Orang tua yang melihat dengan pandangan mata hati akan bertambah serius dalam melaksanakan kebaikan dan berpatah arang dengan kejahatan. Masa telah begitu suntuk. Entah sempat, entahkan tidak. Itulah rasa hati mereka.
Mereka tidak sudi lagi berpaling kepada yang mengganggu dan menggugat. Tumpuan utama hanyalah mengejar masa. Imam Syafii misalnya, pada usia empat puluh tahun sudah pun berjalan dengan memakai tongkat. Orang sekeliling kehairanan, justeru Imam Syafii masih tegap dan sihat. Bukankah beliau seorang pemanah yang tepat dan penunggang kuda yang cekap
Ketika menjawab soalan orang tentang mengapa dia bertongkat, Imam Syafii berkata, Tongkat ini untuk mengingatkan bahawa aku telah tua. Cukuplah semua hadiah dan sanjungan yang telah ku terima selama ini. Aku tidak perlukan lagi. Tumpuan sepenuh hati ku sekarang ialah menuju Allah! Demikian orang tua yang memandang dirinya dengan pandangan mata hati. Sayangnya, kebanyakan kita yang mendakwa pengikut setia Imam Syafii tidak pula bersikap begitu. Kita tidak mencari tongkat pengingat seperti beliau, sebaliknya mencari tongkat penggiat tongkat Ali!
Kita pula bagaimana Setiap kali kita memandang wajah di cermin, kita melihat dengan pandangan yang mana Pandangan mata, akal, nafsu atau hati Sebagai seorang Islam, kita diajar supaya setiap kali bercermin muka kita disunatkan membaca doa berikut: Ya Allah, sepertimana Kau telah sempurnakan ciptaan wajah ku, maka Kau sempurnakanlah pekerti ku. Ini menunjukkan bahawa menerusi doa ini Islam mengajar kita, jangan sekalikali hanya melihat wajah lahir (muka) tetapi perlu melihat wajah batin kita (pekerti). Pekerti kita itulah hakikat diri kita yang sebenar.
Jasad yang tercipta dari tanah, bukanlah hakikat diri kita. Ia akan berkedut, reput bahkan hancur dimamah ulat, cacing dan tanah. Tetapi diri kita yang hakiki ialah budi pekerti kita, yang tidak akan hancur selama-lamanya. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Apa yang dilihat dengan pandangan mata hati inilah yang dikenang oleh manusia dan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda: Allah tidak menilai rupa lahir kamu tetapi Allah s.w.t menilai amalan dan hati kamu.
Demikianlah apa yang dikatakan celik mata hati atau kesedaran. Tegasnya, mata hati akan celik hanya apabila kita melihat kehidupan ini sejajar dengan kehendak atau ketetapan Pencipta hidup Allah. Inilah pandangan hidup yang paling jelas dan tepat. Bermula dengan pandangan yang tepat inilah kita boleh menjalani hidup dengan sebaik-baiknya.
Jika tidak, terjadilah apa yang ditegaskan oleh Allah s.w.t menerusi Firman Nya yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami sediakan bagi neraka jahanam itu golongan jin dan manusia yang mereka itu mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu ibarat binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah alAraaf :179).
Apabila engkau ingin melihat Allah dengan mata hati keimanan dan keyakinan sepanjang waktu, maka engkau harus sentiasa syukur terhadap nikmat-nikmat Allah dan reda terhadap ketentuan-ketentuan Nya.
Dan nikmat apa saja yang datang kepada mu, maka dari Allah-lah (datangnya), dan bila kamu ditimpa kemudaratan, maka hanya kepada Nya lah kamu memohon pertolongan. ( An-Nahl: 53)
Apabila engkau inginkan suatu pergantian yang jauh dan diri mu atau dari mu, maka sembahlah Allah atas dasar kecintaan, bukan atas dasar perniagaan (ingin balasan pahala atau takut neraka), juga atas dasar ma rifat melalui pengagungan.
Bashirah (mata hati) itu seperti mata indera, manakala ada sesuatu yang jatuh pada mata itu, akan terganggu pandangannya walaupun tidak sampai membutakan. Suatu bisikan buruk boleh mengaburkan pandangan hati dan mengotori fikiran. Sementara keinginan pada keburukan itu akan menghapus kebajikan.
Karena itulah anda jangan tertipu oleh indikasi yang bersifat lahiriah. Sebab indikator seperti itu tidak memiliki roh. Sedangkan Ruhul Islam adalah mencintai Allah dan Rasulnya, serta mencintai akhirat, dan mencintai hamba-hamba Nya yang soleh.
Kebutaan mata hati itu dalam tiga hal:
Pertama, mengarahkan fizikal ini pada perbuatan maksiat kepada Allah s.w.t .
Kedua, bermain-main dalam ketaatan kepada Allah, dan
Ketiga, tamak terhadap makhluk Allah s.w.t . Siapa saja yang mengaku memiliki mata hati, sementara ada satu unsur dari ketiga unsur tersebut dalam dirinya, maka hatinya dihadapkan pada perkiraan hawa nafsu dan was-was syaitan. (Sulthanul Auliya Syeikh Abu Al-Hasan Asy-Syadzili)
Janganlah membuat mu ragu pada janji Allah, ketika doa yang dijanjikan ijabahnya oleh Allah itu tidak kunjung tiba, walaupun, sangat jelas bahawa engkau yakin tibanya janji itu pada saat yang ditentukan. Hal demikian, agar engkau tidak melukai mata hati mu dan meredupkan cahaya rahsia batin mu.(Ibnu Athaillah as-Sakandari)