Tarikh: 28 September 1988.
Mr Chong Tze Ming, Ketua Teknologis Makmal, Jabatan Anatomi.
Sdr,
Seperti yang saudara sedia maklum, penyelidikan saya telah sampai ke peringkat akhir. Untuk peringkat terakhir ini, saya memerlukan beberapa peralatan baru. Dilampirkan senarai untuk tindakan saudara. Sekian.
Yang benar,
Dr Jalani Shamsuddin.
Tangan kiri itu segera membebaskan lembaran memo itu daripada senarai alat-alat yang diminta oleh Dr Jalani. Dikepalkan memo itu dengan tangan kirinya dan melemparkannya ke dalam bakul sampah.
Ketua teknologis itu dikenali sebagai Mister Choong adalah orang kedua berpengaruh di Jabatan Anatomi. Penyediaan peralatan hanyalah salah satu dari berbagai-bagai tugasnya. Tidak hanya dia bertanggungjawab untuk Jabatan Anatomi tetapi juga Jabatan Histologi yang berada di bawah Jabatan Anatomi. Selain mempunyai kepakaran pengawetan mayat, Mr Choong berhubung erat dengan Jabaran Forensik untuk mendapatkan mayat-mayat yaang sesuai. Sekiranya ada mayat yang tidak dituntut oleh waris melebihi 48 jam, mayat-mayat itu akan dibawa ke Jabatan Anatomi untuk diawetkan dan direndam ke dalam kolam formalin. Mayat-mayat itu biasanya disimpan untuk penggunaan mahasiswa tahun hadapan. Jabatan itu memerlukan kira-kira 50 mayat setahun. Tiga puluh mayat digunakan oleh siswa tahun pertama, 10 mayat untuk siswa paskasarjana dan 10 mayat lagi untuk penggunaan penyelidikan.
Kehadiran Mr Choong di rumah mayat selalu dialu-alukan. Dia kerap didesak untuk mengambil mayat oleh Ketua Teknologis Perubatan Forensik untuk mengurangkan kesesakan di rumah mayat itu. Pengadaan peti sejuk bagi menyimpan mayat-mayat tidak mencukupi. Rumah mayat itu bukan saja menerima mayat yang meninggal di Hospital Universiti juga kes-kes D.O.A. , kes-kes kemalangan dan kes-kes jenayah. Mayat-mayat itu dibedah siasat untuk menentukan sebab kematian. Jadi, peti-peti sejuk di rumah mayat itu tidak boleh dibiarkan penuh. Kadangkadang beberapa kes-kes polis terpaksa disimpan lebih lama. Ini memungkinkan pakar perubatan forensik yang lain memeriksa mayat itu untuk memberi pendapat kedua. Tidak jarang mayat disimpan lebih lama kerana soal-soal teknikal, ketiadaan kenderaan untuk mengambil mayat, keluarga yang sah tidak mempunyai wang untuk upacara pengebumian dan berbagai-bagai masalah remeh-remeh yang dapat melambatkan lalulintas pengeluaran mayat. Biasanya kalau Mr Choong tidak datang ke rumah mayat, Ketua Teknologis Perubatan Forensik akan meminta dia datang mengambil mayat. Bagi Mr Choong, rumah mayat itu seolah-olah pejabat keduanya.
Sebenarnya jumlah mayat yang diterima oleh Jabatan Anatomi jauh melebihi angka rasmi 50. Secara diam-diam, Mr Choong mengirim mayat-mayat ini ke negara-negara Timur Tengah untuk digunakan oleh fakulti perubatan masing-masing. Tidak ramai orang yang mengetahui hal ini kecuali atendan-atendan mayat yang melaksanakan tugastugas pengawetan. Mereka cukup berterima kasih dengan elaun tambahan yang diterima daripada Mr Choong. Malah kalau data statistik itu benar, Malaysia boleh digelar pengeksport mayat kedua terbesar sesudah Sri Lanka.
Mr Choong bangun dari kerusi. Dia perlu mendapatkan Dr Jalani yang berada di blok lain. Dia membawa bersamanya senarai permintaan alat itu. Bagaikan orang kemarahan, dia mengorak langkah meninggalkan biliknya.
Lorong berbumbung ke Muzium Anatomi, seperti biasanya sepi. Cuma gema-gema tapak kaki yang memberi melodi kepada kesunyian. Langkah Mr Choong kian cepat. Pintu muzium dibuka. Terasa hawa sejuk yang menerpa keluar. Setelah pintu ditutup rapat, Mr Choong terus melangkah seolah-olah tiada sesuatu yang menarik di dalam muzium itu. Dia melalui balang Prof Guislain yang tabik hormat. Ruang Muzium Antropologi bagaikan sebuah terowong untuk ke bilik makmal Dr Jalani.
Tanpa mengetuk terlebih dahulu, Mr Choong terus masuk. Nampaknya dia tidak tahan lagi. Dr Jalani berada di kerusinya, tenang. Dia sudah menduga Mr Choong akan segera datang setelah membaca memo darinya.
Boleh sediakan tanya Dr Jalani sebelum sempat Mr Choong membuka mulut.
Ini bukan untuk penyelidikan, alat-alat ini untuk kamar bedah. Bendahari universiti tidak akan meluluskan alat-alat ini untuk Jabatan Anatomi. Jawab Mr Choong dengan kemarahan yang terkawal. Memang benar di makmal itu terdapat satu kamar bedah yang digunakan untuk membedah monyet, beruk dan haiwan percubaan lainnya. Meja bedah itu adalah meja bedah lama yang pernah digunakan pada tahun enam puluhan. Pihak pentadbir Hospital Universiti menganggapnya sebagai besi buruk sahaja apabila pihak hospital memperolehi meja pembedahan yang baharu.
Awak kan selalu kata no problem, perli Dr Jalani.
Tetapi apakah alasan permintaan alat-alat ini
Itu urusan awak, yang saya tahu hanya satu. Saya perlu alat-alat ini sesegera mungkin, perintah Dr Jalani.
Ini urusan saya Sambil menunjuk jarinya pada kertas tadi yang telah dia letakkan di meja Dr Jalani.
Ya, ini masih menjadi urusan awak.
Ini penyelidikan Dr Jalani, bukan saya.
Awak terlibat sama.
Saya tidak peduli apa yang Dr Jalani buat, bagaimana boleh jadi yang saya terlibat
Ah! Mengapa harus berpura-pura. Kita kenal bukan dua tiga hari, Mr Choong.
Tapi permintaan doktor sudah keterlaluan.
Apa ukuran keterlaluan yang awak pakai tanya Dr Jalani.
Apa maksud doktor tanya Mr Choong membalas.
Apakah yang awak keluarkan dari akaun jabatan di May Bank itu, tidak keterlaluan
Mr Choong terdiam sejenak. Persoalan akaun itu adalah persoalan yang paling peka sekali. Darah memerahi wajahnya bagaikan orang Barat memakan sambal pedas. Akaun Jabatan Anatomi dibuka atas nama Dr Jalani selaku ketua jabatan dan Mr Choong selaku ketua teknologis makmal. Tidak ada jabatan lain di fakulti perubatan yang mempunyai akaun bank tersendiri tanpa pengetahuan bendahari universiti. Setiap bulan, penyata bank itu akan sampai ke rumah Dr Jalani. Cek-cek yang datang dari universitiuniversiti di Arab Saudi dan Kuwait, hasil penjualan mayat-mayat dimasukkan ke akaun bank tersebut. Prof Surip tidak tahu tentang kewujudan akaun itu. Dia seolah-olah tidak mahu mengambil tahu. Asal apa yang diingininya untuk jabatan sudah dilaksanakan oleh Mr Choong. Kegiatan sampingan Mr Choong, memperolehi pendapatan tambahan dianggap sesuatu yang lumrah. Mr Choong berjaya membuat anak buahnya sejahtera. Baik teknologis, pembantu teknologis dan atendan mayat. Semua ada habuannya. Pendeknya, Mister Choong pantas dipanggil Master Choong.
Kalau saya masuk penjara, apakah doktor akan bebas begitu sahaja tanya Mr Choong setelah berasa Dr Jalani cuba mengugutnya.
Bagi saya, memasuki penjara tidak ada bezanya dengan bekerja dengan sebuah hospital yang besar. Lebih seribu tiga ratus banduan memerlukan khidmat saya. Saya tidak ada apa-apa lagi. Lainlah awak. Banyak orang yang akan menderita bila awak tiada.
Tidak guna kita bercakap begini, kata Mr Choong yang mulai berlembut.
Kalau awak berfikir demikian, buatlah sesuatu yang konstruktif.
Tetapi bagaimana mungkin saya memperolehi alatalat ini tanya Mr Choong yang menunjukkan sifat mengalahnya.
Semua alat-alat ini boleh diperolehi dari agen tempatan kecuali Hemopump SK 5000.
Alat-alat lain buat seperti biasa tanya Mr Choong.
Cuba dahulu dengan penolong bendahari. Dia banyak terhutang budi dengan awak. Jelas Dr Jalani membuka jalan.
Bagaimana dengan Hemopump SK 5000 tanya Mr Choong ragu-ragu. Dia tidak mengetahui fungsi sebenar hemopump itu. Dia rasa dia tidak patut bertanya kepada Dr Jalani mengenai hemopump. Kerana mengenai peralatan, dia seharusnya mengetahui secara terperinci melebihi Dr Jalani. Dia tidak ingin memperlihatkan ketidaktahuannya.
Awak boleh dapatkan Hemopump SK 5000 dari Houston Heart Institue, Texas, Dr Jalani menghulur kertas komputer yang mengandungi alamat lengkap institut itu.
Nak guna mesin fax tanya Mr Choong. Ya, kalau itu yang tercepat.
Berapa harganya
Lebih kurang tiga ratus US.
Oh, murah. Saya ingat beribu-ribu ringgit. Tembelang kepuraannya terbongkar.
Ianya semacam catheter jantung, tetapi mempunyai sebuah pam di hujungnya.
Motor pamnya juga di dalam tanya Mr Choong yang tidak silu-silu bertanya.
Di luar badan. Kita boleh gunakan sebarang motor asalkan putarannya bersesuaian.
Hanya satu unit sahaja
Dua mencukupi, jawab Dr Jalani pendek.
Pada sesiapa yang mendengar pertuturan Mr Chhong, mereka tidak percaya kefasihan itu datang dari seseorang yang lebih sepet bukaan matanya daripada Mao Tze Tung. Dibesarkan dalam masyarakat peranakan Baba Melaka, Mr Choong mengaku bahawa keturunannya berasal dari Manchuria. Daripada kalangan kerabat pembesar orang-orang China Utara yang bermastautin di Beijing. Bagi orang China Nanyang, Mr Choong adalah seorang yang angkuh. Tidak mahu bercakap Hokkien atau bahasa vernakular yang lain. Dia akan membalasnya dengan bahasa Mandarin loghat Utara. Mr Choong memandang rendah orang-orang selatan China, Hokkien, orang-orang Canton, Fu-Chiaw dan Hakka. Tradisi menganggap kaum-kaum selatan lebih rendah martabatnya bukan ciptaan Mr Choong. Ia berakar umbi berabad-abad lamanya. Bapanya mengajar dirinya lebih tinggi dari kaum selatan. Ibarat keturunan syed dan sharifah memandang rendah pada orang kebanyakan. Dan sama seperti brahmin memandang rendah kasta pariah. Kaum utara adalah kaum yang memerintah dan kaum selatan kaum yang diperingkat. Pepatah kuno yang masih laku di China kini.
Mr Choong beredar dari situ. Pasti ada pula perkara penting yang hendak diuruskannya. Dr Jalani tidak berganjak dari kerusinya sejak tadi. Dia hanya memerhatikan bonekanya menghilang dari pandangan. Dia kembali menulis setelah terdapat gangguan dari bonekanya. Dr Jalani tidak mengambil sesen pun dari hasil jualan mayat dan balang-balang bahagian mayat. Semuanya diambil oleh Mr Choong. Dia cukup puas dengan permintaannya yang hampir selalu ditunaikan. Kepuasan memiliki alat yang mutakhir seperti koleksi barang mainan sahaja.
Fikiran Mr Choong giat merancang sesuatu. Tidak disangka, dia meninggalkan Dr Jalani tanpa memberi sebarang salam. Dia tidak menyedari pintu makmal itu ditutup begitu kuat sehingga tersentak Dr Jalani. Setelah mencongak jumlah harga-harga alat-alat itu, dia mengira pula wang yang boleh disedut dari pembelian alat-alat itu. Saku Mr Choong tidak pernah kering. Biarpun orang sana sini mengeluh tentang resesi yang melanda Malaysia, perniagaan mereka hampir lingkup tetapi bagi Mr Choong, resesi tidak sedikit pun menjejas perniagaannya. Di kala Malaysia dipukul ombak resesi, kegiatan penyelidikan juga terkesan begitu nyata. Untuk mengurangi kesan itu, ada beberapa kelonggaran dilakukan oleh pihak bendahari. Antara lain, membenarkan pembelian tunai kepada barangbarang pakai-habis sahaja. Peralatan yang mahal-mahal itu dibeli secara pajak. Ahli-ahli penyelidik dapat menggunakan alat-alat yang diperlukan tanpa sebarang kelambatan.
Dan universiti membayar sewa pajak setiap bulan.
Keadaan begini pun dimanfaat oleh Mr Choong. Dahulu dia mengharapkan komisen dari pembelian yang disalurkan kepadanya melalui ejen-ejen pembekal. Kadangkadang tidak ada komisen. Tetapi syarikat pembekal itu memberi tiket penerbangan ke Sydney atau ke Hong Kong untuk dia suami isteri. Kalau mahu membawa anakanaknya, barulah dia menambah biaya perjalanan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini di mana sistem sewa pajak dilaksanakan oleh universiti-universiti, Mr Choong sempat menyedut akiran pertukaran wang antara universiti dengan syarikat perpajakan. Fikiran Mr Choong berkisar untuk memutuskan kaedah penyedutan dengan perniagaan yang baru sahaja diselesaikan dengan kerjasama Dr Jalani. Benaknya terpaku pada perancangan yang sedang dirangka. Hanya kakinya melangkah pulang ke pejabatnya menggunakan kemampuan di paras bawah otak. Dia berasa menggunakan cara yang dilakukan untuk membeli mikrotome adalah seusai sekali.
Dia masih ingat lagi, sewaktu menjalani kursus lanjutan di Universiti Nanyang, Singaoura; terdapat hanya satu mikrotome untuk seluruh fakulti perubatan universiti itu. Sepengetahuannya di Fakulti Perubatan Universiti Nasional ada tidak kurang lima buah semuanya. Di Jabatan Patologi ada satu unit, di Jabatan Surgeri ada satu, digunakan untuk memotong tisu kanser bagi menentukan peringkat keganasan, di Jabatan Forensik juga ada satu san di Jabatan Anatomi ada dua unit. Satu untuk Jabatan Histologi dan satu lagi tersadai di makmal Dr Jalani. Belum lagi di jabatan-jabatan lain di luar Fakulti Perubatan seperti sains veterinar, zoologi, botani dan biologi laut. Jumlah mikrotome seluruh universiti tidak diketahui pula oleh Mr Choong. Din, pembantu makmal Dr Jalani menunjuki alat itu sebagai pisau moden.
Mr Choong sengaja menyembunyikan pengetahuannya mengenai bagaimana L.E.C3 Fakulti Perubatan, Universiti Nanyang menggunakan hanya satu mikrotome untuk semua jabatan bersangkutan. Dengan sistem penjadualan yang disusun rapi, jabatan-jabatan itu menggunakan secara bergilir. Mikrotome simpanan bersiap sedia sekiranya mikrotome yang dipakai itu rosak atau perlu diservice. Mr Choong memendamkan pengetahuan ini, biarpun beberapa kali mesyuarat ketua-ketua teknologis makmal membahas usaha-usaha penjimatan yang perlu diambil untuk menghadapi kekurangan peruntukan pembelian alat-alat pada zaman kemelesetan ini.
Harga sebuah mikrotome lebih kurang 10 000 ringgit. Tetapi sebut harga mikrotome Dr Jalani, mikrotome terakhir diurus pembeliannya oleh Mr Chong menunjukkan angka 18 000 ringgit. Dengan sewa pajak, alat itu dibayar dengan sewa $627.50 sebulan pada kadar bunga 8.5% setahun selama tiga tahun. Mata bendahari universiti dikelabui oleh berbagai-bagai pembayaran. Syarikat perpajakan mengeluarkan cek bernilai $18 000 untuk dibayar kepada syarikat pembekal yang kemudiannya pula syarikat pembekal mengeluarkan cek $8 000 untuk Jabatan Anatomi dalam bentuk nota kredit.
Demikian perancangan yang disusun dalam benak Mr Choong. Syarikat pembekal yang menanti-nanti pesanan dari Mr Choong, akan menghantar alat-alat ke mana saja Mr Choong arahkan kerana kewibawaannya. Urusan pembayaran soal kedua. Dalam kemelesetan ekonomi, pembekal tidak boleh cerewet. Pakai dulu bayar kemudian. Mereka yakin alat-alat yang didahulukan tidak akan rosak oleh kerana yang menggunakan alat-alat itu bukanlah mahasiswa tetapi para penyelidik yang mahir lagi terlatih. Belum pernah selama ini ada alat-alat yang telah dihantar, dikembalikan kerana tidak dapat kelulusan. Kalaupun terjadi demikian, mereka sudah memperhitung risiko yang bakal tiba.
Secepat kaki melangkah secepat jua benaknya merancang. Dia mesti segera menghubungi pembekal kenalannya dan Purnama Leasing Sdn. Bhd. Dia harus berada di biliknya untuk membuat dua panggilan telefon. Perancangan perlu dibuat dengan teliti. Jangan sampai kecurigaan timbul bila permohonan kelulusan dibuat. Di antara alasan yang memperkuat hujah justifikasi adalah alat itu sudah dua bulan digunakan oleh pensyarah kami, jika kelulusan tidak diperolehi maka akan terbengkalai segala program penyelidikan yang dirangka oleh senat universiti. Bendahari kerap terpedaya dengan taktik Mr Choong yang licik. Dengan orang dalam berada dalam sakunya, urusan dengan pejabat bendahari ibarat melomnong emas di lombong yang tidak terkawal. Bendahari pula khuatir, tidak mahu dirinya ditegur oleh dekan atau VC akibat kelambatan proses kelulusan.
Di hadapan bendahari, Mr Choong meyakinkan betapa beliau berjaya menyelamat beribu-ribu ringgit dengan mengawal pembaziran. Dia membuktikan kepada bendahari penggunaan Hibitane Antiseptic Liquid dengan ketulan sabun kasar yang sesuai mencuci punggung kuali, telah mengurangi perbelanjaan barang pakai-habis. Data palsu dijabarkan di depan mata bendahari yang terpesonakan dengan kegigihan Mr Choong menghemat segala sesuatu yang boleh dijimati. Bagi bendahari universiti, tokoh seperti Mr Choong ini patut dianugerahkan PJK atau pingat yang selayak dengan dedikasi yang ditunjukkan.
Bagi Mr Choong, semua skrip yang akan disandiwarakan perlu digubah dengan begitu rapi. Ketelitiannya merancang dengan penuh ketekunan, setekun dia membuat spesimen anatomi yang pernah mendapat sanjungan Putera Khalid, Menteri Pendidikan Kuwait yang mengunjungi Muzium Anatomi dan Antropologi dua tahun lalu. Mr Choong tidak gemar sebarang kejutan. Sekiranya pun ada kejutan diduga mendatang, ubat penawar sudah tersedia menanti.
Mr Choong tiba ke meja tulisnya. Gagang telefon diangkat dan butang-butang telefon ditekan. Setelah beberapa ketika, dia memulakan percakapan dalam bahasa Mandarin dengan suara yang kukuh bernada autoritatif dan meyakinkan.