DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 63
Seorang lelaki berusia 58 tahun. Tiada pekerjaan tetap. Punya anak 5 orang. Isterinya dulu bekerja kilang tetapi kini sudah tidak bekerja. Aku kenal pakcik ini lebih 10 tahun. Aku juga yang mendiagnosis penyakit kencing manisnya. Itu pun semasa pemeriksaan kesihatan percuma di kampungnya. Mula-mula dulu dia memang rajin ke klinik aku. Tetapi sejak isterinya tak bekerja, dia semakin jarang ke klinik. Dia kata ambil ubat kencing manis di farmasi. Check pun di farmasi juga. Aku suruh ke klinik kerajaan tapi dia tak nak. Kena tunggu lama. Lepas tu bukan dapat jumpa doktor pun. Lepas tu asyik kena bebel dengan nurse. Itu alasannya.

Sebulan yang lalu dia rasa sakit dan kebas-kebas di kaki kanannya. Lalu dia pergi berurut dengan seorang warga Indonesia. Dilumur dengan minyak panas. Selang beberapa hari, kulit kakinya bertukar jadi biru gelap. Sakitnya tidak juga berkurangan. Nak jalan pun semakin sukar.

Selepas 2 minggu, dia datang berjumpa dengan aku. Sakit kakinya tidak tertahan. Kaki kanannya berwarna kemerahan sehingga paras bawah lutut. Terdapat beberapa tompok kehitaman di kulit kakinya. Jari-jari kakinya biru kelebaman. Tiada nanah. Tiada juga bau kurang menyenangkan. Jari-jari kakinya agak sejuk tapi nadi di pergelangan kaki masih ada. Tetapi disebabkan dia ada kencing manis, aku cadangkan supaya dia pergi ke hospital untuk rawatan lanjut. Aku tak boleh nak buat apa-apa.

Selepas beberapa hari, baru dia pergi hospital. Dia dimasukkan ke wad selama 2 hari sahaja. Doktor kata buah pinggang ada sedikit masalah. Kakinya doktor tak buat apa-apa. Dressing pun tidak. Doktor cuma lukis dengan marker kawasan yang bengkak. Rujuk ke pakar bedah vaskular atau pakar tulang pun tidak. Doktor suruh buat dressing di klinik kesihatan 1Malaysia. Bila ditanya pasal kulit yang kehitaman tu, doktor cakap nanti tanggal sendiri.

Beberapa hari lepas, dia datang semula ke klinik aku. Sakitnya makin teruk. Luka kehitaman di kakinya makin membesar. Jari-jarinya semakin membiru. Mati hidup balik dia tak nak ke hospital semula.

Doktor bukan buat apa-apa pun. Tapi apa boleh aku buat

Ini kali kedua aku tulis surat rujukan untuknya. Sebenarnya aku paling tak suka tulis surat rujukan. Terutama kepada hospital kerajaan. Langsung tiada maklum balas malah kadang-kadang surat rujukan aku tiada nilainya. Doktor kerajaan ingat doktor cabuk ni menyusahkan mereka. Rujuk kes bukan-bukan kepada mereka. Rujuk kes-kes bodoh kepada mereka. Menambah beban kerja mereka. Aku dah berhenti refer kes untuk ujian darah kes denggi. Aku dah taubat. Kasihan pesakit-pesakit aku. Walaupun lambat dapat keputusan kalau test sendiri, itu lebih baik banding hantar ke klinik kerajaan.

Berbalik kepada cerita pakcik tadi, dia hanya pergi ke hospital kira-kira jam 10 malam.

Berjumpa doktor kira-kira sejam kemudian. Kalau aku jadi doktor aku pun marah juga. Sakit dah berminggu-minggu hampir tengah malam baru nak ke hospital. Tapi bagi mereka yang faham realiti, memang gila susah nak pujuk dia ke hospital. Aku dah tulis terang-terang kat surat rujukan kronologi ceritanya, tetapi doktor kerajaan langsung tak pandang. Mungkin juga tak baca surat rujukan aku. Dia suruh pakcik tu balik rumah. Dia beri pakcik tu antibiotik lagi. Dia suruh pakcik tu datang balik selasa depan. Jumpa pakar tulang.

Aku geram. Aku sedih. Aku panas hati. Mentang-mentanglah pakcik ni bukan orang ada-ada, beginilah layanan yang dia dapat. Aku tahu pakcik ni seorang yang agak degil. Isteri dan anak-anaknya pun mengaku dah tetapi ini bukan caranya dan bukan masanya untuk mengadili dan menghakiminya.

Beberapa bulan lepas. Ada seorang pakcik juga berusia lewat 50-an. Dia juga seorang penghidap kencing manis tegar. Dia juga seorang yang degil. Lebih percaya ubat herba banding ubat moden. Dia selalu mengadu sakit dan kebas kedua-dua kakinya. Ada seorang kawan menyarankan pergi rendam kaki dalam air berubat. Boleh buang toksin. 2 hari lepas rendam kaki, dia dimasukkan ke hospital pakar. Kedua-dua kakinya melecur teruk akibat terbakar. Mungkin panas sangat air rendaman kaki tersebut. 2 minggu dia duduk dalam wad tapi nasib dia agak baik. Company dia tanggung semua kos perubatannya. Kalau tidak jadilah seperti pakcik tadi.