corneal ulcer.

Apa perancangan team ophtal medical officer beria-ia bertanya. Saya membelek laporan.

Conservative.

Maksudnya

Teruskan ubat titik antibiotik. Mata kanan hampir tak boleh diselamatkan. Khadijah kurang zat. Imun lemah. Respons rawatan susah dijangka. Ulser dah merebak, korneanya pecah teruk. Bila stabil atau semakin merebak, mungkin perlu lakukan evisceration .

Buang sebelah mata Seterusnya, hanya sunyi mengisi.

Dalam hati, gusar terus membiak.

Ibu Khadijah memandang kami berdua silih berganti, cuba memahami.

Gusar merebak. Dan petang itu, gejala adik Khadijah benarbenar merebak. Suhu badannya turun mendadak. Beberapa serangan sawan menyusul. Pernafasannya lemah, tidak seragam. Kadar oksigen juga merosot dua puluh lima peratus.

Khadijah sudah terlalu lemah. Pindahkan kembali ke PICU. Intubate pesan doktor pakar tengah hari itu.

****

Adibah memandang tubuh Khadijah. Tak berkelip. Tak bergerak. Masa seperti terhenti, simpati.

Suasana tak tergambar dengan kata. Adibah yang pemalu, memandang jasad adiknya dengan wajah yang keliru. Jumpa untuk kali terakhir, kata ibunya. Saya tak fikir ia idea yang baik, tetapi medical officer membenarkan. Khadijah kesayangan Adibah, tambah wanita itu.

Ketika Adibah mengucup dahi adik, mata ibunya basah. Dan ketika Adibah menyebut nama Khadijah, ibunya tak dapat menahan lagi.

Khadijah gagal petang itu.

Dan saya tertanya-tanya: Adakah Adibah memahami, makananya semua itu