Kamu terkebil-kebil tidak percaya. Hebat, sudah kali ketujuh. Siapa mangsa terbaru si black widow ini
Engkau tak tahu betapa sukarnya hidup menjanda. Cinta mempertahankan diri.
Kamu melopong. Professor Cinta terima tawaran sebagai pensyarah kontrak di Universiti Auckland. Witi Ihimaera, novelis New Zealand ( menulis The Matriarch, kisah perang Maori dengan peneroka-peneroka tanah inggeris); jadi saing mengajar kursus penulisan kreatif; dia dinobatkan New Zealand.soc.culture antara sepuluh manusia terkemuka di negara Kiwi. Witi anjurkan parti hujung minggu. Ramai kawan rapat hadir, makan-makan dan kalau larat boleh menari. Pesan Witi bawa kuih atau kek untuk tambah memeriahkan temasya kecil.
Perhaps something special, really special from Malaysia. Prof., bakar karipap Kamu bertanya tidak sabar.
Huh, kita tak main karipap lagi. Ada orang tak gemar. Ramai tak reti makan. Terlalu pedas, kata mereka. Kali ini aku uli dan hidangkan gendang kasturi. Cinta senyum manja.
Kamu beliakkan mata.
Gendang kasturi ada lemaknya, ada manisnya, ada rangupnyaitulah cinta yang barucinta penuh rasa!
Witi Ihimaera jadi laki Prof. Cinta
Hisy, bukan dia.
Habis siapa
Tamatea Taketake. Iskandar Tamatea hun
Jantan Maori Ya Allah, prof, apa lagi
Hei, peduli apa kata orang!
Kamu terbelalak. Cinta merebus kacang hijau hingga empuk, siap dengan kelapanya. Gendang kasturi mini penuh lemak dan masih hangat dijamu. Tamatea kala itu bercerita soal kejadian alam versi Maori dan Cinta membandingkannya dengan firman-firman Tuhan.
Dengar sini cik, apa ya
Arwah suami dulu panggil saya Love. Cinta menggetap bibir.
Tetamu lain berbual dan berlegar. Witi sibuk melayan hadirin.
Ahah Love, cerita turun-temurun Maori
Tamatea menatap muka Cinta. Fuhh, boleh tahan juga perempuan Melayu ini, getus hati.
Asal segala-gala adalah Te Kore, kemudian datang Te Po, keadaan malam, dan hal ini berlangsung untuk beberapa lama, baru ia bertukar kepada 12 status, sehingga tiba ke peringkat Te Ao Marama, dunia cahaya. Tamatea menggigit gendang kasturi, mengunyah, merasa,emmsedap sekali.
Dari Te Kore dan Te Po, terbina tuhan Rangi awatea, bapa langit dan papatuanuku, ibu bumi. Bapa langit dan ibu bumi melekap erat lantas cahaya tidak dapat menembusi. Ketika itula lahir tuhan-tuhan lain. Tane Mahuta, tuhan belantara; Tangaroa, tuhan lautan; Tu matauenga, tuhan manusia dan peperangan; Ruaumoko, tuhan gempa bumi; dan Tawhiri matea, tuhan rebut taufan. Tamatea menelan gendang kasturi.
Kamu tahu, Tamatea menelan sama rasa lemak dan manis Cinta Si Profesor Cinta bersama-sama.
Setelah itu anak-anak langit dan bumi berusaha beribu tahun memisahkan ibu bapa mereka yang melekat itu supaya dapat hidup di bawah cahaya. Setelah berjaya barulah kejadian bumi dilengkapkan dan wanita dijadikan. Tamatea memandang Cinta bersungguh-sungguh.
Kamu tiba-tiba menyampuk.
Prof.Cinta, Tamatea ini siapa Kan Prof.,pilih taste bagus saja.
Tamatea Cinta mengajak kamu duduk mendampinginya. Seperti mahu berbisik. Pengajar falsafah politik di University of Canterbury. Artis terkemuka bangsa Maori, kerja-kerja seninya cemerlang. Kamu menjegil mata. Pilih orang ternama sahaja dia ini. Professor Cinta ketawa kecil, seperti kata Witi, tawa yang menghiburkan, semacam kekekan anak-anak. Kamu mendengar penuh perhatian.
Artis bagaimana Cinta seolah-olah mengerti persoalan tercetak di benak kamu. Jangan perkecilkan Tamatea, karyakaryanya acap menghiasi pameran solo di The Auckland City Art Gallery. Whakairo (seni pahatan Maori) pada kayu keras akeake terdedah untuk pameran umum di National Art Gallery Wellington. Khabarnya, mendiang Puteri Diana akan membeli whakairo pada pounamu (jed jenis nephrite). Pengukir, pemahat, dan pelukis juga. Catannya bayak berunsur politik, maklum bapa Tamatea pernah bertanding di bawah pemimpin tersohor New Zealand, Michael Joseph Savage. Dia sendiri pernah menjadi ahli parlimen, beria-ia membela nasib Maori, tetapi kemudiannya bosan dengan dunia kuasa. Semua orang gila. Benda sedikit direbut-rebut sekian ramai hingga sanggup melakukan apa sahaja. Kesan bergelumang begitu dalam lumpur politik secular tercurah pada pahatan moden dan lukisan. Bersara daripada dunia politik, mulai muak dengan melukis dan memahat sematamata, terdorong secara kontrak bertugas di institusi pengajian tinggi.
Kamu khayal mendengar cerita-cerita cinta Cinta. Kamu dikisahkan, cinta dari gigitan sekeping gendang kasturi itu merebak apabila berpeluang bercuti beramai-ramai di kaki Gunung Taranaki. Kamu bayangkan di hadapan mata, betapa mereka menghanyutkan asmara di sepanjang Sungai Waikato sepanjang 435 kilometer tatkala senja dan samasama merendam kasih di kolam air panas Tasik Taupo sepanas rindu mereka. Juga berdua-duaan menonton persembahan opera penyanyi Maori tersohor, Dame Kiri te Kanawa di Hamilton.
Emm, lemaknya cinta gendang kasturi!
Wah enak berbual Witi mengusik Cinta dan Tamatea di luar beranda. Hingar hadirin dan dentam-dentum lagu That Thing You Do mulai rancak meresap. Tetamu bertaburan sepasuk di sana sini.
Mahu tahu pepatah Itali, chi trova un amico trova un tesoro, Witi melanjutkan dengan gelak mesra.
Cinta tunduk malu. Tidak faham. Tamatea menganggukangguk.
Saya tahu, professor, Kamu mencelah spontan. Cinta menyeluruhi muka Kamu. Rasa marah sedikit diganggu.
One who finds a friend finds a treasure. Kamu berasa bangga lebih mengetahui.
Uhuh, memang Tamatea itu khazanah! Cinta separuh menjerit.
Kamu sengih, terasa jelek. Mujur, kali ini sebaya tua pasangannya.
Kamu diam, duduk pegun kembali menjaja telinga.
Dalam Islam, kami percaya kepada Tuhan itu satu. Allah mencipta Ruuhul Azhom. Itu sumber segala roh iaitu roh Nabi Muhammad. Kemudian baru Allah jadikan roh malaikat, roh haiwan serta tumbuhan, unsur empat, langit dan alam semesta. Ayat-ayat dalam Surah alAnbiya al Quran menjelaskan hakikat kejadian alam semesta selama tujuh hari. Ops, bukan seperti hari-hari dunia! Cinta menggali sepenuh ilmu terbekal dalam dada untuk berentap maklumat dan membandingkan firman dengan legenda warisan. Kemudian Cinta berasa kurang pengetahuan tentang soal kejadian alam dan memutarkan politik menjadi isi bual. Barangkali boleh jadi umpan setelah gendang kasturi memainkan peranan.
Politik itu kotor, keluh Tamatea.
Politik sekular begitu, tetapi politik islam tidak.
Cinta yakin boleh mengheret jauh berahi Tamatea. Kamu mengesip-ngesip mata. Belum mengantuk. Kamu menopang dagu, terus asyik.
Ceritalah lagi, gesa Kamu, merangsang Cinta usah berhenti merasai lemak dan manis gendang kasturi.
Saya melihat politikus sudah dicengkami nafsu. Nafsu bukan sekadar sempit hal-hal kelamin, malah nafsu pemimpin mengumpulkan harta kemewahan juga.
Tamatea serius.
Kamu mengangguk, mengingati Cinta.
Sebab nafsu Rajiv Ghandi mati dibunuh, atau Bill Clinton terjebak dengan skandal zippergate.
Nafsu samseng apartheid memenjarakan Mandela puluhan tahun tanpa bicara. Nafsu korupsi dan kolusi faktor tuduhan terhadap Suharto. Sebab nafsu, orang berpolitik jadi sasau, sanggup lakukan apa saja. Tipu (semacam mesti), samun (kita memerlukan Robin Hood dan Zoro), duit kopi (kopi apa berharga juta-juta), bunuh (Sonia Gandhi kini meneruskan perjuangan suami), skandal seks (fitnah Zulaikha mengakibatkan Nabi Yusuf dipenjara), kesimpulan utama: Politik berakar nafsu menjijikkan!
Paksi politik Islam ialah tauhid, kepercayaan mendalam terhadap Tuhan. Kalau sudah faham Tuhan Yang Esa paling berkuasa, apa gunanya ahli politik merebut kuasa Kuasa sekadar amanah untuk penghuni di bumi. Dalam politik Islam, antara tiang utamanya ialah keadilan. Setiap manusia berhak diberi penilaian yang adil. Politik Islam jelas sekali murni. Justeru apabila berpolitik terasa nikmat manis dan lemak ke intinya.
Kamu terliur mengenangkan gendang kasturi.
Hem, agama menarik. Begitu kepolitikan. Tamatea tertarik.
Tentu, setiap ibadah dalam Islam ialah pernyataan politik. Kalau tidak, pasti tidak difardukan perhimpunan besar di
Makkah sebagai haji atau pertemuan di masjid waktu solat Jemaah sebagai deklarasi.
By the way, Love, kuih Malaysia ini sedap sekali. Love, I love it.
Tengok siapa buat. Cinta memprovok.
Begitu, cerita Cinta bertemu suami terbaru.
Kamu perlu belajar daripada aku. Lemak manis dan kalau panas, seperti gendang kasturi, garing sekali!
Kamu ketawa, disambut hilai Cinta. Gendang kasturi begitu menjadi. Dari karipap ke gendang kasturi, pedas panas ke lemak rangup, dari Yahudi ke Maori. Wow, Cinta memang hebat. Kamu terkesima, jodoh pertemuan di jari Tuhan. Aduh Cinta, kamu tertanya: Akan adakah yang kelapan