DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 69
Pesakit No 1:

Seorang wanita berusia awal 30-an. Sudah berkahwin lebih 5 tahun. Mencuba pelbagai rawatan untuk hamil. Hospital kerajaan mahupun tradisional. Alhamdulillah, akhir tahun lepas dia disahkan mengandung. Kini usia kandungannya sudah 2 bulan. Satu hari dia datang ke klinik. Mengadu sakit kepala. Sudah beberapa hari tak boleh tidur. Laju je air matanya bila bercerita dengan aku.

Beliau anak bongsu daripada 5 beradik. Ibunya baru meninggal dunia 6 bulan yang lepas. Ada jangkitan kuman pada hatinya. Ayahnya kini tinggal seorang diri. Kampungnya nun di Taiping sana. Kebelakangan ini ayahnya sentiasa murung. Rokok dah menjadi teman setianya. Ayahnya pun memang ada penyakit darah tinggi. 3 hari lepas kakaknya telefon, ayahnya kena strok. Mati sebelah badan. Kalau boleh kakaknya suruh dia balik kampung. Menziarahi ayahnya yang sakit.

Dia ke klinik kerajaan untuk meminta nasihat. Doktor menasihatkan beliau supaya jangan balik kampung. Taiping terlalu jauh untuk beliau pergi. Doktor risaukan keselamatan kandungannya. Suaminya pun tidak setuju beliau balik kampung. Kakak dan abangnya pun sama. Mereka faham keadaan beliau. Tetapi siapa tak sayang ayah. Saban hari beliau teringatkan ayahnya. Setiap kali dengar suara ayahnya ditelefon, lagi sebak hati beliau.

Apa yang aku boleh lakukan Aku bukan suaminya. Aku juga bukan doktor pakar perbidanan.

Pesakit No 2:

Seorang wanita berusia lewat 30-an. Anak dah 4 orang. Yang kecil baru berusia 3 bulan. Setiap kali mengandung beliau memang banyak masalah. Hampir tiap bulan datang klinik. Cari aku untuk dapatkan MC. Macam-macam masalah. Nak senaraikan pun aku tak larat. Dia pun ada sakit tiroid. Kena makan ubat hari-hari.

Suaminya dulu kerja kilang juga tapi dah dua tahun lebih tak bekerja. Sebab dia dah kena sakit buah pinggang. Dah kena dialisis pun tapi PERKESO yang tanggung semuanya. Ada pencen ilat lagi. Dan nak jadikan cerita, suaminya berkahwin lagi setahun yang lalu.

Masalahnya adalah suaminya suruh dia mengandung lagi. Dia tak beri isterinya merancang keluarga. Makan pil tak benarkan. Ambil suntikan pun tak benarkan. Dia tanya pendapat aku.

Boleh tak dia makan pil perancang secara diam-diam

Pesakit No 3:

Seorang lelaki berusia lewat 30-an, dah berkahwin hampir 8 tahun. Tapi masih belum dikurniakan zuriat. Isterinya ada penyakit di saluran peranakannya. Isterinya menjalani pembedahan 6 bulan yang lepas membuang ketumbuhan pada rahim dan ovarinya. Selepas pembedahan doktor beri suntikan kepada isterinya. Suntikan hormon untuk menghalang period daripada datang. Maka isterinya ibarat dah menopaus. Ibarat putus haid untuk sementara. Masalahnya adalah isterinya dah semakin berubah. Isterinya cepat naik angin. Isterinya semakin dingin dengannya. Dan yang dia tak tahan. Isterinya jadi kuat cemburu. Dia rasa terseksa dan tertekan. Tekanan perasaan zahir dan batin. Apa yang aku boleh buat

Nota kaki:

Menjadi doktor bukan satu tugas yang mudah. Memahami masalah manusia juga bukan tugas yang mudah. Doktor bukan setakat merawat sakit kepala sahaja. Doktor kena juga merawat punca kepada sakit kepala. Masalah emosi paling sukar nak ubat kerana selalunya tiada ubat untuk penyakit emosi. Untuk ketigatiga kes di atas, aku tiada ubat untuk mereka. Aku juga tiada jalan penyelesaian untuk mereka. Kena kembali kepada Maha Pencipta. Hanya Dia yang boleh mengubati mereka.