Mencari Kiblat Cinta - 66
Pertemukan kami berdua agar kami dapat tinggalkan tempat ini dan mulakan hidup baru. Tempat di mana tidak akan ada seorang pun yang akan menemui kami di situ. Kami akan ghaib diam-diam bagaikan debu yang berterbangan! Bisiknya sebak.

Matanya terus mengekori gerak geri gadis itu. Dia tidak pernah tahu penat sejak mengekori si gadis dari kawasan hospital. Kedua-dua pengiringnya menawarkan diri mahu menemaninya, tapi dia menolak. Dia lebih senang bersendirian mengekori gadis itu. Lagipun gadis seperti Danira tidak akan berupaya mengancam keselamatan dirinya.

Dia tahu siapa yang ditemui gadis itu di hospital. Pasti peguam itu! Lelaki itu tidak pernah kenal istilah serik! Kesabarannya kadangkala menipis. Namun dia tidak mahu bertindak terburu-buru seperti dulu.

Dia harus bersabar. Harus belajar mengawal emosi marahnya. Dan sejak dia diangkat menjadi ketua di Kawasan Emas, perasaan marah yang kerap menguasainya mula bertukar menjadi lebih tenang. Lebih berdiplomasi walaupun berhadapan dengan orang yang mengkhianatinya.

Mengingatkan Danira, wajahnya segera berganti muram! Dia masih ada urusan yang belum selesai dengan gadis itu. Urusan yang sepatutnya beres sebelas tahun yang lalu.

Cari formula tu sampai dapat atau kita semua akan dapat susah Cobe. Kalau perlu hapuskan mereka, buat saja. Ini arahan Mr. Kay sendiri. Suara orang atasannya bergema menghimbau kenangan lama. Ketika itu dia benar-benar terkejut mendengarnya. Hatinya ragu-ragu. Bagaimana dia sanggup membunuh Zahlia dan dua nyawa kecil yang tidak berdosa Memang dia jahat. Dia lelaki yang tidak pernah gentar dengan apa-apa pun, tapi kali ini arahan ketuanya disambut dengan perasaan bingung. Sejahat-jahat dia, dia tidak sanggup melakukannya.

Lepaskan anak-anak Lia, Rul. Mereka tak salah. Lia merayu pada Rul.

Adnan dah naikkan kemarahan Mr. Kay. Lia kan kenal siapa Mr. Kay tu. Tidak pernah ada sesiapa yang selamat jika menyinggung dia. Kalau Rul lepaskan Lia dan anak-anak Lia sekalipun, dia akan cari pembunuh lain. Dia menoleh memandang ke arah Zahlia yang kelihatan pucat. Garis-garis hitam berlingkar di sekeliling mata wanita itu.

Cuma ada satu jalan untuk sejukkan kemarahan Mr. Kay, Lia. Sambungnya lagi. Zahlia mengerutkan dahinya.

Cari formula yang Adnan sembunyikan tu. Lia mesti cari sampai jumpa atau anak-anak Lia akan senasib dengan Adnan. Tegasnya.

******

Zahlia tersentak. Wajah yang pucat itu kini semakin pudar. Dia tidak pernah ada niat mengugut wanita itu. Dia hanya menyampaikan pesanan Faruk bagi pihak Mr. Kay yang kini semakin hilang sabar.

Beberapa hari kemudian, dia mendapat khabar wanita itu sakit dan dimasukkan ke pusat rawatan. Lebih memburukkan keadaan, beberapa bulan kemudian wanita itu dikatakan mati kerana terjatuh dari tingkat bangunan pusat rawatan.

Dia mendengus kasar. Ini bukan kesudahan yang diinginkannya terjadi pada Zahlia. Lia, kau benar-benar bodoh! Kalau dari dulu lagi kau tidak jatuh cinta pada Adnan, tentu semua ini takkan berlaku dan Adnan tidak perlu mati! Gumamnya sendirian. Bebola matanya tiba-tiba terpesong. Danira dilihatnya bangkit dari tempat duduknya. Langkah kaki gadis itu dihela ke suatu arah. Dia hanya membiarkan. Entah kenapa ada sesuatu yang menghalangnya dari terus mengekori gadis berwajah muram itu. Ada getar berlagu di sanubarinya. Getar yang mengirim angin penyesalan yang tidak pernah surut. Zahlia! Maafkan aku!

Nira dari mana ni Tanya Kamila ketika anak gadis itu muncul di hadapan taska. Wajah Danira yang pucat lesi menggamit sepenuh perhatiannya pada anak gadis itu.

Nira ke hospital tadi Kak Mila. Nira pergi melawat Joshua, peguam Nira. Ujarnya berterus terang. Tidak ada gunanya dia menyembunyikan perkara sebenar pada wanita itu.

Kenapa dengan peguam Nira Soal Kamila ingin tahu.

Danira tidak terus menjawab. Dia berat hati mahu memberitahu wanita itu perihal Joshua yang terlantar di hospital. Apatah lagi apabila mengenangkan kata-kata Evelyn yang mengaitkan kejadian yang menimpa Joshua itu dengannya. Puas sudah dia meminta Joshua menjelaskannya. Namun lelaki itu langsung tidak mahu menyebut apa-apa.

Dia kemalangan kak, tapi dia tak apa-apa. Ujar Danira seraya tersenyum hambar. Dia serba salah kerana terpaksa berbohong dengan Kamila yang baik hati.

Nira rapat juga ya dengan peguam Nira tu. Kamila cuba mencungkil cerita.

Rapat gitu-gitu aje kak. Lagipun dia kan peguam Nira. Kami dah lama kenal. Balasnya.

Kamila terdiam. Betul juga! Peguam mana yang tidak rapat dengan anak guamannya Lagi-lagi kes Danira berlanjutan agak lama.

Oh ya, Nira dah makan Kalau belum, kakak nak ajak Nira ke rumah. Kakak ada masak bubur pulut hitam kalau Nira nak makan. Sebenarnya Zulbhan yang nak makan, tapi terlanjur kakak masak, sengaja kakak masak lebih. Kamila mengubah tajuk perbualan. Dia tidak mahu wajah Danira terus diliputi mendung.

bersambung

Bab akan datang:

Mengapa Danira yang mempunyai perasaan maaf terhadap Zahlia Adakah dia terlibat sama