Aku cuba menyabarkan mereka. Mungkin betul ustaz itu yang salah. Melempang anaknya atas alasan tak munasabah. Tetapi, dapatkanlah penjelasan sebelah pihak lagi. Jumpa ustaz tersebut dan bertanya apa masalahnya. Bukan hanya mendengar cerita sebelah pihak.
Aku tak kata anak dia betul. Aku tak kata anaknya macam malaikat. Tetapi cerita anak mungkin tak semuanya benar. Membuat laporan polis biarlah pilihan terakhir. Banyak lagi pilihan yang ada. Jumpa ustaz tersebut, jumpa pengetua. Boleh bawa berunding. Boleh bawa berbincang. Bila dah jadi kes polis, lebih panjang ceritanya. Pasti ia takkan berakhir di sini. Pastinya tak habis sampai hujung tahun. Anak mungkin diblacklist, anak mungkin diboikot. Cikgu-cikgu juga manusia biasa.
Bila aku lihat kecederaannya, takdalah teruk sangat. Luka pun takda. Calar pun takda. Lebam atau bengkak pun takda. Kesudahannya, terpulanglah. Aku cuma boleh menasihati.
Zaman dah berubah, zaman guru sentiasa betul dah takda. Zaman sikit-sikit nak menyaman dah sampai di sini. Zaman orang tahrim subuh pun nak report polis. Zaman tak puas hati dengan layanan hospital pun nak report polis. Zaman anak kena sentuh dengan guru pun nak report polis.
Aku teringat zaman aku dulu, kena tampar dengan cikgu sebab bising dalam kelas. Takda nak mengadu pun kat emak. Kena pukul dengan kayu sebab tak ikut arahan. Berbirat belakang badan. 3 hari tak boleh tidur terlentang. Seminggu tak berani nak buka baju. Takut kawan-kawan nampak. Tapi aku dah lama maafkan cikgu-cikgu tersebut. Kalau tak kerana mereka, aku mungkin tak jadi manusia seperti sekarang.