MAT DAN MEL - 7
Aku mula sedar kerja sambilan yang aku lakukan di toko sukan tempat aku bekerja itu bukanlah susah sangat. Aku kini menjadi jurujual kasut sukan sambilan.

Sejak awal lagi aku tidak mahu menjadi jurujual yang suka mengganggu ketenteraman pelanggan dengan mendekati mereka lalu mengekori mereka ke mana sahaja mereka pergi seolah-olah mereka mempunyai potensi untuk mencuri. Aku hanya akan berdiri di satu tempat dan akan senyum kepada pengunjung yang datang. Selalunya aku tahu siapa yang memerlukan bantuanku dan siapa pula yang datang hanya untuk melihat-lihat tanpa tujuan membeli. Mereka yang datang dengan tujuan membeli-belah selalunya akan memandang ke kiri dan ke kanan untuk mencari jurujual yang bertugas. Apabila perkara ini berlaku, aku akan cepat-cepat berjalan ke arah mereka untuk membantu. Aku akan cuba beramah mesra dengan mereka terlebih dahulu dengan bertanya khabar dan sebagainya. Aku juga akan cuba menjawab soalan yang ditujukan mereka sebaik yang aku mampu. Aku seorang yang suka bermacam-macam-macam jenis sukan, jadi aku tak ada masalah untuk membezakan kasut-kasut yang ada dijual. Dengan pantas aku tahu keistimewaan setiap kasut yang berharga beratus-ratus ringgit ini. Selalunya aku akan meletakkan diri aku sebagai pembeli. Aku akan menggalakkan pelanggan-pelanggan aku supaya mencuba kasut yang ingin mereka beli tanpa memaksa mereka untuk membeli. Aku tak suka memaksa. Ada kalanya aku akan ditanya kasut model mana atau jenama mana yang perlu dipilih oleh bakal si pelanggan. Jika perkara ini berlaku dan jika aku tak pasti dengan jawapan yang perlu aku berikan, aku akan melihat model kasut yang aku sendiri berkenan. Si pelanggan yang bertanya itu selalunya akan memilih kasut yang aku pilih. Tetapi sebelum aku memberikan sebarang pendapat, aku akan terlebih dahulu bertanya, berapa kerap mereka akan memakai kasut tersebut dan mereka mahu memakainya untuk apa. Ada kalanya aku akan menasihatkan pelanggan aku supaya membeli model kasut yang lebih murah jika aku rasa model kasut yang lebih murah itu lebih sesuai untuk mereka.

Lebih banyak kasut yang dapat aku jual, lebih banyak komisyen yang aku dapat. Tetapi aku tidak pernah fikir tentang itu semua. Menurut Andrew, jumlah kasut yang telah dijual olehku melebihi jualan jurujual-jurujual lain sebelum aku. Dia ada beritahuku, yang aku boleh buat orang yang tak mahu beli kasut nak beli kasut sebab keramahanku.

Tetapi aku tidak dapat menafikan bahawa kadangkala aku terpaksa berhadapan dengan pelanggan-pelanggan yang banyak songeh. Yang paling aku tak tahan adalah pelangganpelanggan Arab. Tadi ada seorang lelaki Arab yang memanggil aku supaya melayannya ketika aku sedang sibuk melayan seorang pelanggan tempatan berbangsa cina. Dia cukup angkuh ketika memanggil aku seolah-olah aku ni khadamnya.

Aku memang tak nak melayaninya. Nak aku buat-buat pekak. Tapi kebetulan masa tu, Laksmi, seorang jurujual yang dah lama bekerja di situ datang membantu. Dia beritahu aku supaya pergi melayan pelanggan Arab itu, biar dia sahaja yang melayan pelanggan cina di bawah jagaanku itu. Nak tak nak aku mengangguk bersetuju.

Laksmi dah masak sangat dengan pelangganpelanggan Arab macam ni. Dia tak nak melayan Pak Arab tu sebab aku dapat tahu daripadanya sendiri dia pernah kena maki hamun dengan seorang Pak Arab yang mengamuk dengannya kerana dia lambat untuk keluarkan kasut yang mahu dicuba oleh Pak Arab itu dari bilik stor. Sejak dari hari tu, dia terus trauma. Dia pernah tanya aku kenapa ada orang melayu yang nak jadi lebih Arab daripada orang Arab sendiri sebab perangai mereka buruk sekali dalam pandangannya. Aku jawab dengan ikhlas aku tak tahu.

Si Pak Arab ini datang bersama isterinya yang memakai purdah serba hitam yang meliputi setiap inci di tubuhnya. Si Pak Arab ini pula memakai seluar pendek yang menampakkan bahagian pahanya yang berbulu lebat. Dia pakai baju-Tanpa lengan yang terlalu ketat untuk tubuhnya yang gemuk gedempol itu. Aku pandang dia, kemudian aku pandang isterinya. Mulutnya sok sek bertanya kepadaku soalan bertubi-tubi tentang kasutkasut yang berkenan di hatinya. Isterinya pula diam sahaja. Aku rasa isterinya itu sedang memerhatikan setiap gerak-geriku. Tapi aku tidak boleh pastikan sama ada perkara ini betul atau tidak kerana wajahnya dilitupi kain hitam.

Pak Arab ni memang menguji tahap kesabaranku. Bermacam-macam jenis kasut yang ingin dicubanya. Sebelum dia mencuba, dia akan membelek-belek kasut yang ingin dicubanya lalu membuat ujian fleksibiliti terhadap kasut tersebut dengan tangannya. Aku rasa lebih setengah jam aku melayannya, tetapi akhirnya dia langsung tak beli sebarang kasut dari ku. Aku mengeluh seorang diri. Laksmi tersenyum ke arahku kerana dia dah jangka perkara ini akan berlaku.

Aku memandang ke arah jam tanganku. Aku dapati sudah sampai masanya untuk aku berehat. Aku nak sembahyang Maghrib kemudian aku nak makan malam. Azri budak yang jaga bahagian raket berjalan ke arahku lalu mengajak aku keluar makan dengannya. Aku mengangguk bersetuju.

Kami ke tingkat paling bawah untuk ke surau yang terletak di situ. Setelah mengerjakan solat Maghrib, kami terus ke pusat penjaja makanan yang sering dikunjungi oleh pekerjapekerja seperti aku yang letaknya tidak jauh dari surau. Untuk mengisi perut, Azri dan aku makan nasi ayam. Nasi ayam yang kami pesan taklah sesedap mana, tapi memadai untuk menghilangkan rasa lapar.

Azri berumur 23 tahun. Orangnya kurus rendah.

Rambutnya diwarnakan. Dia berasal dari Tampin, Negeri Sembilan. Aku beritahunya aku pernah belajar di Negeri Sembilan - di Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar di Kuala Pilah, jadi dia cukup suka bila aku GUNO LOGHAT NEGORI untuk bercakap dengannya.

Azri berkelulusan setakat SPM. Bila aku mula-mula mengenalinya dia ada tanya aku jika muka dia macam Rosyam Nor. Aku tak tahu bagaimana nak jawab soalannya itu. Aku tak tahu jika dia serius atau main-main dengan aku sebab muka dia langsung tak ada iras-iras Rosyam Nor. Dia kata dia suka dengan penampilan Rosyam Nor dalam filem bertajuk Castello. Dalam filem itu rambutnya dibotakkan. Jadi dia tanya aku kalau dia patut membotakkan rambutnya. Aku kata ya, sebab dalam diam-diam aku benci tengok rambutnya yang diwarnakan tu. Memang tak kena dengan dirinya sebab kulitnya gelap. Aku menambah lagi dengan mengatakan sekarang ramai orang yang membotakkan rambut mereka sejak Mawi jadi juara Akademi Fantasia 3. Ramai yang terikut-ikut dengan style Mawi. Semua nak jadi macam Mawi.

Hari ini Azri baru dapat tahu aku masih belajar lagi. Selama ini dia fikir aku dah berhenti sekolah. Dia kata aku sepatutnya berasa beruntung kerana selepas aku mendapatkan ijazah aku nanti, aku boleh cari kerja yang lebih baik. Aku tak payah jadi jurujual seumur hidupku sepertinya. Betul juga katanya, sebab sejak aku mula bekerja, aku dapat rasakan betapa pentingnya untuk mendapatkan kelulusan universiti untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih selesa dengan gaji yang lebih baik.

Ketika kami sedang berborak, Azri menerima panggilan telefon diikuti pula dengan pesanan SMS. Dia beritahu aku awek-aweknya yang menghubunginya tadi. Dia kata dia ada simpan dua orang awek dalam satu masa. Keduaduanya tidak tahu tentang situasi sebenar yang mereka hadapi. Azni ni takdelah hensem mana, tapi hebat juga orangnya. Aku tabik spring kat dia!

Dia tanya aku kalau aku ada awek. Aku kata tak ada.

Dia terdiam seketika sambil tersenyum. Dia kata ada seorang budak perempuan yang dikenalinya yang bekerja di Jusco mahu berkenalan denganku. Aku tanya siapa. Dia tak nak jawab.

Ramai budak-budak perempuan yang tanya aku fasal kau! Katanya dengan selamba. Dia ajak aku hisap rokok. Aku ambil sebatang rokok kepunyaannya lalu kami sama-sama hisap rokok. Masa tu ramai juga yang datang makan di hadapan gerai nasi ayam ini - tapi aku buat selamba dok hisap rokok kat tempat yang dilarang merokok.

Tak apalah... Sebenarnya buat masa sekarang aku nak tumpukan perhatian aku kepada study, kataku memberi alasan. TAHU TAK PER! Jawabnya pantas.

Kemudian dia tanya aku jika malam ni lepas kerja aku nak join kawan-kawan Mat Rempit dia melepak di Dataran Merdeka. Dia kata dia boleh carikan bohsia untuk aku. Muka macam aku, berderet bosia nak offer diri, katanya.

Aku temberang kat dengan memberitahunya aku masih duduk dengan keluargaku di KL. Jadi aku tak boleh nak keluar malam sembarangan. Mak aku kononnya ustazah, bapa aku pula imam masjid. Aku buat muka sedih bila aku cakap mak bapa aku suka mengongkong hidupku. Aku kononnya tak puas hati dengan kehidupanku yang serba tidak adil ini.

Dia percaya kepada ceritaku tanpa banyak soal terus dia berhenti daripada bertanyakan kepadaku jika aku mahu berangkut dengan mana-mana bohsia yang dikenalinya pada malam ini.

Seorang awek jurujual Metro Jaya berjalan melintasi kami lalu menjeling manja ke arahku. Aku sempat berkenyit mata ke arahnya. Azri pula terus buat komen-komen tak senonoh fasal bentuk tubuh awek itu yang pada pandangannya seksi gila, walau pun bagi aku, aku rasa awek tu nampak chubby (jadi barulah sekarang aku tahu bahawa Azri yang kurus kering ini suka dengan awek-awek berisi). Perkataan henjut, nyonyot, gentel dan jilat keluar daripada mulutnya macam air bila dia tidak berhenti cerita apa yang dia akan lakukan kepada awek tadi kalau awek itu jadi girlfriend dia. Bila aku dapati penceritaan dia menjadi semakin grafik, aku suruh dia berhenti sebab aku baru jer lepas makan.

Azri nampaknya masih belum selesai untuk berbual fasal awek. Dia memulakan ceritanya dengan mengatakan ramai awek yang minat dia sebab muka dia iras-iras Rosyam Nor. Masa tu sumpah aku nak tergelak, tapi aku tahan jer. Aku buat-buat muka serius. Aku rasa dia mesti rasa diri dia hensem gila. Dia kata ramai awek-awek kat Tampin yang minat kat dia. Dia fikir-fikir setahun lagi dia nak cari bakal isteri dia kat Tampin. Dia nak cari calon isteri yang bertudung labuh. Nak aja aku tanya apa dia nak buat dengan awek-awek dia yang dua orang tu, tapi aku rasa aku dah tahu jawapannya.

Azri kata kalau bukan sebab along, dia dah lama kahwin. Dia kata dia terpaksa pinjam duit along sebab dia kalah dalam pertaruhan lumba haram yang disertainya. Sekarang, duit yang dia dapat tiap-tiap bulan digunakannya untuk bayar hutang along. Aku tak nak tanya berapa yang dia hutang along dan sebagainya. Ini bukan masalah aku.

Tiba-tiba sekumpulan Mat Rempit datang ke arah meja kami. Mereka bertepuk tampar dengan Azri. Aku memandang ke arah jam tanganku. Aku ada 10 minit lagi sebelum aku perlu kembali kerja. Aku meminta diri daripada Azri. Dia menganggukkan kepalanya.

Entah mengapa, aku tergerak untuk berhenti di hadapan kedai haiwan peliharaan yang setingkat dengan toko peralatan sukan tempat aku bekerja. Aku memandang ke arah akuarium ikan laut yang dipamerkan buat seketika sebelum pandanganku beralih ke akuarium yang menempatkan iguana dan seterusnya hamster.

Aku mengeluh lesu memikirkan tentang hamsterhamster comel yang sedang menunggu diri mereka dibeli. Dulu ketika aku kecil suka dengan hamster. Semasa aku berumur lapan tahun, aku pernah suruh bapa aku belikan aku hamster walau pun dia kata hamster ni kotor dan berbau hancing. Dia kata aku tak pandai jaga binatang macam hamster ni. Dia takut aku akan cepat bosan lalu akan biarkan hamster aku ni kelaparan. Tapi aku pandai pujuk bapa aku tu. Aku buat muka sedih. Agaknya sebab dia kasihankan aku, dia beli juga hamster yang aku nak sangat tu. Dia belikan aku hamster warna kelabu. Aku namakan hamster tu Jean Grey sebab hamster tu hamster betina.

Aku memang sayang dengan Jean Grey. Aku letak Jean Grey dalam bilikku. Kadang kala bapa aku akan masuk ke dalam bilikku untuk melihat Jean Grey berlari-lari tanpa henti di atas threadmillnya. Dia suka letak kuaci di atas tangannya lalu membiarkan Jean Grey masukkan kuaci-kuaci tu ke dalam mulutnya sampai penuh. Kemudian dia akan ketawa berdekahdekah.

Aku ada seorang bapa yang sporting. Sejak aku belajar di tadika, dia galakkan aku bermain bola. Jika dia ada masa, selepas kerja dia akan bawa aku ke padang permainan lalu dia akan bermain bola denganku. Sejak dulu lagi aku tahu tidak ramai kawan-kawanku yang ada bapa macam aku. Jadi pada masa tu aku rasa beruntung sangat. Aku anggap diri aku ini sebagai budak yang paling beruntung di dalam dunia kerana mempunyai bapa sepertinya. Dia jadi kawan baikku. Masa tu aku sayang sangat dengannya.

Tetapi sekarang aku membencinya setengah mati. Aku membencinya ke atas segala apa yang telah dilakukannya terhadap diri aku, mak, Hani dan Nani. Apa yang telah dilakukannya tidak mungkin dapat dimaafkan.

Aku terus termenung melihat hamster di hadapanku sehinggalah Azri menyergahku dari belakang. Dia kata seorang kawannya baru sahaja menghantarnya video bogel seorang artis tempatan melalui pesanan MMS. Dia tanya aku jika aku mahu melihat rakaman video tersebut yang disimpan di dalam handphonenya. Aku memberitahu kepadanya bahawa aku tak mahu dengan menggelengkan kepalaku -sebab aku tak ada mood.

Sah lah kau ni anak ustazah! Katanya sambil menepuk-nepuk belakangku. Buat beberapa saat aku hampirhampir terlupa bahawa aku telah membohonginya tentang pekerjaan ibubapaku.

Aku biarkan dia sahaja dia nak panggil aku apa. Ketika aku masuk ke kedai, aku terserempak lagi dengan Pak Arab yang aku layan tadi. Dia masih tak beli apa-apa. Isterinya berjalan di belakangnya. Dia menoleh ke arahku. Aku tak tahu apa yang sedang difikirkannya pada masa itu, kerana aku langsung tidak dapat melihat raut wajahnya.