CINTA RIMAU - 7
Jip yang dipandu Hasya memasuki perkarangan banglo dua tingkat di penghujung Jalan Setiarimba yang dipenuhi rimbunan hijau sekitarnya. Sengaja dibiarkan pokokpokok besar itu tumbuh melata agar tiada mata yang memberi perhatian atau cuba mempertikaikan apa yang ada di sebaliknya. Sewaktu mematikan enjin, dilihatnya Keris muncul dari celah hutan di belakang rumah. Seperkara yang menjadi kebanggaan Hasya, Keris tahu bila dia akan pulang.

Dengan menjinjing grocery bag berisi dua ekor ayam siap terpotong; makanan Keris untuk hari ini yang sempat dibelinya ketika singgah di BSC selepas berjumpa Bahrain tadi dan sambil menutup pintu jip Hasya berkata, Jum masuk dalam, sayang

Keris seperti biasa mengendeng manja di kaki Hasya sambil menurutinya ke dalam rumah. Langsung ke dapur, ayam-ayam mentah itu tadi segera dikeluarkan dari bungkusan dan dihidangkan untuk Keris. Bekas yang berisi minuman juga turut terlihat di situ dan ditambah airnya. Menyedari kadar metabolisma harimau yang tinggi, Hasya bukan saja memastikan pengambilan air yang mencukupi buat Keris bahkan turut memastikan penyaman udara di ruang bawah banglo itu dibuka hampir 24 jam sehari agar suhu badannya sentiasa terkawal.

Pernah tercatat di akhbar kisah seekor harimau sarkas spesis Siberia yang mati dalam kurungan ketika mengadakan pertunjukan di Kuala Lumpur akibat bahang panas! Kasih Hasya yang terlalu mendalam terhadap Keris tidak mengizinkan perkara buruk seperti itu terjadi kepadanya. Demi cintanya terhadap harimau, dia sanggup berkorban apa saja biarpun bil elektrik menggunung tingginya tapi bagaimana pula cintanya terhadap laki-laki Apakah Hasya sanggup berkorban apa saja Entahlah! Ditinggalkannya Keris sendirian menghabiskan makanannya.