*********************
Fung Yatt Building
Ketibaan saya di Hong Kong disambut oleh Dr. Azmeel Mazlee yang adalah orang yang pertama berjaya mengikuti kursus yang sama dan menjadi pembuka jalan bagi doktor-doktor dari Malaysia yang kini menyambung latihan kepakaran dalam bidang maksilofasial di Hong Kong. Saya masih ingat lagi Dr. Azmeel menyambut saya di pintu ketibaan dengan membawa bekal nasi berlauk semasa menyambut ketibaan saya di lapangan terbang Hong Kong.
Keberangkatan saya ke Hong Kong juga adalah fasa kedua hubungan jarak jauh saya bersama isteri selepas kali pertama berjauhan semasa mula-mula dihantar bertugas ke Kuching pada tahun 2004. Hubungan jarak jauh semasa di Hong Kong lebih sukar kerana pada ketika itu kami telah dikurniakan anak pertama iaitu Zariff Imran.
Masih saya ingat lagi saya bersama rakan-rakan seperjuangan, Dr. Syed Nabil, Dr. Rama Krsna dan Dr. Dharmindra Rajah mencari rumah untuk disewa di kawasan Sai Ying Pun berdekatan dengan hospital. Di Hong Kong, bangunan flatnya tinggi-tinggi dan rapat-rapat semuanya. Semua orang berjalan sangat cepat ibarat setiap saat sangat berharga. Kami bertugas di 2 buah hospital, Queen Mary Hospital di Pokfulam dan Prince Philip Dental Hospital di Sai Ying Pun.
Rumah yang kami pilih adalah sebuah flat kecil yang dipanggil Fung Yatt Building. Terletak di atas bukit tetapi berdekatan dengan Prince Philip Dental Hospital. Persekitaran flat kami di penuhi dengan flat-flat lain yang tinggi mencakar langit, pasar basah Sai Ying Pun, pusat jualan makanan kering dan restoranrestoran kecil dengan menu-menu tempatan. Saiznya flat kami, masya Allah kurang daripada 450 meter persegi sahaja. Flat ini sebenarnya ada 1 bilik sahaja tetapi bilik tersebut diletakkan papan pembahagi untuk menjadikan ia kepada 2 bilik berasingan tetapi masih dengan satu pintu masuk.
Satu bilik dengan katil double-decker yang dikongsi oleh Dr. Rama dan Dr. Dharmindra, dan satu lagi bahagian kecil di dalam bilik tersebut diletakkan satu katil single untuk saya kongsikan bersama Dr. Syed Nabil. Bayangkan 4 orang dewasa dalam flat ini dengan bilik mandi yang kecil dan dapur yang hanya muat dimasuki oleh seorang sahaja pada sesuatu masa. Di dapur itulah, Dr. Rama buat kali pertama dan terakhir juga menunjukkan skil masakan nasi gorengnya dan saya melakukan masakan rutin spageti hampir setiap hari.
Harga sewanya $HK 8,500 sebulan, pada ketika itu bersamaan dengan lebih kurang RM4,200 sebulan! Tidak termasuk bil air, elektrik dan Wi-Fi. Jika dibahagi empat lebih kurang RM1,050 seorang. Kos pengangkutan awam walaupun tinggi masih boleh dikatakan berpatutan. Cuma makanan dan barang-barang mentah sahaja yang mahal jika dibandingkan di Malaysia. Saya mengambil contoh harga Filet McValue yang berharga lebih kurang $HK 25 (lebih kurang RM12). Memang menjadi keperluan bagi pelajar-pelajar Malaysia di luar negara yang membuat bidang kepakaran atau ijazah peringkat sarjana terpaksa berjimat cermat. Ada juga yang terpaksa menjual kereta dan rumah mereka di Malaysia sebelum berangkat menyambung pengajian bagi mengurangkan komitmen kewangan bulanan untuk memberikan fokus sepenuhnya dalam bidang pengajian.
Kami berempat masing-masing melalui cabaran dan melakukan pengorbanan tersendiri. Sama seperti doktor-doktor pakar lain di luar sana. Jika tidak bersedia daripada aspek mental dan kewangan, memang boleh patah semangat dan berpatah balik. Fung Yatt Building memang banyak kenangannya. Di situlah juga hampir setengah tahun sebelum isteri saya mendapat peluang pekerjaan di Hong Kong, saya dan Dr. Syed Nabil berkongsi bilik tidur, berkongsi katil single, berkongsi bantal malah berkongsi selimut. Best friend forever till Jannah.
*********************
Di Manakah Kami Semua Jika Tidak Ada Kamu
Dr. Fahmi Bustaman menyertai kami sedikit lewat kerana dia adalah seorang doktor pergigian Angkatan Tentera Malaysia yang telah dihantar bertugas ke Gurun Sahara bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Jadi, apabila isteri saya akhirnya dapat berpindah ke Hong Kong, Dr. Fahmi menggantikan saya di Fung Yatt Building untuk menjadi teman sekatil sebantal Dr.
Syed Nabil.
Termasuk Dr. Azmeel yang adalah senior setahun, kami berenam bersama-sama dengan ahli keluarga kami masingmasing berjuang mengharungi suka-duka hidup di perantauan. Ada di antara kami yang isterinya di Malaysia seorang jurutera mengambil keputusan untuk berhenti, ada juga yang isterinya seorang guru mengambil cuti tanpa gaji malah ada yang isterinya seorang doktor perubatan turut mengambil cuti. Pengorbanan isteri-isteri mereka ini semuanya dengan satu tujuan yang utama, iaitu untuk bersama suami, menjaga keluarga dan memberikan sokongan moral kepada suami tercinta untuk fokus dalam pengajian serta latihan kepakaran mereka. Ada juga rakan-rakan kami doktor-doktor perempuan yang turut sama-sama berjuang di sini. Para suami mereka juga ada yang berhenti kerja untuk menjaga anak dan menjalankan tugas harian menjaga keluarga. Besar sungguh pengorbanan mereka.
Selain daripada pelajar PhD dan doktor-doktor yang melakukan latihan kepakaran bersama ahli keluarga mereka, sebenarnya ramai juga orang-orang Malaysia yang bekerja di Hong Kong yang kami kenal rapat dan sering mengadakan makan-makan untuk kami semua. Pak Din dan Kak Su, Abang Shidi dan Kak Rose, Firdaus dan Ainun, Kak Fauziah dan Abang Nasir, Fadzlee dan Nurul, En. Mokhtar, Cik Linda, adalah antara pegawaipegawai di Konsulat Malaysia yang selalu menganjurkan aktiviti dan sangat rapat dengan kami sekeluarga. Selain itu, di Tung Chung ada Zameen dan isterinya, kak Suzairah yang sangat hebat memasak serta sudah semestinya port menonton perlawanan bola sepak bila melibatkan pasukan Liverpool, sama ada di rumah Johari Julis di Shek Tong Tsui atau di rumah Ezwan Johaniff dan isterinya Dian yang tinggal di Mid Levels.
Boleh dikatakan hampir setiap minggu juga kami berjumpa. Mengadakan makan-makan, bertukar-tukar cerita tentang perkhabaran ahli saudara di Malaysia, gosip selebriti Malaysia, kerenah orang tempatan dan sebagainya. Paling meriah semestinya pada bulan Ramadhan iaitu pada waktu solat tarawih anjuran Konsulat Malaysia di Malaysia Building, Gloucester Road. Dan setiap kali pertemuan-pertemuan ini jugalah, boleh saya lihat di sebalik cabaran hidup di Hong Kong, terpampang pada wajah-wajah setiap seorang daripada kami dan pasangan masing-masing tentang kesungguhan, pengorbanan dan azam untuk melakukan yang terbaik demi perjalanan hidup yang telah kami pilih.
*********************
Seluar Kau, Seluar Aku
Bila sudah menjadi housemate memang perkara biasa kita berkongsi segala benda bersama. Kalau housemate dah sebegini, apalagi room mate, barang kau barang aku juga.
Waktu itu musim sejuk, dan saya pula sedang dalam minggu oncall (panggilan bertugas). Jadi sewaktu on-call, doktor-doktor bertugas mestilah berada tidak terlalu jauh daripada hospital, takut-takut ada kes-kes kecemasan di wad atau bahagian kecemasan.
Kami doktor-doktor Malaysia memang suka bermain futsal tanpa mengira musim. Sejuk, bunga, panas dan luruh semua kami redah. Antara gelanggang yang kerap kami gunakan ialah gelanggang futsal di tebing bukit Pokfulam dengan pemandangan bahagian Kowloon, padang futsal Happy Valley dan gelanggang futsal betul-betul berhadapan Prince Philip Dental Hospital di Sai Ying Pun. Memandangkan kami bertugas di dua buah hospital, Prince Philip Hospital di Sai Ying Pun dan juga Queen Mary Hospital di Pokfulam, adakalanya kami terpaksa menaiki teksi atau bas jika hendak bergerak di antara kedua-dua hospital ini.
Petang itu ada perlawanan futsal persahabatan antara pelajar ijazah pertama dan pelajar master. Walaupun saya di dalam panggilan bertugas, saya sempat turut sama bermain. Dari Queen Mary Hospital, saya dengan jaket dan baju kemeja terus singgah ke flat lama saya di Fung Yatt Building untuk mengambil seluar track saya yang dipinjam oleh bekas room mate saya.
Selepas memanaskan badan, saya teringat Dr. Fahmi ada beri peringatan.
Kau on-call kan Baik kau bawak phone kau sekali masa main.
Saya pada ketika itu menggunakan telefon bimbit jenis Samsung yang paling basic jadi saiznya tidaklah sebesar mana. Setuju dengan peringatan Dr. Fahmi, terus saya masukkan telefon saya ke dalam poket kanan seluar track yang saya baru ambil semula daripada kawan saya.
Sedang sibuk bermain, tiba-tiba samar-samar saya dengar bunyi deringan telefon saya.
Allah, mesti ada kes ni! detik hati saya di tengah-tengah gelanggang futsal sambil berlari-lari mengangkat tangan mahukan bola dihantar kepada saya.
Saya selalu ingatkan kawan-kawan saya yang saya dulu pada zaman student di Universiti Malaya adalah penjaring terbanyak dalam sukan bola sepak antara tahun. Tapi mereka selalu gelakkan dan jarang menghantar bola kepada saya.
Woi! Aku keluar dulu, ada call lah! jerit saya pada Dr. Syed Nabil yang berhampiran saya pada ketika itu.
Saya berlari pantas keluar gelanggang dan terus memasukkan tangan ke dalam poket kanan untuk mengambil keluar telefon bimbit saya. Ish! Apa ni!
Terkejut saya kerana apa yang keluar terlilit sekali dengan telefon bimbit saya ialah seluar dalam bekas room mate saya (nama dirahsiakan) yang meminjam seluar saya. Telefon itu kini telah saya buangkan jauh-jauh dan gantikan dengan telefon yang baru.