Mencari Kiblat Cinta - 68
Hanya matanya sahaja yang ralit menyapu bersih ke arah rumah dua tingkat yang dipenuhi dengan karikatur kartun Disney pelbagai watak.

Sejak kali terakhir dia melihat Danira tempoh hari, entah kenapa dia sering terkenangkan gadis itu. Aneh! Mereka baru bertemu beberapa kali namun dia senang berbicara dengan gadis itu. Malah hatinya seperti tidak keruan setiap kali dia berhadapan dengan gadis itu.

Kadang-kala bila difikirkan kembali, dia hampir tidak percaya yang dirinya tanpa disedari sudah membuka rahsia hatinya di hadapan Danira. Namun apa yang dituturkannya tempohari, datang dari hatinya yang ikhlas. Selain dari Wirda yang pernah dicintainya, Danira adalah gadis kedua yang membuka pintu hatinya untuk kembali merasakan sesuatu yang sudah lama tidak dirasakan. Dan perasaan yang tumbuh di hatinya untuk gadis itu juga muncul mendadak.

Beberapa kali dia mencari akal mahu bertemu gadis itu. Salah satunya ialah dengan meminta Danira menguruskan parti harijadi Melia di taska itu. Tapi dia gagal bercakap sendiri dengan gadis itu, sebaliknya Kamila yang menyambut panggilan telefonnya siang tadi. Memang dia berasa hampa! Lain yang diharapkan, lain pula yang berlaku. Itu yang menyebabkan dia tidak puas hati lalu mengambil keputusan memandu ke taska itu.

Jarum jam di tangannya sudah menunjukkan pukul 9 malam. Masih awal sebenarnya, namun dia tidak berniat mahu mengganggu Danira. Gadis itu pasti akan mengganggap dia gila atau maniac jika menyedari dia sedang berada di situ pada ketika ini. Lagipun tak mungkin Danira akan keluar pada waktu-waktu begini. Esok pagi dia harus menaiki penerbangan ke Kuching pula. Dia mula berkira-kira mahu meninggalkan tempat itu sebelum kehadirannya disedari. Namun belum sempat dia mahu menghidupkan enjin kereta, sebuah van buruk tiba-tiba berhenti di hadapan taska itu. Kelibat Danira muncul dari dalam rumah.

Filman jadi tertarik melihat Danira bercakap-cakap dengan seorang lelaki tua yang keluar dari perut van. Seorang lelaki lain yang lebih muda dilihat mengeluarkan sesuatu dari perut van. Beberapa buah kotak sederhana besar kini diangkut masuk ke dalam rumah.

Siapa kedua-dua lelaki itu Filman mengerutkan dahinya. Perasaan hairan mula berputik. Keluarga Danirakah Tiba-tiba tumpuan Filman beralih arah. Dia terpandang sebuah kenderaan yang diparkir tidak jauh dari taska itu. Kereta berwarna hitam bercermin gelap itu sebenarnya berada di situ sejak dia sampai lagi. Tapi dia tidak ambil pusing tentang kereta itu apabila dia menyangka tidak ada sesiapapun di dalam kereta tersebut. Sehinggalah dia terpandang cermin kenderaan itu diturunkan lalu menyerlahkan seraut wajah. Apa yang menjadi perhatiannya ialah sebuah kamera beresolusi tinggi sedang dihala ke arah Danira.

Filman kebingungan. Apakah dia tersilap pandang atau memang benar orang di dalam kereta itu sedang mengintip gerak-geri Danira Tapi kenapa Apa tujuannya Dan siapa orang itu Fikiran Filman dipenuhi tanda tanya.

Tiba-tiba dia terkedu. Lelaki yang sedang memegang kamera itu sedang memandang ke arah kenderaannya. Filman menarik nafas panjang. Dengan wajah serius dia keluar dari perut kereta. Lebih baik dia berhadapan sendiri dengan lelaki yang tidak dikenali itu. Melihat kehadirannya, lelaki itu segera menaikkan cermin keretanya lalu bergegas meninggalkan tempat itu.

Filman menarik nafas panjang. Timbul keanehan di fikirannya tentang apa yang baru berlaku. Dia menoleh ke arah kelibat Danira yang masih belum menyedari kehadirannya di situ. Entah kenapa ada sesuatu yang tidak enak menjengah fikirannya saat ini. Mungkinkah gadis itu dalam bahaya

******

Barang-barang lama peninggalan arwah ayah dan ibunya yang baru sahaja dihantar Pak Maidin dan anak lelakinya sebentar tadi, segera diteliti dan dikeluarkan satu-persatu. Di dalamnya terdapat beberapa buah buku lama peninggalan ayahnya. Sebuah buku sederhana tebal bertajuk The Last Monarch dengan cover depan berlatarbelakangkan seekor kupu-kupu yang sedang singgah pada sekuntum bunga, menarik minatnya.

Dia masih ingat, buku itu adalah salah satu dari koleksi buku-buku milik ayahnya yang sering dibaca lelaki itu suatu ketika dahulu. Ayahnya memang obsess dengan kupu-kupu. Malah setiap petang jika mereka berkumpul di taman belakang rumah mereka, lelaki itu akan bercerita padanya tentang spesies kupu-kupu yang terdapat di seluruh dunia. Dan dia akan mendengar dengan penuh minat. Penuh perhatian!

Ayah! Nira rindu pada ayah! Danira melekapkan buku tebal itu ke dadanya. Hatinya dihambat pilu setiap kali mengingati lelaki itu. Mengingati apa yang telah berlaku pada ibunya, pada Naufal serta pada keluarga mereka yang dahulunya bahagia.

Bunyi loceng pintu dari tingkat bawah membuatkan perhatiannya beralih arah. Dia terpanar seketika. Matanya merenung jarum jam di dinding biliknya. Pukul 9.30 malam! Siapa yang datang Kak Milakah Hatinya dihujani kehairanan.

bersambung

Bab akan datang:

Siapakah orang yang mengintip Filman Apa motif mereka