Boleh kata, pertandingan ini mungkin menjadi yang paling sengit pernah di adakan kerana pemilihan lagu banyak menuju ke arah lagu-lagu baru yang sedang banyak diperdengarkan di radio.
Ada yang memilih Fenomena dari kumpulan Search.
Ada juga yang memilih lagu KITA dari XPDC, juga ada yang mengambil lagu Kini dari Feminin. Tak kurang ada yang memilih lagu-lagu dari kumpulan adik beradik pujaan ramai KRU. Semuanya hebat-hebat dalam menyusun muzik dengan gaya tersendiri.
Dari latihan sahaja sudah boleh ketahui bagaimana mereka akan membuat gimik dengan nyanyian serta susunan muzik itu nanti. Kreatif dan cukup memberi kepuasan kepada yang melihat dan mendengarnya.
Petang itu di padang sekolah berhimpun semua peserta untuk latihan kali terakhir. Esok paginya, bermula jam 8.00 pagi akan bermula pertandingan. Pentas pertandingan di buat di astaka padang sekolah yang mana selebar 20 kaki. Kumpulan pancaragam pula perlu menggunakan semua alat muzik yang ada dan kumpulan penyanyi akan menyanyikan lagu yang mereka pilih dengan gaya tersendiri. Semua nampak bersedia. Dari atas pentas sudah terletak kerusi dan meja-meja para juri. Jelas ada sofa sebanyak 3 tempat duduk. Sudah tentu ada VIP atau Pengetua sendiri mahu menyaksikan pertandingan tersebut.
Lalu diundi siapa yang akan mempersembahkan dahulu, siapa yang kemudian. Seorang demi seorang ketua kumpulan menuju ke ketua juri dan mengambil sampul masing-masing.
Kawan-kawan yang lain hanya duduk di tepi padang dan memerhatikan sahaja aktiviti itu berlangsung dengan cukup aman.
Nurul, Jaja dan La juga turut serta memandang bersama rakan seasrama yang lain. Jaja dan La sudah dari awal bersorak setiap kali mereka membuat latihan. Berdentam-dentum bunyi pancaragam dengan lagu-lagu yang mereka pilih. Jaja tahu sahaja semua lagu. Semua beliau boleh ikut dengan mudah. Sebut sahaja yang mana, elok sahaja beliau ikut melagukan.
Macam mana dengan Imah, Nurul Kau ada telefon Jaja bertanya. Sejak dua minggu kepulangan ke asrama, Nurul sangat-sangat sugul. Wajahnya tidak seceria sebelum ini. Ada kalanya beliau hanya menanti di telefon awam. Mana tahu ada berita yang beliau nanti-nantikan. Setakat ini, keadaan Imah semakin baik walau masih belum boleh duduk seperti biasa.
Hari itu Nurul menangis teresak-esak. Beberapa kali dipujuk Jaja untuk bercerita, namun gagal. Sampailah ke suatu pagi, Nurul tidak dapat hadir ke sekolah. Demam. Duduk sahaja di bilik, makan ubat dan tidur sepanjang hari. Itu bukan Nurul yang mereka kenali beberapa tahun ini.
Selepas kebah, barulah beliau bercerita. Semasa menikmati cendol Pakcik Talib, kereta yang dibawa oleh seorang pemuda mabuk tersebut mahu meletakkan kenderaan betul-betul di sebelah Imah. Namun, beliau tersilap lalu merempuh Imah yang hanya sejengkal sahaja jaraknya dengan Nurul. Nurul tercampak jatuh, terduduk manakala Imah termasuk ke bawah kereta tersebut. Imah hanya diam. Tak ada suara, manakala Nurul terjerit-jerit. Waktu Imah di bawah kereta hanya nampak tangannya sahaja masih memegang sudu cendol. Itu juga sudah berdarah beria-ia.
Nurul tahu yang waktu itu Imah mungkin sudah tidak bernyawa. Rakannya yang makan bersama. Menemaninya menjadi kawan pertama yang selalu menghiburkannya di Pasir Rawa kini masih terlantar di hospital, namun beliau terpaksa pulang ke sekolah berasrama. Nurul menangis menceritakan kisah itu. Jaja dan La turut mengesat air mata. Lalu berpelukan.
Esok, lepas pertandingan, apa kata kita naik bas ke Temerloh. Kemudian tidur di rumah kau, Nurul Aku rasa nak ziarah jugalah kawan kau, Imah tu. Jaja memberi cadangan.
Nurul membeliakkan mata. Aku tak pernah lagi naik bas dari sini ke Temerloh. Tak bahaya ke Kan jauh
Kita kan bertiga. Kalau nak berempat, ajaklah Nuar! Jaja mengusik.
Jangan! Merepek! Nurul terus bangun. Berjalan perlahan menaiki tangga menuju ke bangunan Aspuri. Jaja dan La mengikutinya dari belakang dan melanggar-langgar baru sesama sendiri.
Aku ada idea! Lusa, Ustazah Nora nak ke Temerloh. Apa kata kita pergi ikut dia. dia kan selalu nak orang teman. Mesti dia okey. Aku pergi tanya sekejap. Hihi. Jaja memberanikan diri bertemu dengan Ustazah Nora. Terus sahaja diceritakan tentang kawan baik Nurul yang masih di Hospital Mentakab. Syukur, Ustazah Nora bersetuju. Dan semuanya gembira tak terkata. Yang penting, Sabtu tengok pertandingan. Ahad, ke hospital menziarahi Imah.
Sudah macam pesta. Bukan main pelajar dan orang ramai datang ke padang sekolah. Berbagai-bagai warna baju. Siap ada berpayung dan bertopi. Panas. Di luar sana di tepi jalan ada jualan. Ya, semakin ramai dan semakin sesak. Nurul, Jaja dan La duduk di tangga. Yakin boleh melihat dari jauh sahaja kerana matahari semakin meninggi. Ketua juri menerangkan cara undian dibuat dan pengerusi majlis terus sahaja memulakan pertandingan.
Satu demi satu kumpulan masuk dengan pancaragam mereka. Menarik sekali. Kumpulan pertama menyanyikan lagu rancak dari KRU. Kemudiannya diikuti dengan kumpulan wanita semuanya menyanyikan lagu Kini yang cukup hangat waktu itu. Kemudiannya yang dinanti-nanti tiga sahabat itu, Nuar and Friends.
Semua 18 orang ahli kumpulan Nuar and Friends mengambil alih padang. Bersusun elok empat orang setiap baris, Anuar dan Kak Iman berdiri di bahagian hadapan mengepalai setiap dua baris.
Kemudian, drum dibunyikan perlahan-lahan. Ada irama terbentuk. Kaki Kak Imah ikut serta. Anuar pula mengarahkan dua ahlinya meniup seksofon, lagu bernada cantik. Eh, ini lagu apa tanya Jaja.
Bum! Semua berhenti serentak. Lalu Nuar memulakan dengan rentak kaki dan ahlinya ikut dan terus menyanyikan lagu tersebut. Lalu dia berpusing ke kanan, dan ahlinya ikut berpusing ke kanan. Dan bergemerencing bunyi shaker yang digoncang oleh dua orang pemain, dan pam! Semua berhenti serentak memandang tepat ke arah pentas namun tubuh badan masih menghadap Anuar. Lalu,
Anuar:
Usah lagi kau berdiam diri
Cari-cari kau perlu mencari
Andai kata kau masih di sini Mengharapkan warnanya pelangi Kak Imah menyambung:
Bercerita dan memuji diri tetap jua kau masih di sini
Jangan pula kau salahkan nanti iri hati yang merosak diri
Buka mata dan lihatlah ke dalam diri
Buka minda cari-cari kepincangan sendiri
Hasad dengki menguasai hati kini Kan menjadi senjata yang memakan diri
Nuar dan Kak Imah bergabung suara:
Cari-cari kau perlu mencari
Usah lagi kau khayal bermimpi
Tak mungkin adanya nanti bulan turun ke pangkuan diri
Wah, ini lagu Siti Nurhaliza! kata Nurul. Jaja dan La memandang Nurul serentak.
Mana kau tahu Jaja terpelik-pelik.
Aku Ada kasetnya, haha. Nama lagunya Cari-Cari, haha. Nurul ketawa lagi.
Cari-cari Nurul cari-cari Nurul! Jaja mengejek, Nurul terus menyiku Jaja dan mereka ketawa serentak. La memandang wajah Nurul. Ada gembira di wajahnya itu. Syukur. Sudah lama tidak nampak dia seceria itu sejak kemalangan yang menimpa Imah.
Kesemua kumpulan sudah pun beraksi di padang. Semuanya sudah duduk di tepi dengan wajah penat dan bersabar menanti keputusan. Pengerusi Majlis menjemput Pengetua sekolah memberi ucapan kemenangan dan semangat buat semua yang bertanding. Nampak berpeluh di dahinya. Panas terik tidak mematahkan semua yang bertanding. Semua telah berbuat yang terbaik dan telah berusaha dengan sebaik-baiknya. Selepas itu Tuan Pengetua diminta untuk berdiri di tengah-tengah pentas. Lalu guru pengiring berdiri di sebelahnya.
Pengerusi Majlis menyerahkan mikrofon kepada Ketua Juri untuk mengumumkan pemenang. Ketua Juri memaklumkan pemenang dari nombor lapan hinggalah ke nombor tiga. Setiap kali diumumkan, bersoraklah para hadirin siap ada bunyi-bunyian gendang dan gemerencing bunyi-bunyian lain.
Sampai sahaja tempat ketiga, makin kuat debarannya. Nuar and Friends masih belum lagi diumumkan di mana-mana tangga.
Tempat ketiga juga bukan. Nurul mengurut dada. Jaja dan La berdiamkan diri. Masanya sudah tiba untuk mengumumkan tempat pertama dan tempat kedua.
Saya akan umumkan tempat pertama terus. Maka yang saya saya tidak sebutkan itu automatik berada di tempat kedua, kata Ketua Juri.
Semuanya berdiam. Sampul dibuka ala pertandingan Juara Lagu di televisyen. Sunyi sepi. Malah burung yang terbang juga duduk diam di dahan. Menyertai suasana sepi untuk mendengar pengumuman pemenang pertandingan.
Pemenangnya ialah. Metaloka! Ketua Juri seakan menjerit. Maka melompat-lompat kumpulan Metaloka menyambut kemenangan. Memang ya, kumpulan ini yang memberi saingan sengit kepada Nuar and Friends. Mereka berbaris menerima hadiah berupa hamper dan kumpulan yang memenangi tempat kedua juga dijemput menerima hadiah, Nuar and Friends. Kak Imah nampak berpuas hati dengan kemenangan tersebut, Nuar pula nampak sugul.
Baguslah kalah, kalau memang tak tahulah dia punya sombong, bisik Nurul.
Amboi kau, haha, ele kau nak dia menang kan Jaja mengusik.
Wek... tak ingin aku. Nurul menyambung menjawab-jawab usikan Jaja. Mereka bingkas bangun serentak ke dewan makan. Mengambil makan tengah hari dan duduk menjamah nasi ayam yang dimasak istimewa oleh Makcik Saeyah, tukang masak dewan makan yang sekian lama mendapat tender memasak di situ. Jaja mengambil air menggunakan botolnya manakala Nurul dan La hanya mengambilnya menggunakan cawan yang disediakan.
Sedang asyik makan, kumpulan-kumpulan bertanding pun sampai. Juga beratur mengambil makanan. Mereka menyanyi bersama-sama sambil beratur.
Aku bukanlah seorang perwira
Gagah menghunus senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan nama sendiri
Demi cinta ini
Nurul hanya menggeleng-gelengkan kepala. Lagu Warisan dari Almarhum Sudirman cukup disukai oleh sesiapa sahaja. Sedap dan boleh dinyanyikan untuk mereka yang berjuang dan sedang berperang.
Ha, assalamualaikum! Ustazah Nora menghampiri mereka. Lalu duduk di sebelah Jaja dan menghadap wajah Nurul dan La.
Esok pagi, saya tunggu di dalam kereta jam 7.00 pagi. Jangan seorang pun lambat. Kena menyorok-menyorok ya, nanti ramai nak ikut. Kereta saya itu kecil. Tak boleh nak masuk semua orang, kata Ustazah Nora. Nurul, Jaja dan La angguk serentak dan terus sahaja Ustazah Nora bangun dan berjalan menuju ke barisan mereka yang masih beratur mengambil nasi.