TANGAN Ajai pantas mengemas buku-buku di atas meja. Kemudian, digemalnya beberapa buah buku, diketuk-ketuk buku itu di atas meja. Selesai semua, dimasukkan pula ke dalam beg galasnya.
Kepalanya ditolehkan ke kanan. Kosong tidak terisi. Susun atur kelas yang gaya auditorium, tempat duduk sebelah-menyebelah sepatutnya memberi peluang kepadanya untuk duduk berpasangan. Malang sekali tiada siapa yang mahu duduk di sampingnya.
Ekor matanya menangkap kelibat seorang pelajar berbangsa India di hadapan sekali. Kecil tubuhnya. Budak itu duduk betul-betul di sebelah pintu. Ajai perasan dia tidak langsung bercakap seperti rakan-rakan lain sejak pagi tadi. Pelajar lain juga tidak bersembang dengannya melainkan rakan di sebelahnya yang memakai uniform pengawas.
Pendiam dia pun, masih ada kawan. Yang aku ni Perlahan Ajai memantulkan geram. Sekadar didengarinya sendiri.
Ajai mengeluh lanjut. Berasa seperti terasing daripada syurga mereka. Tetapi dia yakin laranya hanya sebentar. Selepas beberapa minggu nanti, pasti akan ada yang sedar tentang kewujudannya di kelas itu. Jika tidak, mahu tidak mahu dia perlu tabahkan hati untuk menempuh hari-hari mendatang.
Kameena, petang nanti kita keluar main boling, nak
Tak mahulah aku. Pergilah ajak kawan lain. Aku banyak kerja.
Mentang-mentanglah tahun ni nak PMR, keluar sekejap pun tak mahu dah Jomlah. Hari ini Jumaat. Kau pun bukannya tolong buat kerja rumah, Farid menyindir pedas. Disambung gelak tawa rakan-rakan. Satu kelas bersorak menceberkan gadis kota itu. Kelas menjadi taru.
Kameena menunjukkan buku limanya kepada Farid. Jarak meja mereka jauh, tetapi masih mampu menghidupkan suasana kelas yang ceria.
Beginilah hari-hari baharu mereka di Tingkatan Tiga Arif. Sewaktu awal jejak mereka di sekolah menengah, tidaklah senakal ini. Sebaliknya malu-malu untuk bertegur sapa. Namun setelah usia meningkat matang, mereka mengambil kesempatan. Segala-galanya berubah dengan sekelip mata.
Pertengahan remaja menjadi kayu pengukur
kepada jati diri setiap individu. Bermula dari sinilah mereka akan bercorak, sama ada mahu mengekalkan mulus kain putih itu ataupun mewarnakan hitam ke atasnya.
Setiap langkah mereka akan ditapis oleh minda remaja yang kononnya adil. Lantas, jiwa memberontak perlahan-lahan menyusup saat kemahuan dan kepuasan disekat. Begitulah riwayat seorang remaja. Sukar mencari diri, malah bersesah dengan bayang-bayang sendiri.
Ajai yang duduk di tepi tingkap sempat menghidangkan senyum melihat ragam mereka. Kemudian pandangannya singgah ke arah Kameena yang sedang menghembus-hembus tudungnya. Sesekali gadis itu membelai tudung putih yang dikit geleber di hujungnya. Ajai tersengih lagi sehingga menampakkan baris gigi putihnya.
Tertangkap. Kameena menjeling tajam. Dia berasa seperti diperhatikan sejak tadi. Dan Ajai bakal dibaham. Bibir merah gadis itu langsung mengecil menandakan geram. Kulit dahinya berlipat-lipat.
Ajai terkedu, mati kutu. Lalu berpurapura memerhati tingkap-tingkap di sisi kirinya. Tangannya sekonyong-konyong gatal mengira anak tingkap, biar tiada angka dalam kepala.
Debuk! Meja Ajai dipukul. Hoi, kenapa kau curi-curi pandang!
Ajai ternganga. Kelas diserang kebisuan. Rakan-rakan sekelas turut sama memerhatikan drama yang sedang berlangsung. Ajai nampak dengan jelas mata mereka tepat ke batang tubuhnya. Rupanya, ada mata yang lagi besar sedang membuntang di hadapan. Kameena!
Maafkan saya. Saya cuma.... terketarketar Ajai mahu menjawab.
Cuma apa Cuma gatal Tak padan dengan budak kampung. Baru masuk kelas ini dah nak tunjuk belang, bentak gadis itu.
Mata Ajai melingas. Dia malu diperlakukan sebegitu. Seisi kelas masih menonton wayang mereka. Ajai tertunduk, menelan cecair yang tersekat di kerongkong.
Wah, budak kampung ini dah pandai rupanya! Kena laporkan pada Cikgu Isa kalau macam ni, sampuk Farid dari belakang mencelah mahu berlagak hero. Terserlah sikap kibirnya.
Jawablah! Kenapa Kau jakun tengok gadis bandar Mulut Kameena lancang mengutuk. Disokong oleh ceridau rakan-rakan yang lain. Pongahnya yang keliwat menduga kejantanan Ajai. Diam!
Sepi terus. Ajai berdiri. Bengis mukanya. Tangannya tidak diam, jari telunjuk remaja kampung itu hampir tercecah hidung Kameena. Farid memandang dari depan. Matanya
tidak berkedip. Celangak mulutnya kerisauan bagai melihat raksasa membuat kacau.
Saya memang budak kampung! Tapi, jangan berani nak cabar kesabaran saya, marah Ajai. Mukanya merah padam. Dia telah memberi amaran kepada Kameena. Membayar segala malu tadi. Tidaklah terlalu kuat lontaran suaranya. Malah, lebih halus nadanya daripada apa yang dijual oleh gadis itu.
Mata gadis itu meruyup. Gentar dengan tantangan Ajai. Bibirnya dikerkah oleh gigi atas. Saat matanya terbuka, Ajai sudah lenyap. Langsung dia berdengus kencang melampiaskan amarah. Tudung putih itu kembali gelebek.
DI ruang tamu, Cikgu Isa sibuk menanda buku karangan pelajarnya. Ada masa dia tersengih, ada masa mulutnya terkumat-kamit melafazkan mantera geram. Beginilah rutin hidupnya pada hujung minggu. Kerja yang tidak sempat dilangsaikan di sekolah, terpaksa dibawa lari ke rumah.
Kalau diikutkan hatinya yang mengah, mahu sahaja dibiarkan anak didiknya tidak diberi kerja. Supaya dia boleh bergoyang kaki dan tidak perlu menjadi hamba kepada pen merah. Diasalkan oleh citra keguruan yang menjeleket dalam peribadinya sejak bergelar guru sepuluh tahun lalu, dia reda.
Minum teh ini dulu, cikgu.
Mata pena Cikgu Isa terangkat di udara. Pandangannya dihantar ke sisi. Entah bila Ajai muncul dengan secawan teh. Pantas disambut dengan kedua-dua belah tangannya. Diletakkan lembut di atas meja kecil yang dipajang indah dengan sejambak bunga di tengahnya.
Terima kasih.
Sunyi setagal. Cikgu Isa membisikkan basmalah. Lalu mereguk teh hasil tangan Ajai dengan penuh nikmat. Batang tenggoroknya bermandi seketika. Panas air teh menunu tunas rasa guru itu.
Boleh tahan air teh kamu ni, Ajai. Lain macam rasanya.
Saya minta teh daripada Mak Teh. Teh dari sana selalunya sedap. Itu yang saya bawa balik sikit.
Ajai tersipu-sipu. Dia tidak berbayang tentang sikap meminta-mintanya itu. Cikgu Isa turut tersenyum.
Betulkah kamu minta Jangan kamu curi sudahlah, gurau Cikgu Isa.
Cikgu Isa kembali mencangkukkan jari telunjuknya di telinga cawan kaca tadi. Kemudian, dihirupnya lagi sampai habis air teh itu. Semacam lega tekaknya apabila dibasahkan.
Kamu dah habis ulang kaji pelajaran soal Cikgu Isa.
Sudah. Baru saja lepas buat kerja rumah Matematik. Sakit juga kepala asyik mengira dari tadi, balas Ajai.
Tawa kecil tergelincir di antara dua bibir Cikgu Isa.
Ingat, Ajai. Tahun ini kamu bakal menduduki PMR, jangan terlalu asyik bermain dan menonton televisyen, tukas Cikgu Isa.
Mana ada saya asyik bermain, cikgu. Saya ni kawan pun tak ada. Harapkan anak kecil jiran-jiran saja, balas Ajai mempertahankan dirinya.
Cikgu Isa tersentak. Dia terlupa bahawa Ajai memang tidak berkawan dengan remaja di sekitar taman perumahan itu. Bukan niatnya untuk memasung budak itu, tetapi Ajai sendiri yang malu berkawan. Katanya, remaja di situ rajin melepak. Siang di tepi padang, malam di depan longkang. Sesak hidupnya jika diurus begitu.
Kamu kena belajar bersungguh-sungguh. Buktikan kepada orang kampung yang kamu boleh berjaya. Biar terbuka mata mereka semua lihat anak Jakun macam kamu ni menggenggam segulung ijazah. Untung-untung kamu boleh bantu mereka yang susah, nasihat Cikgu Isa merangsang semangat Ajai. Dia tahu remaja itu berpotensi untuk cemerlang. Dua tahun lebih mengenali Ajai, memang dia kenal benar tahap kerajinannya.
Ajai merakam imej dirinya yang sedang mengepal sijil dengan jubah hitam tersarung di badan. Dia terkesan dengan kata-kata guru itu.
Ya, cikgu. Mana boleh saya biarkan hidup saya sia-sia saja. Saya bersungguh nak jadi orang yang berguna, balas Ajai. Jauh dari sudut hatinya, jasa dan pengorbanan guru itu yang memberinya pelajaran perlu dibalas dahulu. Selebihnya biar Allah yang sabitkan.
Baguslah kalau kamu dah bermotivasi. Ingat Ajai, tahun ni kamu dah naik ke kelas pertama. Persaingan makin sengit. Jangan mudah putus asa. Semua pelajar lebih kurang sama tahap kecerdasannya. Soal kerajinanlah yang menentukan kamu di tingkat yang mana nanti, tambah Cikgu Isa.
Baik. Saya akan cuba berusaha sedaya upaya. Yang penting, saya perlu perbaiki kelemahan dalam subjek Bahasa Inggeris dahulu.
Cikgu Isa mengangguk. Dia sedar Ajai memang sukar menguasai bahasa asing itu. Dahulu, keputusan UPSRnya juga dicacatkan oleh subjek itu.
Di kelas kamu tak ada yang pandai dalam subjek itu Menuntutlah dengan kawan. Belajar bersama-sama secara berkumpulan molek juga. Dulu cikgu selalu belajar cara ini.
Ajai membisu. Cuma bahunya sahaja yang bergedik-gedik. Bibirnya dijuihkan.
Kenapa Atau kamu mahu cikgu carikan guru bahasa Inggeris Yuran pun tak berapa mahal kalau belajar ikut waktu interaksi. Sudah pandai nanti berhentilah, tawar Cikgu Isa.
Tak mengapalah, cikgu. Saya dah mula membaca bahan-bahan berbahasa Inggeris.
Bolehlah belajar sikit-sikit.
Ajai berasa bersalah. Tidak sepatutnya guru itu dibohongi. Sebetulnya, dia malu dengan rakan sekelas yang memaksanya menyendiri biar sudah seminggu di kelas pertama itu.
Kalau macam itu, tak mengapalah. Kalau ada masalah, boleh terus tanya cikgu. Insya-
Allah cikgu boleh tolong.
Cikgu Isa mengurut-urut dadanya. Kurang selesa dengan masalah kesihatannya yang makin meruncing. Batuk-batuk kecil mula bercempera. Tangannya mencekak tengkuk dan halkumnya turut dipersalahkan. Dia berdehem selantanglantangnya.
Cikgu tak sihatkah
Tak ada apa-apa. Batuk sikit saja. Mungkin cuaca tak menentu, tekak pun kering.
Kita ke klinik, ya
Eh, tak perlu! Sekejap saja ni. Malam nanti eloklah.
Bang asar berkumandang di medan udara.
Unggas-unggas bersiap siaga untuk pulang ke
sarang bersama gerombolannya. Segala macam makhluk pun menikus mentakzimkan seruan agung empunya jagat raya. Mereka berdua terus berdiam. Entah apa yang diperihalkan akal masing-masing.
SEPANJANG malam itu Kameena dibayangi tampang Ajai. Wajah coklat pekat Ajai sentiasa menghambatnya ke mana-mana sahaja. Saat dia bersantap, bengis budak kampung itu muncul di muka pinggannya. Ketika sedang asyik menonton televisyen, masih datang lagi jelmaan Ajai. Naik meluat dibuatnya. Seperti telah dibomoh oleh budak lelaki bengkeng itu.
Aduh, apa kena dengan aku ni
Kameena menyelubungkan diri. Peristiwa kelmarin menyentap duranya. Nah, tekanan demi tekanan menyerangnya! Kakinya terlunjur ke hadapan. Lemas.
Rambutnya yang mencecah paras bahu ditarik-tarik sampai puas. Kemudian, dia berlutut di atas tilam sebentar. Dia baring semula. Lalu kedua-dua tumitnya menghenyak tilam spring berkali-kali. Dia benar-benar geram kali ini. Tidak pasti sama ada mahu menyalahkan diri sendiri atau Ajai yang baru seminggu berhijrah ke kelasnya.
Apalah malang sangat nasib aku dipertemukan dengan kau, budak kampung! pekik
Kameena dengan geram. Jeritannya bergaung di segenap pojok bilik.
Pintu bilik terbuka. Seorang lelaki separuh abad merenungnya sambil tertawa kasar.
Papa! Kameena merengek. Dia malu ragamnya dihendap oleh bapa kesayangannya itu.
Apa masalah kamu ni, Kameena Dah macam hantu polong dahaga darah.
Tak ada apa-apalah, papa. Kameena menyorokkan masalahnya.
Kalau ada masalah, beritahulah. Fasal duitkah
Bukan, ringkas Kameena membalas.
Habis tu Bapanya yang masih di balik pintu cuba mencungkil lagi.
Tak ada apa-apa. Papa, Kameena nak tidur. Jangan kacau, ya Selamat malam, papa.
Kameena nampak wajah papanya dibelah pintu. Tersengih sahaja orang tua itu dari tadi. Kameena tidak mahu papanya tahu tentang perangainya di sekolah. Jika tidak, pasti gamat.
Baik. Kali ni papa kalah. Esok-esok tahulah, sindir lelaki gempal berambut nipis itu. Sindiran itu seperti disebatikan sekali dengan lada dan cili. Pedih kura Kameena mendengarnya.
Esok hari Isnin. Dia akan kembali menatapi insan yang membebankan mindanya malam ini. Seorang budak lelaki yang baru dikenalinya seminggu, cukup membuatkan egonya terjaga.
Selepas beberapa kali berguling, dia tetap tidak dapat tidur. Tiba-tiba akalnya diserang lafaz maaf. Ah, dia tidak selemah itu untuk mengalah, fikirnya! Ajai yang membuka gelanggang persengketaan, maka dia jugalah yang perlu menutupnya.
Alangkah indahnya jika besok masih Ahad!