Bermula dengan membawa beberapa orang warga asing ke klinik, dia mula jatuh cinta dengan layanan di klinik aku. Perwatakannya memang kasar. Suaranya pun kasar. Pertama kali aku bercakap dengannya, memang aku rasa kerek semacam je mamat seorang ni. Dia hampir bergaduh dengan manager rangkaian klinik, semata-mata bila permohonan awal panelnya ditolak. Namun begitu dia tidak berputus asa. Dia masih membawa pekerja-pekerja bawahannya ke klinik aku. Dia juga tak henti-henti memujuk aku. Beberapa kali dia minta maaf dengan aku. Beberapa kali juga dia minta maaf dengan manager rangkaian klinik aku. Akhirnya dia berjaya dan klinik aku kini sah jadi panel syarikat dia.
Terus terang aku katakan. Dia memang kasar orangnya tapi hatinya baik. Dia pernah tolong seorang mangsa ragut mendapat rawatan di klinik aku. Seorang yang dikenal di tepi jalan sahaja. Tapi dari segi lagi, dia kurang hormat dengan pekerja-pekerja bawahannya. Mungkin sebab dah ramai sangat yang dijaganya. Mungkin sebab dah banyak sangat karenah pekerja bawahannya. Dengan aku dia baik. Dia juga baik dengan staf klinik. Setiap kali datang ke klinik, ada sahaja buah tangan yang dibawanya.
Pagi ini lain pula ceritanya. Dia tidak seceria selalu. Dia dah tak bersalam dengan aku seperti selalu. Rupa-rupanya dia kena pukul semalam. Dia bergaduh dengan salah seorang staf di syarikatnya. Dia syak staf itu tidak jujur dalam mengira dan memberi gaji dan malam itu, staf itu membawa 3 samseng untuk berjumpa dengannya. Dia dipukul dan dibelasah dengan teruk. Dia menangis bila bercerita di depan aku. Aku tak menyebelahi mana-mana pihak. Aku tak kata dia tak bersalah. Aku juga tak boleh kata dia bersalah. Dia tak nak buat report polis. Dia tak nak memanjang-manjangkan cerita. Itu haknya.