SELESTIAL - 7
Insiden ini berlaku berdasarkan catatan-catatan yang bersepahan dari sebuah buku nota yang terlungkup di parkir lot D7, Sentul. Saya menceritakannya kepada anda dengan harapan penceritaan saya ini akan membongkar jawapannya, sepertimana kita membuka peta dunia seluas-luasnya hanya kerana mahu tahu jarak antara Shah Alam dengan Bangkok, contohnya.

Tujuan saya berada di parkir ini, semestinya atas sebab saya ada urusan dengan pelukis-pelukis yang membuka galerinya di sini. Saya pernah berjanji dalam dua bulan yang lepas untuk mendapatkan sebuah lukisan abstrak yang dirasakan berkesan dalam jiwa saya biarpun saya pasti ia tidak menyentuh jiwa pelukisnya seperti mana saya terkesan tadi. Saya berharap galeri lukisan tadi masih buka. Saya, walaupun bukan seorang yang berbakat dalam pengolahan lukisan, masih punya minat menatap sesuatu yang abstrak dan aneh. Warna-warni yang terpalit di kanvas punya impak yang pelbagai pada jiwa saya. Dan saya hendak ceritakan di sini, saya dapat lihat satu keanehan pada lukisan yang terbaru ini.

Saya berasa saya dapat melangkaui satu dimensi lagi dengan penatapan lukisan itu. Ia hanya satu lukisan yang gelap hitam pekat. Tiada apa-apa dalam kegelapan itu hanya hitam yang begitu kaos.

Dan saya kini terkucil di parkir ini, di dalam kereta Range Rover hitam berkilat saya, sambil menyusun satu-persatu catatan-catatan aneh yang saya rasa lebih misteri jika hendak dibandingkan dengan kegelapan lukisan abstrak tadi.

Catatan pertama berbunyi begini:

Kami tidak bermaksud mahu menculik dia. Cuma kami terlalu obses mahu melihat dia selaku subjek lukisan kami. Maka, oh, macam mana kami mahu terangkan ya Dia salah seorang klien kami. Dia kelihatan bijaksana, elegan, cantik. Ah, terlupa pula. Dia seorang wanita anggun yang serasanya punya kerjaya seperti pemilik butik, contohnya. Pinggangnya ramping, persis model di layar peragaan tatkala mengatur gerak. Apabila dia melangkah masuk ke dalam galeri kami, bunyi derap kasut tumit tingginya yang mengetuk papan kayu lantai galeri kami cukup bermelodi. Melodi itulah yang mencetuskan ilham buat kami untuk menjadikannya model kepada lukisan kami. Cara kakinya melangkah itu, penuh erotis dan juga berseni. Seolah dia menzahirkan niatnya masuk ke gerai lukisan untuk menjadi subjek kepada lukisan yang kami usahakan.

Namun begitu, ia tidak berlaku. Dia datang hanya sekadar mahu membeli dua tiga lukisan secara rambang untuk diletakkan di rumah barunya yang terletak tidak jauh dari D8 Sentul ini. Katanya, lukisan-lukisan yang terpampang di sini kelihatan cantik. Ah, sungguh benci bila dikatakan lukisan-lukisan kami itu cantik. Ia begitu umum, tiada unsur-unsur kritis dalam pujiannya. Kami mahu mendengar luahan perasaannya tatkala menatap lukisan kami, dan mendengar luahan rasa itu seumpama ubatan kepada jiwa kami yang lara. Melukis dengan sepenuh jiwa kami. Setiap orang punya interpretasi berbeza ke atas sesebuah karya. Maka begitu jugalah lukisan. Perkataan cantik ataupun wah, menarik! tidak memadai sama sekali. Harus ada justifikasi ke atas setiap seni itu.

Malangnya, si wanita anggun yang jelita ini, tidak meneliti lukisan-lukisan yang terpampang untuk satu masa yang lama. Jari telunjuk kanannya yang runcing menuding ke arah dua tiga lukisan yang dikehendaki dan ia selesai pantas.

Ini, ini dan ini

Angkuh nadanya. Namun kami tak berkecil hati pun. Gaya jarinya menuding itu, postur tubuhnya tatkala bercekak pinggang, memberi kami ilham untuk melukis sesuatu yang lebih manusia.

Oh ya, Puan Raudah! Minggu depan akan datang satu lagi lukisan yang lebih cantik dari apa yang Puan pilih tadi. Kalau berminat, kami boleh sediakan untuk Puan ujar Mitchelle.

Saya menoleh ke arah Mitchelle dengan harapan saya faham apa yang bermain dalam fikirannya ketika itu, tetapi saya sendiri tiada klu. Tiada petanda-petanda penting yang ditunjukkan dari bahasa tubuhnya ketika itu. Saya sendiri tak pasti sekiranya Mitchelle berbohong atau sekadar tidak mengatakannya kepada saya sebelum ini. Walau apapun reaksi yang cuba saya perhatikan, saya boleh katakan, Mitchelle kelihatan begitu bersungguh-sungguh untuk memastikan Puan Raudah datang lagi lain kali.

Hmm, menarik juga itu ya. Tapi, tak apalah, lain kali saya datang lagi. Ermm, lukisan tadi dah bungkus siap-siap

Saya membawa troli dengan lukisan-lukisan yang telah dibalut kemas bingkai dan paparan kanvasnya. Ia harus diikat dan dibawa dengan begitu berhati-hati agar tidak rosak semasa dalam perjalanan ke kereta milik Puan Raudah. Kami berharap dia tidak merosakkan lukisan-lukisan tersebut ketika dalam perjalanan balik nanti. Setiap lukisan punya personanya sendiri dan kami takkan mampu menggantikan sesuatu yang rosak itu dengan sesuatu yang baru.

Ia punya nilai berbeza. Semestinya kami takkan mampu membandingkan sebuah lukisan itu dengan lukisan ini pada tara yang sama.

Datanglah dia kali itu, dengan wajah laksana kilauan bulan Io yang ditatap dari muka Musytari. Cukup mengasyikkan kata Mitchelle. Kami bawa dia ke dalam sebuah bilik kecil di belakang galeri kami, dengan helah, lukisan tersebut tersimpan di dalam bilik itu. Hakikatnya, bilik itu sebenarnya tidak lebih dari sebuah platform dengan dua kanvas berbingkai milik saya dan Mitchelle.

Sebuah kerusi kosong tak dikelubungi sebarang apapun. Cat dan warna telah kami sediakan di hadapan bingkai kanvas masingmasing. Papan platform heksagonal dengan saiz sisinya 1.5m setiap satunya. Penataan cahaya mentari dari luar tingkap, malap dibaluti langsir yang hijau gelap warnanya. Konsepnya minimalis, dan akan dijarah semangat minimalis itu dengan subjek yang baru kami perolehi ini.

Tatkala dia leka meneliti struktur bilik, aku tekup mulutnya dengan tuala kecil dibasahi kloroform. Dia meronta pada mulanya, tetapi tak lama. Dalam masa seimbas sahaja, kakinya yang ligat menendang terkulai lemah. Dia lalu rebah pengsan. Aku jeling Mitchelle, dan dia beri senyuman kepuasan, seolah matlamat kami di galeri ini sudah usai sepenuhnya.

Kebaya hitam membalut tubuhnya sudah cukup elegan buat tema lukisan kami. Dengan perlahan-lahan kami dudukkannya di atas kerusi. Bibirnya yang merah menyala oles gincunya dipicit-picit untuk membentuk raut wajah berulam senyuman. Anggunnya tak luak. Kasut tumit tinggi yang tertanggal dipasang kembali. Kami buatkan dia duduk dengan postur menegak, menampakkan kekuatannya selaku seorang wanita berdikari. Pinggang yang ramping dan juga senyuman artifisial menyalut bibir, telah cukup memadai untuk dijadikan tema lukisan kami pada hari ini.

Saya keluarkan sebuah lagi lukisan yang tersimpan kemas di sudut bilik melukis ini. Mitchelle pula telah bergerak ke depan galeri untuk menutup dan mengunci pintu masuk. Hari ini adalah hari melukis dan kami tak mahu diganggu. Lukisan yang aku keluarkan itu adalah satu kegelapan. Gelap, hitam pekat umpama jirim gelap di angkasa yang anda lihat menyelubungi sinar-sinar berkelipan dari bintang-bintang dan gugusan galaksi yang tidak bersempadan itu.

Kami telah melakukan kesalahan yang nyata di atas bumi Malaysia ini. Kami menculik dan kami sedar hukumannya adalah hukuman gantung sampai mati. Namun begitu kami ada 24 jam sebelum kehilangan wanita ini disedari orang. Ya, kami harus selesaikan tugas kami, hilangkan memori wanita ini dan kami akan selamat dari tindakan undang-undang.

Saya optimis juga, undang-undang manusia tidak akan mampu mengekang pergerakan kami. Kami bukan asalnya dari bumi ini. Jirim gelap itu adalah asal-usul kami. Dan kami berminat untuk mengetahui apa sebenarnya makna yang tercakna di belakang konsep kehidupan di bumi ini. Memulakan kajian ke atas wanita ini adalah tindakan setepatnya. Bagaimana harus saya perkatakan ya Kami masih tidak dapat menganggap apa yang kami lihat ini selaku kehidupan. Ia adalah kerana kami punya konteks maksud kehidupan kami sendiri.

Dengan memengsankan wanita elegan tadi, kami kini punya subjek untuk dibandingkan dengan lukisan bertemakan jirim gelap. Untuk kali pertamanya, kami akan membuat penilaian secara visual. Mengapa visual

Kami telah lama membuat pengiraan melalui matematik manusia dan juga kaedah kami sendiri. Namun kami gagal mencari titik persepakatan yang sesuai untuk memberi definisi secara matematik, akan persamaan antara kami dan manusia. Ia menggusarkan kami yang telah menghuni bumi sejak asimilasi berlaku tanpa mampu menyelami apa yang ada di dalam sejarah peradaban manusia.

Mitchelle datang ke bilik dengan seketul batu kemerahan di tangannya. Saya tahu tangan manusianya itu kini menggelegak dek kerana kadar radioaktif yang tinggi di permukaan batu tersebut. Namun kami tiada masalah dengan itu. Kami adalah warga Marikh dan tubuh manusia ini sekadar pinjaman sahaja. Setepatnya, Mitchelle dan Krishnan ini manusia pada asalnya, tetapi kami telah jajahi tubuh mereka. Biarpun begitu, kekhuatiran kami pada The Things sering menyelubungi. Tiba masanya nanti, jasad ini akan bertukar pemiliknya. Boleh jadi juga, The Things sedang memerhati kami dan menunggu masa untuk keluar bila-bila masa. Sehingga saat itu, biarlah kami mencari makna manusiawi dalam kehidupan parasitik begini.

Kami letakkan batu kemerahan yang beradioaktif itu di hadapan Puan Raudah yang pengsan. Saya tak pasti kenapa tiada apa perubahanpun yang terjadi pada Puan Raudah. Mungkin tubuhnya itu begitu elegan untuk menerima perubahan secara radioaktif, tetapi andaian itu semestinya kedengaran dongeng dan tidak berasas sama sekalipun. Mungkin juga, dia seperti kami, cuma berada di takuk yang lebih tinggi. Puan Raudah bukan manusia, bukan juga kami. Maka apakah sebenarnya yang berlindung di balik tubuh yang cantik itu

Saya menutup buka nota itu lekas-lekas. Saya belek kedua belah tangan saya dengan harapan ia tidak dicemari radioaktif yang menghakis. Saya tidak pasti bagaimana rasanya dihakis radioaktif. Saya membayangkan barangkali terdapat perubahan pada jasad saya dari dalam, tatkala saya mengutip buku nota tadi. Saya sebenarnya ketakutan. Di sebalik ketakutan itu, saya juga punya rasa ingin tahu yang meluap-luap. Saya mahu tahu apa yang terjadi pada Puan Raudah di dalam nota itu, adakah dia hidup atau mati, atau selain daripadanya. Dengan tangan sedikit terketar-ketar, saya belek nota itu lagi. Kali ini, ia tampak kekuningan sedikit, barangkali kerana penataan cahaya mentari yang sayup menyinari dari ruang yang terbuka. Saya meneruskan pembacaan:

Lembut sahaja lentur kulitnya tapak tangannya tatkala batu kemerahan beradioaktif itu melabuh bebannya. Kami melukis bentuk mata yang kebiruan anaknya, putih korneanya, pada keduadua belah kelopak mata Puan Raudah yang pejam. Setelah usai, kami berundur enam tapak dan meneliti hasil kerja kami itu secara menyeluruh. Agak sempurna. Kami berpuas hati. Mata artifisial yang dilakar cukup realistik jika ditatap lama-lama. Dalam postur menegak, dengan kedua-dua belah tangannya dilabuhkan di atas pahanya yang agak kurus, sambil kedua-dua belah tangannya itu tadi mendukung batu kemerahan itu, Puan Raudah cukup menawan dan eksotik pembawaannya kali ini. Alangkah indahnya, jika Puan Raudah mahu menjadi model kami. Namun itu mustahil, kerana batu kemerahan itu cukup memedihkan mana-mana manusia yang bersentuhan dengannya. Kami tiada pilihan, melainkan memengsankan Puan Raudah. Mungkin dia akan menghidapi kanser atau mutasi pada beberapa anggota badannnya, tetapi kami punya agenda yang jauh lebih penting dari merisaukan perihal mudarat itu.

Kami harus berkomunikasi kepada manusia dan memberitahu mereka bahawasanya kami wujud. Kami juga punya definisi kewujudan kami sendiri yang tak wajar dibayangi dengan jasadjasad manusia yang kami jajahi ini.

Mereka harus bersedia untuk berdepan dengan kami dan menerima hakikat, bahawasanya kami ini juga punya hak untuk digelar kehidupan.

Saya akan melukis rupa bentuk Puan Raudah dengan latar hitam pekat menjadi balutan persekitarannya. Saya tamatkan penulisan nota ini terlebih dahulu. Akan disambung pada masa kemudian nanti. Harap akan ada ilham untuk menceritakan apa yang terjadi sesudah ini.

Perasaan diri berbelah bagi. Terasa seolahnya naratif penceritaan dalam nota-nota itu menyerupai gaya dan lenggok bahasa saya sendiri. Saya seolah dihantar ke masa depan sesudah saya melakukan jenayah penculikan itu dan diceritakan semula akan apa yang terjadi semasa saya lenyap dari lipatan masa untuk detik yang entah berapa ketika itu.

Namun saya yakin, bangunan D8 yang dimaksudkan itu tidak wujud. Tidakkah saya sekarang berada di D7 Realitinya, bangunan D7 ditentangi bangunan D6 di seberang jalan. Tiada bangunan D8 dan seterusnya terpacak di sekitar Sentul ini. Lokasi boleh dibohongi, tetapi aku harus memastikan kesahihan nota ini.

Boleh jadi ia mainan budak-budak nakal, yang sengaja meletakkan nota tersebut di lantai parkir, dengan harapan ia ditemui seseorang yang serius seperti saya. Tidak mustahil juga ia adalah plot sebuah cerita fiksyen yang belum langsai. Saya mengandaikan juga terdapat kemungkinan ia merupakan agenda tersembunyi pemilik-pemilik kedai D7 yang gagal menyembunyikan jenayahnya dengan baik.

Saya berpendapat, dengan duduk begitu sahaja di dalam kereta, sambil menatap nota-nota sebegini, tanpa kopi hangat untuk menyegarkan mata dan otak, saya takkan dapat bongkar apa-apa rahsia. Kafe elitis ada di atas, mungkin dengan hirupan seteguk dua cicip, saya akan mendapat jawapannya.