Love, Six Pence Non The Richer
AKU berdiri tegak di ruangan itu. Di hadapan ialah kawasan parkir kereta. Ada banyak. Mungkin dua puluh kereta, mungkin tiga puluh di sana. Di hujung ruangan parkir itu ialah apartment berwarna lusuh. 10 tingkat mungkin, aku tak kira pun.
Aku mengelilingi Brandenburger Gate sebelum sampai ke sini, melalui Wilhemstrasse selama 8 minit. Mungkin 600 meter jaraknya dari sana. Yang menyebabkan aku resah dan gelisah kini ialah kerana tiada apa kelihatan di sini.
Aku memandang kiri dan kanan jalan yang basah. Seorang warga Berliner mengayuh basikal tanpa mempedulikan diriku yang tercegat berdiri di hadapan ruangan itu. Aku memasukkan tangan ke dalam poket seluar kerana kesejukan.
Tak mungkin.
Tak mungkin ini sahaja tinggalannya
Mengingatkan betapa sukarnya aku bangkit awal pagi, ber jalan di dalam dingin 7 darjah melawan gerimis dan rintik hujan dari Oranienburger Strasse, turun naik S-Bahn tanpa peta, hanya berbekalkan nama tempat, bergaduh dengan warga Berliner sebab nak tanya jalan padahal depa tak nak cakap English dan yang paling penting; aku belum sarapan pagi ni.
Betapa terujanya aku pagi ni mengalahkan keterujaan aku untuk lihat Brandenburger Gates atau Charlie Checkpoint memandangkan berbakul-bakul video dan buku pasal dia aku baca sebelum ni.
Tapi itulah, dunia ni memang indah, masalahnya kalau musim sejuk, siang sikit sangat dan selalu gelap. Jadilah perumpamaan dunia ini tak selalunya indah. Dan kita tak akan dapat apa kita nak.
Aku masih lagi terpaku di titik itu. Merenung ke depan sambil menghembus nafas perlahan. Kepulan asap keluar dari mulutku, dan menghilang. Keluar lagi, dan menghilang.
Aku perlu buat keputusan. Memang yang aku cari, tak seperti yang aku temui. Aku tinggalkan tempat itu dengan perasaan bercampur baur. Aku membayangkan pagi 1 September 1939 entah macam mana 1.5 juta askar Jerman masuk Poland pagi-pagi buta jam 4.45 pagi. Untuk Hitler, menyerang Poland bermakna Lebensraum atau tempat tinggal untuk rakyat Jerman. Serangan pagi itu menandakan permulaan Perang Dunia Kedua, dan aku kini berdiri di hadapan ruangan atas Bunker-nya.
Di Charlie Checkpoint kemudian, aku berhenti lebih lama untuk meneliti kesan post-Hitler kepada warga Berlin.
Huru hara selepas kejatuhan Nazi menyebabkan kuasa be sar dunia terutamanya Rusia dan Amerika jadi beruk. Dok berebut ke Berlin ni sampailah kena bina Tembok untuk bahagikan kawasan. Jadilah Tembok Berlin.
Jerman Timur yang dikuasai Rusia membina Tembok Berlin ini sejauh 43.7km melepasi Berlin dan 112.7km mengelilinginya. Rekod Polis Jerman Barat yang dikuasai Amerika dan suku sakat depa pula menyatakan antara 1961 dan 1989, 5075 orang berjaya melepaskan diri melalui Tembok berkenaan, 1709 kes di mana polis menggunakan senjata dengan 119 kecederaan, 456 peluru ditembak ke Jerman Barat dan kononnya hanya 14 peluru ditembak ke arah Jerman Timur, 37 serangan bom terhadap Tembok dengan 136 kematian direkodkan terhadap orang yang ingin melintasi Tembok ini.
Sebagai kota dengan tembok besi - Berlin benar-benar melemaskan. Antara kesan Fuhrerbunker dengan Brandenburg Gate, Friedriechstrasse dengan Checkpoint Charlie, antifasis dengan de-nazified, Khrushchev and Ulbricht; seorang yang pandai boleh menjadi bodoh seketika tatkala mula menaiki tren U-Bahn di sini. Keliru antara kemanusiaan dan kemajuan, krisis ini kelihatan di dalam anak mata warga Berliners. Tatkala mereka memilih untuk malu berhadapan dengan sejarah yang dicipta Hitler, mereka terus berjalan ke hadapan, membuka semula stesen-stesen hantu yang pernah dibina Jerman Timur seperti stesen Nordbahnhof dan tidak lagi menoleh ke belakang. Mereka belajar, perang itu walaupun sejuk - ianya menyakitkan.
Malangnya, skrip dan naratif Tembok ini masih lagi diulang-ulang oleh kita sehingga kini. Di Tebing Barat, tembok-tembok dibina untuk mengasingkan wilayah Palestin dengan Israel. Pernahkah dunia belajar dengan kebodo han Jerman Timur pabila membina Tembok Berlin
Berteriak-teriak peri kemanusiaan dari Geneva; entah kemanusiaan apakah yang kita anuti kini