beralih kepada hidangan di atas meja.
Banyaknya. Bila masa pula Mak Cik masak Siap dengan bekas-bekas buffet sekali, bisik Arissa sendiri.
Kemudian sengih. Tidak tahu kenapa.
Arissa.
Dia memandang kepada Mak Cik Ruhaya di pintu dapur yang sedang tersenyum.
Mak Cik, tegurnya lalu menghampiri wanita itu. Banyaknya Mak Cik masak.
Ya, dia tahu Hazami sekeluarga ada, tetapi takkan Mak Cik sediakan makanan di atas meja sebanyak ini. Laratnya dia...
Bila pula Mak Cik masak. Mak Cik baru je sampai dalam 10 minit yang lalu. Ini orang Hotel yang hantar. Kan ramai kat rumah ni. Orang yang datang nak ziarah Tuan pun ramai, jelas Mak Cik Ruhaya.
Ya tak ya pula. Dia terlupa tentang perkara itu.
Mak Cik ke dapur dulu nak siap apa-apa yang patut, Mak Cik Ruhaya meminta diri lalu melangkah ke dapur.
Arissa melangkah ke pintu rumah yang terbuka luas dan terdengar suara-suara orang bersembang di sana. Kelihatan Dato Azizan, Encik Razali, Hazami, Hakimi dan beberapa orang yang tidak dikenali sedang bersarapan di ruang berbumbung bersama Chef Shakir. Perbualan mereka kedengaran serius.
Dia melangkah ke meja konsul di belakang sofa.
Terlihat ada sepucuk surat yang ditujukan untuknya. Bila masa pula surat ni sampai
Arissa membalik-balikkan surat itu mencari nama pengirim. Isinya sedikit keras. Mungkin kad agaknya, dia mengagak sendiri. Matanya beralih kepada akhbar bersebelahan pasu bunga tinggi.
Diletak surat tadi dan disambar akhbar itu pula. Bulat matanya sebaik terlihatkan gambar seseorang di situ. Naim dan Wafa kena tangkap khalwat Semalam
Ya Allah, kami sedang bersedih, korang boleh pula buat benda tak senonoh ni Menggeleng kepalanya. Wafa ni tidak sedihkah dia dengan pemergian Puan Hanim. Walhal gadis itulah yang paling rapat dengan Uminya.
Ya Allah, kasihannya arwah Umi, desisnya lagi.
Arissa menoleh.
Bang!
Ya. Kenapa Bergegas Hakimi mendapatkan Arissa yang memandangnya dengan cemas.
Tengok ni! Dihulurkan akhbar kepada Hakimi.
Ooo... pasal Naim dan Wafa Hakimi menyambut akhbar tadi. Dia sudah pun membaca berita itu awal pagi. Encik Razali juga terkejut dan berasa amat marah sangat-sangat.
Aah... Ya Allah. Umi meninggal semalam. Dia orang boleh buat kerja tak senonoh ni... Arissa mula membebel.
Hakimi sengih lalu meletak akhbar tadi di atas meja konsul.
Dahlah. Jangan fikirkan sangat. Dah makan
Bukan apa... tak baik. Tak elok. Kan berdosa. Entah mengapa hatinya tiba-tiba hangat dengan berita itu.
Hakimi senyum sambil mengusap bahu Arissa agar isterinya dapat bertenang.
Dah, dah... jangan fikirkan benda tu semua. Fikirkan pasal anak kita ni. Dah makan belum Sekali lagi Hakimi mengulang soalannya.
Belum. Rasa tak lalulah... tekak pahit sangat. Ya, sekejap tadi dia muntah-muntah dengan air liur yang amat pahit.
Hmm... nampaknya dah mula meragamlah tu. Sayang okey ke ni Dia dapat rasakan yang anaknya mula hendak meragam di dalam sana. Dah mula nak menakal dan mengusik Mamanya.
Okey. Tapi, rasa nak baring je...
Kalau macam tu, sayang makan dulu... lepas tu naik ke bilik. Tak ada apa nak buat pun. Mak Cik ada. Dua orang budak dari kitchen pun ada boleh bantu Mak Cik.
Ya, tetamu silih berganti datang dan pergi sejak lepas subuh tadi. Masih ramai yang terkejut dan lambat mendapat tahu mengenai pemergian Puan Hanim. Dia dapat mengagak akan ramai lagi yang akan datang tengah hari dan petang nanti.
Arissa mencapai kembali sampul surat tadi dan melangkah ke meja makan di ruang makan. Kelihatan hidangannya begitu menyelerakan, tetapi seleranya seperti tertutup. Akhirnya dia menuang air milo sejuk ke dalam gelas dan melangkah kembali ke tangga.
Sayang tak nak makan ke Sekali lagi Hakimi menegur sebaik lelaki itu keluar dari dapur.
Lapar nanti Ris turun, ya Abang...
Arissa terus melangkah naik menuju bilik utama. Semasa melalui ruang keluarga tingkat satu dia bertemu dengan isteri Hazami dan dua orang anaknya. Sempat mereka bersalam sebelum ketiga-tiganya turun untuk bersarapan.
ASSALAMMUALAIKUM anakandaku, Arissa.
Minta maaf sebab menitip kata-kata dengan cara begini. Rasa tak sanggup hendak bertentang mata dengan anakanda. Sebelum itu, Umi menyusun jari sepuluh memohon ampun kepada Arissa. Banyak dosa yang dah Umi buat terhadap Arissa.
Kerana cemburu dan marahkan adik, Umi lontarkan segalanya pada Arissa yang tidak tahu apa-apa dan tidak berdosa. Tidak tahu bagaimana untuk Umi tebus segala apa yang telah Umi lakukan. Umi berdosa sangat-sangat pada Marini, ibu Arissa.
Dia seorang yang baik. Amat baik sebagaimana Arissa. Tidak pandai bersangka buruk terhadap orang. Sikapnya itu membuat ramai yang suka dengannya. Senang dan jatuh sayang kepadanya. Sikapnya itulah yang membuat Umi cemburu, marah sangat-sangat.
Sikap itu jugalah dapat Umi lihat pada diri Arissa. Lagi satu... kari yang Arissa masak, rasanya memang seperti masakan Marini dan Toknya. Sedap sangat. Umi memang suka, walaupun Umi selalu mengutuk dia.
Ketika itu Arissa tersenyum membacanya walaupun air matanya seperti tidak putus-putus mengairi pipi. Dia kembali menyambung bacaannya.
Sayang,
Sekali lagi Umi mohon ampun. Umi restui pernikahan Arissa dan Hakimi. Umi juga tertunggu majlis resepsi Kimi dan Arissa nanti. Kimi nampak tak sabar nak pakai keris dan tanjak, juga meletak bulan dan bintang pada tanjaknya. Arissa, warna purple tu warna kegemaran Umi. Juga warna kegemaran
Arissa, kan
Umi tahu bila melihat bingkai gambar Arissa masa kecil. Allah... comelnya anak saudara Umi yang tak pernah Umi jumpa.
Arissa sayang, ampunkan Umi. Umi tak tahu bagaimana untuk berkata maaf... Umi malu, malu sangat-sangat. Maafkan Umi, sayang...
Arissa mula teresak-esak dengan titipan maaf yang berulang-ulang kali.
Tak lama lagi Umi akan dapat cucu yang ketiga. Seronok, tak sabar rasanya! Nampaknya nanti bersanding ni akan bertigalah, kan Beranak ramairamai ya Biar meriah sikit rumah ni. Tapi, boleh ke Umi nak tinggal dengan Arissa dan Kimi nanti
Boleh Umi, boleh... ujar Arissa walaupun dia sedar yang Puan Hanim sudah tiada lagi.
Surat itu terlewat mendahului waktunya. Arissa mengesat air matanya. Rasa tidak sanggup hendak menyambung. Namun dikuatkan semangat untuk meneruskan pembacaannya.
Umi dah tak larat tinggal di tempat orang. Walaupun seronok dan berhujankan emas. Seronok lagi di Penang. Dekat dengan laut. Teringat pula kampung Umi. Memang tak jauh dari laut pun. Ibu Arissa dulu kalau merajuk atau lepas kena marah dengan Umi, dia selalu naik basikal sampai ke pantai. Kalau nak cari dia, cari di pantai.
Adalah dia situ.
Untuk kesekian kali, maafkan Umi.
Umi tak dapat minta maaf pada ibu Arissa, tetapi Umi tahu dia sentiasa memaafkan Umi sebab dia memang seorang yang baik. Amat baik...
Bersama surat ni, ada gambar kami berdua masa di kampung lama dulu. Gambar bodoh-bodoh orang kata. Walaupun dia hanya anak angkat pada Tok dan Wan, dia tetap adik Umi dunia dan akhirat.
Ya Allah Ya Tuhanku, jaga anak-anak dan menantumenantuku untukku. Semoga Allah memelihara kita semua, Ameen...
Salam sayang,
Umi
Merembes air mata Arissa sebaik melihat foto lama yang tidak bertarikh. Warnanya pun sudah pudar. Ya, inilah ibunya. Dia cam sangat wajah itu. Wajah yang tidak pernah hilang dari mindanya.
Ibu... Umi, tangisnya memeluk foto itu.