BANDUAN AKHIR - 6
Bab ini mengisahkan bagaimana seorang algojo atau tukang gantung menjalankan tugasnya serta catatan hidup hariannya. Hukuman gantung, mendengarnya sudah cukup menggerunkan. Bagaimana pula kalau bertugas sebagai tukang gantung Bagi Damien (bukan nama sebenar), telah berkhidmad selama 30 tahun di Jabatan Penjara Malaysia dan melakukan tugas khasnya sebagai tukang gantung hampir 20 tahun.

Beliau berpengalaman melaksanakan sendiri penggantungan seramai lebih 104 orang banduan, lelaki dan wanita termasuk kes-kes berprofil tinggi di Penjara Pudu, Penjara Kajang dan Penjara Taiping. Banduan terakhir yang beliau lakukan penggantungan ialah warganegara Nigeria, pada tahun 2002 atas kesalahan dadah. Cabaran cukup besar dalam melaksanakan tugas tersebut kerana bukan mudah hendak mengambil nyawa orang.

Begitulah kesimpulan awal yang diluahkan oleh beliau yang berpangkat Timbalan Penguasa dan berusia 48 tahun. Beliau cukup selesa ditemu ramah dan sepanjang kira-kira dua jam perbualan, Damien banyak berkongsi pengalaman tentang hukuman gantung serta pe-

laksanaannya. Beliau ialah generasi ketiga dalam keluarganya yang bekerja sebagai pegawai penjara kerana ayah dan datuknya juga merupakan kakitangan Jabatan Penjara Malaysia. Damien tidak menganggap tugas sebagai tukang gantung sebagai glamor.

Saya suka tugas yang mencabar dan menguji kemampuan saya melakukan sesuatu yang tidak biasa dilakukan oleh orang biasa. Menurut beliau di dalam penjara ini, ada dua jenis kerja yang mencabar, iaitu tukang sebat dan tukang gantung.

"Kalau kita mampu buat dua kerja itu, maknanya kita telah sampai ke peringkat akhir, kalau belajar telah sampai ijazah kedoktoran, katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di Penjara Kajang baru-baru ini.

Ada satu sifatnya yang diberitahu kepada penulis yang mungkin memberi kelebihan untuknya menjalankan tugas khas, iaitu sejak kecil beliau tidak boleh menangis dan mudah mengatasi perasaan sedih. Menurut beliau lagi, Nak buat kerja tugas khas ini, tak boleh ada rasa kasihan dan tak boleh cakap besar.

Ramai pegawai penjara yang ingin menjalankan tugas khas ini tetapi prosesnya bukan mudah, kerana mereka akan diuji dan dibuat tapisan. Yang memohon juga hanya mempunyai satu peluang, sekali ditolak, mereka tidak boleh memohon lagi. Menurut Damien, jika 30 yang memohon dan ditapis, akhirnya yang tinggal mungkin tiga atau empat orang sahaja dan ada kalanya tiada langsung.

Sebelum dipanggil temu duga, rekod kerja serta latar belakang akan diteliti, kedudukan kewangan kita juga penting. Nak buat tugas ini, fikiran tak boleh berserabut. Pandai menyimpan rahsia juga amat penting kerana pegawai yang melaksanakan tugas ini ada kalanya mendapat tahu mengenainya seminggu lebih awal, jelas beliau lagi.

Beliau sendiri diperhalusi sifu-sifunya sebelum dibawa masuk ke bilik gantung.

Hukuman gantung ini tidak dilaksanakan tiap-tiap hari. Kadangkala satu tahun ada satu atau tiga kali sahaja. Masa itulah kita akan dibawa sama untuk berada di dalam bilik gantung. Kalau mereka tengok kita OK, baru mereka akan beri penjelasan lanjut. Kita bukan ada kelas khas, dan pendedahan praktikal atau latihan sambil kerja, jelasnya lagi.

Damien yang mula menjalankan tugas khas ini, termasuk tugas sebat semasa beliau di Pulau Jerjak berkata, kesempurnaan kerja bukan boleh dicapai dalam masa semalaman, malah seorang tukang sebat yang hebat sekalipun masih boleh melakukan kesilapan jika tidak fokus terhadap tugasan yang diberi. Pada tahun-tahun awal dipilih untuk menjalankan tugas khas ini, beliau hanya sekadar memerhatikan hukuman dijalankan.

Saya sudah mengikuti pasukan pelaksana hukuman gantung ini sejak tahun 1986 lagi tetapi pada masa itu saya cuma memerhati. Saya mula terlibat dan menjadi pembantu pada tahun 1989, jelasnya.

Sebagai pembantu, beliau akan bersemuka dengan banduan akhir (banduan yang dijatuhi hukuman gantung sampai mai) dan membawanya keluar dari bilik menanti untuk menjalani hukuman. Banduan yang digari kedua-dua belah tangan ke belakang dan ditutup kepalanya dengan kain hood akan dibawa ke bilik gantung. Damien akan berdiri di belakang banduan akhir dan memegang badannya.

Biasanya banduan yang akan digantung ini tidak stabil, badan bergoyang-goyang, jadi kita kena guna tenaga yang banyak untuk membawanya ke bilik gantung.

Beliau memang mengakui tidak dapat tidur pada tahun awal penyertaannya dalam pasukan pelaksana hukuman gantung.

Gangguan semasa tidur biasa berlaku, bukan tak biasa. Ada orang datang minta rokok, saya kata nanti, saya tidur dulu. Ada juga yang kejut saya minta nak balik. Begitu juga kalau masuk ke dalam bilik gantung, perasaan ada lain sikit, rasa macam ada benda yang lalu. Selepas 10 tahun, pengalaman dah banyak, saya katakan pada diri saya kalau orang dah mati, matilah, macam mana dia nak datang (ganggu lagi), cerita Damien lagi.

Beliau juga mengakui antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah menggantung banduan wanita yang disifatkannya lebih tenang tetapi diserang secara tiba-tiba apabila dia menjadi lebih agresif. Bagi mereka yang menjalankan tugas khas ini, kekuatan mental dan fizikal perlu mantap dan kental sepanjang masa.

Lazimnya mereka akan berhadapan dengan tekanan-tekanan yang amat tinggi kerana mahukan kesempurnaan tugas. Bagi Damien, beliau banyak berbasikal untuk mengekalkan kecergasan. Semasa pelaksanaan hukuman gantung dibacakan kepada banduan hukuman mati, beliau dan pasukannya turut hadir di bilik pengarah. Ketika itulah, mereka akan menilai perangai atau sikap dan tahap penerimaan banduan. Katanya, maklumat ini penting untuk mereka melaksanakan hukuman nanti.

Kerja mempersiapkan bilik gantung ini memakan masa antara tiga hingga empat jam. Keselamatan di dalam bilik gantung dan pemilihan tali gantung yang sesuai adalah antara tugas yang perlu dibuat dengan teliti, katanya.

Di Penjara Kajang umpamanya, banduan yang dijatuhi hukuman gantung dikenali sebagai banduan akhir dan ditempatkan di Blok Abadi sehingga hukuman dilaksanakan. Mereka menghabiskan hampir 23 jam sehari sendirian di sel mereka dan hanya boleh meninggalkan sel atas kelulusan pegawai yang bertugas.

Banduan akhir mungkin terpaksa menunggu bertahun-tahun sehingga habis keseluruhan proses rayuan yang membabitkan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan Jemaah Pengampunan Negeri.

Sekiranya rayuan kepada Badan Pengampunan ini juga ditolak, Mahkamah Persekutuan akan mengeluarkan waran untuk melaksanakan hukuman di mana di dalam waran itu akan disebut nama banduan, nombor kad pengenalannya serta masa hukuman akan dijalankan, iaitu antara pukul 5.30 hingga 6.30 pagi.

Kita diberi masa satu jam untuk melaksanakan hukuman. Untuk banduan beragama Islam biasanya kita akan jalankan hukuman gantung ini pada hari Jumaat, selepas solat subuh. Bagi yang bukan Islam, waktunya lebih kurang sama, cuma harinya boleh berbeza, kata Damien.

Selepas waran dikeluarkan, banduan akhir akan dibawa berjumpa dengan Pengarah Penjara yang akan memaklumkan tentang pelaksanaan hukuman gantung selepas segala proses rayuan terakhir ditolak.

Biasanya banduan akhir ini akan tahu apabila dia dibawa keluar dengan tangan bergari dan ada kawalan ketat. Dia tahu keesokan harinya sesuatu yang buruk akan berlaku (dia akan digantung), kata Damien.

Semasa berada di bilik pengarah, keluarga yang sudah dimaklumkan seminggu lebih awal sudah menunggu di luar penjara untuk perjumpaan terakhir..