MENUJU NAFAS TERAKHIR - 6
Saya berjalan pantas ke sebuah kedai runcit berhampiran kawasan perumahan. Dengan lengkap berbaju sekolah, saya tidak pasti apa yang saya lakukan itu benar atau pun salah. Tetapi pada hari itu, saya tidak lagi berpatah semula apabila sudah berada di dalam kedai itu.

Bang. Bagi yang hijau tu bang, seorang lelaki yang berbadan besar, sedikit rendah dan mungkin berumur dalam lingkungan 20an memandang saya dengan satu pandangan yang sangat curiga.

Untuk siapa ni tanya lelaki tersebut.

Abang, jawap saya sepatah. Mendengarkan jawapan saya itu, dia mengambil sekotak rokok berwarna hijau yang saya maksudkan dan menghulurkan kepada saya. Setelah menghulurkan beberapa wang kertas berwarna biru, dan apabila baki dipulangkan, saya bergegas keluar dari kedai runcit itu setelah memastikan tiada siapa yang perasan akan kewujudan saya di situ.

Dengan perasaan yang masih takut-takut, saya berjalan dengan langkah yang lebih besar menuju ke kawasan perumahan. Di sebelah kawasan perumahan saya itu, terdapat satu kawasan yang dijadikan sebagai tempat meletakkan kenderaan bagi pengguna LRT yang juga terletak tidak berapa jauh dari situ.

Suasana di hujung kawasan tempat meletakkan kenderaan itu sangat sunyi. Hal ini kerana tiada orang yang ingin meletakkan kenderaannya jauh dari pintu masuk, melainkan sudah tiada lagi petak meletakkan kenderaan yang kosong. Kawasan di sebelah hujung pada hari itu sangat kosong dan tidak akan dilihat oleh sesiapa sekiranya berlaku apa-apa kejadian.

Saya meletakkan punggung di atas tar. Di kawasan yang redup itu, saya cuba untuk menenangkan diri dan menghabiskan segala lelah yang tertinggal. Suasana yang sepi itu kadangkala dibingitkan dengan bunyi tren. Rel tren LRT yang benar-benar berada di atas kawasan parkir itu akan mengeluarkan bunyi yang sangat menjengkelkan sekiranya terdapat tren yang melaluinya.

Tren itu meluncur laju dari stesen LRT Setiawangsa ke stesen LRT Jelatek atau mungkin dari stesen LRT Jelatek ke stesen LRT Setiawangsa kerana kedudukan tempat saya merehatkan langkah itu berada benar-benar di antara dua stesen.

Dengan lagak berpura-pura seperti sudah matang benar dalam menghisap rokok, plastik lutsinar yang membalut kemas kotak rokok itu, saya koyak. Sebatang rokok dikeluarkan. Setelah sebatang rokok dinyalakan hujungnya, saya menghisap tembakau bernikotin itu perlahan-lahan.

Pertama kali menghisap rokok, membiarkan asapnya bergulunggulung di dalam mulut adalah sama seperti perasaan meminum kopi pekat tanpa gula - tanpa terus menelannya ke dalam kerongkong. Tapi baunya sangat menarik. Mungkin bau rokok pada waktu itu mengingatkan saya kepada Ayah Chik, bapa saudara saya. Bau badannya penuh dengan bau asap rokok yang sangat, hurm, dewasa mungkin

Mengingatkan kembali betapa rakusnya saya menghisap rokok pada waktu itu membuatkan saya malu sendiri. Kerana kepurapuraan seorang kanak-kanak yang ingin menjadi seorang dewasa melalui perkara yang sebegitu adalah sangat melucukan. Setelah saya sedut rokok itu dari puntungnya, saya hanya membiarkan asap itu bermain-main di lidah, di dalam mulut dan kemudian terus menghembusnya keluar. Asap ranum (bagi sesetengah orang) itu tidak ditarik saya sehingga ke dada. Tapi, sekadar di dalam mulut, lalu dihembus terus ke luar.

Keberanian selalunya wujud tanpa sebab.

Jadi pada suatu hari, saya membawa sekotak rokok berjenama Dunhill ke sekolah. Dan kerana di dalam keberanian itu juga wujudnya ketakutan, maka pagi-pagi lagi setelah sampai di sekolah, saya terus menyembunyikan kotak rokok itu di dalam tandas guru lelaki. Di dalam tandas sekolah itu terdapat satu bilik kecil yang dilarang masuk, tetapi pintunya tidak berkunci. Di dalam bilik kecil itu hanya ada paip besi yang menjalar di merata-rata tempat. Dan di bilik kecil itu lah saya menyembunyikan kotak rokok yang dibawa oleh saya dengan harapan tiada siapa yang akan terjumpa perkara rahsia tersebut.

Selepas perhimpunan pagi, saya mengajak Aiman untuk ke tandas. Dia sedikit hairan kerana jalan yang kami sedang lalui adalah jalan untuk ke tandas guru. Bukannya tandas pelajar. Kenapa Tanya Aiman. Saya hanya mendiamkan diri, berniat untuk memberitahu padanya apabila sudah sampai di tandas nanti. Apa yang saya risaukan sekiranya memberitahu terus kepada Aiman tentang tujuan yang sebenar adalah dia akan berubah fikiran lalu tidak mahu mengikuti saya.

Ternyata setiap pemikiran manusia tidak selalunya tepat. Aiman kelihatan bersungguh sekali. Dia kelihatan seperti pertama kali melihat sesuatu objek yang dipanggil rokok itu. Di dalam bilik kecil tempat saya menyorokkan kotak rokok itu juga kami mengeluarkan sebatang rokok lalu membakarnya. Ya. Di dalam tandas guru, kami menghisap rokok.

Manusia sentiasa berada di dalam proses pembelajaran, tidak kira masa dan tidak kira usia. Bukan hanya saya, malah Aiman juga begitu. Malah dapat saya yakinkan bahawa setiap perokok yang sudah tegar itu juga melalui keadaan yang serupa, iaitu tidak menarik asapnya ke kerongkong, tidak menarik asapnya terus ke dada pada pertama kalinya mereka memegang sebatang rokok. Hanya mengumpalkan di dalam mulut dan menghembusnya ke luar. Ya. Begitu juga dengan Aiman.

Dan selepas beberapa kali kami sedutkan, rokok yang masih belum mencecah separuh itu kami buang ke lantai dan dipijak sehingga lumat. Kemudian saya dan Aiman dengan tergesa-gesa keluar dari tandas lalu meninggalkan kotak rokok di dalam bilik kecil itu lagi. Entah mengapa kami berlaku begitu, tidaklah saya ketahui. Mungkin kerana refleksi panik yang tiba-tiba muncul.

Setiap proses dalam kehidupan yang membentuk peribadi yang kekal pasti akan melalui satu tahap yang menakutkan. Mungkin menakutkan, mungkin merisaukan, mengerikan, menyedihkan ataupun mendebarkan. Dan saya telah melalui proses itu beberapa lama setelah kerap kali membeli rokok dan menghisap rokok secara kanak-kanak.

Satu hari selepas waktu rehat, saya menyedari bahawa dua batang rokok yang telah saya simpan di dalam bekas pensil telah hilang. Saya mulai resah. Resah memikirkan akibat kepada diri sendiri. Resah memikirkan tentang apakah tindakan yang akan dilakukan oleh pihak sekolah kepada pelajar berdosa seperti saya. Resah memikirkan persepsi setiap guru di sekolah itu dan setiap rakanrakan yang ada. Dan yang paling wajar untuk dinyatakan adalah resah memikirkan tentang ibu dan ayah.

Saya bertanya rakan yang duduk di sebelah saya Izat Ruslim adakah dia ada mengambil apa-apa di dalam bekas pensil saya. Dan sekiranya dia ada mengambil apa-apa sekali pun, mana mungkin dia mahu mengaku Dia menggelengkan kepala sambil membentulkan kaca matanya yang kecil dan tidak sepadan dengan saiz kepalanya.

Dari waktu itu, saya merasa gelisah tidak sudah-sudah. Berpeluh dan tidak mahu kering lagi. Menggeletar dan tidak berhenti bergegar. Saya cuba-cuba untuk menenangkan diri, tetapi, ah mustahil.

Apabila loceng terakhir telah berbunyi dan guru yang berada di depan telah pun membenarkan kami pulang ke rumah, datang seorang pengawas perempuan mengetuk pintu kelas. Dia mahu berjumpa dengan saya. Katanya, guru displin ingin berjumpa dengan saya di biliknya.

Apakah perkataan yang semoleknya untuk saya susunkan di sini, demi menggambarkan perasaan saya pada waktu itu Darah seperti meruap-ruap, mendidih menggelegak, lalu mengalir deras dan melonjak naik ke muka. Dengan langkah yang lesu saya ke bilik guru displin. Pada suatu waktu yang lalu, saya pernah ke bilik yang sama untuk sesuatu yang tidak saya jangkakan. Dan pada hari itu sekali lagi saya ke bilik yang sama untuk sesuatu yang sudah dapat saya agakkan.

Saya masuk terus ke dalam biliknya. Tiada lagi pintu yang perlu saya ketukan. Tiada lagi salam yang mampu saya ucapkan. Di atas mejanya yang kosong, tiada langsung buku-buku atau fail-fail seperti kebiasaannya, terletak dua batang rokok benar-benar di pusat meja tersebut.

Cikgu Nordin masih cikgu displin pada waktu itu, memandang saya, memandang rokok, kemudian memandang saya semula.

Tahu apa ni tanya Cikgu Nordin perlahan, dengan air muka yang dingin.

Rokok, jawab saya, sambil cuba-cuba untuk berlagak seperti tiada apa-apa. Banyak rancangan penipuan sedang saya rangkakan.

Siapa punya tanya beliau lagi. Saya diam, tidak menjawab dengan perkataan. Tapi mencebikkan bibir sedikit dan mengangkat kedua-dua belah bahu serentak.

Ada orang jumpa. Tahu dia jumpa kat mana untuk kali yang ketiga, Cikgu Nordin membuka ruang mulutnya dengan satu lagi soalan. Begitu juga dengan saya untuk kali yang kedua membuat muka biasa-biasa, lalu mengangkat kedua belah bahu sambil mencebikkan bibir.

Ada orang jumpa. Dalam pensil box awak, beliau menjawab sendiri soalannya. Mendengarkan hal itu, saya mengerutkan dahi. Cuba untuk mempengaruhi Cikgu Nordin agar memperlihatkan bahawa saya benar-benar tidak mengetahui apa-apa tentang dua batang rokok itu.

Saya tak hisap rokok cikgu, balas saya. Setiap perkataan saya pada hari itu seperti emas. Jarang-jarang dikeluarkan.

Siapa-siapa yang hisap rokok pun akan terus tak hisap rokok kalau kantoi macam ni, Cikgu Nordin cuba menekan saya. Cuba membuatkan saya untuk mengaku. Cuba untuk membiarkan saya dengan berat hati mengangkat rahang mulut dan bersuara ya rokok dua batang itu kepunyaan saya.

Tapi saya tidak mengaku kalah. Saya tidak cuba-cuba untuk memandang ke lantai dan memberitahu perkara yang sebenar. Bukannya kerana saya takutkan kesakitan yang akan dialami sekiranya dirotan oleh Cikgu Nordin di tapak tangan. Saya juga tidak risaukan prestasi pelajaran saya akan merosot sekiranya digantung sekolah lalu memberi impak negatif kepada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan saya duduki pada tahun itu. Tapi, perkara yang sangat saya risaukan ialah; Ibu dan ayah.

Baik, kalau awak tak nak mengaku, kata Cikgu Nordin, saya akan sampaikan perkara ini pada ibu bapa awak, sambung beliau. Saya hanya mendengar apa yang dikatakannya itu, sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Kalau betul bukan awak punya mesti awak tak takut, kan kata Cikgu Nordin, sebelum membenarkan saya pergi dari biliknya.

Kata-kata terakhir yang diucapkan olehnya mengalir-ngalir di dalam rongga ingatan saya. Benar, kalau bukan kepunyaan saya, tidak perlulah saya takut-takutkan. Tetapi, masalahnya adalah rokok itu benar-benar kepunyaan saya!

Ah!

Sampai sahaja di rumah, ibu sedang duduk berkemban dengan kain batiknya di ruang tamu. Beliau sedang melipat pakaian. Saya terus menerkam ibu, mencium tangannya seperti kebiasaan dan terus duduk di sampingnya.

Rancangan yang telah dirangka panjang sebelum itu adalah untuk memberitahu ibu tentang sebuah cerita rekaan sebelum pihak sekolah menghubungi ibu. Saya ingin memberitahu ibu bahawa terdapat seseorang di sekolah yang dengki akan saya lalu meletakkan rokok di dalam bekas pensil saya. Dan untuk memperhebatkan lagi rancangan saya itu, saya ingin mengatakan bahawa manusia yang dengki akan saya itu terus melaporkan pada cikgu bahawa di dalam bekas pensil saya terdapat sesuatu yang dilarang dibawa ke sekolah.

Pada waktu kritikal sebegitu, itu sahajalah idea terbaik yang dapat saya fikirkan.

Saya pantas membuka mulut ingin bercerita. Tetapi secara tibatiba, telefon bimbit ibu berbunyi. Dia mematikan perbualan kami sebentar, lalu menjawab panggilan yang masuk ke dalam telefon bimbitnya. Dia tidak bercakap apa-apa selepas menjawab salam yang pertama. Mata ibu tajam memandang saya sambil tangannya terus kaku memegang telefon bimbit yang dilekapkan di telinganya.

Selepas lebih kurang lima minit, ibu memutuskan perbualan di telefon bimbit sejurus memberi salam. Dia bangun dari duduknya, mencapai apa sahaja yang ada berhampiran dengannya pada waktu itu. Dan apa yang tercapai oleh ibu pada waktu itu adalah sebatang penyangkut baju yang berselerak di sebelahnya.

Dengan tangan diangkat tinggi, seperti mahu terus melepaskan kesedihannya di penyangkut baju itu, ibu bertanya dengan garang, dengan suara yang tersekat-sekat, dengan kesedihan yang meminta saya untuk jujur dan berterus-terang.

Melihatkan mata ibu yang berkaca, mendengarkan suara ibu yang tersedu-sedu, merasakan bahawa apakah perasaan ibu ketika itu, jadi saya memandang ibu, lalu dengan jujur yang dipaksa-paksa, saya menganggukkan kepala.

Ibu jatuh melutut di depan saya. Tangannya masih memegang penyangkut baju yang langsung tidak disentuhkan ke tubuh saya. Air matanya mengalir deras melabuhi pipi, sedunya bertambah tangkas dan kocak dadanya bertambah keras. Ibu tidak menghayunkan apa-apa ke tubuh saya. Tidak ada apa-apa yang menyakiti tubuh saya.

Sedang saya di depannya, turut mengalirkan air mata. Entah takut atau kecewa, melihatkan ibu berduka.

Keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) saya pada tahun itu tidak mencapai matlamat yang dijangkakan. Mungkin kerana selepas kejadian menghisap rokok itu, ibu tidak membenarkan saya ke sekolah selama beberapa minggu. Saya tidak digantung sesi persekolahan oleh pihak sekolah. Saya tidak diberi amaran yang pertama, malah tidak diberikan apa-apa tindakan langsung.

Tapi, ibu lebih tegas dari pihak sekolah.

Sekiranya kita sangkakan bahawa seorang ibu mampu menjadi sesuatu individu yang sangat memanjakan kita, ia juga boleh jadi seseorang yang sangat garang. Ibu juga boleh menjadi seseorang yang sangat tegas, yang sangat berhantu yang sangat pemarah, yang sangat panas baran dan sangat menakutkan.

Dan ibu seluruh dunia menjadi sebegitu kerana mereka sayangkan kita.

Kejadian itu tidak dipanjangkan oleh ibu kepada ayah. Secara mudahnya, ibu tidak memberitahu ayah tentang perkara tersebut dalam waktu itu juga. Selepas seminggu, barulah ibu memberitahu ayah atas rasa tanggungjawabnya.

Akibatnya sebutir mangga besi hinggap di dahi saya. Dan menghasilkan parut kecil yang masih kekal sehingga ke hari ini.