DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 62
Pada suatu pagi yang sibuk, seorang kakak lewat 40-an datang ke klinik. Dia memang selalu datang jumpa aku. Pendek kata penyakit-penyakitnya ada dalam kepala aku. Tapi kali ini penyakitnya lain macam sedikit. Dia bawa anak sulungnya. Gadis berusia 20 tahun.

Anaknya sepatutnya sedang belajar di Segamat. Belajar kemahiran di sebuah pusat pembelajaran MARA. Entah kenapa tiba-tiba dia mahu berhenti belajar. Selidik punya selidik, siasat punya siasat, akhirnya diketahui puncanya. Dia terkena buatan orang. Dia sekarang sedang mengandung 6 bulan.

Akibat kehilangan punca, dan tak tahu nak buat apa, dia hanya mengurung anaknya di dalam rumah. Anaknya dilarang keluar rumah malah dilarang untuk berjumpa dengan sesiapa pun. Dan entah apa mimpinya, hari ini dia datang berjumpa dengan aku. Meminta tolong selesaikan masalah. Seboleh-bolehnya, dia tak mahu sesiapa tahu pasal anaknya. Dia tak mahu melibatkan saudara-mara yang lain. Dia juga tak mahu anaknya dikahwinkan pada usia muda.

Dia juga tak mahu membela anak yang bakal dilahirkan. Dia bercadang hendak menghantar anaknya ke negeri lain, ke pusat jagaan wanita yang jauh daripada rumah. Biar dia duduk di sana sampai bersalin. Bila dah selamat semuanya, barulah dia nak fikir pasal masa depan anaknya.

Anaknya alhamdulillah sihat. Kandungannya dah berusia 6 bulan dan perutnya pun sudah mula kelihatan. Tetapi perangainya masih keanak-anakan. Dia belum kelihatan bersedia untuk menjadi ibu dan cukup bersahaja. Seolah-olah tiada apa yang perlu dirisaukan tapi aku tak salahkan dia sahaja. Budak lelakinya pun patut disalahkan juga. Kalau kena hukum hudud memang patut pun.

Dengan bantuan cik Google, segala maklumat boleh aku peroleh. Aku call Pusat Jagaan Wanita Majlis Agama Islam Johor. Sebuah rumah wakaf kelolaan Jabatan Agama. Mereka ada satu pusat jagaan di Taman Perling. Prosedur kemasukan tak susah sangat tapi kena isi borang. kena sediakan beberapa dokumen penting, dan juga perlu hadir temuduga. Yang penting, kelulusan kemasukan adalah 100%. Cuma lambat dan cepat sahaja prosesnya.

Terkejut kakak itu bila aku call dia. Separuh daripada urusannya dah aku selesaikan.

Borang kemasukan aku dah print kan. Malah pusat jagaan pun dah aku confirmkan. Tentang bayi yang bakal dilahirkan pun takda masalah. Ramai dah ibu-ibu yang sanggup mengambilnya.

Aku cuba bersikap profesional. Aku cuba tidak mahu menyalahkan sesiapa. Aku cuba tidak mahu prejudis. Kejadian pun dah berlaku dan memang tak boleh nak delete ataupun buat-buat tak tahu. Sesuatu perlu dilakukan. Masa depan gadis berusia 20 tahun masih menjadi keutamaan. Masyarakat sekeliling hanya tahu bercakap-cakap belakang. Masyarakat sekeliling hanya tahu bercerita yang buruk tetapi tak ramai yang akan membantu. Inilah masyarakat kita. Kepada kakak itu aku berpesan supaya jangan terlalu menyalahkan diri sendiri. Semoga masih ada sinar harapan untuk gadis berusia 20 tahun ini.

Selang dua minggu, ada selonggok frozen food diletak di atas meja aku. Karipap dan donut yang disejuk beku dikirimkan kepada aku. Aku diberitahu anaknya dah ditempatkan di pusat jagaan. Selesai sebahagian daripada masalahnya.