Sehinggalah terciptanya alatan pemain kaset yang dipanggil Walkman, nama yang diilhamkan oleh syarikat Sony. Sebuah gajet pada ukuran sebesar satu genggaman tangan remaja, berbentuk petak, memainkan lagu dari kaset, mempunyai talaan frekuensi untuk mendengar radio dan dikuasakan dengan 2 biji bateri AAA. Oleh kerana tidak mempunyai speaker dalaman, bunyi hanya dapat dikeluarkan melalui fon telinga. Antara jenama yang menjadi pilihan hati ketika itu adalah Sony, Aiwa dan Panasonic. Oleh kerana dijual pada harga yang agak mahal, seperti biasa Walkman tiruan yang banyak muncul akan lebih mendapat sambutan.
Sesetengah model Walkman tidak menyediakan butang rewind. Ini kerana proses rewind menggunakan tenaga bateri yang banyak dan sekaligus melingkupkan hayat bateri. Oleh kerana itu, antara inisiatif yang diambil setiap orang adalah menyediakan pen atau pensel. Untuk proses rewind atau fast forward kaset, pen/pensel tadi akan dimasukkan ke lubang pemutar pita kaset dan dipusing mengikut arah rewind atau fast forward. Untuk mendapatkan putaran yang lebih pantas, pen/pensel akan dipegang menegak dan kaset diputarkan melalui gerakan inersia.
Ketika penggunaan kaset mula digantikan dengan cakera padat, Sony sekali lagi menjadi perintis dengan mengeluarkan sebuah pemain CD yang digelarkan Discman. Ianya adalah hampir sama seperti Walkman, cumanya Discman berbentuk bulat leper dan mempunyai skrin digital yang akan memaparkan trek-trek lagu. Discman juga mempunyai kabel untuk punca kuasa elektrik selain dari bateri. Dan seperti biasa, lanun tiruan tidak perlu menunggu masa yang lama untuk mengeluarkan Discman versi mereka sendiri.
Walkman dan Discman semakin hip dan menjadi baranganharus-ada apabila 4U2C dan KRU muncul di persada muzik tanah air.