Saya tidak pernah mengimpikan untuk menjadi saintis bidang pengkomputeran ketika saya masih kecil. Berlatarbelakangkan keluarga yang sederhana pendapatan dan dibesarkan di luar bandar, saya hanya selalu terlopong melihat lakonan genius-genius komputer di layar tv. Selalunya mereka akan menaip papan kekunci dan di skrin akan terpapar beberapa ayat berlatar layar hitam. Dengan tidak semena-mena, hasil tindakan mereka ini akan menyelesaikan sesuatu masalah dengan cara yang sangat mengkagumkan! Begitulah selalunya imej yang dipaparkan mengenai pakar komputer dan stigma yang dipupuk ini menyebabkan jarang ada generasi muda di Malaysia yang menyimpan cita-cita ke arah profesion ini pada waktu itu. Tambahan pula, pada waktu itu kos untuk membeli peralatan komputer sangat mahal dan tiada kemudahan berkaitan seperti pada hari ini. Malahan urusan pejabat juga diuruskan secara manual dengan sistem pemfailan bertulis.
Namun begitu, menjelang akhir era 90-an yang mana merupakan tahun-tahun akhir saya di bangku sekolah, gelombang persediaan ke arah Wawasan 2020 semakin terasa. Salah satu anjakan paradigma pada waktu itu adalah penggunaan teknologi bagi meningkatkan kecekapan pengurusan. Ini termasuklah kempen cinta Information Technology (IT), ataupun Teknologi Maklumat. Masih terngiang-ngiang di telinga saya lagu dendangan Siti Nurhaliza yang sering diputarkan di corong radio dan dimainkan di TV bagi memupuk perasaan sayang kepada Telekom Malaysia (TM). Lagu ini merupakan medium penting yang mempromosi peluasan teknologi IT di Malaysia, yang pada waktu itu hanya mempunyai kira-kira 120,000 pelanggan Internet melalui Jaring dan TMNet.
Antara lirik lagu Cinta IT ialah
IT Agenda Baru Negara,
Malaysia Melangkah Ke Cyberjaya, Teknologi Hebat, Penyebar Maklumat,
Mencipta Satu Bangsa Berjaya.
IT Budayalah Hidup Kita,
Kekayaan Baru Dunia,
Cintai Pada IT,
Sejahteralah Diri.
Kenal IT
Suka IT
Pelajari Setiap Hari
IT Terkini
Oh ~ IT
Guna IT
Tingkatkan Ilmu IT
Malaysia Bistari
Terima IT
Belajar IT
Sayang IT
Guna IT
IT
Lagu ini amat mudah diingati kerana liriknya menceritakan kepentingan teknologi maklumat dengan bahasa yang cukup mudah, ringkas dan jelas kepada maksudnya.
Lagu ini juga popular dan dinyanyikan di mana-mana, termasuk di sekolah. Ia juga turut digunakan oleh kolejkolej dan program-program yang berkaitan pemupukan IT. Walaupun ramai rakan-rakan di sekolah yang mengambil kursus kemahiran IT selepas tamat persekolahan sambil menunggu keputusan SPM pada tahun 1998 saya tidak turut serta kerana tidak nampak keperluannya memandangkan minat saya lebih kepada sains tulen dan di rumah saya tiada komputer. Meskipun rakan-rakan juga tidak punyai komputer peribadi, mereka suka menghabiskan masa di kafe siber untuk bermain permainan komputer, melayari Internet dan bersembang atas talian, seperti mIRC dan ICQ (tertanya-tanya adakah generasi kini pernah dengar kewujudan kedua-dua aplikasi ini). Pada waktu ini juga, banyak tawaran mengikuti program diploma sains komputer yang dihantar oleh kolej-kolej swasta. Malah ada juga yang menawarkan biasiswa, tak kurang juga tawaran-tawaran yang lumayan! Setelah keputusan SPM keluar, saya memilih untuk meneruskan pengajian dalam aliran sains tulen melalui program matrikulasi biologi kelolaan UKM.
Alah Bisa Tegal Biasa
Sepanjang mengikuti program matrikulasi, saya dapati bahawa kekuatan dan minat saya bukan pada penghafalan, yang mana merupakan ciri penting kebanyakan subjek sains tulen. Saya juga merasakan tidak betah memilih kerjaya yang memerlukan masa yang panjang di makmal. Kebetulan pada akhir program matrikulasi, ada lawatan dari fakulti-fakulti di UKM yang menerangkan program yang mereka jalankan. Pada waktu inilah minat saya kepada bidang teknologi maklumat dan sains komputer bercambah. Ketika itu, ratarata pemahaman orang ramai tentang bidang IT ini ialah pembelajaran penggunaan perisian pejabat!
Akan tetapi, penerangan yang diberikan oleh wakil dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM), UKM membuka mata saya bahawa pendedahan yang jauh lebih luas akan saya perolehi jika menjurus ke bidang ini. Antara pengkhususan yang ditawarkan di dalam fakulti ini ialah Sains dan Pengurusan Sistem serta Komputeran Industri yang mana peluang kerjayanya akan membolehkan saya berjumpa dengan orang ramai serta belajar bidang perniagaan dan pengurusan. Saya merasakan prospek ini lebih sesuai dengan minat dan bakat saya. Maka, saya pun meletakkan jurusan ini sebagai pilihan pertama ketika memohon program sarjanamuda. Mulanya, saya tidak berapa yakin kerana berfikiran bahawa mahasiswa bidang ini akan berhadapan dengan masalah ketiadaan kerja berikutan lambakan tawaran program berasaskan komputer. Pada masa ini, kerajaan sedang giat menggalakkan pemuda dan pemudi untuk melengkapkan diri dengan kemahiran komputer kerana ianya dikatakan akan menggantikan proses manual di kebanyakan pejabat. Propaganda seperti kerajaan elektronik dan portal pelbagai organisasi mula menjadi kebiasaan. Ini telah mula menggantikan kefahaman bahawa komputer digunakan hanya untuk berbual dan melihat maklumat secara satu hala. Stigma melepak di kafe siber juga menjadi semakin sihat berbanding tanggapan yang lebih sempit sebelum itu.
Alhamdulillah, permohonan saya ke UKM telah diterima dan saya pun mendaftar di FTSM dengan pengkhususan Sains dan Pengurusan Sistem. Saya sangat gembira mempelajari pelbagai jenis sistem pengurusan dan kaedah membangunkan sistem yang dapat meningkatkan kecekapan operasi sesuatu organisasi. Saya juga mula belajar membangunkan laman sesawang, mengaturcara program dan menulis bahasa pengaturcaraan seperti HTML, Visual Basic, C dan Java. Mengimbau kenangan mempelajari bahasa baru ini membuatkan saya mentertawakan diri sendiri. Sudahlah langsung tidak faham mengapa bahasa pengaturcaraan itu dipanggil bahasa, saya juga gusar kerana kompetensi saya dalam bahasa penuturan juga masih terkial-kial. Kemudiannya baru saya faham bahawa rupa-rupanya bahasa pengaturcaraan itu adalah medium untuk berkomunikasi dengan komputer di dalam membangunkan suatu aturcara dan membentuk logik aturcara tersebut. Pelbagai kosa kata baharu telah saya pelajari selain daripada bahasa pengaturcaraan dan aturcara, seperti sintaks, penyusun (compiler), ralat, nyahpepijat (debug) dan melaksanakan aturcara (excutable). Kebanyakan rakan sekelas juga tertekan apabila kami perlu menyahralat penyataan aturcara satu per satu, sebelum kod aturcara tersebut dapat disusun dan dilaksanakan. Saya berasa sungguh kecil dan perlu belajar bertungkus lumus berbanding sebahagian rakan lain yang pernah mengambil diploma dalam bidang sains komputer. Kadangkala lebih dari setengah jam perlu diluangkan hanya untuk memaparkan satu ayat di skrin komputer! Jadi, bayangkanlah, untuk membangunkan sebuah aplikasi lengkap, beribu-ribu baris kod perlu ditulis dan tanpa ada kesilapan.
Pembelajaran saya juga disokong oleh keluarga dan saya amat berterima kasih kepada arwah pakcik yang telah memberikan hadiah sebuah komputer peribadi untuk membolehkan saya fokus kepada pelajaran. Namun, walaupun saya bergelar mahasiswa bidang pengkomputeran, banyak lagi kemahiran yang tidak saya punyai oleh kerana pendedahan saya kepada bidang ini lewat berbanding kebanyakan remaja lain. Jadi, saya pun menjadi ahli kepada kelab komputer di kolej kediaman. Melalui kelab ini, saya mempelajari beberapa kemahiran asas penyelenggaraan komputer.
Alang-alang Menyeluk Pekasam
Melalui siri kuliah di fakulti pula, saya didedahkan dengan pelbagai jenis sistem berasaskan atas talian. Kerja kursus yang diberikan juga memerlukan saya dan rakan sekumpulan memikirkan cara merekabentuk antaramuka dan sistem yang bersesuaian dengan keperluan organisasi yang telah ditetapkan. Saya berasa sangat seronok mendapat peluang untuk bertemu masyarakat dan mengaplikasikan pengetahuan yang ada. Namun, masih ada keluarga dan rakan-rakan yang menganggap saya hanya belajar cara menggunakan perisian pejabat, dan acapkali merujuk pada saya untuk menyelesaikan masalah mereka yang berkaitan dengan pengunaan perisian tersebut. Tidak kurang juga kata-kata sinis ketika saya gagal membantu mereka! Akan tetapi saya memang benar-benar tidak dapat menyelesaikan kekusutan yang mereka alami. Pada waktu ini juga, tutorial dan sumber di Internet yang berbentuk penyelesaian masalah kendiri (self-help) adalah terhad. Penggantungan kepada manual pengguna dan tutorial bercetak berbentuk buku masih tinggi. Ini menguatkan lagi fakta yang saya pelajari di fakulti bahawa setiap aplikasi dan sistem yang direkabentuk perlu mesra pengguna dan tiada ralat.
Mahupun pada awal mendaftar program sarjanamuda ini, ada juga tergerak hati untuk menukar ke bidang sains tulen, namun berkat fokus dan sabar, saya makin jatuh cinta dengan bidang ini. Saya juga berazam untuk menjadi saintis komputer yang berkebolehan tinggi agar dapat menyumbang kepada masyarakat. Selain itu, tarikan sampingan bidang ini ialah kemahiran yang ada boleh digunakan untuk projek separuh masa (freelance) bagi mencari wang tambahan. Pengetahuan yang ada juga boleh digunakan untuk membangunkan perisian secara sukarela sebagai amal jariah sebagai bekalan akhirat. Tidak dinafikan, ada juga kelompok mereka yang berpengetahuan dalam bidang komputer tetapi menggunakan kemahiran mereka untuk tujuan yang salah seperti menggodam sistem, mencuri identiti dan menyebarkan virus komputer untuk tujuan hiburan dan objektif peribadi yang lain.
Setelah melengkapkan projek tahun akhir sarjanamuda, saya mendapat tawaran menjadi pembantu penyelidik bagi geran penyelidikan di FSKTM UKM. Saya lebih bersemangat kerana merasakan saya dapat menyumbang kepada masyarakat melalui pengetahuan yang ada di samping menimba ilmu baru. Beberapa bulan selepas itu, permohonan yang saya hantar bagi jawatan tutor di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UPM pula diterima. Salah satu syarat penawaran kerja ialah untuk saya menyambung pengajian ke peringkat siswazah. Pada masa ini, Google mula mencipta nama sebagai enjin carian yang terkemuka di samping Yahoo, Altavista dan Lycos. Kertas cadangan penyelidikan yang saya sediakan untuk program sarjana adalah berkaitan pengenalpastian rakan atau pengguna yang sesuai dicadangkan untuk berhubung bagi perkongsian pengetahuan. Kajian yang saya jalankan memerlukan pembangunan komponen yang hampir sama dengan enjin carian, tetapi diaplikasikan untuk pengguna. Projek ini dikenali sebagai Recommended Friends di dalam aplikasi Facebook. Pada ketika ini, saya merasa bidang sains komputer sangat sesuai dengan jiwa saya. Walaupun penyelidikan saya tidak menyumbang secara terus kepada Google dan Facebook, namun saya merupakan sebahagian komuniti penyelidikan yang berkaitan. Inilah yang menguatkan rasa cinta saya kepada bidang sains komputer. Semangat ini jugalah yang saya pegang untuk terus tabah mengeksplorasi bidang sains komputer dan teknologi maklumat.
Salah satu cabang bidang ini yang sangat dekat dengan diri saya ialah kepintaran buatan. Semasa menjalani program prasiswazah, saya tidak mengambil kursus ini kerana takut tidak mendapat keputusan yang baik dan akan mengganggu skor keseluruhan PNGK (Purata Nilai Gred Kumulatif) lantaran ramai sahabat yang mengatakan kursus ini sukar. Akan tetapi, sepanjang pengajian pascasiswazah sehingga sekarang, bidang ini menjadi kegemaran saya. Ini kerana, bidang ini dapat membantu manusia dalam membuat keputusan dan meningkatkan kecekapan operasi dalam banyak aplikasi. Contohnya, memperkenalkan algoritma dalam meramalkan cuaca dan kadar kesibukan jalanraya pada masa akan datang. Penyelidikan ini dapat memudahkan orang ramai merancang rutin dan jadual seharian mereka. Bayangkan, jika tiada sesiapa yang meneroka bidang ini, sudah tentu ramai yang akan lebih tertekan kerana terperangkap di dalam kesesakan jalan raya ataupun masa terbazir ketika melancong kerana pergi pada waktu yang sesak!
Nah! jika anda telah membaca cerita saya di atas, saya harap anda telah dapat menyelami kepentingan untuk berani mencuba dan bagaimana bidang sains komputer menggalakkan saya untuk terus maju dalam hidup. Dapat saya katakan bahawa ada kalanya, halatuju hidup kita ditentukan secara tidak sengaja; walaupun ramai juga yang mempunyai falsafah tersendiri dengan menyusun strategi untuk berjaya dalam hidup. Cerita yang saya kongsikan di atas merupakan suatu contoh bahawa jika kita tekun di dalam sesuatu bidang dan mencurahkan sepenuh tenaga dan perasaan, kita akan dapat menjiwai bidang tersebut. Pokok pangkalnya adalah usaha dan dengan syarat bahawa bidang itu bukanlah bidang yang tidak baik!
Kepentingan ilmu sains komputer
Kini, saya bergelar Pensyarah Kanan di FSKTM. Setelah selesai program sarjana, saya telah menyambung pengajian doktor falsafah di Bristol, United Kingdom. Saya telah mula mengetuai beberapa projek penyelidikan dan menyelia pelajar sarjana dan sarjanamuda yang lain. Selain minat untuk menyelami dan mengukuhkan pengetahuan dalam bidang spesifik, saya juga berpeluang untuk menyediakan sedikit saham akhirat dalam berkongsi pengetahuan dengan orang lain. Saya juga berharap agar dapat berkongsi semangat yang ada supaya insan-insan lain juga akan turut sama berkobar-kobar seperti saya. Saya yakin walaupun orang lain mempunyai pengalaman yang berbeza, mereka juga punya azam tersendiri dalam menentukan hala tuju hidup mereka. Apapun, yang penting ialah memberi peluang kepada diri sendiri untuk meneroka sesuatu perkara baru dengan tidak jemu. Hakikatnya, halangan dan cabaran pasti datang menduga, tetapi bak kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Jadi, putus asa tidak harus ada di dalam diri sesiapapun jika ingin mendapat kejayaan.
Bidang sains komputer tidak dinafikan telah menjadi tunjang bagi pengoperasian sesuatu organisasi, tidak kira di hospital, sekolah, kementerian, perniagaan, mahupun perbankan. Kini, pelbagai bentuk baru gajet dan aplikasi telah diperkenalkan, bersesuaian dengan keperluan masyarakat yang semakin berubah. Gajet yang tercipta kebanyakan bersifat mudah alih, boleh pakai, kecil dan ringan. Tidak lama lagi, gajet-gajet ini akan berhubung antara satu sama lain dan juga boleh disambungkan kepada peralatan elektronik lain di sekelilingnya. Ilustrasi di dalam drama dan filem sains fiksyen yang dulunya dipertontonkan akan menjadi kebiasaan dan digunakan sebagai keperluan seharihari. Harganya juga akan menjadi lebih murah. Ini semua sudah tentu tidak akan menjadi realiti jika tiada modal insan dengan kemahiran bersesuaian untuk melaksanakannya.
Maka, peluang pekerjaan dan perniagaan yang berkaitan juga akan berkembang. Adakah perkara ini akan berakhir Bila Tiada siapa yang tahu jawapannya. Akan tetapi, setidaktidaknya, perkembangan positif ini menjanjikan peluang pekerjaan kepada manusia. Ia juga menandakan ilmu dan kemahiran yang berkaitan akan terus berkembang, sejajar dengan keperluan dan kreativiti pencipta teknologi yang berkenaan. Mungkin ada yang mengecam dan gusar bahawa teknologi mungkin akan menggantikan manusia dan peluang pekerjaan berasaskan buruh. Akan tetapi, perkara ini tidak mungkin akan berlaku. Kemungkinan yang ada hanyalah sifat dan skop modal insan yang diperlukan akan dipertingkat serta lebih mengkhusus. Ini menandakan perkembangan ketamadunan manusia, bukan Jadi, berazamlah untuk menjadi salah seorang kepada penyumbang perkembangan bersejarah ini. Anda boleh mengubahnya!
Biodata
Dr Nurfadhlina Mohd Sharef kini bertugas di Universiti Putra Malaysia sebagai Pensyarah Kanan mulai tahun 2010. Beliau menamatkan pengajian PhD beliau di University of Bristol, United Kingdom di dalam bidang Kecerdasan Buatan pada 2010. Beliau telah mendapat Ijazah Sarjanamuda Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2003 dan Ijazah Sarjana dari Universiti Putra Malaysia pada tahun 2005. Minat beliau di dalam penyelidikan adalah di dalam bidang perlombongan data, web semantik dan sistem cadangan