Perkara ini mendorong Rudolf Diesel untuk mencipta sebuah enjin yang mempunyai kecekapan enjin yang lebih tinggi dari enjin Otto. Sungguhpun enjin diesel lebih cekap, kebanyakan kereta sekarang menggunakan enjin gasolin ciptaan Otto. Kenapa Ini kerana enjin Diesel tidak praktikal dalam beberapa aspek.
Pertamanya, enjin Diesel menghasilkan bunyi yang lebih bising. Lori-lori dan kenderaan besar mengeluarkan bunyi yang lebih bising jika dibandingkan bunyi kereta yang menggunakan enjin gasolin.
Keduanya, enjin diesel juga mengeluarkan asap yang lebih tinggi. Perkara ini boleh diperhatikan pada lorilori besar yang menggunakan enjin berasaskan diesel.
Faktor di atas menyebabkan penggunaan enjin diesel untuk kenderaan harian sangat tidak praktikal kerana kesan bunyi yang dihasilkan dan juga kadar asap yang mencemar alam sekitar. Ia hanya sesuai untuk kenderaan berat yang memerlukan tenaga lebih banyak dan pada masa yang sama boleh pergi lebih jauh. Secara asasnya, enjin diesel dan enjin gasolin bekerja di bawah prinsip yang sama.
Pertamanya, enjin gasolin & enjin diesel adalah pembakaran enjin dalaman (internal combustion engine). Maksudnya, enjin diesel dan enjin gasolin menukarkan tenaga bahan mentah mereka melalui pembakaran.
Keduanya, enjin gasolin & enjin diesel akan menukarkan tenaga kimia dalam bahan mentah kepada tenaga mekanikal. Tenaga mekanikal pula akan menggerakkan piston dalam silinder ke atas dan ke bawah secara berulang. Pergerakan ini dikenali sebagai pergerakan lienar (linear motion). Piston pula disambungkan kepada aci engkol menggunakan batang penyambung (connecting rod) dan pergerakan linear ditukar kepada pergerakan putaran (rotary motion).
Perbezaan kedua-dua enjin ini terletak pada cara mereka membakar gas. Dalam enjin gasolin, gas dan udara dicampur dan dimampatkan menggunakan piston, dan kemudian dibakar dengan bantuan pemicu (sparking plug).
Sebaliknya dalam enjin diesel, udara dimampatkan terlebih dahulu, kemudian baru bahan bakar disuntik. Ketika udara dimampatkan oleh piston, tenaga haba pada udara akan meningkat dan ini menjadi sumber pembakar kepada diesel.
Sebab itulah dalam enjin diesel, pemicu tidak diperlukan. Pemicu adalah komponen yang disambungkan pada sistem pencucuhan (ignition system) dan ia berfungsi menghantar elektrik yang dijana oleh sistem pencucuhan kepada ruang pembakar.
Seperti enjin gasolin, enjin diesel juga menggunakan empat kitaran pembakaran lejang (four stroke combustion cycle), dimana 4 lejang (stroke) yang dimaksudkan terdiri daripada lejang pengambilan (intake stroke), lejang mampatan (compression stroke), lejang pembakaran (combustion stroke) dan juga lejang ekzos (exhaust stroke).
Apabila injap pengambilan (intake valve) terbuka, udara memasuki ruangan silinder dan menolak piston ke bawah. Piston kemudian bergerak ke atas semula dan memampatkan udara. Apabila piston menghampiri di bahagian atas, gas disuntik pada masa yang tepat menyebabkan pembakaran berlaku dan piston ditolak ke bawah semula. Apabila piston bergerak ke atas semula, lejang ekzos pula dibuka untuk melepaskan hasil gas yang telah dibakar.